
PULANG ke desa baru-baru ini, seronok melihat wajah rindu Bonda dan ayahanda dibedak warna bahagia mendakap kasih anak-anak dan cucu-cucunya. Selalunya aktiviti pertama yang kami lakukan apabila pulang ialah menjenguk ke jendela melihat pohon-pohon durian Bonda berbuah ataupun tidak.
Kata Bonda, pohon duriannya yang meneduh di belakang rumah sudah banyak yang berbunga. Hujan setiap petang menyebabkan bunganya gugur memutih di perdu, Bonda sedikit mengeluh. Kata Ayahanda, walaupun pohon durian meriah berbunga, belum tentu bunga yang lekat berputik dan putik yang lekat berbuah sempurna untuk dinikmati isinya. Banyak sangat tupai dan beruk yang mengganggunya sebelum sempat kami nikmati.
Sekonyong-konyong saya terbayangkan Insyirah. Dalam pada bahagia melihat kuntum-kuntum ‘Insyirah’ kembam berbunga, Kumpulan Cerpen ‘Di Dadanya Kalam Tuhan’ lekas berbunga, berputik, berbuah dan wanginya jatuh ke riba. – al-Kurauwi



Sesungguhnya Novel "Insyirah" ialah novel kedua yang telah lahir daripada rahim Sayembara Mengarang Novel Kanak-kanak dan Remaja 2007 - Dewan Bahasa dan Pustaka. Novel ini telah memenangi hadiah pertama dalam sayembara tersebut. - al-Kurauwi
Sesungguhnya, tidak sampai lima tahun selepas menyertai bengkel penulisan cerpen anjuran KEPEZI (Kelab Penulis Zaharah Nawawi) awal September 2004 Ibnu Ahmad al-Kurauwi sudah mampu menghasilkan 20 cerpen yang melayakkannya memiliki kumpulan Di Dadanya Kalam Tuhan. Hal begini diperakui jarang terjadi. Namun bagi penulis muda pemegang ijazah Kesusasteraan Arab dari Jordan ini tiada perkara mustahil. Ke bulan pun manusia boleh jejak, inikan pula sekadar melahirkan sebuah kumpulan cerpen dalam waktu yang relatif singkat. – Zaharah Nawawi USJ Subang Jaya 9 Mac 2009
Salam … tahniah!
kanda ustaz, tahniah. wah, barangkali sebaya dengan Mencari Gayung.
Terima kasih SF,
Meminjam semangat kawan-kawan. Kalau memikirkan sibuk mana mungkin, bisa menulis.
Terima kasih, Ren.
Mencari Gayung lebih awal terbitnya kemudian menyusul DDKT. Kami berkongsi lecekapan, kesegeraan dan kebijakan editornya yang sama aspirasinya. Dan kami meminjam semangat Mazhab Cinta.
Jadi nama anda Azman Ahmad. Tapi memakai gelaran Ibn Ahmad Al-Kurauwi?
Saudara,
Salam ziarah. Seperti bayi yang lahir, tidak mampu bertanya kepada ibu bapanya, mengapa nama itu menjadi pilihan. Jemput membaca dan mengulas!