SALLEH ATAU SOLEH?

NAMA saya Salleh, tetapi saya bukan Soleh. Usia saya sahaja banyak tetapi  amal saya sedikit. Solat kadang-kadang Jumaat dan tidak pernah tinggal hari raya. Puasa hanya Ramadan, itupun ikut dan. Saya bekerja di pejabat kerajaan, tetapi kerja ikut perasaan. Biarpun saya tidak soleh, saya suka bantu orang. Siapa yang diusik jin atau dirasuk syaitan, saya boleh tolong rawatkan. Upahnya hanya RM99.99. Siapa kata saya malas? Kalau malas masakan saya sanggup berjaga hingga larut malam merawat orang. Cuma saya tak boleh merawat diri saya sendiri apabila esoknya saya dirasuk oleh lena yang gila.

Semalam bapa saya meninggal dunia. Alam tiba-tiba jadi gelita. Saya macam nak putus nyawa. Oleh sebab saya anak lelaki yang tua, saya uruskan semua. Mandi, kapan dan solat jenazah saya minta imam masjid uruskan. Imam tolong saya hingga talkin di kuburan. Selesai urusan jenazah, saya bertemu imam. Salam saya ‘berisi’, tanda terima kasih kepada imam atas segala bakti.

Continue reading ‘SALLEH ATAU SOLEH?’

ANTOLOGI JERITAN PULAU

SESUDAH Antologi “Di Bawah Kerdip Lampu Di Atas Pentas Itu”, Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, 2005, Antologi “Gemilang”, DBP, 2006, “Antologi Cerpen Kemerdekaan ” PNM, 2009, “Batu-batu Di Jalanan”, Utusan Publications & Distributors Sdn Bhd, 2008, “Matahari Di Nusantara” Pusat Bahasa Kementerian Pendidikan Nasional Jakarta, 2010, ”Cinta Masitah” DBP, 2011, “Antologi Karya Sasterawan 2011″, PENA, 2011 dan kini muncul sebuah lagi antologi ke- 8 ”Jeritan Pulau”, DBP, 2011.

Antologi “Jeritan Pulau” diselenggarakan oleh Osman Ayob menggandingkan cerpenis mapan dan cerpenis baru dari negeri Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak. Antologi ini menghimpunkan 30 buah cerpen karya 20 orang cerpenis dengan keistimewaan tersendiri. Bertolak dari latar belakang pendidikan, profesion dan pengalaman hidup masing-masing yang mempengaruhi rentak dan keunikan karya mereka, antologi ini mengangkat pelbagai tema dan persoalan, terhasil dari sentuhan daya sensitiviti yang mendalam dan keupayaan mereka merakamkan denyut nadi masyarakat yang tidak pernah mundur berjuang demi survival dalam dunia yang semakin mencabar. Selamat membaca.

 

USTAZ ATAU U’START’?

 

SEORANG gadis suatu hari mengadu hilang kepercayaannya kepada seorang ustaz. Telinga saya berdesing dan wajah saya mencuka. “Kenapa jadi macam tu?” Soal saya. “Saya bujang dia juga bujang. Kami bertemu ‘cinta’ dalam kuliahnya dan berhasrat untuk memanjangkan cinta hingga ke genggaman wali!” Cerita gadis itu lagi malu-malu. “Baguslah tu, tetapi macam mana boleh hilang kepercayaan kepada ustaz?” Ujar saya menuntut jawapan. “Saya mengharapkan ilmu agamanya dapat membimbing saya tetapi akhlaknya, kata-katanya sama seperti pemuda pemudi yang dilamun cinta nafsu nafsi!” Adunya meluahkan isi hati.

Oh Tuhan, ampun. Saya yakin masyarakat selalu berfikir, akhlak seorang ustaz itu sempurna sedangkan dia hanya manusia biasa. Dia melorongkan hidayah Tuhan namun pada wajah dan kata-kata atau tulisan sendiri tidak terpamerkan keikhlasan. Dia bukanlah ustaz tetapi barangkali ‘ustart’. Dia hanya hidup pada kitab atau kepetahan kata-katanya tetapi tidak hidup pada amal dan bicaranya yang menukilkan kitab dan tidak hidup pada keindahan aksara mahupun bicara saat menulis ‘kitab’.

Dia bukanlah dai tetapi selebriti! U’start’ selebriti niatnya barangkali mahu menarik perhatian masyarakat. U’start’ selebriti mahu meraih sebanyak mungkin ‘sampul lipat’. U’start’ selebriti mahu menulis kerana meraih pendapatan. U’start’ selebriti mahu memuaskan hati orang bukan ‘hati’ Tuhan. Terkeliru menulis kerana mahu atau kerana perlu (meminjam kata shabat).

Continue reading ‘USTAZ ATAU U’START’?’

DOA ANDAI KABUL

Wahai Tuhan Yang Ghafur,
Setelah dipilih memimpin majlis,
Doapun dipanjat sepenuh khalis,
Entahkan doa makbul, entahkan doa terjembul-jembul
antara langit dengan bumi.
Tangan menadah, hati gundah,
hajat yang dipinta adakah ikhlas atau terniat culas.

Wahai Tuhan Yang Maha Mustajab,
Setelah memimpin majlis beradab,
Kuserah hajat mereka yang mazkur,
Andai doa makbul,
andai diperkenan hajat bak langit menghujan lebat,
bak bumi subur nan makmur.
Ketahuilah, bukan kerana tanganku yang memimpin,
Mungkin kerana bibir mereka yang mengamin,
Mendongak sepenuh pasrah, memucuk sepenuh ikhlas menengadah.

al-Kurauwi
Persidangan Kebangsaan Tulisan Jawi Ke-3, PNM 5-6 Disember 2011

DOA SEMPENA MUHARAM 1433

Wahai Tuhan sayyidulayyam,
Sempena Muharam 1433
Syukur kami kerana menambah angka,
dan memendekkan tarikh nyawa.
Bukanlah sanya tanda tua,
tetapi mendekatkan kami kepada-Mu, Tuhan Pencipta,

Wahai Tuhan sayyidulayyam,
Sempena Muharam syahrulharam,
Kami bertekad dan berazam,
Menjauhi maksiat yang menambah usia kami di neraka,
Memperbanyakkan ibadat yang memudakan kami semula di syurga.
Allahumma amin.

DI ANTARA DUA NISAN

Di antara dua nisan,
Jijak kaki kepada leluhur,
Kamilah yang menghidupkan bumi-Mu terlimpah makmur,
Tugu-tugu tertinggi merobek awan,
Hanyir tapaknya, terbenam hati bernafsu haiwan,
Racun tanahnya, jerubu diserapah syaitan.

Di antara dua nisan,
Bisik-bisik iman berpesan,
bahawa kehidupan itu hanya setitis nikmat,
Dianugerahkan Tuhan atas sifat-Nya yang rahmat,

Di antara dua nisan,
Jantung pun berhenti sesaat,
Tiba-tiba nyawa tegang di genting sakarat.

Menara KKR
Kuala Lumpur
24 November 2011

HSKU 2010: 20 CERPEN TERBAIK DEWASA

SYUKUR, cerpen Korban Di Renong Takdir, tersenarai dalam 20 cerpen terbaik daripada sejumlah 120 buah cerpen  dan 38 buah cerpen terpilih dalam saringan kedua. Cerpen yang mengangkat watak Natrah berjaya mencuit hati penilai. Apapun tahniah kepada penulis hebat yang tersenarai dalam 10 buah cerpen terbaik bagi Hadiah Sastera Kumpulan Utusan 2010.

BERBANDING  HSKU 2010: 19 Cerpen Terbaik Remaja, pautan cerpen bagi kategori dewasa lebih lebat. Sekali lagi terima kasih kepada utusanonline dan tahniah kepada 20 orang penulis tanah air kerana melahirkan 20 cerpen terbaik sepanjang 2010 bagi kategori dewasa. Mari kita belajar daripada cerpen yang terbaik sepanjang 2010 ini agar dapat dijadikan panduan dan rujukan menghasilkan karya yang lebih berkualiti. 20 cerpen terbaik tersebut adalah seperti yang berikut:

 1. Al-Burj, Fudzail. 2. Antara Ketana dan Sudang, Serunai Faqir. 3. Benarlah Kata Angin Itu, dan Saya Meneruskan Perjalanan, Mawar Shafei 4. Delusisma, Fahd Razy. 5. Emas Jadi Batu Padi Jadi Pasir, Zaharah Nawawi. 6. Harimau Musim Rontok Foochow, Rahimah Muda. 7. Jalan Lurus, Salina Ibrahim. 8. Jantung Jentayu di Kampung Sawah, S.M. Zakir.  9. Kaduk, Ayam dan Raja, Zurinah  Hassan. 10. Korban di Renong Takdir, Ibnu Ahmad al-Kurauwi. 11. Langit Pabila Ia Langking, Shahkang 12. Moooo!, Malim Ghozali PK. 13. Orang Budiman dan Negeri Seribu Gunung, Mohd . Lutfi Ishak. 14. Perutusan Walang Srikandi Seorang Pidana, Zulfazlan Jumrah. 15. Pesta Tarik Tali di Musim Gugur, Aminah Mokhtar. 16. Pohon Beringin, Saifullizan Yahaya. 17. Res Judicata, Aidil Khalid. 18. Sayap-sayap Kecil di Graha Jentayu, Nisah Haron. 19. Telaga di Puncak Gunung, Muhammad Ali Atan. 20. Yang Ditinggalkan Lelaki Itu, Zainal Rashid Ahmad.

 

HSKU 2010: 19 CERPEN TERBAIK REMAJA

SALAM SASTERA. Tahniah kepada 19 cerpen terbaik oleh 18 penulis tanah air. 10 daripada cerpen ini akan diberi hadiah penghargaan pada 31 Oktober 2011 Sempena Majlis Hadiah Sastera Kumpulan Utusan. Cerpen-cerpen yang didapati sesuai dengan takrif cerpen remaja adalah seperti yang berikut:

1. Aku Datang, Aminhad. 2. Bunga Telur Kenduri Kahwin, Mohd Helmi Ahmad. 3. Caramel Cinnamon Anise di Cordova, Ranofla Dianti Irwan, 4. Citra Venezia, Rebecca Ilham.  5. Estet dan Kuarters Batu 13, Zainal Rashid Ahmad. 6. Gulai Sembilang Untuk Abah, Fauziah Mohd Ismail. 7. Ilham Sang Pujangga, Zulfazlan Jumrah. 8. Jangan Bunuh Semut Api, Muzaf Ahmad, 9. Kakak, Sharifah Nurbaizura Syed Mohd Safie. 10. Kala Hujan Ini, Nur Adilla Abd Rahim. 11.  Mimpi Budak Bola, Dr. Illias Zaidi. 12. Nasi Putih Daging Cincang, Nadia Khan. 13. Oh Fatimah!, Tengku Nurlaila Tengku Ismail. 14. Periaku untuk Ibu Pertiwi, Mohd Ali bin Salim. 15. Rancanganku Rancanganmu, Mohd Helmi Ahmad. 16. Rindu Oktober Merah Jambu, Zanazanzaly. 17.  Setulus Cinta Muaddib, Husna Nazri. 18. Siapa Haram?, Ummu Hani Abu Hassan. 19.  Tergelincir, Aminhad.

Tahniah kepada semua pemenang. Daripada 19 buah cerpen hanya 9 buah cerpen boleh dirujuk sumbernya di laman maya. Terima kasih kepada utusanonline. Bantuan rakan-rakan, barangkali boleh memberi pautan kepada cerpen atau blog penulis. Semoga cerpen yang terbaik sepanjang 2010 ini, dapat dijadikan panduan dan rujukan kepada para penulis yang lain - al-Kurauwi.

PANTAS JAWI DI PUTRAJAYA

“Pertandingan Pantas Jawi dapat memupuk generasi pelajar mempelajari tulisan Jawi dan menjadikannya suatu mata pelajar yang menyeronokkan. Pertandingan ini juga menjadi platform kepada usaha memperkasakan penguasaan pelajar dalam tulisan Jawi sama ada dalam bacaan atau tulisan, dan seterusnya memartabatkan Jawi sebagai warisan peradaban bangsa yang unggul.”

- Sempena Bulan Bahasa Kebangsaan 2011 ini, esok tibalah acaranya, sesudah bertungkus-lumus, moga Tuhan mempermudahkan segala urusan. – al-Kurauwi

SYUKUR

JIKA SYUKUR ITU SEBUAH PULAU DI TENGAH LAUTAN,
Kan kurenang, biarpun lautnya dalam,
biarpun ombak setinggi awan,
Kan kusujud di pepasir membilang butir iman.

JIKA SYUKUR ITU SEBUAH KEMUNCAK GUNUNG,
Kan kudaki, biarpun tebingnya tajam duri dan bisa miang,
biarpun gelap hutan nan kelam,
Kan kupeluk rahmat-Mu bak dingin kabus berbalam.

Laman Berikutnya »


 

Januari 2012
I S R K J S A
« Dis    
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
3031  

RSS Klinik Jawi

  • SURAT PEKELILING JAWI
    BERTANYA dengan ramai guru-guru dan ‘pegawai kementerian’ yang menguruskan guru-guru tentang kewujudan surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1992. Pelbagai alasan yang mereka berikan. Ada juga yang buat lawak bodoh. Mungkin tidak tahu atau buat-buat tidak tahu. Bagi yang baru nak tahu, surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 1/1992 ini ialah mengenai penggunaa […]

KARYA BAHARU

CERPEN

Sebuah kisah benar. Kisah yang terilham daripada salah sebuah testimonial melalui e-mel seorang pembaca setelah mengulit novel “Punya Cinta Ramadan”.
- Mingguan Malaysia, 7 Ogos 2011 - al-Kurauwi

Terima kasih kepada Puan Siti Zabidah yang menumpahkan cerita ini ke telinga saya. Saya tidak pernah melihat wajah mereka namun berkongsi rasa dan air mata.

Berita Minggu 10 Julai 2011 - al-Kurauwi

Memberikan interpertasi baharu bukanlah memusuhi sejarah, jauh sekali memusuhi Islam.

- Ku Seman, Mingguan Malaysia, 14 November 2010

CERPEN

Ini kisah Dena Balosha. Gadis kecil dari Gaza yang syahid membebaskan buminya daripada Yahudi Israel. Bagaimana jika Dena Balosha berbicara dari syurga?

-Tunas Cipta, Jun 2010

KOLEKSI NOVEL

NAMAKU BUKAN MARIA

"Bagaimana kalau alur sejarah dibiaskan pada pertengahannya oleh suatu idealisme yang berpaksi pada tauhid? Novel ini memilih simpang lain untuk
Natrah, menghasilkan naratif yang menggugah"

– Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan

PUNYA CINTA RAMADAN

“Punya Cinta Ramadan meneruskan kelangsungan keindahan nada dakwah melalui kekuatan gaya bahasa karya yang puitis dan keampuhan bercerita Ibnu Ahmad Al-Kurauwi selepas kelahiran novel Tinta Elipsis dan Insyirah, serta Kumpulan Cerpen Di Dadanya Kalam Tuhan.”

- w.b.rendra,
wbrendra.blogspot.com

DI DADANYA KALAM TUHAN

ddkt-blog Sesungguhnya, tidak sampai lima tahun selepas menyertai bengkel penulisan cerpen anjuran KEPEZI (Kelab Penulis Zaharah Nawawi) awal September 2004 Ibnu Ahmad al-Kurauwi sudah mampu menghasilkan 20 cerpen yang melayakkannya memiliki kumpulan Di Dadanya Kalam Tuhan. Hal begini diperakui jarang terjadi. Namun bagi penulis muda pemegang ijazah Kesusasteraan Arab dari Jordan ini tiada perkara mustahil. Ke bulan pun manusia boleh jejak, inikan pula sekadar melahirkan sebuah kumpulan cerpen dalam waktu yang relatif singkat. – Zaharah Nawawi USJ Subang Jaya 9 Mac 2009

INSYIRAH

insyirah2

Sesungguhnya Novel "Insyirah" ialah novel kedua yang telah lahir daripada rahim Sayembara Mengarang Novel Kanak-kanak dan Remaja 2007 - Dewan Bahasa dan Pustaka. Novel ini telah memenangi hadiah pertama dalam sayembara tersebut. - al-Kurauwi

TINTA ELIPSIS

Novel TE bergerak sekitar gejolak rasa dan jalanan minda watak Amir Afif Amizul, anak peneroka FELDA, yang berpeluang menekuni bahasa Arab dan Pengajian Islam di Universiti Jordan. Amir Afif mempunyai sedikit sebanyak pengalaman dalam bidang penerbitan (TE: 25/7), iaitu selain pengalamannya sebagai konsultan yang ditimbanya selama lima tahun bertugas dengan Syarikat Amal Profesional Sdn. Bhd. (TE: 28) Amir Afif berhadapan dengan beberapa masalah yang wajar diatasinya sebijak mungkin. - Dr. Anis

TETAMU

  • 125,106 hits

Top Rated


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.