PADA satu senja, Oedipus menikam kedua-dua matanya sendiri. Darah mengalir laju membasahi pipi dan badannya. Dalam kesakitan yang tidak tertanggung, dia melangkah meninggalkan Kota Thebes, negara tercinta.
Tidak ramai yang tahu kenapa dia berbuat demikian. Adakah kewarasannya mulai pudar? Kisah Oedipus adalah sebuah tragedi dan perjalanan sebuah takdir yang ditentukan oleh para dewa.
Dewa-dewa yang bertakhta di Banjaran Olympus telah mentakdirkan perjalanan hidup Oedipus seperti itu – menjadi pemerintah di Kota Thebes dan akhirnya melangkah pergi dengan penuh kehinaan.
Oedipus telah membunuh ayahandanya, Raja Laius yang pernah menikam kakinya sewaktu masih bayi kerana para dewa meramalkan putera itu akan membunuh baginda sendiri.
Tidak ada tempat untuk si bayi di Thebes. Dengan darah mengucur deras, ia dicampak ke kawasan pergunungan. Namun, para dewa juga yang menentukan Oedipus untuk terus hidup.
Malah para dewa turut menentukan perkahwinan Oedipus dengan ibunya sendiri, Jocasta, suatu dosa moral dan penodaan terhadap nilai sosial yang tidak mungkin diampunkan.
Namun, dia hanyalah objek dan `patung’ yang ditentukan oleh kekuasaan tertinggi yang berada di tangan para dewa. Oedipus tidak berupaya membantah atau melawan takdir ke atasnya.
Naskhah karya Sophocles yang ditulis 2,400 tahun lalu itu sebenarnya sebuah simbol tentang pertembungan hegemoni dua kelompok dalam masyarakat Romawi iaitu rakyat biasa dan elit birokrasi.
Sesuatu yang cukup menarik mengenai naskhah tersebut ialah kebijaksanaan Sophocles mentafsir masa depan. Apa yang ditulis adalah tragedi dalam kehidupan masyarakat yang akan hidup dan terus hidup hingga ke hari ini.
Adakah isu terbaru mengenai ‘kemandulan minda’ yang dilemparkan terhadap Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah tragedi dalam masyarakat – kisah antara Oedipus dan para dewa dalam naskhah itu?
Ini cuma analogi. Dan, mungkin ia tidak terlalu tepat untuk dibuat andaian dalam isu kemandulan minda tetapi pemikiran Sophocles tentang tragedi Oedipus dan masa depan itu ada sedikit persamaan.
Terus membaca ‘OEDIPUS, DBP DAN KEMANDULAN MINDA’
TINTA SAPA