
Tanda orang lupakan diri, tidak ingat lagi bahasa sendiri,
Tanda orang tidak amanah, bahasa sendiri dipandang rendah,
Tanda orang bodoh dan bebal, ke bahasa sendiri dia tidak kenal,
Tanda orang bebal dan dungu, berbahasa sendiri ianya malu,
Apa tanda orang yang dungu, ke bahasa sendiri dia tidak tahu,
Apa tanda orang yang malang, bahasa sendiri ianya buang.
Siapa bercakap kasar langgar, malangnya banyak celakanya besar,
Siapa berkata kasar langgar, budinya rendah imannya longgar,
Tanda orang tidak berbudi, bercakap suka tinggi meninggi,
Tanda orang berhati keji, bual selangit cakap meninggi,
Tanda orang buruk pekerti, bercakap selalu membuang budi,
Tanda orang tak berharga diri, bercakap dengan membuang budi.
- Kata Pak Tenas Effendy dalam Syarahan Raja Ali Haji yang bertajuk ‘Kearifan Orang Melayu Berbahasa’ di DBP.
Petikan kata-kata orang tua seperti ini harus menjadi peringatan kepada kita anak-anak ‘blog’. Gerun melihat dalam banyak blog (agama) bahasa kesat, carut-marut dan maki hamun dalam berhujah atau mempertahankan hujah atau mempertahankan tokoh-tokoh tertentu berleluasa digunakan. Ya, mentaliti kita masih ditakuk ketiga. Kita jarang berfikir sebelum menulis. Mudah tergelincir dan mudah berbuat dosa kerana bukanlah pahala kebaikan andai akal buruk mendahului amalan. Sumber gambar akhbar Utusan Malaysia 13 Oktober 2008 -al-Kurauwi
TINTA SAPA