Arkib untuk Mei 2008

KULIT SALJU SAKINAH MENGUJA

Saya belum membaca lagi novel Salju Sakinah buah tangan terbaru saudara Zaid Akhtar ini. Saya yakin seorang penulis mahu melihat kulit novelnya memberi citra atau persepsi pertama terhadap isi kandung novelnya. 

Semalam kami bertemu di DBP, dan novel ini saya dakap kemas dengan pena dari Zaid ‘Salam Sakinah, ayuh pertahankan sahsiah ummah!’ Panjang yang kami bualkan seputar kehidupan, cita-cita dan harapan dan tips-tips penulisan yang baik.

Sebetulnya saya masih berada di tepi pantai, sedang mengepak-ngepak tangan untuk mulakan renangan. Saya melihat Zaid Akhtar sudah di tengah laut jauh berkayuh. Kata Zaid, ah, anta tak nampak ana di tengah laut tu sedang tenggelam timbul. He he he …, saya gelak. - al-Kurauwi

 

KEPEZI DI UTUSAN MALAYSIA

 

NOVEL sama seperti genre-genre kreatif lain, merupakan wadah yang digunakan oleh penulis bagi mengisahkan tentang pelbagai tema serta jalan cerita sama ada ia rekaan atau benar-benar berlaku dalam kehidupan seharian. Oleh itu, tema yang diketengahkan rencam sifatnya. Industri yang saling berkait rapat dengan dunia perniagaan misalnya merupakan antara subjek yang sering diutarakan menerusi novel seiring dengan perjalanan sesebuah cerita yang dikisahkan.

Meskipun sesebuah industri itu bersifat kecil ataupun sederhana tetapi ia banyak memainkan peranannya dalam mengembangkan lagi watak-watak dalam sesebuah novel tersebut.

Malah, paling menarik apabila subjek tentang dunia industri yang cukup luas cakupannya itu secara tidak langsung telah diketengahkan menerusi 14 novel terbaru terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Karya-karya tersebut ialah Menuju Puncak, Desir Angin Di Pergunungan, Ketika Embun Menitis, Aroma Hati, Kasih Bertaut, Meniti Batas, Menggapai Puncak, Tinta Elipsis, Mencari Teduh Di Kuala, Kirana, Di Sebalik Mentari Jingga, Air Mata Ibu, Tirani dan Lagukan Senandung Itu.

Terus membaca ‘KEPEZI DI UTUSAN MALAYSIA’

JOM BELAJAR

Belajar dan terus belajar. Saya banyak belajar dengan karya-karya FT berbanding daripada mulut FT sendiri. Ya itupun sekali – al-Kurauwi

 

AL-KISAH, JABAL THUR SI AYAH

MALAM itu malam hijrah. Angin Ramallah hangat menyula kulit yang terdedah, sedang di perut mihrab dingin menyentuh kalbu seorang ayah yang khusyuk membilang zikrullah. Di dada ayah, cinta kepada jihadnya tidak pernah bernoktah. Kini, cinta itu ditumpahkan buat anak-anak menerusi kalam Tuhan yang mulia. Si anak-anak akur tanpa bicara, sesudah melihat jari telunjuk yang diisyaratkan si ayah di bibir tuanya. Kalam suci al-Quran dari surah al-Taubah itu membekam ke dada si ayah hatta mengapung tinggi ke telinga anak-anak.

“Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad), maka sesungguhnya Allah telah pun menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedang dia salah seorang daripada dua (sahabat) semasa mereka berlindung di dalam gua, ketika dia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah engkau berdukacita, sesungguhnya Allah bersama-sama kita”. Maka Allah menurunkan semangat agar tenang tenteram kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terkebawah (kalah dengan sehina-hinanya), dan kalimah Allah (Islam) ialah yang tertinggi (selama-lamanya), kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

Dari kisi-kisi jendela masjid yang sudah dimamah usia, si anak-anak melontarkan pandangan ghairah melihat rakan-rakan sebaya; berkejaran dengan jerit tawa memecah suasana. Sela-sela tartil itu tidak mengendurkan gelodak jiwa anak-anak untuk turut sama bermain, sehinggalah hasrat itu mati dek sapaan si ayah usai tartilnya. Pesan lagi si ayah kepada anak-anak pada sebuah kisah hijrah Rasulullah.

“Malam ini, malam hijrah. Hijrah Nabi Muhammad SAW dari kota Mekah ke kota Madinah. Hijrah bermula pada malam 27 Safar, setelah Nabi menerima wahyu. Tuhan mengarahkan agar Nabi segera berpindah, menuruti langkah para sahabat yang gagah meninggalkan segala nikmat dunia yang terlihat, kepada alam akhirat yang tak terjangkau makrifat. Kata Jibril, “Malam ini jangan tidur di atas tempat tidurmu yang biasa engkau tidur.” 

Terus membaca ‘AL-KISAH, JABAL THUR SI AYAH’

APRESIASI JAWI (2)

LAPORAN PERTANDINGAN APRESIASI JAWI 07

Secara keseluruhan, pantun, cerpen dan esei yang diketengahkan untuk Pertandingan Apresiasi Jawi 07, memenuhi pensyaratan (syarat umum pantun, cerpen dan esei) yang telah ditetapkan.

Oleh sebab pertandingan ini memberi tumpuan kepada tulisan Jawi, maka pihak juri telah memberikan pembahagian markah kepada 60:40. 60 tulisan Jawi dan 40 lagi memberi fokus kepada aspek dan seni kepengarangan.  

Setelah meneliti 1174 penyertaan dalam pelbagai kategori (Pantun kanak-kanak : 272, Cerpen remaja dan IPT : 387, Esei : 231) panel hakim mendapati kebanyakan peserta:

Tidak menggunakan sistem ejaan Jawi yang disempurnakan.
Ramai peserta yang boleh menulis tetapi tidak ramai yang tahu adakah tulisannya itu menepati sistem ejaan Jawi yang betul dan tepat. Antara kesalahan ketara dalam penulisan mereka ialah dari aspek seperti berikut:

a.Perlambangan bunyi atau fonem
b.Penggunaan huruf alif dan hamzah yang melibatkan perlambangan vokal, konsonan dan diftong.
c.Penggunaan kata terbitan seperti awalan, akhiran, sisipan dan apitan.
d.Kata serapan Arab dan Inggeris.
e.Tidak merujuk kepada Daftar Kata Bahasa Melayu Rumi- Jawi
f.Tidak mengikut hukum ejaan Jawi.

Tulisan tangan yang ditampilkan lemah.
Oleh sebab pertandingan ini mensyaratkan penyertaan hendaklah menggunakan tulisan tangan, maka tulisan peserta-peserta yang ditampilkan adalah lemah dan ada juga yang sukar dan tidak boleh dibaca. Dengan yang demikian, sukar bagi panel hakim memahami kandungan isi yang disampaikan.

Panel hakim diberi masa kurang 2 bulan untuk menilai. Hatta dalam kategori dewasa pun yang menang pelajar IPT. Panel tak maklum profil peserta kerana segala-galanya sulit dan tak dibekalkan. Jadi tak dapat menilai peratusan sebenar penyertaan esei dewasa, gurukah atau pelajarkah. Harap-harap dapat menjawab soalan dari saudara Hasbi. - al-Kurauwi

 

APRESIASI JAWI 2007

TAHNIAH kepada semua pemenang Pertandingan Apresiasi Jawi 2007 anjuran bersama Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) dan Utusan Melayu (M) Berhad yang menawarkan hadiah utama berupa pakej umrah dan ziarah ke Tanah Suci untuk dua orang. Pememnang tersebut ialah Nor Naemi Md Som dari Johor

YaPEIM telah menyediakan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah RM40,000 bagi empat kategori dalam pertandingan itu iaitu sekolah rendah (pantun jawi), sekolah menengah (cerpen jawi), institusi pengajian tinggi (cerpen remaja jawi) dan umum (esei jawi).

Program itu juga mendapat kerjasama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Radio Ikim.Fm, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Jabatan Pendidikan Islam dan Moral (Japim), Kementerian Pelajaran.

Tumpang senyum dengan sedikit sumbangan untuk menjayakannya. tahniah kepada semua pemenang. Hidup Jawi, Dirgahayu Jawi! – al-Kurauwi

 

13 MEI, SAAT BERDOA

SEMALAM 13 MEI, 18 Jamadilawal 1430 hijriah.

 Orang muda sering dilabelkan buta sejarah, tetapi kami sesungguhnya tidak.Ya, tidak pernah, walau sebesar zarah. Kami menghargai pahit maung pengalaman, mensyukuri titis air mata dan darah pengorbanan. Malah setiap kali usai solat kami tidak pernah lupa berwali kepada Tuhan agar menurunkan ihsan buat mereka yang telah syahid demi menegakkan keamanan dan ‘kemerdekaan’.

40 tahun lalu, saat negara dirusuh, nyawa mereka jadi buruan musuh. Kata mereka bukan kerana bangsa, tetapi demi agama bernyawa, demi tanah merdeka, demi Tuhan yang menurunkan berkat di bumi nusa wangsa, dan mereka telah gugur menyemai nyawa membenih anak waris bangsa.

40 tahun lalu saat tubuh disemadikan, mereka kehilangan nama, tak punya pangkat dan kebesaran dan hilang tanpa batu nisan. Sesungguhnya mereka telah dilupakan. Tetapi kata kami dan kata Tuhan, bahawasanya tidak. “…bahkan mereka hidup, sedang kamu tiada merasakan…”

Cetusan rasa ini ditulis semula daripada entri pada 12 Mei 2008 yang lalu. Sumber gambar dan sejarah 13 Mei 1969 di wikipedia atau bacalah di sini. – al-Kurauwi.

KEADILAN ISLAM MELUMPUHKAN KOLONIALISME

 

KERANGKA keadilan dalam Islam tidak sedikit pun dipengaruhi oleh  ‘Timur’ mahupun ‘Barat’. Islam menekankan kesaksamaan dan bukan kesamaan mutlak seperti yang berlaku dalam falsafah sosialisme. Islam juga tidak serupa dengan kapitalis. Individu diberi kebebasan dalam Islam selagi tiada apa-apa konflik dengan kepentingan masyarakat sedang kapitalis memberi kebebasan penuh kepada individu. Keadilan dalam Islam ditakrifkan sebagai meletakkan sesuatu pada tempatnya yang hak.

Sebagai pemimpin menunaikan hak rakyat secara saksama walaupun berbeza fahaman dan agama memaknakan keadilan dalam Islam. Malah keadilan sudah bersifat universal dan menjadi keutamaan kepada setiap Muslim dan bukan Muslim, apatah lagi dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia hari ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum dalam kalangan manusia hendaklah kamu menetapkan dengan adil.” (Surah al-Nisa’ : 58)

Ketidakadilan yang dilakukan oleh sesetengah pemimpin Muslim kita berpunca daripada kejahilan mereka sendiri yang tunduk mengikut hawa nafsu. Akhirnya tindakan tersebut memberikan kesan yang negatif kepada golongan bukan Islam, lantas mereka mengaitkan Islam dengan fahaman ekstremis yang seolah-olah menghalalkan ketidakadilan yang berlaku.

Terus membaca ‘KEADILAN ISLAM MELUMPUHKAN KOLONIALISME’

KASSIM AHMAD BERTEMU JALAN PULANG?

Blurb

Kassim Ahmad, terkenal bukan sahaja sebagai ahli politik, malah juga sebagai ahli pemikir, sasterawan dan penulis terkenal di Malaysia. Lahir di sebuah kampung pendalaman di Kedah, beliau memasuki Universiti Malaya di Singapura pada tahun 50-an dan seterusnya mengajar di School of Oriental and African Studies, Universiti London 1962-66.

Penglibatan politiknya membawa beliau memegang jawatan Pengerusi, Parti Sosialis Rakyat Malaysia selama 18 tahun (1966-1984) sehingga beliau mengambil keputusan berundur. Kassim banyak menulis pelbagai artikel dan buku. Satu karya beliau yang kontroversi ialah Hadis – Satu Penilaian Semula.

Memoir “Mencari Jalan Pulang – Daripada Sosialisme kepada Islam” ialah hasil tangannya yang terbaru.

Buku Mencari Jalan Pulang ini dilancarkan di DBP, Jumaat 2 Mei 2008. Setelah membaca ‘laju-laju’, entah, saya rasa dia masih ‘Mencari Jalan Pulang’ Allahummahdi Qaumi… – al-Kurauwi

 


 

Mei 2008
I S R K J S A
« Apr   Jun »
 1234
567891011
12131415161718
19202122232425
262728293031  

BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2009

BBK

KARYA TERKINI

CERPEN DI MINGGUAN MALAYSIA
OKTOBER 2009
Kemuncup 2

"KEMUNCUP Di Atas Padang" cerita tentang rintih alam kepada anak-anak gempa yang melanda bumi Padang, Sumatera Indonesia. Cerita tentang Epa Poho yang dipujuk oleh Zahara Talua saat menemui anak yang luka dan duka bersalut lumpur derita. Cerita tentang tanah leluhur kita yang imannya belum teruji sepenuhnya. Makmur diuji nikmat aman hingga hidup bagai tidak bertuhan.

CERPEN DI DEWAN SASTERA
OKTOBER 2009
DDKT

“Al-Qadar Buat Angkasawan Di Bumi” pernah tersiar di Akhbar Mingguan Malaysia, Syawal 2007. Kali ini, cerpen ini diberi penghargaan ke persada MASTERA yang disiarkan dalam Majalah Dewan Sastera (Malaysia), Majalah Horison (Indonesia) dan Majalah Bahana (Brunei). Cerpen ala fiksyen sains angkasa ini terilham daripada kisah dua angkasawan negara Dr. Syeikh Muzaphar dan Dr. Faiz Khaleed.

CERPEN DI BERITA HARIAN
FEBRUARI 2009
dia-lelaki

"Dia, Lelaki yang Baru Saya Salam Itu" terilham berasaskan semangat untuk memboikot produk Amerika lewat perang Gaza, Palestin - Israel. Ideanya timbul usai solat Jumaat di Masjid Hukama’, DBP. Hari tersebut turut disempurnakan dengan Khutbah tentang Gaza beriring Qunut Nazilah dan solat hajat. Dalam khutbah saya menyentuh tentang boikot barangan Amerika termasuk rokok seperti Marlboro atau Benson & Hedges. Semangat boikot saya nampak di mata jemaah yang tidak tidur!

INSYIRAH

insyirah2 Sesungguhnya Novel "Insyirah" ialah novel kedua yang telah lahir daripada rahim Sayembara Mengarang Novel Kanak-kanak dan Remaja 2007 - Dewan Bahasa dan Pustaka. Novel ini telah memenangi hadiah pertama dalam sayembara tersebut. - al-Kurauwi

DI DADANYA KALAM TUHAN

ddkt-blog Sesungguhnya, tidak sampai lima tahun selepas menyertai bengkel penulisan cerpen anjuran KEPEZI (Kelab Penulis Zaharah Nawawi) awal September 2004 Ibnu Ahmad al-Kurauwi sudah mampu menghasilkan 20 cerpen yang melayakkannya memiliki kumpulan Di Dadanya Kalam Tuhan. Hal begini diperakui jarang terjadi. Namun bagi penulis muda pemegang ijazah Kesusasteraan Arab dari Jordan ini tiada perkara mustahil. Ke bulan pun manusia boleh jejak, inikan pula sekadar melahirkan sebuah kumpulan cerpen dalam waktu yang relatif singkat. – Zaharah Nawawi USJ Subang Jaya 9 Mac 2009

TINTA ELIPSIS

Novel TE bergerak sekitar gejolak rasa dan jalanan minda watak Amir Afif Amizul, anak peneroka FELDA, yang berpeluang menekuni bahasa Arab dan Pengajian Islam di Universiti Jordan. Amir Afif mempunyai sedikit sebanyak pengalaman dalam bidang penerbitan (TE: 25/7), iaitu selain pengalamannya sebagai konsultan yang ditimbanya selama lima tahun bertugas dengan Syarikat Amal Profesional Sdn. Bhd. (TE: 28) Amir Afif berhadapan dengan beberapa masalah yang wajar diatasinya sebijak mungkin. - Dr. Anis

TINTA LARIS

TINTA SAPA

ibnuahmadalkurauwi pada MAHU JADI PENYAIR
edolah pada MAHU JADI PENYAIR
al-Kurauwi pada BAHASA MELAYU VS BAHASA M…
Katakanlah pada BAHASA MELAYU VS BAHASA M…
ibnuahmadalkurauwi pada ANTOLOGI CERPEN JAWI

TETAMU

  • 64,879 hits

RSS Saifulislam.Com

  • Aidiladha: Satu Kekurangan Seribu Kelebihan 26 November 2009
    Semuanya tiada. Tiada Jualan Murah. Tiada Lagu Raya. Tiada rancangan khas di televisyen. Tiada mercun dan panjut menghias malam. Segalanya tiada. Ibu kota sunyi sepi. Tiada hiruk pikuk seperti menyambut ketibaan Syawwal. Apa yang sayup-sayup terdengar hanyalah Takbir. Di menara masjid, di surau-surau, di sesetengah rumah. Itu sahaja. Tetapi, tidakkah itu sem […]

RSS Faisal Tehrani

  • Selamat Hari Raya Korban 26 November 2009
    Setahun sudah berlalu saat saya berada di padang Arafah, menunggu subuh di Mudzalifah, berjalan bersama teman-teman dari Iraq ke Mina dan pulang ke Mekah sambil menahan sengal otot dengan rasa bak 'patah pinggang' lantaran banyak berjalan. Rindu kepada Baitullah dan keasyikan haji amat menggelora dalam hati.Selamat hari raya korban. Paling tidak in […]

RSS Nisah Haron Online

  • SAKM - X : Sastera Rentas Ilmu 17 November 2009
    Insya-Allah, saya akan membentangkan kertas kerja (kertas catatan, sebenarnya) di dalam Seminar Antarabangsa Kesusasteraan Melayu ke-10 di UKM pada 19 November.Seminar dijadualkan berlangsung selama dua hari : 18 - 19 November 2009 di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, UKM.Jadual sudah saya lampirkan di dalam entri terdahulu. Sila rujuk entri sebelum ini […]

RSS Serunai Faqir

  • Warisan Melayu - Gendang Silat 6 November 2009
    Upacara Penganugerahan Sandang Silat Gayong yang disempurnakan oleh Y.A.M Tengku Datuk Seri Tengku Ahmad Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah berlansung di Kuala Lumpur International Hotel pada 25 Oktober yang lalu. Kumpulan kami dijemput mengiringi majlis.

RSS BECKyilHAM

  • Karya Berwacana Yang Disisip Elemen Cinta dan Karya Berbumbu Cinta Yang Disendal Ilmu Bantu 22 November 2009
    Saya pernah (baca: masih) tersinggung dengan pertanyaan seorang penulis sebaya usia dalam arena penulisan apabila dia bersungguh mendapatkan kepastian tentang sebuah cerpen saya. Tanyanya begini:"Akhirnya, cerpen itu cerpen cinta jua bukan? Kerana di hujung cerita T membawa J bertemu kedua ibu bapanya."Kepastian itu dipinta di hadapan beberapa tema […]

RSS Coretan Perjalanan ZulDeanz

  • Segala-galanya Sudah Berubah 11 November 2009
    Dua minggu lalu, penulis telah menghadiri satu majlis perkahwinan seorang rakan di Banting, Selangor. Entah kenapa secara tiba-tiba sahaja penulis terkenangkan kembali memori indah semasa di sekolah menengah dahulu. Secara kebetulan rumah pengantin berhampiran dengan sekolah, tempat penulis pernah belajar dahulu, penulispun mengambil kesempatan berkunjung da […]

Flickr Photos

Eid mubarak :)

More Photos