Arkib untuk 23 Mac 2007

APA KATA S.M. ZAKIR

 

Cerpen saya berjudul ‘Agresi di Genting Sakarat’ telah disiarkan oleh Majalah Tunas Cipta Jun 2006. Pada bulan Jun berikutnya S.M. Zakir dalam ruangan Analisis Cerpen telah mengulas cerpen ini dengan tajuk ‘Bahasa dan Alam Bawah Sedar’.

 
“Cerpen yang tersiar pada bulan Jun lepas, telah mempamerkan keperibadian bahasa yang sangat menarik. Cerpen ini telah memperlihatkan bukan sahaja penguasaan bahasa yang baik dan kemas tetapi juga keindahan bahasa yang unik, spontan dan asli serta memperlihatkan kehadiran unsur estetika yang cukup menarik. Beberapa contoh mungkin boleh diturunkan di sini,

‘… kelambu hitam yang berarak di perabung langit’, ‘… lambakan makhluk berbisa sedang berpesta menyedut serakah darahnya’, ‘… memanggang manusia teraniaya di atas bara kezaliman bagaikan terpalit hangit ke lohong hidungnya …’,Permainan bahasa ini menjadikan cerpen tersebut terasa kuat dan meyakinkan. Apatah lagi apabila ia diseimbangkan antara kekuatan cerita dengan pemikiran sepertimana yang dihasilkan oleh Ibnu Ahmad al-Kurauwi. Ibnu Ahmad dilihat mempunyai bakat penulisan yang besar hasil daripada kemantapan bahasa dan pemikiran yang tergarap dalam cerpennya.

Pergerakan alam bawah sedar disampaikan dengan baik oleh beliau. Bakat besar Ibnu Ahmad dapat dilihat dengan penguasaan bahasa dan kekuatan pemikirannya menghadirkan sebuah cerita tentang seorang watak yang bermonolog dengan pelbagai peristiwa masa lalunya. Watak tipa induk seorang pemimpin Yahudi digunakan untuk memperkatakan segala kekejaman dan kelicikan Zionis mencaing-caing bumi dan rakyat Palestin.

Cerpen ini sangat menarik sekali. Dari alam bawah sedar pemimpin penting Yahudi itu, pergerakan konspirasi Zionis didedahkan satu per satu secara halus dan tersirat.Mimpi adalah bahasa samaran yang menyembunyikan pemikiran dahulu, yang ditekan oleh sebab tertentu. Mimpi melalui lambang peribadi dan kolektif , telah menunjuk ke arah sesuatu yang belum dikenal, yang belum dikuasai dan belum dapat dikawal oleh ruang sedar. Ia menjadi petunjuk makna yang halus dan seni dalam menemukan jalan untuk mewujudkan diri dalam hidup peribadi si pemimpin dengan maksud supaya makna yang tersembunyi itu menjadi nyata dan wujud di dalam ruang sedar.

Cerpen ini mewujudkan alam bawah sedar atau mimpi si pemimpin Yahudi yang bergolak dengan pelbagai konspirasi jahat yang ditekan dan keluar ke ruang sedar. Ia akhirnya menjadi beban dosa yang berat dan mengganggu terus-menerus. Pada situasi akhir beban dosa itu tidak mampu dibendung lagi dan menolak untuk keluar mewujudkan diri dalam ruang sedar si pemimpin itu. Dengan erti kata lain, segala dosa dan kejahatan yang tersembunyi itu kini mengepung segala pemikiran dan ruang sedarnya – hadir dan mengacau-bilaukan seluruh pemikirannya. 

 Lambang peribadi dan kolektif perlakuan zalimnya dahulu menjadi tidak terkawal dan menjadi igauan ngeri yang menghancurkan. Si pemimpin kemudian digambarkan hanyut antara sempadan alam barzakh yang memperlihatkan hubungan balasan terhadap apa-apa yang dilakukannya sebelum ini. Cerpen ini berjaya memaparkan pergolakan bawah sedar dengan begitu baik dan dalam masa yang sama menonjolkan perancangan jahat dan kekejaman Zionis terhadap rakyat Palestin.”

 Terima kasih Saudara S.M. Zakir. Sebagai orang baharu dalam dunia sastera ini, saya sangat menghargai pandangan tersebut. Pujian melangit itu tidak akan membuatkan saya teruja. Insya-Allah akan menjadi azimat buat melahirkan karya yang hebat. – al-Kurauwi

APA KATA FAISAL TEHRANI

Cerpen saya berjudul ‘Hikayat Jerebu Pulau Jerubuk’ telah disiarkan oleh Majalah Dewan Sastera Mei 2006.

My Photo Berasaskan Teori Persuratan Baru yang dipelopori oleh Mohd Affandi Hassan, Faisal menulis.

“Pengarang menghantar mesej dakwah yang boleh ditemui dalam karyanya, bagaimana pegangan yang salah dan peminggiran ulama atau cendekia dalam pentadbiran negara mengakibatkan kemaksiatan.  Seyogia diingatkan dalam gagasan sastera Islam kelolaan Shahnon Ahmad, cerita menyampaikan makna dakwah, sementara Persuratan Baru hadir untuk melengkapkan gagasan sastera Islam Shahnon tersebut dengan menuntut supaya cerita diseimbangkan dengan ilmu. Tanpa ilmu, cerita hanya akan menjadikan fiksyen kosong semata-mata yang jatuh ke dalam kerangka konsep kreativiti yang dikemukakan Barat.

Mengambil contoh cerpen di atas (Hikayat Jerebu Pulau Jerubuk), pengarang cerpen ini kelihatan lebih terbawa-bawa untuk menampilkan kelainan melalui menerusi gaya bahasa, berbanding membincangkan secara mendalam persoalan ideologi asing yang telah menimpa masyarakat Pulau Jerubuk hingga diberi bala oleh Tuhan.

Al-Kurauwi misalnya boleh sahaja mengambil kesempatan untuk membincangkan pengukuhan doktrin tauhid dalam karya beliau. Cerpen ini hanya menyogokkan kemusnahan sebuah negeri yang pemerintahannya gagal mengikut arahan Allah. Lorong menuju lebuh raya kebaikan seperti firman Allah dalam surah al-Balad ayat: 10 tidak dibincangkan, sedangkan sumber ilmu, iaitu wahyu Allah atau al-Quran seperti yang terpampang pada ayat surah al-Balad atau “Negeri” ini boleh dikupas dengan begitu mendalam dalam cerpen tersebut.

Berdasarkan kriteria yang telah diletakkan oleh Persuratan Baru, cerpen ini hanya menampilkan cerita dan tidak memuatkan wacana atau analisis bersifat ilmiah yang penting dalam menggambarkan bagaimanakah pegangan asing dan gaya hidup luar boleh meruntuhkan institusi kekeluargaan. Pengarang tidak mengambil peluang menampilkan perbincangan secara ilmiah menerusi ceritanya. Tanpa sebarang hujah dan perbincangan yang bersifat ilmu seperti yang dituntut oleh Persurata Baru, cerpen ini hanya menghidangkan cerita dan tidak menyediakan pembaca apa-apa peningkatan dari segi ilmu.”

Apa pun, terima kasih Faisal. Sebagai orang baharu dalam dunia sastera ini, saya mengahargai pandangan tersebut. Cuba dengar apa pesan terakhir beliau.

 “Bagaimanapun cerpen ini jika diuji dengan pendekatan yang berbeza barangkali sahaja akan menghasilkan perspektif yang lain!”

HIKAYAT JEREBU PULAU JERUBUK

TERSEBUT alkisah akan sebuah pulau berjarak masa seratus tahun yang lampau disebut orang Pulau Jerubuk. Kata yang empunya ceritera, duduk letak ia di kepulauan bawah angin pada garis lintang 0 darjah di atas garis al-Istiwa, seratus batu jaraknya ke utara Pulau Serambi Mekah yang masyhur itu.

Sesungguhnya yang baik-baik selalu dibawa mulut orang yang pernah datang bertandang datang ke pulau itu. Apa tidaknya, gabungan gunung-ganang yang memegang pulau, hutan belantara yang redup menghijau sehinggalah ke lembah dan pesisir pantai. Semuanya bagai terlorek indah di atas kanvas dalam bingkai ciptaan Allah yang memukau mata yang memandang. Sekali-sekala hujan menyimbah bumi bertuah memalit kabus putih di kening gegunungan. Makmur dan subur. Tiada bah, tiada musibah yang memalit resah hatta senang dikunjungi wangkang dan para pedagang yang datang.

Berjiran dengan Pulau Jerubuk, sebuah pulau yang dahulunya disebut orang Pulau Kelabuk. Berbanding Pulau Jerubuk, pulau ini tersangatlah mundurnya, apa tidaknya jajahan kepulauannya besar, marhaennya terbiar sehingga tidak tertanggung akan si penguasanya. Hasil utamanya hanyalah bercucuk tanam, sekadar bertani menumpang tuah sawah; rezeki secupak mahu jadi segantang sedang bumi subur tetapi sekadar ditumbuhi semak, belukar dan lalang, hanya menjadi tempat tidur dan sepak terajang si cempiang. Tersepit dengan rezeki sedikit, ramai marhaen berhijrah meranduk rezeki di Pulau Jerubuk yang rezekinya melimpah ruah berkat si penguasa yang bijak memerintah.

Oleh sebab kedua-dua pulau ini dahulunya setanah sejantung, serumpun bahasa dan bangsa, namun bumi yang tergantung berubah bergerak semakin terjarak dek fitrah sunnatullah. Pernah berkata si cendekia penghuni Pulau Jerubuk; tuan utama yang menjadi pakar rujuk; bumi ini asalnya segumpal tanah leluhur seperti genggaman bayi yang terkujur lahir. Maka apabila usia bertambah, masa semakin bertemu titik noktah, genggamannya juga semakin menengadah. Akhirnya bumi yang tua sudahlah rekah, terpisah pula mengikut jajah dan wilayah.

Syahadan Pulau Jerubuk bertambah tersohor disebut orang dek bijak pandai penguasa dan para wedana mengurus mandala di samping berkat tunjuk dan bimbing si cendekia yang tidak pernah lupa walau janggut sudah putih panjang pula sedepa. Pulau yang berasaskan tani bertukar wajah menjadi pulau sehenti menjemput kapal singgah membawa herba, wangian dan juga rempah berlabuh di dermaga memunggah lenguh dan lelah sebelum menunggu angin mudik berdagang pula ke Temasik dan Melaka.

Pulau Jerubuk yang aman damai dipeluk makmur terus berkembang dengan pesat lagi luhur. Bak kata pepatah, tidak menimbun tanah yang tinggi, tidak menggali tanah yang lekuk. Walaupun pulaunya kecil, jiwa yang besar, sepakat membangun mamlakat. Berserah kepada Allah tiada alpa menjunjung Risalah malah bertambah-tambah berkat pula dek berpusatkan daulah kepada pemerintah khalifah.

Kemakmurannya diriwayatkan oleh sahibulhikayat, telah tersohor seantero buana, sehingga ditafsir oleh perawi; yang berlayar dari timur membawa makmur yang menyongsong dari barat membawa berkat. Subur harta dan juga agama kerana lama terkejur dek bertuhan kepada tahyul dan tunggul akhirnya ke hadrat Allah jua segala tunduk dan akur. Segalanya berkat dakwah si cendekia, berbekal Risalah menjunjung amanah. Pernah si cendekia yang masyhur itu ditanya wedana apakah ada umpan penunduk kata. Si cendekia yang memetik kalam sabda berkata, bahawa agama itu di atas jemala penguasa jua.

Suku abad lamanya segala yang direncana molek laksana, sampai serunya tetap diuji oleh Yang Esa. Seyogia telah dipesan si cendekia yang ilmuwan; iman itu laksana lingkaran butir tasbih. Setiap kali digentel ia bertambah, lagi lama dipegang makin ia berkurang. Maka insan yang beriman mahu diuji Tuhan sarwa alam; apakah bersyukur dengan nikmat Tuhan atau kufur terlanjur membelakang perintah dan larangan.

Maka tersurat di loh Tuhan akan suatu hari datang petualang berambut perang tetapi hati hitam bagai dipalit arang. Datangnya sudah ditilik si cendekia yang telinganya panjang, firasatnya tajam kerana telah sampai maklum akan wilayah khalifah sudah hampir tumbang di jerkah petualang kerana yang berbaju jubah rupa-rupanya musang berbulu ayam. Si nakhoda merangkap kepala dagang bermata biru lagi fasih berbahasa itu menghadap ke bawah si penguasa menawar diri berkongsi kerjasama yang kononnya bijak merencana, berilmu, lagi pintar bermain kata.

“Yang mulia penguasa, nawaitu hamba sekadar mahu memanjang saudara sambil berdagang, menawar laba dunia dari kepulauan atas angin yang tiada panas melainkan dingin,” ungkapnya berbahasa.

“Apa gerangan barang yang mahu didagang. Apa laba yang mahu dijaja?” tanya wedana bernada istifham, memohon faham.

“Mahukah penguasa dan wedana yang bestari mengatur kehidupan terpuji yang asal pulau bertani menanam ubi dan padi kepada dunia lestari paku dan besi agar dapat berdiri sama tinggi, tegak bergerak seiring dengan pulau hamba di pulau atas angin …”

“Apa yang lestari, apa yang terpuji. Bukankah Allah sahaja yang selayaknya dipuji. Apa, tidak cukupkah harta dunia ini yang kamu cari, hatta pulau yang sekecil ini mahu dikhianati,” tingkah si cendekia bernada keji tiba-tiba, namun masih mengawal hati.

Dipendekkan kalam, segala nasihat dan tegur si cendekia tiada mahu mereka undur, apatah lagi melihat si penguasa dan para wedana bagai membujur segala izin, diam segala tutur, sekali-sekali mengangguk-angguk bak burung tekukur dipetik jari tuannya. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, si nakhoda segera menyambung pujuk penuh bermadah.

“Nah, hamba tidak mahu memanjang bicara apatah lagi mencetus khilaf. Inilah produk tinggi ciptaan tamadun kami,” ujarnya menyeringai sambil mengeluarkan barang dagang dalam khanah bercat emas kerajang.

Adapun kata yang empunya cerita, dalam khanah bercat emas kerajang itu tersimpan makhluk bernama Ortas. Pernah berpesan si cendekia kepada segala jelata Pulau Jerubuk agar berhati-hati, bahawa Ortas ini asalnya jin bermata satu, bertelinga tepu dan bermulut sengkarut. Telinganya leper bak kuali, kerjanya menangkap gelombang di pucuk yang tinggi. Matanya bak layar putih melebar, kerjanya hanya mempamerkan gambar dan juga menyiarkan khabar tiada henti 24 jam berdegar degur dengan libur dan hibur. Mulutnya panjang bak galah. Di tengahnya tegak terjelir lidah bak ketagih samsu, kerjanya hanya mendendangkan bunyi dan lagu yang disedut oleh telinga leper itu walau isyaratnya jauh berbatu-batu.

Berbalik semula kisah mereka, maka teruja penguasa dan para wedana melihat barang yang tiada pernah tersaksi akan rupa, kononnya hanya diternak di pulau atas angin tempatnya. Apabila dijana barang yang digelar Ortas itu, maka terpancar, terlaunglah segala dikir memuja memuji akan nafsu, juga kisah hikayat Awang telanjang, Mak Yong lenggang gerudi dan hikayat-hikayat yang tidak pernah di dengar dek telinga dan terkedang mata memandang. Para wedana dan penguasa teruja tanpa kata-kata.

“Inilah Ortas, barang dagang dari pulau atas angin yang sudah terbilang itu,” ujar petualang bermata jalang, bangga sambil mengusap jambang. Maka penguasa yang ditelanjangi iman mula dirasuk syaitan lalu tanpa usul periksa, tanpa mempedulikan pengaruh dan adab dan sopan, angguk memperkenankan permintaan. Lalu bertanyakan upah dan tawaran, maka segera dijawab hubaya penjarah.

“Harganya tiada mahal sebidang tanah jua sebagai galang gantinya. Barang diingat, Ortas ini hendaklah dipasang di setiap ceruk perabung rumah, dengan itu gelombangnya akan mudah masuk ke setiap teratak agar marhaen boleh belajar dan melihat adab dan santun pulau atas angin.”

Sesungguhnya adapun maksiat itu menutup pintu makrifat. Pernah juga si cendekia berpesan iman itu sehalus rambut, gentingnya menanti putus diragut, kerana itu si penguasa mudah dikaburi nafsu kelakunya gelabah akalnya khilaf melulu. Wedana yang takjub mengejar kemajuan, rapuh segala pegangan. Tiada peduli tanah sekangkang seorang, lalu terpukau serapah si kelembai petualang.

Yang menjadi mangsa marhaen sepulau terpalit virus Ortas hingga tunduk bertuhan kepada kejalangan ‘adab’ dan ‘santun’ pulau atas angin hingga terkesan menjadi barang pakaian harian. Seisi rumah dari ceruk kampung dan desa hanya mahu hiburan. Kesannya sangat kuat kata perawi hikayat; si isteri tiada lagi hormat pada suami, si suami sudah berani menyundal di belakang isteri. Keluarga runtuh, anak-anak yang terasuh daripada buai dan dodoi Otras hanya menuntun kepada kehendak nafsu.

Walang menumpang di wajah cendekia mengenang iman senipis bawang yang kelupasan. Si cendekia yang melihat ombak dosa tiada upaya menahan debur bahana. Habis upaya dan ikhtiar segenap tenaga. Virusnya meruntuh iman sepulau, buruknya sukar dihalau. Ahli keluarga, rakan dan taulan yang cuba bertahan ditekan dan dipulau. Virus hedonisme tiada lagi vaksin penyembuhnya kerana membelakangkan nasihat dan amaran si cendekia. Pernah dipesan si cendekia; sebaik-baik jin sejahat-jahat manusia namun kepada si penguasa dan para wedana tiada mereka peduli lagi akan kalam mutiara.

Dipendekkan ceritera, di puncak gunung, di tengah-tengah Pulau Kelabuk bercabang tiga itu si cendekia lari berkhalwat memohon syafaat dan hidayat. Akhirnya dilorongkan jalan dan panduan. Suatu malam si cendekia bermimpi berkali-kali setiap hari. Dalam mimpinya, kabus putih melingkari jasad ibarat ular melilit batang. Maka si cendekia cepat mentakwilkan mimpi yang datang, lalu segera pulang memerintahkan keluarga, saudara-mara, rakan taulan seiman agar berhijrah ke Pulau Kelabuk berpindah tanah, berhijrah memakmurkan bumi Allah yang tidak terpalit segala yang murka dan amarah.

Benar seperti titah Tuhan dalam kitab junjungan, andai beriman seluruh ahli pulau, maka pasti akan Tuhan buka keberkatan dari langit berkilau-kilau. Maka pulau yang dahulunya dipenuhi belukar dan hutan zulmat, makmur di bawah lembayung berkat, dihujani limpah rahmat dari tujuh petala langit dan tujuh petala bumi melimpah ruah menaungi Pulau Kelabuk. Rezeki bukan lagi secupak tidak juga segantang. Segalanya berkat kurnia Tuhan, lalu berpesan cendekia kepada penguasa empunya pulau kerana mahu ditukar nama daripada Pulau Kelabuk kepada Pulau Daik. Penguasa Pulau Kelabuk yang beriman cepat faham kerana nama yang baik jadi benteng daripada yang buruk-buruk. Kebetulan makna daik itu nama yang molek-molek juga.

Berbalik kepada Pulau Jerubuk, maka khabar petanda orang salih itu tiadalah dusta melainkan benar-benar belaka. Sepurnama meninggalkan Pulau Jerubuk, petaka juga yang datang menyapa. Bukan sahaja setitis hujan, awan redup pun tidak lagi mahu berhenti mengawan. Angin panas mengipas-ngipas penghuni yang mula bergalau seluruh pulau yang bahangnya bagai terpeluwap daripada perut pulau. Malah banjaran gunung yang lama diam, tanpa siapa yang dapat menjangka, memuntahkan asap yang tiada warna ceria, berkepul-kepul menjulang ke langit mencemar alam. Bumi yang dahulunya hijau tenggelam dalam jerebu kelabu, sekelabu warna jerebu. Menurut setengah-setengah hikayat, Pulau Jerubuk itu rupanya tidak tumpah seperti sumbu dian, ketika apinya membiru, sinarnya menyala menyuluhi alam. Kemudian tiba-tiba berjelaga hitam kerana tiada dijagai dek tiup angin yang keras datang dan minyak yang membakar sumbu dian sudah kering kontang.

Penguasa dan para wedana serta seluruh marhaen terkedang dalam sumbang kerana Ortas yang ditatang tak mampu lagi menyumbang jalangnya. Bukan hidung sahaja yang senak dengan asap, yang memandang pun sudah tidak nampak bayang malah seribu satu macam penyakit seperti hawar turut menggigit indera makhluk sepulau. Si penjarah lari tak cukup tanah namun yang tinggal, tiada akal yang mahu berfikir di sebalik hikmah kerana terdangkal dek maksiat. Gelisah mereka tiada sudah. Segala ikhtiar belum ketemu penawar.

Pengajaran bagi yang beriman, penyuluh segala jala di hadapan. Dari kejauhan Pulau Daik itu si cendekia menadah tangan syukur kerana doanya makbul. Akhirnya, hikmah jerubu kelabu itu menghalang Ortas daripada berfungsi menyedut gelombang yang berlingkar panjang memeluk ceruk pulau. Ortas, kejang di atas perabung. Iman penghuninya terlompang dalam hati hitam.

Di akhir hikayat, si penguasa Pulau Jerubuk hilang kudrat, lumpuh segala keringat dan urat. Kata setengah riwayat, menyesal sepanjang hayat tidak ikut kalam dan nasihat. Akhir usianya dikatakan mati beragan asyik terkenang budi si cendekia pagi petang malam dan siang. Sebelum matinya, kata setengah riwayat yang lain, si penguasa telah menukar nama Pulau Jerubuk kepada Pulau Pandan, mengharap bala Jerebu bertemu titik akhiran, mohon diketemu akan lenanya semula, namun perawi yang mengendong hikayat berkhilaf menentukan benarnya. Entah benar atau tidak, kata si empunya hikayat, ada suku sakat yang terjumpa catatan hibanya di atas batu bersurat bertulis Jawi dengan skrip tulisan Kawi daripada prasasti pantun Melayu yang masyhur itu. Katanya;

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

Cerpen ini tersiar dalam Majalah Dewan Sastera Mei 2006

AGRESI DI GENTING SAKARAT

HOSPITAL HADASSAH EIN-KEREM, di tengah Baitul Maqdis itu lenjum disimbah hujan pagi. Lebatnya masih belum sidang-sidang. Dingin bagai terkepung dek kelambu hitam di perabung langit. Sejuknya di luar mencucuk, tetapi hangat di dalam wad ICU itu dirasakannya membahang bagai dicelur dalam ketuhar. Terasa skala Celsiusnya pada takat suhu didih. Bagai luluh setiap inci kulit tubuhnya yang berselirat dengan wayar penyambung sisa nyawa pelbagai warna itu. Melihat segala macam alat sokongan itu dia jadi mual. Seakan lambakan makhluk berbisa sedang berpesta menyedut serakah darahnya.

Ah, celaka! Tolong, jangan, aduh, sakit! jeritnya jahar menghamun lagi. Malangnya, suara itu tiada bersambut. Apakah disebabkan ia tenggelam dek hingar-bingar jerit-perit mesin penyambung hayat dan perakam rima jantung itu, atau kerana lidahnya memendek tertarik ke dalam menyebabkan jerit suaranya itu terkanjal di lohong tenggorok. Dia tidak tahu. Yang dia tahu, 99 hari lalu dia gering. Koma di genting sakarat. Benang nazak tegang memegang kepala nyawa. Ke kiri, ke kanan sedang berdenting menanti saat putus.

Hari yang ke-100 ini, dia menyumpah lagi dengan zikir carut dan ratib karut. Apa tidaknya, sebentar nanti, pastilah satu persatu tangan-tangan para doktor yang kononnya pakar itu mahu merobek seluruh jasadnya; Tempurung kepalanya mahu digerudi. Segala urat dan saraf otaknya yang beku salur darahnya bakal dicerobohi. Gendut perutnya yang menumpang 1001 jenis penyakit itu kata mereka, mahu dibedah dek sistem cernanya yang sudah pecah. Dan dia; lelaki yang usianya hampir seabad itu pucat kekuningan menanti. Dia tidak dapat membayangkan bagaimana jantungnya nanti juga akan lembik denyutnya menahan bisa ditukangi oleh tangan-tangan lelaki berbaju putih itu.

Di sisinya pagi itu, sudah tercongok kelibat Dr. Jose Cohen, yang pertama lahap mahu memulakan tugas. Wajah lelaki itu sangat berbeza daripada hari-hari yang biasa pernah dilihatnya. Langsung mendung bagai awan kelam yang berarak di luar ketika itu. Tanpa izinnya, lelaki tua itu cekatan membotakkan kepalanya lalu menggergaji tempurung kepalanya dengan mesin pemotong tulang. Otaknya bergegar. Telinganya berdesing. Sakit dan perit tidak mampu diungkap merengsa setiap salur-salir inderanya. Semacam ada jarum-jarum menikam menusuk ngilu. Celaka yang menimpanya saat itu dibalas dengan muntahan amarah tetapi hairan bin ajaib, entah mengapa suara makinya bagai tidak terdengar ke andas telinga lelaki asing itu.
Eh, si bedebah itu tidak tahukah kepala siapa yang digomolnya? Ini kepala Perdana Menteri Israel. Hormatlah sikit! rengusnya menyumpah. Mana sopan santun, budi bahasa buat seorang pemimpin terulung. Kerja bak melayan tunggul mati! muntahnya lagi. Dia memandang jengkel ke tubuh pakar bedah itu. Bunyi bingit dan silau cahaya daripada mesin pengimbas tomografi berkomputer itu mendekam pula ke telinganya. Gegar dan gegau lagi otaknya menambah pula rasa pedih, ngilu dan sakit yang bercampur-campur teramu lumat. Dan dia kembali menyeranah dalam minda yang terpenjara itu.

Cukup, cukup! Dijeritnya lagi sambil menyeringai kesakitan. Apa, tak tahukah yang digomol ini kepala bekas seorang jeneral? hamunnya lagi dalam hati. Tanpa kepala ini, Israel tidak akan menang mudah menghadapi tentangan negara Arab sepanjang lebih setengah abad yang lalu. Berterima kasihlah kepada kepala ini. Kepala inilah yang menyambung makar Conspiracy Of Praise agar putar belit prasasti Holocaust ketika zaman gelap Hitler dahulu menyadur simpati dunia sambung-menyambung hingga kini. Padahal mereka ditipu bodoh-bodoh! Kepala inilah yang memastikan lirik lagu kehebatan bangsa Yahudi terus didendangkan sedangkan, kehebatan itu sengaja diada-adakan!

Dia tiba-tiba tersengih kelucuan. Tanpa kepala berdahi sulah ini, propaganda itu pasti tidak akan membantu rancangan bangsa Yahudi untuk menewaskan pihak musuh dan seterusnya menakluki dunia! Inilah Survival of The Fittest namanya. Kepala inilah yang akan memastikan, yang hebat sahaja terus beroperasi demi survival bangsa Yahudi. Hei, penghinaan terhadap kepala ini samalah seperti menghina kepala Albert Einstein, Karl Marx, Sigmund Freud, Z Harold Laski yang menjadi rujukan sejagat itu! Kepala inilah yang membina bangsa Israel ini umpama besi waja, semakin kuat ia diketuk, semakin hebat ia menjadi, rungutnya panjang lebar. Hatinya jelas tercabar.

Ah, bedebah! Haram jadah, tolong, jangan doktor! Dia menyumpah lagi. Berkerut keningnya kehairanan melihat wajah hitam Dr. Shlomo Mor-Yosef Lu yang ternyata berbeza sekali seperti yang dia kenal. Dia menjerit melihat tangan hitam Pengarah Hospital Hadassah Ein-Kerem itu menyiat kasar kulit perutnya yang membuyur itu. Apakah benar-benar saluran pencernaannya rosak teruk atau ada konspirasi yang sengaja mahu menjahanamkan tubuhnya, pertanyaan itu mula merasuk urat fikirnya.

Tiba-tiba dia terkejang di atas ranjang itu. Walang terus menumpang di wajah pucatnya. Arus takut berpusar kalut lalu melambung ombak bimbang tinggi mencecah graf pucat. Dia bimbang, andainya perut yang memboyot itu tiba-tiba memuntahkan najis dan air likat berperisa dosa durjana yang telah terpendam diam di dasar perutnya itu. Lumpur nanah membelakangkan amanah dan dosa si penjarah yang memanggang manusia teraniaya di atas bara kezaliman bagai terpalit hangit ke lohong hidungnya.

Dia khuatir, tembelangnya, menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal; merampas permukiman, membunuh yang tak sehaluan akan diketahui orang. Busuk perut inilah yang menjadikan si lelaki jadi duda, wanita pula jadi janda dan anak-anak hilang ibu bapa. Darah hanyir yang pernah ditogok rakus di sungai Shabra dan Shatila tiba-tiba membayang di kepala, kembang di tekaknya. Apakah nanti lasykar-lasykar Phalangist Kristian; tukang-tukang sembelih upahan yang pernah dibekalkan senjata itu dahulu, membuka pasung rahsia dan menjadi saksi kedajalannya selama ini.

Sekonyong-konyong perutnya tiba-tiba sebu, sakit datang memulas-mulas melihat pisau pemotong itu. Tetapi yang menambah kehairanannya, pisau itu ialah pisau pemotong jantung! Eh, apa dosa jantungnya? Tolong, jangan, tidak! Olmert tolong! jeritnya panjang memanggil-manggil nama rakan baiknya itu. Menyedari suaranya tidak berupaya menghalang usaha itu, dia cuba menggerakkan tangannya. Tetapi tangan itu bagai terbekam di atas katil. Tenaganya sifar. Langsung tidak terangkat. Tiada gerak dan geramnya memuncak.
Tolonglah, jangan dirodok lagi jantung ini. Kasihanilah jantung tua ini. Dia cuba merayu. Jantung inilah yang mengepam darah perjuangan demi kesinambungan bangsa Yahudi! Tanpa jantung ini bagaimana Parti Kadima akan maju ke hadapan! Dia tiba-tiba terdiam kemudian ketawa pahit memikirkan kemungkinan Ehud Olmert sengaja berkonspirasi mahu menikam tubuhnya dari belakang.

Hei, dia belum hilang upaya lagilah. Kalian tidak baca undang-undang? Belum 100 hari pun berpijak di sini. Dia cuba memujuk dalam marahnya itu. Dia tahu, bukan kali pertama dia diserang strok semacam ini. Ah, dengan segala pembedahan ini dia akan kembali pulih seperti sedia kala. Dia akan kembali memerintah. Dan Parti Kadima yang baharu setahun jagung itu, kelak akan menguasai pilihan raya. Andai hari ini dia pulih, hari ini juga dia akan kembali memerintah. Ehud Olmert tak akan selamanya memangku. Yang pasti Olmert tidak akan menjadi Perdana Menteri! Bukankah itu janji dan ramalan Dr. Felix Umansky! Pakar bedah saraf dari Argentina itu. Apa mereka tidak dengar, dia akan sembuh sepenuhnya. Bukankah dengan mengurangkan pemberian ubat anestetik itu akan menyedarkannya kembali daripada koma!

Tanpanya nanti, siapa yang akan menguruskan penetapan sempadan akhir bagi Israel. Bukankah itu ikhtiarnya, demi memastikan majoriti penduduk Yahudi terus mendiaminya! Inilah strategi namanya. Kita harus berkorban. Tiada ruginya dikurangkan jumlah penempatan di Tebing Barat dan membenarkan Palestin memiliki negara berdaulat. Ah, teorinya mudah, apabila sempadan dikawal oleh mereka dan kawasan yang dipulangkan kepada Palestin pasti akan terbahagi dua atau tiga. Kemudian, mudahlah kita kawal aktiviti mereka. Dengan sedikit helah itu, kita akan menerima pulangan lebih besar. Bijakkan? Manakala penetapan sempadan terakhir itu pula akan menjadi langkah awal operasi penindasan, sebagai permulaan kepada operasi penjarahan secara besar-besaran! Nasib mereka akan di tentukan oleh tangannya nanti. Dia memasang tekad itu bulat sambil menyeringai kesakitan yang tidak tertahan-tahan itu.
Hujan di luar masih lebat. Sekali-skala berdentum guruh memercik silau kilat di muka jendela. Dia melihat ketiga-tiga doktor pakar itu masih di situ. Seakan sedang merencana sesuatu. Dr. Felix Umansky tiba-tiba menghantar senyum ke wajah rakan-rakannya itu. Senyumannya itu sangat sumbing di matanya. Mereka berbalas-balas senyuman dengan anggukan kecil sambil menunjukkan isyarat jam di tangannya.

Dia melihat di tangan lelaki itu sudah tersedia jarum suntikan berisi cecair hijau. Sebaik cecair itu masuk ke setiap urat dan sarafnya, dia menggigil. Agresi itu meranjang kaku ke setiap maya ruang jasadnya. Kesemutan mula menyengat di hujung kaki merebak ke seluruh jasadnya sedikit demi sedikit. Senyar pula merengsa setiap sendi tulang. Inderanya gagal berfungsi perlahan dan lumpuh. Darah menggelegak di uncang jantung bagai disentap berkocak-kocak. Dan tekaknya mengelupas kepanasan. Dia benar-benar dahaga. Peluh bukan sahaja mereneh di dahi luasnya malah lenjum menyerap sut hospitalnya itu. Kepedihan sakarat menghunjam pada nyawa itu sendiri sehingga merasuk ke dalam seluruh bahagiannya; ke seluruh nadi, saraf, ruas, rambut, kulit dan dari hujung kepala hingga telapak kaki.

Kerut di anjung wajah, terakam kedut seribu yang melambangkan jumlah kesakitan dan ketakutan yang jitu. Suaranya melaung-laung kesakitan. Kekuatan yang tersisa saat nazak itu tidak mampu memberi isyarat segala keperitan yang terpanggang. Suara jeritnya tersendat lagi dalam tenggorok dan dadanya. Kuku jari-jarinya memucat, lalu seluruh organ tubuhnya tidak berfungsi lagi secara perlahan. Jerih hela nafasnya turun naik, turun naik cuba mengepam rentak lega. Serasa batu yang maha besar menghentak hempap dadanya. Jantungnya seakan gugur dan motor yang menggerakkan nafasnya seakan kehilangan kuasa. Tersekat-sekat. Hati dan paru-parunya terasa bagai dijepit rusuk menyilang. Kulit dada yang menggelambir itu berombak ganas memercik air perit di tubir mata. Lendir dan air busuk berciciran di kangkangan. Dalam udara yang dirasakannya menipis itu, dia mengeruh seperti lembu terputus urat merihnya.

Matanya terbelalak mendongak ke langit-langit wad yang tiba-tiba silingnya itu terkoyak bagaikan sebuah pintu besar. Dalam keperitan itu dia melihat di dalamnya berpusar awan zulmat. Guruh berdentum penuh, langit likat mencorakkan kelam kabut. Dia terpegun memerhati guruh geruh alam yang berserakan ekor cahayanya melibas. Ketika cahaya datang menyilau dan sekelip kelopak mata menampan, sesaat itu dia jadi ringan serta merta dan tersedut ke dalam pusar awan-gemawan. Langit yang menakung dasar zulmat itu seperti kuburan, bersedia dengan rahap dan lahad yang gemuruh langitnya berbalam-balam, morat-marit.

Sempat dia memandang ke bawah melihat sekujur tubuhnya terus kaku tidak bernyawa. Bukankah tubuh itu miliknya? Dari mana datangnya tubuh ini sebenarnya? Apakah dia itu aku. Aku itu dia? Apakah suara ini datang dari yang berjasad itu atau suara roh yang tercabut daripada umbutnya? Kalau roh, mengapa dia masih lagi merasai kesakitannya. Apakah ini konspirasi tuhan setelah 78 tahun nyawanya digadaikan demi kesinambungan Israel Raya yang Jerusalemnya sudah pun menjadi kiblatnya. Dia bukan tewas di pentas tempur tetapi tersungkur rebah terkejur!

Sekonyong-konyong wad eksklusif itu dihingari jerit mesin penyambung hayat dan perakam rima jantung bertali arus. Monitor elektrokardiograf hanya mempamerkan satu jalan lurus dan satu bunyi yang tiada berpenghujung. Dia melihat Dr. Shlomo, Dr. Felix Umansky dan Dr. Jose Cohen langsung tiada gelabah terpercik ke wajah. Rawatan kecemasan pemulihan jantung dan pernafasan resusitasi kardiopulmonari sepatutnya segera diberikan. Tetapi tiada aksi, tiada tindakan kecemasan diberikan. Rawatan pernafasan dari mulut ke mulut dan dari mulut ke hidung buat menghantar oksigen ke paru-paru patut diberikan. Juga tiada siapa yang mempedulikan. Teknik pemampatan jantung tiada juga diberikan. Denyut nadi dicari di bahagian leher. Doktor separuh usia itu hanya menggeleng-geleng kepala tersenyum kepuasan. Terbetik di hatinya dua perkataan yang pernah disebut Hitler saat agresi makhluk itu. Oh, Tuhan! Oh, Tuhannnnnn!

Tetapi saat itu tiada siapa yang boleh melawan kehendak takdir sesudah ia tersurat. Dia melihat Dr. Shlomo dan Dr. Jose Cohen itu bertukar wajah hodoh, bengis dan kehitaman. Di pinggang mereka tersisip besi kawi merah menyala. Terbias bahangnya meluruhkan kulit mukanya. Sepantas kilat Kedua-dua makhluk hitam itu menangkap rohnya yang terperangkap dalam pusar langit kelabu itu. Dia melihat Dr. Felix Umansky bersama-sama sepasang sayap putih hilang daripada pandangan.

Di luar, hospital Hadassah Ein-Kerem, hujan semakin lebat. Zulmat yang mendingin di luar menjemput galak petir dan guruh silang-menyilang membelah alam. Setiap kali kilat mengakar, guruh berdentum-dentam menyambar. Setiap kali kilat menyambar ada makhluk-Nya yang mendengar jerit Munkar; Ma Rabbuka …! Dan di hujung dialog sukar itu Nakir menghentam geram besi kawinya. Dan guruh-gemuruh menderam panjang.

Cerpen ini tersiar dalam majalah TUNAS CIPTA Jun 2006

KAPEZI DAN JUBLI EMAS DBP

Majlis Penyampaian Hadiah Sayembara Mengarang Sempena Perayaan Jubli Emas DBP (MPHSMSP) diadakan pada 23 Februari 2007 yang lalu, bertempat di Dewan Bankuet, Dewan Bahasa dan Pustaka. Memetik kata Ketua Pengarah DBP, Dato’ Dr. Firdaus, Hadiah ini adalah menghargai sumbangan penulis sastera tanah air terhadap perkembangan dan khazanah sastera Melayu.

Senyum panjang Bonda dan Kholid. Bukankah panjangnya hingga ke telinga tu? Ayahanda Razali Endun, walaupun tidak memenangi apa-apa turut hadir memberi sokongan. Terima kasih atas galakan dan ucapan tahniah!

Pertemuan anak-beranak dengan Bonda. Selain bertanya khabar, sempat juga Bonda berniaga buku. Demi Bonda, berhutang pun tak mengapa. Cuba lihat senyum Ren. Sehingga ke akhir majlis senyumnya tak lekang di bibir. akhirnya cerpen ‘Titip Tinta Versi Strawberi’ diperakukan oleh panel hakim HSMSP setelah editor akhbar membakulsampahkan cerpennya.

 

 

 

 

 

 

Kata Ren, cerpen ini adalah cerpen kitar semula ketika berbengkel dengan Bonda dan Kanda Mawar dahulu. Cuba lihat langkah bernilai RM10 ribu Kholid. Amboi bergaya sungguh. Itu baru baju batik, belum pakai sepersalinan baju Melayu lagi. Berbaloi Kholid, segala jerih perih menulis! Dalam kepala Kholid ketika itu, hanya dok fikir sepuluh ribu, sepuluh ribu, sepuluh ribu, sepuluh ribu …!

Lihat, betapa segaknya Bonda dengan tudung ala Waheeda. Menuruni tangga dengan langkah kanan setelah menerima sijil dan wang tunai RM10 ribu. Majlis Penyampaian Hadiah untuk kategori novel disampaikan oleh SN A. Samad Said, diiringi oleh Ketua Pengarah DBP dan Pengarah Jabatan Sastera, Hajah Izzah Abdul Aziz.

Dalam pertemuan dengan Bonda, kami sempat mengimbau kenangan ‘Salah Bilik’. Rupa-rupanya bilik tersebut, bilik keramat yang akhirnya telah mempertemukan kitasekali lagi dalam bilik yaang begitu indah dan besar maknanya dalam dunia kesusasteraan anakanda. Apapun terima kasih Bonda, jasa Bonda tiadalah dapat anakanda membalasnya. Semangat daripada bilik keramat ini pastinya akan memanaskan nadi dan darah agar terus mengalir tanpa henti. Anakanda yakin, Ren dan Kholid juga turut merasai; menulis dan terus menulis. Doa buat rakan-rakan seangkatan yang lain juga, hendaknya.

Masih ingat lagi tiga perkataan yang terkeluar dari mulut Dato’ Firdaus ini. “Wah, kamu rupanya…!” Anakanda hanya mengulum senyuman dalam-dalam. Dalam hati, “Inilah Ibnu Ahmad al-Kurauwi!”

POHON JEJAWI KHANYAM SAMLOU

PAGI yang masih damai itu, lengkung petala langit masih belum menyelak sayap jendela seluasnya. Namun ada bilah matahari yang menerobos dari regangannya masuk menyapa kulit bumi. Dingin yang berkerajaan mengeram butir embun di atas dedaun pohon jejawi. Satu daripada jurai dahannya meliuk lentuk seakan payung gergasi menaungi bangunan kelas yang terpisah di sudut masjid berkubah biru itu. Rutin pohon yang rendang akan menebarkan jaring asli dari rimbunan dedaun yang mengepung molekul-molekul embun lalu mengewapkan damai dingin menyentuh halus wajah alam di perbaringan. Dedaun pohon jejawi itu adalah jari-jemari yang menapis bahang sinar matahari daripada terus menyalai ke kulit bumi. Sampai masa, tajam kaki matahari yang sedang mendaki di atas paksinya itu akan memijak hangus butir-butir kristal itu.

Telah kami, pohon jejawi itulah yang sering menyihirkan pandangannya hingga terpukau kaku di situ. Kerana itu kami sering melihat dia berawal-awal duduk menghadap pohon besar itu berteleku menunggu kami sambil menghirup segar-bugar udara pagi. Apabila dingin sepoi pagi menyapa, akan dipeluknya dalam dakap erat lalu disedut sarinya dalam-dalam kemudian dilepaskan lega siranya perlahan-lahan. Aura damai itu seakan tonik segar meramu cepu fikir seorang mualim.

Pernah kami bertanya hal duduk menungnya itu. Selalu-selalunya dia akan menjawab berbasaan.

“Ah, anakanda, sekadar mahu menjemput damai bertandang ke jemala hati. Bukankah, kedamaian itu buah ilham. Ilham itu mencernakan perasaan. Damai yang terbit itulah yang akan memfasihkan lisan, menolak segala waham bersarang.”

Dan dia mula beralih tempat melangkah masuk ke kelas pengajian itu apabila ruangnya sendat dengan kelibat yang terisi. Kami pun tidak tahu, aura apakah yang menyebabkan kami bersesak-sesak di sini, setiap kali tibanya hujung minggu. Apakah kerana wajah kacaknya yang berhias janggut pandak dan kumis nipis itu atau kerana berkat tulus mulus amalnya yang tidak pernah lokek menghidangkan mutiara ilmu, menyampaikan khazanah Rasul yang tiada bernoktah walaupun digali seluruh risalah.

Yang pasti, kami gembira di sini. Yang pasti, kami bermadu cinta dengan pesona akhlaknya. Akhlaknya bak rendang pohon jejawi yang manfaatnya menyejukkan mata memandang. Kalaulah dia belum beristeri, pastilah kami orang pertama yang sanggup menebal muka menawarkan seorang suri bekal bimbingan solehah buat anak-anak kami.

Sesungguhnya graduan muda Universiti al-Azhar itu cerminan molek buat kami. Lokek bukan sifat ilmunya, sombong tiada langsung dalam gedung akhlaknya. Psikologinya menegur dan membimbing penuh berhikmah persis orang tua, walaupun usianya macam cucu-cucu kami. Bukan ilmu akidah itu sahaja yang tercurah, ilmu menulis dan membaca kitab jawi turut menjadi agenda keutamaannya. Galau juga kami memenangkan usaha murninya dalam serba kedaifan kami yang serba ‘rabun’ itu.

Didikannya di bumi Arab langsung tidak ‘mengarabkannya’. Jati diri Melayu, bahasa dan citra kebangsaannya jelas tersimpul ketat dengan tali kesantunan mengakar kemas peribadi Mukmin. Baginya, al-Quran, bahasa Arab dan tulisan jawi itu bagai sebatang pohon daripada satu akar yang dahannya bercabang tiga, namun hasilnya tetap dinikmati bersama, baik manfaat buahnya mahupun redup buat insan yang menumpang untuk berpayung di bawahnya.

Benih ilmunya disemai dan terbaja dari keringat kesungguhannya. Memang bersungguh sekali dia mengajar. Wataknya agak pemalu di luar, namun sangat peramah dan aktif di dalam kelas. Sekejap duduk berceramah, sekejap bangun bersyarah. Bila perlu menulis, berkejar dia ke papan putih di hadapan. Bila seorang dua yang terkeliru berlari pula ke belakang membantu. Semuanya itu mengundang rasa simpati dan kekaguman yang bercampur-campur. Simpati, kerana sukarnya dia melenturkan lidah kami yang sudah keras membaca dan menyebut huruf-huruf abjadiah itu.

Kagum, walaupun ada di kalangan kami yang tegar jawinya, masih merangkak-rangkak membaca, herot-berot menulisnya, namun hatinya cekal, semangatnya sepukal berbekal ilmu yang tulus buat kami beramal. Bukan sahaja kami yang peroleh berkat, anak-anak dan suami kami pun turut menumpang syafaat. Sesungguhnya usahanya itu tidak terbayar dengan nilaian harga keringatnya buat ahli kariah. Pasti tergantung nanti baktinya itu di kantung pahala buat bekal syurga.

Kadang-kadang nakal tua kami berjela-jela juga tak sepadan dengan usia. Ketika kami bermalas, sengaja kami umpan dengan soalan-soalan di luar kitab. Berlengah-lengah dengan isu-isu semasa, memanjang-manjang masa bertanya tentang petua dan doa anak yang tak dengar kata, suami yang mahu kahwin dua, petua menambat erat kasih sayang keluarga atau cerita itu ini serta macam-macam lagi. Tak terjawab juga dek melayan kehendak kami.

Hari ini, bilik kecil itu penuh semula dengan wajah-wajah emas yang datang dari pelbagai latar belakang. Dari suri muda sepenuh masa hinggalah kepada golongan profesional yang lanjut usia. Kami benar menekuni ilmu, menadah telinga di sebalik tudung litup yang berwarna-warni dan berbagai fesyen itu. Ada yang menekur memerhati huruf-huruf jawi berkulit kuning itu. Ada yang menggumam kalam berdengung seperti lebah sekali tinggi, sekali rendah mengulang lembar ayat yang akan dipunggah segala inti makna dan disyarah segala yang syubhah di hati.

Tidak kurang juga yang mengapungkan kalam khabar berdegar-degar dengan cerita dari bekal berminggu tidak bertemu. Sambil menunggu, ada juga yang menyulam kata niaga bersiaga dengan kain, kerepek dan katalog jualan langsung untuk menambah isi kantung keluarga. Dalam pada itu, sebahagian kami sabar menanti suaranya penuh tekun, mengharap nasihat mujarab terlantun keluar.

Apabila kalam bicara bermula, suara paraunya akan segera menenggelamkan suara kami yang kembang bersipongang dalam libang-libu itu. Dan ketika itu, dia akan menyandarkan tulang keringnya ke kerusi plastik rapat-rapat menghadapkan tampang wajahnya ke wajah kedut kami. Dan saat itu kami bersedia mendengarnya.

Bicaranya dibuka dengan salam. Suaranya diujar mendatar, tuturnya bernada ikhlas dan makhraj sebutannya jelas didengar. Kami sambut dengan suara yang pecah mengapung tingkah-meningkah bercelaru dari awal bercanggah bahagian penyudah. Mukadimahnya beralas pula puji-pujian kepada Tuhan berangkai-rangkai dengan selawat dan salam menjunjung cinta kasih kepada Rasul junjungan. Biasanya doa Insyirah penerang hati dan fatihatulkitab kami tadah mengakhiri panjang mukadimah.

Pagi itu, antara bubar mukadimah dengan pemula bicaranya ada jarak panjang yang tervakum. Lama sekali dia memerhatikan huruf-huruf jawi yang terpampang di hadapan mata. Mungkin sedang menyusun kata-kata. Kami biarkan sahaja dia bersiaga.

Hampir sebulan wajah imam masjid itu tidak bertamu di hati kami. Katanya, dia ke Kemboja, mengikut rombongan jemaah Syarikat al-Ameen yang membawa ibadah korban dan akikah sempena Hari Raya Aidil Adha ke sana. Jeda menanti kelas bermula, dalam sela-sela waktu itu, dia masih membelek-belek lembaran kitab yang tengadah di hadapannya, mungkin mencari tandaan tarikh pada helaian yang terakhir dipelajari.

Natijah dari bisik-bisik saat menanti itu, kami lontarkan buah cadangan. Sepakat kami mahu mendengar cerita dari perjalanannya melawat ke bumi Kemboja. Akhirnya terluah juga idea itu apabila Kak Sal, ketua Muslimat memberi cadangan.
“Ustaz, ceritakanlah lawatan ustaz ke Kemboja,” cadang Kak Sal terkulum bahasanya berbutir sopan. Dia membalas dengan seleret senyuman.

Melihat senyumnya menguntum panjang, sedarlah kami dia bersetuju dengan cadangan itu. Namun apabila sebuah keluhan berat terhempas ke aspal berserdakkan pula batuk-batuk kecil, tahulah kami ada rusuh yang melanggar cepu fikirnya. Biasanya jika ada suatu yang menyesakkan akalnya pasti akan ada buah fikir atau cerita besar yang mahu disampaikannya. Kalau itu yang terjadi, kelas tidak akan berlangsung mengikut isi kandung kitab. Hanya ceramah bersulam pesan dan nasihat berdegar-degar menggantikan kelas akidah itu.

Debar kami bubar apabila melihat dia sudah mengatup kitab. Tahulah kami dia akan bercerita berlama-lama pengalamannya di sana. Kami senyum menurut geraknya; Kak Cet yang meniaga kedai runcit di hujung taman itu tersenyum lega. Mek Nga yang penuh bunga di halaman rumah setentang dengan masjid itulah mula berani menegak kepala. Bukan mereka berdua sahaja yang lega, Kak Limah, Mak Cik Khairi, Kak Som dan Kak Pah juga mengurut dada kerana tidak dipaksa membaca kitab bertulis jawi itu. Kami menajamkan telinga, mencuping lebar-lebar di sebalik tudung yang menutupi indera dengar kami itu. Pagi itu dia memulakan ceritanya dengan menyebut perkataan yang tidak pernah kami dengar.

“Khanyam samlou, khanyam samlou!”
Suaranya tiba-tiba mengacah menduga riak. Perasaan kami bergolak cuba mengagak maksudnya.

“Ibu-ibu, suara itu ialah bahasa sapaan anak-anak kecil yang memancing simpati menagih harga sesen dua sebuah kehidupan. Suara marhaban itulah yang menyambut rombongan kami sampai di kota Phnom Penh. Sesungguhnya bahana serakah rejim Pol Pot itu walaupun sudah sekian lama berlalu, namun sejarah si penjarah seakan luka lama berparut tetapi belum kebah. Deritanya masih bernanah hingga kini. Lapar membuatkan mereka liar. Lapar menyebabkan mereka menelan rasa malu hingga tidak mampu membaju maruah diri dirobek oleh jiwa serakah di lorong gelap.” Kami yang memandang tertumpah jua simpati sekawah.

“Kerut wajah mereka melorek daif merengek simpati yang tak sudah. Kusam rambut mereka tersalai perang di mamah matahari. Kasihan, hangat kota Phnom Penh rakus sekali menelanjangkan tubuh kurus mereka. Mujur ada kulit yang memegang tulang tubuh yang sudah tidak berisi itu. Keringat adalah mandian mereka, debu dan lumpur jalanan pula jadi solekan yang tak dipedulikan demi sebuah kelangsungan.”

Dia menarik nafas simpati yang terlekat pekat di pagar resah. Cuba dilepaskan resah simpati itu dengan segugus keluhan yang berat namun gagal. Resah itu seakan bertenggek di pelipat dahinya. Dan dia menyambung semula lirih bahasa ceritanya.

“Ibu-ibu, cukuplah Mekah dan Madinah, cukuplah segala ibadah di sana. Jejakkanlah kaki ke bumi Kemboja, pasti nanti akan terjala keinsafan kita di jaring hati. Derita mereka akan menyedarkan kita betapa bertuahnya tanah air tercinta. Negara kita yang merdeka, agama kita yang bertakhta, bangsa yang berkuasa dan bahasa yang masih berakar dan berjiwa. Oleh itu, bersyukurlah dengan nikmat kesederhanaan yang kita miliki hari ini. Hingga kini, rakyat Kemboja, termasuk generasi muda yang tidak pernah melalui kesengsaraan perang terpalit juga kesan titik hitam itu dalam hidup mereka. Apatah lagi yang seagama dan sebangsa dan serumpun yang bermelayu Campa dengan kita. Jelas di mata kami, entiti agama Islam sudah bercampur yang karut-marut mereka bahasa Melayu kian hanyut, dan rumpun bangsa mereka jadi terlarut di bumi pertiwi terjerlus dalam dilema kelompangan jati diri yang gah suatu ketika dahulu.”

Kami yang mendengar, dua tiga kali menelan liur dek simpati yang terkulum. Membayangkan derita mereka, sesak menghenyak benak. Kami pusatkan telinga tajamkan indera sebaik suaranya membesar di hadapan pembesar suara.

“Ibu-ibu, tersayat hati kami ketika berkunjung ke salah sebuah kampung Melayu Campa di Phav, 165 kilometer dari Phnom Penh. Tiada bunga manggar, tiada bunyi kompang yang menyambut kami sewaktu menyampaikan sedekah korban kami kecuali ditepungtawarkan oleh debu siang yang bukan sahaja mengotorkan tiang-tiang rumah yang dibina tinggi itu tetapi turut mencemarkan tiang akidah penghuninya. Islam yang dinaungi hanya pada nama dan keturunan bak berlindung di rumah yang berdinding serta berbumbung daun palpa itu. Celus-celas teduhnya tertikam juga tajam matahari dan tertusuk juga tumpul hujan yang pasti tertempias basah.”

Kami yang mendengar tidak mampu membayangkan bagaimana gersangnya akidah mereka yang bernaung di teduhan iman yang semakin rapuh kerana berhujan kan racun dakyah akibat dijajah komunis itu.

“Alhamdulillah, walaupun yang dikelek kemiskinan yang dikendong seribu satu penderitaan, terpinggir ekonominya, terasing pendidikan anak-anaknya, namun jamung Islam masih berbara. Mereka sedang berusaha menghidupkan apinya dalam segala kekurangan. Kerana kayu api yang basah dan ribut yang sekali-sekali kuat membelah. Satu-satunya masjid yang menjadi tempat singgah kami bersujud pun hanya diimarahkan segala ibadah dari kelam cahaya kalimantangnya sahaja. Itu pun sekadar menumpang kuasa bateri kenderaan. Syukur, segala macam kedaifan tidak menjadi punca tercungkilnya Islam daripada isi tempurungnya. Cuba ibu-ibu lihat benih pohon tumpang yang tersemai di bawa angin di atas pohon jejawi itu, begitulah perumpamaannya. Doakanlah agar benih itu dapat disemai semula di atas batas tapaknya kembali agar akarnya berpijak di bumi yang nyata, memegang pasak bumi bukan berteduh di dahan tumpang yang rapuh, tunggu masa dirempuh ribut dan guruh.”

Kami tiba-tiba dipukau rasa semangat yang tiba-tiba menyengat nyali kami dek mendengar rentetan bahasa ceritanya itu. Tiada yang menguap, tiada jua yang sampai hati untuk lelap. Dan dia bercerita lagi, bagai tiada niat untuk berhenti.

“Walaupun dihimpit segala kedaifan dan ditelanjangkan segala kekerdilan namun sedikit pun tidak mematahkan semangat mereka untuk bangkit berdikit-dikit. Di atas semangat itulah mereka dirikan sebuah pondok Madrasah al-Islamiah an-Nikmah, menumpang kan lebih 300 anak-anak kecil di situ. Kalam Tuhan tidak lagi jauh berenggang jadi rutin tilawah, malam dan siang. Mana kala bahasa syurga pula menjadi bahasa rujukan ilmu para allamahnya. Dan siapa yang tidak bangga di sebalik kekurangan itu, rupanya citra bahasa Melayu iaitu tulisan jawi terus menjadi tinta bermata yang membekalkan ilmu makrifah Tuhan Yang Esa. Malah, buku-buku tulisan jawi yang semakin daif itu rupanya sumbangan tokoh-tokoh dermawan negara kita yang prihatin. Saya yang terasa kerdil sempat menabur khidmat mengajar bahasa Melayu untuk guru-guru di sana. Kerana mualim seperti saya dan mualim kampung seperti mereka itu rela bekerja tanpa gaji mempertahankan apa yang kita miliki selagi ada kudrat berbekalkan semangat yang akarnya memegang agama, yang batang dan dahannya tempat berpeluk dan berpaut kukuh menjulang rimbunan dedaun maruah anak bangsa.”

Kata-kata balaghahnya membayangkan kepada kami pohon jejawi yang sudah lama tegak berdiri memberi khidmat naungannya di sudut masjid itu. Syukur kepada Allah, ada sepusar tenaga yang bercantum pada rumpun bangsa, bahasa dan agama itu menaungkan teduhnya menyediakan prasarana rujukan korpus ilmu agar pulih menjunjung langit Tuhan memijak semula dataran dengan syariat Tuhan. Lebuh akal cepat menghantar arus fikir. Insaf mengalir meruap menyentuh naluri kami. Berfikir; kami yang diperturunkan segala rahmat dan nikmat bagai terpanggil untuk turut sama membantu, berkongsi usaha bersama-sama para pendakwah dan pejuang bahasa yang sering singgah menabur benih gigih menyuburkan semula ummah seagama sejak satu dasawarsa lalu di situ agar dipunggah semula warisan Melayu yang sudah lama terkubur dibatunisankan oleh rejim Khmer Rouge di bumi Indo Cina itu.

Pagi itu, belum ada yang gelisah walaupun hari cepat mencalak naik. Bebayang tengah hari itu mencerah di luar, namun bahang di bawah pohon jejawi itu belum menyerap hangatnya ke dalam kelas itu. Antara khusyuk mendengar dan redup yang memupuk tidak terasa cepatnya masa berlalu. Tiba-tiba wajahnya sugul berkerut memerhatikan kitab kuning di tangan. Nadanya berbau bimbang mengenangkan nasib tulisan jawi di kepuk yang menanti saat hilang. Dia membandingkan senario yang terjadi kepada bahasa Melayu Campa yang semakin terjajah diterjah oleh rejim bahasa Khmer.

Kami angguk dalam masyghul memikirkan kebenarannya. Memang setiap etnik diciptakan Tuhan mempunyai citra bangsa dari bahasa dan tulisannya. Dan bangsa itulah yang sepatutnya menentukan nasib warisan mereka, adakah semaiannya di tanah subur atau patut dikebumikan di tanah kubur kecuali bahasa dan tulisan al-Quran yang terjamin pemeliharaannya. Ah, apa kurangnya dengan nasib bahasa Melayu yang bagai tercicir kendongannya itu. Gelut dan selut globalisasi yang melumpurkan bahasa Melayu di bumi sendiri akan terdagang juga seperti bahasa Melayu Campa yang kini sekadar ditutur oleh golongan tua yang lanjut usia sahaja. Ah, terpalit juga rasa malu ke wajah kami apabila syarahnya mengambil tempat lamunan kami.

“Ibu-ibu, sedar tak sedar sesungguhnya inilah harga yang harus dibayar untuk memperoleh kembali warisan ekstrak Islam yang semakin hilang itu. Walang ini angkara spesies petualang agama yang bermazhabkan fahaman Artatukiah yang dahulu telah menumbangkan pemerintahan Khalifah Othmaniah. Dasar sekularisasinya itulah yang mengubah tulisan Arab al-Quran kepada tulisan rumi dan akhirnya masuk menuba rasa menukar kemanisan beribadah dengan racun-racun mazmumah. Sesungguhnya kita yang menganyam tikar takwa dengan iman dan Islam ada orang lain pula yang merungkaikannya. Dan dasar anti Islamnya itulah yang mengundang musibah buat ummah. Bahananya turut terpalit sama kepada warisan Melayu itu apabila virusnya berjangkit kepada orang Melayu kita yang ghairah mengejar yang tak dapat dan akhirnya yang dikendong berciciran dalam lumpur kejahilan!” syarahnya penuh perasaan sambil bibirnya mengetap geram.

Ya, kami akui kata-katanya itu. Dahulu, kamilah yang menjadi bahan kepada eksperimen kepada sebuah kejahilan. Bukan itu sahaja, kini, disantau pula oleh huruf rumi yang merabunkan terus rupa jawi yang bersusur-galur daripada kalam Tuhan itu. Arus risau kami tambah berombak pula mengenangkan anak-anak dan cucu-cicit kami apakah nanti turut dihanyutlemaskan pula oleh dasar globalisasi penginggerisan. Alhamdulillah, mujur kami yang tersedar ini sudah memasang tekad, sauh harus dibongkar, layar harus dikembangkan, kemudinya meminjam berkat bimbingan ustaz.

Apa tidaknya, selama belajar ini, warisan Melayu dan lambang jati diri bangsa Melayu itulah yang mendekatkan kami dan mengenalkan kami akan al-Quran. Tulisan jawi itulah yang memandu bahasa al-Quran kami di atas lenggok tartilnya dengan tepat; makhraj yang betul, tadaburnya tidak lagi kabur seperti yang dikehendaki dalam al-Quran. Dalam lewat usia yang bersisa ini huruf jawi itulah yang menyedarkan kami akan indahnya Islam. Huruf jawi itulah yang mengilap iman, memperelok amalan untuk bertemu dengan Tuhan.

Mujur ada ustaz. Dialah maulana yang jadi kemudinya. Kami menumpang tunjuk ajar di atas bahteranya. Maklumlah, mata tua kami tidak setajam dahulu menelaah, akal kami tidak secerdas dahulu menggugah. Semakin lama memandang huruf yang berlingkar-lingkar itu, mata yang berkatarak ini makin terpejam celik, merah dan pedih meneropong di sebalik kaca mata tebal itu. Bimbingannya lebih daripada guru sekolah. Yang merangkak-rangkak baru belajar mengenal huruf dipandangnya dengan wajah simpati, diulangnya bertubi-tubi hingga kami mangli. Yang bagus membaca, cepat sahaja dipuji, dibimbingnya pula segala makna dan inti. Ada juga yang gatal mencadangkan agar guna sahaja kitab rumi yang berlambak di kedai buku. Sebahagian besar kami tetap mahu mempertahan.

“Ibu-ibu, puan-puan yang dirahmati Allah sekalian. Jika kita mencipta budaya membenci warisan milik bangsa kita sendiri, maka tunggulah ia sebenarnya sedang menuju ke titik noktahnya sendiri. Jika bahasa dan tulisan itu tidak digunakan, lama-kelamaan bahasa berkenaan akan hilang penutur hilang pengamal, akhirnya dibatunisankan orang di kuburan.”

“Ibu-ibu …,”
Suaranya sebak tersaktah nafas dan lelah bagai cuba menahan empang di tubir mata yang mula basah digenangi air.

“Janganlah kita jadi petualang, bangsa kepalang tanggung dengan pahat di tangan menisankan warisan bangsa hanya sekadar sebuah artifak sejarah untuk dikenang dan diratapi hari malangnya nanti. Janganlah kita cepat melupai sejarah. Mengenang segala yang ternukil oleh sejarah bukanlah si cauvinisme, tetapi mujahid dan mujaddid altruisme yang menjadi benteng pengimbang dan penampan bangsa. Sejarahlah yang merangsang akal fikir. Mundur atau maju sesuatu bangsa adalah kerana sikap mereka yang sambil lewa dan tidak menitik beratkan hal-hal yang berkaitan dengan jati diri. Ibu-ibu sekalian, sesungguhnya penghayatan kita kepada tulisan jawi bukan menterbalikkan zaman, tetapi usaha kecil daripada penerapan nilai-nilai budaya dan keagamaan milik warisan bangsa Melayu. Walaupun sumbangannya kecil tetapi ia harus dipertahankan supaya tidak terus kerdil” katanya menambah mengulang buat kali terakhir menyimpul mati segala resah.

Kami yang dihujani gagasan dan harapannya itu bagai dipeluk sunyi makan dan inti sambil menahan gelodak dan galak yang tersembunyi.

“Cuba ibu lihat pohon jejawi di luar sana. Bandingkanlah diri seperti pohon jejawi; Dasar akar tunjangnya adalah agama, batangnya yang sepemeluk itu mengukuh budaya warisan bangsa. Dahan dan rantingnya menjunjung bahasa Melayu dan tulisan jawi citra pertiwi. Bunga dan dedaunnya yang merimbun adalah lembayung mulia lambang jati diri Melayu Mukmin kita. Andai buahnya boleh dimakan, kunyahkanlah demi meramukan ulam pahit buat anak cucu kita agar lidah mereka tidak kelu, bibir mereka tidak bisu, tangan mereka tidak kaku dan lesu mempertahankan khazanah budaya Melayu. Pinjamkanlah semangat pohon jejawi untuk diri, nusa dan anak bangsa!”

Pulang itu tersihir kami dengan kata-katanya, berulang-ulang, terngiang-ngiang. Tertoleh juga kami ke pohon jejawi itu. Menunggu azan zohor berkumandang, kami lihat kelibat ustaz kami sudah duduk di bawah pohon jejawi itu. Kami tahu, walau hari mencalak tinggi, namun pohon yang rendang itu masih meneduhkan dingin di perdu pohonnya. Dedaun pohon jejawi masih menapis bahang sinar matahari dari menyalai terus ke kulit bumi.

Sebaik azan berkumandang menyeru kepada kejayaan, pohon jejawi itu bagai berzikir kalam Tuhan, terbias ke indera pendengaran. 
 

Tidakkah kauperhatikan
bagaimana Allah SWT telah membuat perumpamaan,
Kalimah yang baik
seperti pohon yang baik,
akarnya teguh dan
cabangnya merengkuh langit
Pohon itu memberikan buahnya
Pada setiap musim dengan seizin Tuhan-Nya.

Wahyu Tuhan itu merasuk semangat kami agar bangkit mempertahankan nikmat sebuah warisan sebaris para wali dan syuhada di medan perjuangan bersenjatakan pena ilmu dan tinta hitam. Pohon jejawi itu seakan menangkal bekal, memukul semangat kami agar turut sama bangkit demi memugar kembali milik bangsa. Bisiknya bagai terngiang membunga simpati kami atas nasib warisan pertiwi.

“Khanyam samlou, khanyam samlou …!”,

Cerpen ini memenangi Hadiah Sayembara Mengarang Sempena Jubli Emas 50 tahun DBP

MARI BELAJAR MENULIS

DBP Usaha Lahirkan Penulis Pelapis Melalui Program Pembinaan Penulis

Jabatan Sastera, Dewan Bahasa dan Pustaka Malaysia sedang berusaha melahirkan seramai mungkin penulis pelapis sepanjang tahun 2007 sejajar tiga objektif utama sastera iaitu memaksimumkan jumlah penulis dan khalayak, memperkayakan produk sastera serta melahirkan ilmuwan atau pengkritik dalam bidang tersebut.

Pada tahun ini, sebanyak enam (6) bengkel penulisan telah dirancang pelaksanaannya melalui program pembinaan penulis dan pemupukan bakat sastera yang akan dilaksanakan secara konferensi dan praktikal. Semua bengkel akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut tarikh dan tempat yang ditetapkan penganjur.

Tiga genre difokuskan bagi tujuan tersebut, iaitu cerpen, novel dan skrip drama adaptasi karya sastera. Bagi mencapai matlamat dan justifikasi pelaksanaan bengkel, Jabatan Sastera telah melantik beberapa orang pembimbing yang mempunyai kepakaran dan pengalaman luas dalam bidang masing-masing untuk berkongsi ilmu mereka dengan para peserta. Antara pembimbing yang dilantik ialah Zaharah Nawawi, Mohd Faizal Musa (Faizal Tehrani), A. Wahab Hamzah, Zakaria Ariffin dan Marlenny Denerwan.

Bengkel yang akan dilaksanakan adalah Bengkel Penulisan Cerpen Penulis Muda, Bengkel Penulisan Untuk Bakal Pesara, Bengkel Penulisan Skrip Drama Adaptasi, Bengkel Penghayatan Puitika Sastera Penulisan Kreatif, Bengkel Penulisan Cerpen Pelbagai Kaum dan Bengkel Penulisan Karyawan DBP.

Setiap bengkel, penyertaan hanya dibuka kepada 20 orang peserta sahaja. Setiap peserta bengkel cerpen dikehendaki menghantar cerpen sepanjang antara 6 hingga 8 halaman dengan saiz aksara 12 point Times New Roman ditulis jarak dua baris, peserta bengkel novel diminta menghantar sinopsis novel masing-masing sepanjang 5 halaman dan peserta bengkel penulisan skrip adaptasi perlu menghantar skrip yang pernah dihasilkan untuk dinilai oleh pembimbing dan penganjur. Penyertaan dibuka kepada warga Malaysia berusia 18 tahun ke atas mengikut kumpulan sasaran. Setiap peserta dikehendaki mempunyai e-mel, bagi kemudahan menjalani bimbingan susulan.

DBP menyediakan pembimbing, tempat penginapan dan makan minum sepanjang bengkel dilaksanakan. Penyertaan adalah PERCUMA.

Penyertaan dibuka mulai 15 Mac 2007. Penyertaan serta penghantaran cerpen, sinopsis novel dan skrip drama hendaklah sampai di meja urus setia sebelum 15 April 2007. Maklumat lanjut pelaksanaan program serta borang penyertaan boleh diperoleh melalui laman sesawang http://www.dbp.gov.my/.

Permohonan menyertai bengkel serta pengiriman cerpen, sinopsis novel serta contoh skrip drama hendaklah dihantar kepada:

Urus Setia,
Program Pembinaan Penulis / Pemupukan Bakat Sastera
Bahagian Pengembangan Sastera Kebangsaan
Jabatan Sastera
Aras 22, Menara DBP
Peti Surat 10803
50926 Kuala Lumpur.
Atau hubungi melalui telefon / e-mel : Mohd Zamri Hj. Abdul Hamid zamri@dbp.gov.my (03-21482558) Abdul Aziz Ibrahim aazizib@dbp.gov.my (03-21482567) Fatin Suraya @ Wati Hashim suraya@dbp.gov.my (03-21482614) Rafidah Ramli aj_rafida@dbp.gov.my (0321482623).

SYARAT PENYERTAAN

Bengkel Penulisan Cerpen Penulis Muda

· Terbuka kepada semua warga negara Malaysia berumur di antara 18-35 tahun.
· Semua penulis karya kreatif dari kalangan peserta peraduan dan penulis-penulis muda yang pernah menghantar karya ke DBP untuk pertimbangan penerbitan adalah dialu-alukan.
· Pemilihan peserta adalah berdasarkan kepada pencapaian mereka dalam menghasilkan karya kreatif yang akan dinilai oleh pembimbing dan pihak urus setia.
· Peserta perlu mempunyai e-mel dan boleh berinteraksi dengan pembimbing untuk bimbingan susulan selepas bengkel.
· Setiap peserta dikehendaki mengirimkan biodata diri, gambar dan salinan karya (untuk dinilai).

Bengkel Penulisan Untuk Bakal Pesara

· Terbuka kepada semua warga negara Malaysia / penulis berumur 45 tahun ke atas yang masih bekerja di sektor kerajaan dan swasta atau telah bersara;
· Pemilihan peserta adalah berdasarkan kepada pencapaian mereka dalam menghasilkan karya kreatif (cerpen).
· Peserta perlu mempunyai e-mel dan boleh berinteraksi dengan pembimbing untuk bimbingan susulan selepas bengkel.
· Setiap peserta dikehendaki mengirimkan biodata diri, gambar dan salinan karya (untuk dinilai)

Bengkel Penulisan Skrip Drama Adaptasi

· Terbuka kepada semua warga negara Malaysia / penulis berusia di antara 18 – 40 tahun;
· Pemilihan peserta adalah berdasarkan kepada pencapaian mereka dalam menghasilkan karya kreatif yang pernah tersiar di media, terutamanya yang pernah memenangi hadiah atau anugerah atau apa-apa sahaja bentuk pengiktirafan karya kreatif seperti peraduan cerpen remaja, hadiah cerpen kanak-kanak dan sebagainya.
· Keutamaan akan diberikan kepada peserta yang mempunyai pengalaman menulis skrip drama.
· Setiap peserta dikehendaki mengirimkan biodata diri, gambar dan salinan karya (untuk dinilai).

Bengkel Penghayatan Puitika Sastera Penulisan Kreatif

· Terbuka kepada semua warga negara Malaysia / penulis karya popular di seluruh negara.
· Pemilihan peserta adalah berdasarkan kepada pencapaian mereka dalam menghasilkan karya popular (novel) yang pernah tersiar di mana-mana penerbitan.
· Penyertaan adalah dihadkan kepada 20 peserta sahaja.
· Setiap peserta dikehendaki mengirimkan biodata diri, gambar dan salinan karya (untuk dinilai).

Bengkel Penulisan Cerpen Penulis Pelbagai Kaum

· Terbuka kepada semua warga negara Malaysia dan para penulis pelbagai kaum dari IPTA, IPTS, maktab perguruan dan persatuan penulis yang berumur di antara 15-45 tahun.
· Pemilihan peserta adalah berdasarkan kepada pencapaian mereka dalam menghasilkan karya kreatif (cerpen) yang akan dinilai oleh pembimbing dan pihak urus setia.
· Penyertaan adalah dihadkan kepada 20 peserta sahaja.
· Setiap peserta dikehendaki mengirimkan biodata diri, gambar dan salinan karya (untuk dinilai).

Bengkel Penulisan Karyawan DBP

· Terbuka kepada semua penulis karya kreatif dari kalangan staf Dewan Bahasa dan Pustaka.
· Pemilihan peserta adalah berdasarkan kepada pencapaian dalam menghasilkan karya kreatif yang akan dinilai oleh pembimbing dan pihak urus setia.
· Penyertaan adalah dihadkan kepada 20 peserta sahaja.

· Setiap peserta dikehendaki mengirimkan biodata diri, gambar dan salinan karya (untuk dinilai).


Mac 2007
I S R K J S A
    Apr »
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031  

RSS KLINIK JAWI

  • SIFIR JAWI
    ANTARA RUNGUTAN yang sering kedengaran daripada guru-guru pembimbing mata pelajaran Jawi ialah kerapnya berlakunya kesalahan memadankan tulisan rumi kepada Jawi dalam kalangan murid-murid. Sama ada kesalahan pada padanan huruf vokal mahupun padanan huruf konsonan. Puncanya ialah apabila kita mengharapkan pelajar kita menghafal huruf-huruf Jawi sebanyak 37 hu […]

KLINIK JAWI DI RADIO

Temui saya dan DJ Muhammad Suffian di Klinik Jawi, setiap Sabtu, jam 10 pagi di IKIM.fm

KARYA BAHARU

BUKU

Buku kaedah belajar jawi-4(1)

Buku "Kaedah Pembelajaran Jawi" ini menghimpunkan nota-nota pembelajaran Klinik Jawi Peringkat Asas yang dimuat naik ke laman sesawang PNM sebagai panduan kepada para pendengar radio IKIMFM yang mengikuti Rancangan Klinik Jawi setiap hari Sabtu, jam 10.00 pagi. Buku ini ditulis dalam dua versi tulisan iaitu Jawi dan rumi.

CERPEN

Lelaki Si Pemasang Karpet

Cerpen 'Lelaki Si Pemasang Karpet' ditulis dan diolah semula dalam bentuk kreatif berasaskan kisah benar seorang sahabat. Mari kita belajar daripada pengalaman dan pengorbanannya untuk dikutip iktibarnya oleh pembaca bukan watak-wataknya yang mahu diuji pada benar dan salahnya. Kisah ini tidak berniat untuk memburukkan sesiapa dan bukan juga bertujuan untuk mengaibkan pencerita. - Berita Harian, 12 Oktober 2014 - al-Kurauwi

Cerpen 'Zam Zam ke Tanah Haram' diolah semula berasaskan cerita daripada mulut bonda sewaktu kecil. Kisah ini berlaku di kampung kelahiran di Parit Abas, Kuala Kurau. Perak. Wallahu a'lam, benar atau tidak kesahihannya. - Mingguan Malaysia, 21 Oktober 2012 - al-Kurauwi

Sebuah kisah benar. Kisah yang terilham daripada salah sebuah testimonial melalui e-mel seorang pembaca setelah mengulit novel “Punya Cinta Ramadan”.
- Mingguan Malaysia, 7 Ogos 2011 - al-Kurauwi

Terima kasih kepada Puan Siti Zabidah yang menumpahkan cerita ini ke telinga saya. Saya tidak pernah melihat wajah mereka namun berkongsi rasa dan air mata.

Berita Minggu 10 Julai 2011 - al-Kurauwi

Memberikan interpertasi baharu bukanlah memusuhi sejarah, jauh sekali memusuhi Islam.

- Ku Seman, Mingguan Malaysia, 14 November 2010

CERPEN

Ini kisah Dena Balosha. Gadis kecil dari Gaza yang syahid membebaskan buminya daripada Yahudi Israel. Bagaimana jika Dena Balosha berbicara dari syurga?

-Tunas Cipta, Jun 2010

KOLEKSI NOVEL

NAMAKU BUKAN MARIA

"Bagaimana kalau alur sejarah dibiaskan pada pertengahannya oleh suatu idealisme yang berpaksi pada tauhid? Novel ini memilih simpang lain untuk
Natrah, menghasilkan naratif yang menggugah"

– Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan

PUNYA CINTA RAMADAN

“Punya Cinta Ramadan meneruskan kelangsungan keindahan nada dakwah melalui kekuatan gaya bahasa karya yang puitis dan keampuhan bercerita Ibnu Ahmad Al-Kurauwi selepas kelahiran novel Tinta Elipsis dan Insyirah, serta Kumpulan Cerpen Di Dadanya Kalam Tuhan.”

- w.b.rendra,
wbrendra.blogspot.com

DI DADANYA KALAM TUHAN

ddkt-blog Sesungguhnya, tidak sampai lima tahun selepas menyertai bengkel penulisan cerpen anjuran KEPEZI (Kelab Penulis Zaharah Nawawi) awal September 2004 Ibnu Ahmad al-Kurauwi sudah mampu menghasilkan 20 cerpen yang melayakkannya memiliki kumpulan Di Dadanya Kalam Tuhan. Hal begini diperakui jarang terjadi. Namun bagi penulis muda pemegang ijazah Kesusasteraan Arab dari Jordan ini tiada perkara mustahil. Ke bulan pun manusia boleh jejak, inikan pula sekadar melahirkan sebuah kumpulan cerpen dalam waktu yang relatif singkat. – Zaharah Nawawi USJ Subang Jaya 9 Mac 2009

INSYIRAH

insyirah2

Sesungguhnya Novel "Insyirah" ialah novel kedua yang telah lahir daripada rahim Sayembara Mengarang Novel Kanak-kanak dan Remaja 2007 - Dewan Bahasa dan Pustaka. Novel ini telah memenangi hadiah pertama dalam sayembara tersebut. - al-Kurauwi

TINTA ELIPSIS

Novel TE bergerak sekitar gejolak rasa dan jalanan minda watak Amir Afif Amizul, anak peneroka FELDA, yang berpeluang menekuni bahasa Arab dan Pengajian Islam di Universiti Jordan. Amir Afif mempunyai sedikit sebanyak pengalaman dalam bidang penerbitan (TE: 25/7), iaitu selain pengalamannya sebagai konsultan yang ditimbanya selama lima tahun bertugas dengan Syarikat Amal Profesional Sdn. Bhd. (TE: 28) Amir Afif berhadapan dengan beberapa masalah yang wajar diatasinya sebijak mungkin. - Dr. Anis

TETAMU

  • 237,735 hits

Top Rated


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 32 other followers