Arkib untuk Mac 2007

SOO CHAM DAN AIR MATA IBU

Blurb

Persekitaran banyak mempengaruhi tingkah laku seseorang, umpama lauk yang dibubuh garam, masinlah jadinya.  Tidak ramai yang boleh menjadi seperti ikan di laut, air masin tetapi daging ikan tetap tawar.  Begitulah yang terjadi terhadap Sui Yin dan dua orang abangnya yang dilahirkan dan dibesarkan di sebuah kampung Melayu.  Disebabkan sedari kecil bergaul dengan orang Melayu, akhirnya mereka memeluk Islam dan kedua-dua abangnya berkahwin dengan gadis Melayu.  Namun, si ibu tidak dapat menerima hakikat ini, “Kenapa orang Cina hendak jadi orang Melayu?” tanyanya.  Apakah benar pertukaran agama itu yang menjadi isu ibu Sui Yin?  Kenapa si ibu selalu menitiskan air mata setiap kali menjelang Tahun Baharu Cina?  Kenapa abang-abang Sui Yin seperti tidak menyayangi lagi ibu mereka?  Bagaimana Sui Yin menangani kerenah ibunya?  Air Mata Ibu mengungkapkan kisah ibu yang kehilangan hati anaknya kerana dirinya adalah ikan yang tetap tawar di air masin. ”

Air Mata Ibu
Penulis: Soo Cham
Penerbit: DBP
No. KK: 899 204285101
No. ISBN: 9836294066
Tahun Terbitan: 2007
Harga Buku: RM25.00
Harga DAWAMA : RM20.00
Jimat: RM 5.00 ( 20% )

“Bangga mengenali penulis gigih seperti Soo Cham ini. Beliau bukan sekadar menulis dengan tinta bahkan dengan air mata! Kami pernah beberapa kali berbengkel bersama kendalian Bonda Zaharah Nawawi. Dalam satu bengkel cerpen,  ingatan tertumpah mengenangkan air matanya begitu ramah menumpang sebak menghayati  karyanya. Saya pasti air mata pembaca juga tidak akan segan mengalir kerana beliau menulis dengan hati dan jiwa. Suatu ketika beliau pernah berbisik. Ustaz ini kisah benar! …” - al-Kurauwi. Gambar kanan ialah kulit asal novel. 

BEDUNG LIDAH, ISLAHKAN HATI

DICERITAKAN dalam satu riwayat, Luqman telah disuruh oleh tuannya untuk memasak daging kambing dan memilih bahagian yang paling sedap untuk dimakan. Luqmanpun memilih hati dan lidah. Selesai makan tuannya meminta pula bahagian yang tidak sedap. Luqman tetap memilih hati dan lidah yang sama, lalu dimasak dan dihidangkan kepada tuannya. Perbuatan Luqman tersebut telah mengundang persoalan di benak tuannya. Menjawab kepada persoalan itu, dipermudahkan oleh penulis dengan membawa sebuah hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak akan lurus keimanan seorang hamba sehingga lurus pula hatinya dan tidak akan lurus hatinya, sehingga lurus pula lidahnya.”           

Kesimpulannya, hati dan lidah adalah anugerah Allah Taala yang hebat dan unik penciptaannya. Kedua-dua organ tersebut berfungsi dengan satu jaringan penghubung yang saling berkait rapat antara satu sama lain. Antara hati dengan lidah, hatilah unsur yang paling utama. Imam Ghazali menyatakan bahawa hati adalah raja yang menentukan segala-galanya sama ada baik ataupun jahat. Lidah, hanyalah hamba yang bertindak melalui panduan dan arahan daripada gerakan hati.

Benar, bahawa lidah berperanan membantu kita merasai nikmat makanan sama ada masin, masam, tawar, pahit, manis dan lain-lain. Dengan satu alat pengukur itu, kita dapat menikmati berbagai-bagai rasa. Walau bagaimanapun, ada kalanya timbul juga pertentangan. Kadang-kadang lidah kata manis tetapi hati kata tawar. Kadang-kadang lidah rasa masin, hati berkata sebaliknya.

Lebih membimbangkan lagi andai lidah yang lembut itu bertutur daripada hati yang kotor serta ditunggangi oleh nafsu dan syaitan, maka segala tindakan dan perlakuan pastilah akan turut tercemar. Kata orang tua, hati-hati, lidah tidak bertulang! Oleh sebab tidak bertulanglah, maka segala dusta, hasad dengki, fitnah, buruk sangka, iri hati, maki hamun mudah menguasai seseorang.

Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: “Janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidahmu bahawa ini haram itu haram untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah. Sesungguhnya orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya” (Surah al-Nahl: 116)

Ada baiknya kerajaan negeri Perlis menganjurkan seminar mulut baru-baru ini demi menyediakan garis panduan kepada rakyat cara penggunaan bahasa yang sopan dan berhemah. Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin telah menulis dengan panjang lebar mengenai bahaya dan bencana disebabkan lidah ini, termasuklah umpat dan fitnah orang lain.

Walau bagaimanapun, hal ini tidaklah bermakna Nabi SAW melarang umatnya bergurau senda. Rasulullah SAW juga bergurau senda dalam kehidupan seharian, tetapi baginda tidak pernah berlebih-lebih dan melampau. Rasulullah SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Aku pun turut bergurau senda, tetapi aku tiada mengatakan sesuatu melainkan yang benar belaka.” Rasulullah SAW bersabda lagi maksudnya: “Bukanlah seorang mukmin itu yang jadi pencaci, pelaknat, bukan yang suka berkata kotor atau yang lidahnya suka menyebut kata-kata hina.”

Kesimpulannya apa yang Luqman ingin sampaikan kepada kita ialah faktor pembentukan diri Muslim baik lidahnya, sikapnya dan segala pancainderanya itu sebenarnya bermula dengan membentuk hati; iaitu membersihkannya daripada kekufuran dan dosa dan menghiasinya dengan keimanan kepada Allah SWT. Hati yang bersih dan dihiasi dengan cahaya keimanan akan membuahkan insan Muslim yang benar tutur katanya dan kuat berpegang kepada janjinya serta terserlah jati diri Muslimnya. Ayuh, mari kita bedung lidah dengan mengislahkan hati!

Artikel ini tersiar dalam Majalah Dewan Masyarakat April 2007 dengan tajuk ‘Jaga Lidah Islahkan Hati’

BAHTERA KAMI

Ya Allah Ya Hannan Ya Mannan

Ya Allah betapa cintanya kami kepada organisasi ini. Inilah organisasi kami, Dewan Bahasa dan Pustaka, pusaka warisan tempat kami berpijak. Organisasi yang lahir dari satu sejarah, api dari satu zaman, obor perjuangan tempat kami meminjam semangat tokoh terbilang. Yang telah lama belayar menongkah badai gelombang, bermandikan masin laut, ribut hujan dan taufan yang menderam panjang.

Ya Allah sedarkanlah kami akan hakikat betapa bertuahnya kami menumpang di bahtera ini. Inilah organisasi kami, tempat kami berdayung, mengembangkan layar, membelah lautan perjuangan yang luas terbentang berpandu kepada mentari, bintang dan bulan Tuhan, mengharapkan angin agar bertiup sopan, Ya Allah dengan iman dan tawakal yang berkekalan kami pasti bertemu pelabuhan wawasan.

Ya Allah, demi bahtera pertiwi ini, satukanlah hati-hati kami, padukanlah tenaga dan segala janji, eratkanlah silaturahmi dalam kalangan kami agar kami tidak tersalah kemudi menongkah gelora ombak ke beting mati.

Ya Allah, kami hanya kelasi. Mohon diberkati kerja kami, usaha-usaha kami dan pengorbanan kami agar segala muatan, misi dan visi kami sampai ke destinasi buat masyarakat dan pertiwi.

Ya Allah demi bahtera madani ini, janganlah hendaknya kami khianati amanah yang diberi, Yang di atas mematah layar kemudi Yang di bawah menebuk geladak demi kepentingan peribadi dan amarah nafsu nafsi.

Ya Allah demi bahtera ini, berikanlah kekuatan untuk kami sentiasa melakukan muhasabah diri agar kami dapat mengamalkan budaya kerja yang ikhlas, jujur dan dedikasi demi memperkukuh integriti diri dan organisasi. Ya ilahi hanya kepadamu kami memohon simpati.

Ibnu Ahmad al-Kurauwi

Dideklamasikan untuk Tuhan, sempena perhimpunan bulanan DBP 28 Mac 2007

POHON JEJAWI KAMI

Ya Allah, sempena sambutan perayaan Jubli Emas yang diraikan
Izinkanlah kami bermuhasabah.
Merenung kembali organisasi kami yang lahir dari satu sejarah,
api dari satu zaman, obor perjuangan mendaulatkan bahasa dan kesusasteraan.

Ya Allah jadikanlah Dewan Bahasa ini seperti pohon jejawi yang tegak perkasa.
Akar tunjangnya adalah agama,
batangnya yang sepemeluk itu mengukuh budaya warisan bangsa,
dahan dan rantingnya menjunjung bahasa Melayu tercinta,
bunganya mengharumkan sastera,
dedaunnya yang merimbun bak naskhah penerbitan yang mencetak khazanah bangsa.

Ya Allah andai buahnya boleh dimakan,
pucuknya boleh dijadikan ulam,
kami akan kunyah demi meramukan ubat pahit buat anak cucu,
agar lidah mereka tidak kelu, bibir mereka tidak bisu,
tangan mereka tidak kaku dan lesu,
demi mempertahankan khazanah budaya, agama, bahasa, dan negara tercinta.

Ya Allah, pinjamkanlah semangat pohon jejawi itu untuk kami,
agar ia menjadi minyak yang membakar obor kebangsaan,
terus menyala membakar semangat rakyat, abadi dan keramat,
buat anak bangsa kami beroleh berkat dan syafaat.

Ibnu Ahmad al-Kurauwi
DBPKL
19 Jun 2006

 

YA ALLAH, POHONKU!

Ya Allah Ya Hannan Ya Mannan
Ya Allah betapa cintanya kami kepada organisasi ini. Inilah organisasi kami, Dewan Bahasa dan Pustaka, tempat kami berpijak.Organisasi yang lahir dari satu sejarah, api dari satu zaman, obor perjuangan tempat kami meminjam semangat karyawan ilmuan terbilang.Ya Allah sedarkanlah kami akan hakikat betapa bertuahnya kami menumpang teduh di sini.

Inilah organisasi kami, tempat kami berpayung. Inilah bahtera tempat kami berdayung. Bukankah ini pohon kami, tempat kami berlindung,..

Bukankah ini pohon perkasa yang akar tunjangnya adalah agama, batangnya yang sepemeluk itu mengukuh budaya warisan bangsa, dahan dan rantingnya menjunjung bahasa Melayu tercinta, bunganya mengharumkan sastera dan dedaunnya yang merimbun bak naskhah penerbitan yang mencetak khazanah bangsa.

Ya Allah janganlah engkau jadikan kami seperti anai-anai yang mereputkan pohon itu. Di luar kelihatan gagah, sedangkan hakikatnya menanti masa jatuh menyembah. Atau janganlah jadikan kami seperti lalang, disentuh miang, disentap luka tangan memegang, Adakalanya semak mata memandang, bahkan kadang-kadang mengikut arah angin ke kiri dan ke kanan tanpa pegangan.

Ya Allah demi Dewan Bahasa dan Pustaka,
Janganlah engkau mandulkan pohon ini. biarlah pohon ini membuahkan hasil untuk dimakan, Daun dan pucuknya menjadi ulam, buat meramukan ubat pahit untuk anak cucu kami agar lidah mereka tidak kelu, bibir mereka tidak bisu, tangan mereka tidak kaku mempertahankan khazanah budaya agama bahasa dan negara tercinta.

Ya Allah, demi DBP
berkatilah kerja kami, berkatilah usaha-usaha kami dan sumbangan kami dalam melaksanakan tanggungjawab kepada organisasi, masyarakat dan pertiwi. Janganlah hendaknya kami khianati amanah yang diberi,apatah lagi membelakangkannya demi kepentingan peribadi dan amarah nafsu nafsi.Demi DBP

Satukanlah hati-hati kami, eratkanlah silaturahim di kalangan kami. Padukanlah tenaga dan usaha kami. Berikanlah kekuatan untuk kami sentiasa melakukan muhasabah diri agar kami dapat mengamalkan budaya kerja yang ikhlas, jujur dan cekap demi memperkukuh integriti diri dan organisasi.

Ibnu Ahmad al-Kurauwi

Dideklamasikan untuk Tuhan, Isnin 12 Februari 2007

DOA DI PENGHUJUNG SYAWAL

Ya Allah, Tuhan yang memiliki siang dan malam,
Tuhan yang empunya sekalian alam
Sesungguhnya segala puji dan puja buat-Mu Ya zal jalali wal ikram
Selawat dan salam tanda kasih kami kepada Nabi Muhammad SAW
Nabi yang khatam yang telah mengeluarkan manusia daripada jahiliah yang kelam
Kepada suluhan cahaya iman yang tidak pernah padam padam.
Yang telah menyuluhi akhlak manusia dengan al-Quran
Demi tertegaknya keagungan agama Islam.

Ya Allah kami panjatkan doa harapan redailah sebuah pertemuan
Dalam Majlis Aidil Fitri, pada pagi yang indah nian,
Sebagai satu pertemuan yang dipenuhi dengan kegembiraan dan kesyukuran,
Diikat kuat oleh benang persaudaraan
Yang mesra lagi harmoni di bawah payung kasih-Mu Ya Rahman.

Ya Allah Ya Fattah Ya Alim,
Sebulan Ramadan penuh berkat kini Syawal datang membawa rahmat.
Apa yang kami hajat moga ibadat kami sempurna segala laku dan sifat,
Moga iman kami istiqamah lagi kuat,
Tidak mudah alpa, bahkan istiqamah segala kefardhuan yang wajib dan yang sunat.
Mohon ya Allah agar solat, zakat dan segala ibadat mohon diiringi syafaat
Segala dosa derhaka, umpat dan maksiat kami pohon sepenuh taubat.

Ya Allah, dalam usia 50 tahun Dewan Bahasa dan Pustaka,
Moga Ramadan kali ini melahirkan warga kerja yang berjiwa perkasa
Perjuangan kami yang serba getir dengan tinta dan mata pena,
Yang acuannya berteraskan penerbitan, bahasa dan juga sastera.

Ya Allah, di penguhujung Syawal ini,
Kurniailah kami kesabaran yang setia, kecekalan yang tiada dua.
Terutama dalam menghasilkan khazanah dan karya yang berguna,
Baik di peringkat nasional mahupun dunia,
Yang kesannya pasti membentuk insan berilmu beriman dan bertakwa,
Tetap menjaga martabat manusia,
Kukuh teguh terus terpelihara buat agama, bangsa dan negara.

Doa ini dibaca sempena Majlis Ramah Mesra Aidil Fitri DBP 10 November 2006 di Balai Budaya Tun Syed Nasir.

DOA DI LANGIT KE TUJUH


Allahumma Ya Hannan, Ya Mannan,
Ya Allah, Engkaulah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang,
Sempena Seminar Persuratan dan Peradaban Nasional 2006
Kami memohon agar diperkenankan impi cita, visi dan misi kami yang bukan kepalang,
Demi meletakkan bahasa Melayu ke persada cemerlang,
Demi mengangkat sastera Melayu ke singgahsana gemilang,
Dan akhirnya mampu memartabatkan tamadun dan budaya bangsa ke takhta terbilang.

Ya Shafi, Ya Kafi, Ya Muafi,
Berkatkanlah kerja kami, berkatkanlah usaha-usaha kami dan sumbangan kami demi kecemerlangan duniawi dan ukhrawi buat agama dan bangsa pertiwi.

Oleh itu ya Allah, satukanlah hati-hati kami, eratkanlah silaturahmi.
Padukanlah segala tenaga, usaha dan segala janji.
Suburkanlah minda kami dengan mata hati dan jiwa nurani
Agar ia berkembang dalam suasana yang harmoni,
Saling faham-memahami, saling hormat-menghormati.

Ya Allah, berikanlah kekuatan untuk kami sentiasa melakukan introspeksi,
Agar budaya kerja kami sentiasa ikhlas, suci lagi murni.
Jauh daripada segala sangsi, umpat dan caci,
bahkan dikasihi, tinggi dengan integriti diri.

Ya Allah, Ya Fattah Ya Alim
Kami memohon pada-Mu ilmu yang bermanfaat
Melalui kesungguhan dan usaha yang tiada kenal penat demi kemuliaan agama kami, bahasa dan sastera kami, negara dan ummah sejagat.
Moga yang kami perjuangkan duduk di singgahsana yang terhormat
di bawah lembayung rahmat, berkat dan inayat sepanjang hayat.

Ya Allah sesungguhnya yang ingin kami perjuangkan ialah kebenaran.
Andai tersalah pandang, andai tersalah simpang,
Di langit ketujuh kami pohon ke keampunan.
Ya Allah, kami menolak segala yang syak dan yang zan,
dengan segala tekad kami rungkaikan kekeliruan.
dan segala kekurangan dan kelemahan tidak pula kami berpeluk badan.

Akhirnya kami pohon moga pertemuan kami beroleh rahmat dan perpisahan kami beroleh syafaat jauh daripada laknat, fitnah dan umpat

Amin Ya Qadial hajat, Amin Ya Muqbilut taubat.

Ibnu Ahmad al-Kurauwi
Port Dickson 04-06082006

CATATAN DI WADI KHILAF

Catatan Sesudah Maulud

GADIS itu telah membuat satu pilihan yang amat sukar. Pilihan itu akhirnya menemukan mutiara iman membuahkan bahagia yang dicari-cari sekian lama. Gadis yang tidak pernah dikenali ketika menjadi wartawan di akhbar Sunday Express itu tiba-tiba gegak jadi bualan. Dunia gegau dan gagau. Wajahnya yang terselindung di sebalik kerudung hitam terpampang di muka hadapan akhbar utama hari itu; Tebusan di Fallujah memeluk Islam! Malam itu, seraut wajahnya yang bersih terpamer berkongsi kenangan di skrin televisyen dalam program Breakfast With Frost yang disiarkan oleh Perbadanan Penyiaran Britain. Rating tontonan rancangan itu mencalak naik, tertinggi dalam sejarah dunia penyiaran!

Catatan Sebelum Maulud

“Duumm! Dentuman kuat tiba-tiba menghentam dinding subuh di tengah kota Fallujah. Serentak itu gumpalan pasir dan batu kecil lebat memercik. Debu galak berterbangan dan kepul hitam menyondol gelap langit. Lidah api marak menjilat kereta kebal jenis Abrams dan sebuah kereta perisai Bradley setelah ia melambung lalu terperosok renyuk ke dalam longkang. Jerangkap samar itu bukan sahaja mengopak jentera perisai itu tetapi turut merabak tubuh mayat yang lengkap beruniform, tumbang bergelimpangan dengan hanyir darah terpalit ke dinding runtuhan bangunan yang sudah tidak berpenghuni itu. Zulmat kota Fallujah bagaikan lohong tengkolok jembalang dengan jalan dan lorong sunyi, gelap dan lengang menelan sebuah tragedi.

qqqqqDia satu-satu yang terselamat daripada pancungan pedang Izrail, mengaduh panjang menyeringai perit dan sakit. Peduli pada nyawa yang bersisa, gadis itu segera mengengsot mencari perlindungan. Dalam pucat dan gegar jantung yang bagai mahu terpecat itu dia menyumpah. Dia meraba seluruh jasadnya. Mujur beg sandang yang mengisi nyawanya itu masih terlekat di tubuh. Bisa jerangkap samar dari cerucuk jarum, paku dan kaca itu bagai menggerudi tubuh dan kakinya. Dia sudah berura-ura hendak melarikan diri tetapi cadangan bodoh itu cepat sahaja terpadam kerana bimbang lebih banyak jerangkap samar yang menunggu kakinya untuk dipecahkan. Dia diam menanti dua kemungkinan; pertolongan atau saat kematian yang bila-bila sahaja menerjah datang.

qqqqqDalam hanyir pagi diramu hangit oleh celaka itu, matanya liar memerhatikan kelibat musuh di sebalik rekahan dinding bangunan yang runtuh, bimbang ada musuh yang datang merusuh. Semakin lama memata-matai pandangannya jadi kabur, tubuhnya terkejur kebas. Dadanya mula sesak menghenyak kotak jantungnya. Alu sesal mula menumbuk ke lesung akal.
Dia mulai terbayang bagaimana nasib tubuhnya akan diganyang apabila jasad yang semakin lemah itu ditemui musuh. Untung, jika nyawanya di atas sabut, dia akan jadi mangsa si gerila yang akan dilanggan setiap inci tubuh badan. Jika nasibnya di atas untung batu, pasti dia akan tenggelam menjadi mangsa tebusan yang menanti saat kepala dipancung rancung pedang. Pandangannya berkunang-kunang dan telinganya bagai terbias suara takbir bersahut-sahutan. Ah, tidak, tolong …!, Dia tidak mahu mati di sini. Dia memaksa dirinya bangun namun tidak berdaya. Tubuhnya semakin lemah sedang suara jeritnya bagai terkanjal di kerongkong.

Catatan I

Aku menulis di bawah bilah matahari yang menerobos dari jendela kacanya yang kain percanya sudah rabak. Cahaya yang menempias masuk mewarnakan jasadku yang sudah berubah lapik baju. Baju dan seluarku yang rabak sudah bertukar jubah hitam berjahit bunga kasar di dada. Tubuh yang luka sudah berbalut kain perca putih, kejap. Ada tompok-tompok darah merah yang terserap sudah bertukar kehitaman. Entah berapa lama aku berada di sini, tidak kuingat. Tumpu akalku sudah tidak peka mencerap warna maklumat. Aku pun tidak tahu di ceruk mana aku disembunyikan. Mungkin masih di bandar Falujjah atau mungkin di ceruk pedalaman Samarra.

qqqqqKopi pekat, roti Baladi dan falafil yang masih panas turut terhidang di sisi. Aku diserbu kehairanan. Doktrin tawanan yang kuanuti sebelum ini jelas sekali bercanggah. Apakah benar layanan seorang tawanan seperti ini patut diterimanya. Dan gelodak lapar membantutkan arus fikirku dan menghilangkan sebu gusar yang bersarang. Apa yang terhidang dijamah lahap hatta racun sekali pun tidak kuhiraukan. Bunyi telapak kaki yang diseret kasar mematikan gelojohku. Takut yang menyerbu pembuluh darah mengocak tangkai jantungku tiba-tiba. Ngilu saat kepala dipancung pedang terasa hingga ke hujung roma. Aku pura-pura tidur sedang tekaknya tersendat gumpalan roti. Pintu yang dibuka bukan sahaja menghantar bunyi uzur tetapi terselinap suara-suara kecil yang dipuput angin masuk ke pendengaranku. Telingaku tiba-tiba berdesing mendengar satu suara yang menyergah.
“Bangunlah, saya tahu saudari sudah sedar.”

…………Gagal dengan lakonan, aku segera menyandarkan tulang belakangku dalam kepayahan metah. Wajahku pecah dalam pucat sambil cuba memandang sepenuh curiga lelaki yang berjubah putih dengan kerudung merah berikat igal di kepala.

“Jangan bimbang, kamu selamat di sini.” Senyumnya lebar. Graf ketakutanku segera turun memandang wajah tenang yang membias damai ke hati. Bayangan wajah dendam, bengis gerila, militan kejam langsung tidak terimbas, apatah lagi rupa bentuk mortar, bom roket, mesingan atau senjata ringan langsung tidak kelihatan.

qqqqqEntah mengapa melihat wajah lelaki itu bagai melihat bayang-bayang Salahuddin al-Ayyubi ketika masuk membawa keamanan ke Baitul Muqaddis. Akhlaknya terimbas watak Sultan Muhammad al-Fateh yang masuk menawan kota Contantinople tanpa tertumpah setitis darah. Tiada dendam kesumat apatah lagi dengki khianat. Aku seakan diyakinkan oleh garis-garis tenang di wajah mereka yang memberi keselamatan atas sebuah senyuman yang terukir. Persepsiku mula berubah 360 darjah di sini. Aku khilaf.

“Keamanan tanah airku tidak dijual di mana-mana di dunia ini. Jika tidak, saya telah lama membelinya. Setelah bumi dijarah, rumah, bandar dan Al-Andalus dimusnahkan. Kehidupan kami semakin ditindas. Anak-anak pula terpaksa tinggal di kem-kem pelarian di luar Fallujah ini. Mereka dinafikan hak untuk memiliki ummi dan walidnya disebabkan serakah bangsa kamu!” Ujar lelaki itu tiba-tiba. Lembut tetapi sakitnya bak selumbar.

qqqqqKalau kata-kata itu harapan, harapan itu memang tidak akan terpenuhi. Kalau ia luahan rasa kecewa, luka kecewa itu hari ini tentunya bertambah parah dan jadi makin untuk sukar diubati. Kekerasan tidak menyelesaikan sebarang masalah. Hatiku tiba-tiba menempelak, entah kepada diri atau entah kepada siapa. Bagai ada air sedih yang bertakung di tubir matanya. Hujung kerudung merah lelaki itu cuba mengempang air yang semakin memecah dengan sepenuh kasih. Ah, bagaimana aku boleh terpukau dengan gelagat yang beremosi itu!

“Berehatlah, anak-anak di luar itu lebih utama untuk didahulukan keperluan mereka!” Lelaki itu berlalu pergi, aku memejamkan mata melayan kekenyangan yang semakin memberatkan. Dan ketika pena kalamku bertingkah dengan kertas, di telingaku terlaung suara anak-anak kecil di luar bilik itu.

Catatan II

Lega, kerana masih dapat melihat sinar matahari menerobos lagi bilik gelap itu. Tubuh yang sudah bertenaga, luka yang sudah mula sembuh memungkinkan katih kumelangkah ke pintu yang sedia tidak berkunci itu. Pekikan suara kanak-kanak bermain di luar itu menyentuh nyaliku. Serta merta jasadku terangsang untuk turut serta. Aku keluar menghirup udara luar yang penuh cahayanya. Bilah cahaya segera hinggap ke retina sebaik pintu diselak. Kelopak mata kumemicing. Di atas tangga batu rumah kecil itu aku melihat sebaris khemah-khemah usang di sebuah wadi yang begitu nadir dan terpencil. Hangat tanah lapang yang berpasir dan berdebu tidak menghalang kanak-kanak kecil itu menghambat sebuah kegembiraan.

…………Kehadiranku yang bertenggek di mata tangga itu langsung tidak dipeduli. Namun sifat cakna kewanitaanku memudahkan aku mendapatkan beberapa seorang gadis kecil yang sedang duduk memerhati lama rakan-rakan yang lain bermain seakan tanpa kelopak mata.

“Siapa namamu, sayang?”
“Saya Rimah”
“Mengapa tidak bermain?”
“Saya cacat. Mata ini sudah lama kehilangan cahaya. Ia hilang bersama-sama kegembiraan yang pernah kami kecapi dahulu. Apa ertinya kegembiraan sedang seluruh keluarga saya maut disebabkan senjata kimia yang menghujani kampung halaman kami.” keluhnya tersendat segunung amarah di dada.

“Saya Umair.” Sapa seorang kanak-kanak tiba-tiba. Ada api di matanya.
“Mengapa tidak bermain bola bersama-sama rakan-rakanmu?”
“Saya takut. Setiap kali saya menendang, saya melihat kepala ayah yang bergolek itu. Saya mahu lekas dewasa supaya boleh memiliki sepucuk senapang dan mencari pembunuh ayah. Dan saya akan membunuh mereka kerana mereka membunuh ayah saya.”

…………Pegun telingaku mendengar jawapan itu. Khilaf semakin berpusar di saraf otakku. Perang bukan sahaja menyebabkan mereka melukut di negara sendiri tetapi merakusi segala-galanya yang ada di tangan mereka; kasih sayang keluarga, dan keamanan. Perang lebih mengenalkan mereka erti dendam daripada makna kasih sayang. Suara anak-anak mangsa perang itu berkumpul dalam cepu ingatannya mengimbau anak-anak kecil seusia adik-adiknya di kejauhan itu. Dia sedar betapa perang telah merampas nikmat secara total zaman kanak-kanak mereka.

“Saya mahu ke sekolah belajar seperti kanak-kanak lain. Perang memusnahkan sekolah dan rumah, dan mengusir kami dari tanah air sendiri.” Suara Umair yang tercetus dari derita itu mematangkan tumpu akalnya. Rimah yang ditemuinya itu juga cukup memahami pentingnya wahana ilmu pengetahuan masih melaungkan harapan.

“Biarlah mereka rakus menyedut telaga emas kami. Kami yang kecil ini akan segera mengorek telaga ilmu yang tidak pernah kering biar sebanyak mana kita menimbanya. Ah, orang yang tiada ilmu sama seperti keldai yang tidak tahu apa yang dipikulnya!” Di mata Rimah ada getar cahaya tetapi kalam di jarinya ada gementar.

qqqqqAku sangat mahu menulis tentang hal ini dalam catatanku; Entah berapa hari, di wadi ini, kisah gerila yang fanatik membunuh dan memaksa orang lain memeluk Islam di hujung pedang yang jadi anutan sejarawan adalah cerita yang paling tidak masuk akal! Di sini, terakam suara-suara kecil simpati tentang nilai kasih sayang dan kebersamaan. Di sini, terkandung mesej cinta, toleransi dan keamanan yang ada dalam Islam. Namun apa yang dirakamkan dalam catatan itu bukanlah hanya suara derita, ada suara harapan buat dunia luar. Jika nyawanya bersisa akan didedah segala yang benar di sini!

Catatan III

Subuh itu saat sinar matahari belum memanjat kaki langit, aku sudah berada di hujung wadi meninggalkan segala yang terkhilaf tentang bumi ini dan tentang Islam. Semuanya sudah terjawab. Mereka tidak memberi jawapan tetapi segala yang waham di bumi gersang ini terjawab dengan sendirinya. Semakin lama aku di sini terasa bagai dipeluk damai. Aku khilaf lagi. Khilaf sama ada untuk meninggalkan wadi ini atau kekal sahaja di sini.

“Kamu harus pulang. Seluruh dunia mencarimu. Tempatmu bukan di sini. Pulang dan nyatakan kebenaran!” Katanya bagai menelur jawapan. Dan mataku berlama-lama jatuh ke wajah lelaki dan anak-anak kecil yang mengiringiku di persimpangan itu.

“Ini hadiah untukmu dari Rimah. Kamu pasti memerlukan mukjizat ini akan menyokong segala kebenaran.” Gementar kumenyambut naskhah al-Quran itu. Dalam diam aku berjanji untuk mendalaminya.

Catatan Terkini

Dia gadis yang wajahnya terselindung di sebalik kerudung hitam terus mendapat perhatian pada hari kedua Forum Keamanan Sejagat Perdana 2005 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini. Dia, yang kini bertugas sebagai wartawan The Islamic Channel, United Kingdom menutup ucapannya.

“Kebenaran tidak boleh ditutup dengan Dolar. Ada wartawan kononnya melaporkan berita perang seolah-olah mereka berada dalam situasi sebenar tetapi hakikatnya mereka jauh berselindung di belakang tentera penceroboh dan hanya mampu melihat kepulan asap. Mereka menyogok berita demi memenuhi matlamat mereka dengan wang bukan dengan kebenaran. Syukur kepada Allah Taala yang menjunjung kebenaran dengan kalam Tuhan ini!” Dia menjulang naskhah al-Quran pemberian Rimah itu!

Cerpen ini tersiar di akhbar Utusan Melayu Mingguan 4 September 2006

APA KATA S.M. ZAKIR

 

Cerpen saya berjudul ‘Agresi di Genting Sakarat’ telah disiarkan oleh Majalah Tunas Cipta Jun 2006. Pada bulan Jun berikutnya S.M. Zakir dalam ruangan Analisis Cerpen telah mengulas cerpen ini dengan tajuk ‘Bahasa dan Alam Bawah Sedar’.

 
“Cerpen yang tersiar pada bulan Jun lepas, telah mempamerkan keperibadian bahasa yang sangat menarik. Cerpen ini telah memperlihatkan bukan sahaja penguasaan bahasa yang baik dan kemas tetapi juga keindahan bahasa yang unik, spontan dan asli serta memperlihatkan kehadiran unsur estetika yang cukup menarik. Beberapa contoh mungkin boleh diturunkan di sini,

‘… kelambu hitam yang berarak di perabung langit’, ‘… lambakan makhluk berbisa sedang berpesta menyedut serakah darahnya’, ‘… memanggang manusia teraniaya di atas bara kezaliman bagaikan terpalit hangit ke lohong hidungnya …’,Permainan bahasa ini menjadikan cerpen tersebut terasa kuat dan meyakinkan. Apatah lagi apabila ia diseimbangkan antara kekuatan cerita dengan pemikiran sepertimana yang dihasilkan oleh Ibnu Ahmad al-Kurauwi. Ibnu Ahmad dilihat mempunyai bakat penulisan yang besar hasil daripada kemantapan bahasa dan pemikiran yang tergarap dalam cerpennya.

Pergerakan alam bawah sedar disampaikan dengan baik oleh beliau. Bakat besar Ibnu Ahmad dapat dilihat dengan penguasaan bahasa dan kekuatan pemikirannya menghadirkan sebuah cerita tentang seorang watak yang bermonolog dengan pelbagai peristiwa masa lalunya. Watak tipa induk seorang pemimpin Yahudi digunakan untuk memperkatakan segala kekejaman dan kelicikan Zionis mencaing-caing bumi dan rakyat Palestin.

Cerpen ini sangat menarik sekali. Dari alam bawah sedar pemimpin penting Yahudi itu, pergerakan konspirasi Zionis didedahkan satu per satu secara halus dan tersirat.Mimpi adalah bahasa samaran yang menyembunyikan pemikiran dahulu, yang ditekan oleh sebab tertentu. Mimpi melalui lambang peribadi dan kolektif , telah menunjuk ke arah sesuatu yang belum dikenal, yang belum dikuasai dan belum dapat dikawal oleh ruang sedar. Ia menjadi petunjuk makna yang halus dan seni dalam menemukan jalan untuk mewujudkan diri dalam hidup peribadi si pemimpin dengan maksud supaya makna yang tersembunyi itu menjadi nyata dan wujud di dalam ruang sedar.

Cerpen ini mewujudkan alam bawah sedar atau mimpi si pemimpin Yahudi yang bergolak dengan pelbagai konspirasi jahat yang ditekan dan keluar ke ruang sedar. Ia akhirnya menjadi beban dosa yang berat dan mengganggu terus-menerus. Pada situasi akhir beban dosa itu tidak mampu dibendung lagi dan menolak untuk keluar mewujudkan diri dalam ruang sedar si pemimpin itu. Dengan erti kata lain, segala dosa dan kejahatan yang tersembunyi itu kini mengepung segala pemikiran dan ruang sedarnya – hadir dan mengacau-bilaukan seluruh pemikirannya. 

 Lambang peribadi dan kolektif perlakuan zalimnya dahulu menjadi tidak terkawal dan menjadi igauan ngeri yang menghancurkan. Si pemimpin kemudian digambarkan hanyut antara sempadan alam barzakh yang memperlihatkan hubungan balasan terhadap apa-apa yang dilakukannya sebelum ini. Cerpen ini berjaya memaparkan pergolakan bawah sedar dengan begitu baik dan dalam masa yang sama menonjolkan perancangan jahat dan kekejaman Zionis terhadap rakyat Palestin.”

 Terima kasih Saudara S.M. Zakir. Sebagai orang baharu dalam dunia sastera ini, saya sangat menghargai pandangan tersebut. Pujian melangit itu tidak akan membuatkan saya teruja. Insya-Allah akan menjadi azimat buat melahirkan karya yang hebat. – al-Kurauwi

APA KATA FAISAL TEHRANI

Cerpen saya berjudul ‘Hikayat Jerebu Pulau Jerubuk’ telah disiarkan oleh Majalah Dewan Sastera Mei 2006.

My Photo Berasaskan Teori Persuratan Baru yang dipelopori oleh Mohd Affandi Hassan, Faisal menulis.

“Pengarang menghantar mesej dakwah yang boleh ditemui dalam karyanya, bagaimana pegangan yang salah dan peminggiran ulama atau cendekia dalam pentadbiran negara mengakibatkan kemaksiatan.  Seyogia diingatkan dalam gagasan sastera Islam kelolaan Shahnon Ahmad, cerita menyampaikan makna dakwah, sementara Persuratan Baru hadir untuk melengkapkan gagasan sastera Islam Shahnon tersebut dengan menuntut supaya cerita diseimbangkan dengan ilmu. Tanpa ilmu, cerita hanya akan menjadikan fiksyen kosong semata-mata yang jatuh ke dalam kerangka konsep kreativiti yang dikemukakan Barat.

Mengambil contoh cerpen di atas (Hikayat Jerebu Pulau Jerubuk), pengarang cerpen ini kelihatan lebih terbawa-bawa untuk menampilkan kelainan melalui menerusi gaya bahasa, berbanding membincangkan secara mendalam persoalan ideologi asing yang telah menimpa masyarakat Pulau Jerubuk hingga diberi bala oleh Tuhan.

Al-Kurauwi misalnya boleh sahaja mengambil kesempatan untuk membincangkan pengukuhan doktrin tauhid dalam karya beliau. Cerpen ini hanya menyogokkan kemusnahan sebuah negeri yang pemerintahannya gagal mengikut arahan Allah. Lorong menuju lebuh raya kebaikan seperti firman Allah dalam surah al-Balad ayat: 10 tidak dibincangkan, sedangkan sumber ilmu, iaitu wahyu Allah atau al-Quran seperti yang terpampang pada ayat surah al-Balad atau “Negeri” ini boleh dikupas dengan begitu mendalam dalam cerpen tersebut.

Berdasarkan kriteria yang telah diletakkan oleh Persuratan Baru, cerpen ini hanya menampilkan cerita dan tidak memuatkan wacana atau analisis bersifat ilmiah yang penting dalam menggambarkan bagaimanakah pegangan asing dan gaya hidup luar boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan. Pengarang tidak mengambil peluang menampilkan perbincangan secara ilmiah menerusi ceritanya. Tanpa sebarang hujah dan perbincangan yang bersifat ilmu seperti yang dituntut oleh Persurata Baru, cerpen ini hanya menghidangkan cerita dan tidak menyediakan pembaca apa-apa peningkatan dari segi ilmu.”

Apa pun, terima kasih Faisal. Sebagai orang baharu dalam dunia sastera ini, saya mengahargai pandangan tersebut. Cuba dengar apa pesan terakhir beliau.

 “Bagaimanapun cerpen ini jika diuji dengan pendekatan yang berbeza barangkali sahaja akan menghasilkan perspektif yang lain!”

Laman Berikutnya »


 

Mac 2007
I S R K J S A
    Apr »
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031  

BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2009

BBK

KARYA TERKINI

CERPEN DI MINGGUAN MALAYSIA
OKTOBER 2009
Kemuncup 2

"KEMUNCUP Di Atas Padang" cerita tentang rintih alam kepada anak-anak gempa yang melanda bumi Padang, Sumatera Indonesia. Cerita tentang Epa Poho yang dipujuk oleh Zahara Talua saat menemui anak yang luka dan duka bersalut lumpur derita. Cerita tentang tanah leluhur kita yang imannya belum teruji sepenuhnya. Makmur diuji nikmat aman hingga hidup bagai tidak bertuhan.

CERPEN DI DEWAN SASTERA
OKTOBER 2009
DDKT

“Al-Qadar Buat Angkasawan Di Bumi” pernah tersiar di Akhbar Mingguan Malaysia, Syawal 2007. Kali ini, cerpen ini diberi penghargaan ke persada MASTERA yang disiarkan dalam Majalah Dewan Sastera (Malaysia), Majalah Horison (Indonesia) dan Majalah Bahana (Brunei). Cerpen ala fiksyen sains angkasa ini terilham daripada kisah dua angkasawan negara Dr. Syeikh Muzaphar dan Dr. Faiz Khaleed.

CERPEN DI BERITA HARIAN
FEBRUARI 2009
dia-lelaki

"Dia, Lelaki yang Baru Saya Salam Itu" terilham berasaskan semangat untuk memboikot produk Amerika lewat perang Gaza, Palestin - Israel. Ideanya timbul usai solat Jumaat di Masjid Hukama’, DBP. Hari tersebut turut disempurnakan dengan Khutbah tentang Gaza beriring Qunut Nazilah dan solat hajat. Dalam khutbah saya menyentuh tentang boikot barangan Amerika termasuk rokok seperti Marlboro atau Benson & Hedges. Semangat boikot saya nampak di mata jemaah yang tidak tidur!

INSYIRAH

insyirah2 Sesungguhnya Novel "Insyirah" ialah novel kedua yang telah lahir daripada rahim Sayembara Mengarang Novel Kanak-kanak dan Remaja 2007 - Dewan Bahasa dan Pustaka. Novel ini telah memenangi hadiah pertama dalam sayembara tersebut. - al-Kurauwi

DI DADANYA KALAM TUHAN

ddkt-blog Sesungguhnya, tidak sampai lima tahun selepas menyertai bengkel penulisan cerpen anjuran KEPEZI (Kelab Penulis Zaharah Nawawi) awal September 2004 Ibnu Ahmad al-Kurauwi sudah mampu menghasilkan 20 cerpen yang melayakkannya memiliki kumpulan Di Dadanya Kalam Tuhan. Hal begini diperakui jarang terjadi. Namun bagi penulis muda pemegang ijazah Kesusasteraan Arab dari Jordan ini tiada perkara mustahil. Ke bulan pun manusia boleh jejak, inikan pula sekadar melahirkan sebuah kumpulan cerpen dalam waktu yang relatif singkat. – Zaharah Nawawi USJ Subang Jaya 9 Mac 2009

TINTA ELIPSIS

Novel TE bergerak sekitar gejolak rasa dan jalanan minda watak Amir Afif Amizul, anak peneroka FELDA, yang berpeluang menekuni bahasa Arab dan Pengajian Islam di Universiti Jordan. Amir Afif mempunyai sedikit sebanyak pengalaman dalam bidang penerbitan (TE: 25/7), iaitu selain pengalamannya sebagai konsultan yang ditimbanya selama lima tahun bertugas dengan Syarikat Amal Profesional Sdn. Bhd. (TE: 28) Amir Afif berhadapan dengan beberapa masalah yang wajar diatasinya sebijak mungkin. - Dr. Anis

TINTA SAPA

ibnuahmadalkurauwi pada MAHU JADI PENYAIR
edolah pada MAHU JADI PENYAIR
al-Kurauwi pada BAHASA MELAYU VS BAHASA M…
Katakanlah pada BAHASA MELAYU VS BAHASA M…
ibnuahmadalkurauwi pada ANTOLOGI CERPEN JAWI

TETAMU

  • 64,884 hits

RSS Saifulislam.Com

  • Nostalgia Tanah Suci 27 November 2009
    Ibadah Haji itu penuh simbolik. Merenung dan mencari maksud di sebalik ibadah Haji, memerlukan manusia mencelikkan mata hati serta melihat apa yang tersirat di sebalik yang tersurat. Ada cerita di sebalik setiap satu perbuatan. Ada hikmah di sebalik setiap satu tindakan. Haji mencelikkan mata hati agar manusia pergi jauh meninggalkan apa yang sekadar terliha […]

RSS Faisal Tehrani

  • Selamat Hari Raya Korban 26 November 2009
    Setahun sudah berlalu saat saya berada di padang Arafah, menunggu subuh di Mudzalifah, berjalan bersama teman-teman dari Iraq ke Mina dan pulang ke Mekah sambil menahan sengal otot dengan rasa bak 'patah pinggang' lantaran banyak berjalan. Rindu kepada Baitullah dan keasyikan haji amat menggelora dalam hati.Selamat hari raya korban. Paling tidak in […]

RSS Nisah Haron Online

  • SAKM - X : Sastera Rentas Ilmu 17 November 2009
    Insya-Allah, saya akan membentangkan kertas kerja (kertas catatan, sebenarnya) di dalam Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu ke-10 di UKM pada 19 November.Seminar dijadualkan berlangsung selama dua hari : 18 - 19 November 2009 di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM.Jadual sudah saya lampirkan di dalam entri terdahulu. Sila rujuk entri sebelum ini […]

RSS Serunai Faqir

  • Warisan Melayu - Gendang Silat 6 November 2009
    Upacara Penganugerahan Sandang Silat Gayong yang disempurnakan oleh Y.A.M Tengku Datuk Seri Tengku Ahmad Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah berlansung di Kuala Lumpur International Hotel pada 25 Oktober yang lalu. Kumpulan kami dijemput mengiringi majlis.

RSS BECKyilHAM

  • Karya Berwacana Yang Disisip Elemen Cinta dan Karya Berbumbu Cinta Yang Disendal Ilmu Bantu 22 November 2009
    Saya pernah (baca: masih) tersinggung dengan pertanyaan seorang penulis sebaya usia dalam arena penulisan apabila dia bersungguh mendapatkan kepastian tentang sebuah cerpen saya. Tanyanya begini:"Akhirnya, cerpen itu cerpen cinta jua bukan? Kerana di hujung cerita T membawa J bertemu kedua ibu bapanya."Kepastian itu dipinta di hadapan beberapa tema […]

RSS Coretan Perjalanan ZulDeanz

  • Segala-galanya Sudah Berubah 11 November 2009
    Dua minggu lalu, penulis telah menghadiri satu majlis perkahwinan seorang rakan di Banting, Selangor. Entah kenapa secara tiba-tiba sahaja penulis terkenangkan kembali memori indah semasa di sekolah menengah dahulu. Secara kebetulan rumah pengantin berhampiran dengan sekolah, tempat penulis pernah belajar dahulu, penulispun mengambil kesempatan berkunjung da […]

Flickr Photos

Eid mubarak :)

More Photos