SUKAR mencari rakan-rakan yang sanggup membeli karya kita, membaca karya kita, kemudian memberi komen yang jujur dan menulis pandangannya terhadap karya tersebut. Andai ada empat etos tersebut dilakukan oleh rakan-rakan anda, maka berikanlah segunung penghargaan. Saya ada dua orang rakan penulis mapan: Tuan Haji Shapiai Mohd Ramly dan Saudara Kholid Hamzah yang memberi komen terhadap dua buah karya saya dalam blog masing-masing:
Kata Tuan Haji Shapiai: “Dua buku yang saya beli di Pesta Buku Antarabangsa KL 09 ialah buku karya Azman Ahmad atau nama penanya Ibnu Ahmad al-Kurauwi. Dari kumpulan kumpulan cerpen beliau yang berjudul, ‘Di Dadanya Kalam Tuhan’, saya mula mengunyah cerpen beliau yang berjudul , “Bahasa Pelangi” kerana tertarik dengan judulnya. Membaca pelangi adalah membaca kisah-kisah indah hidup seseorang insan. Begitulah kesan pertama saya setelah membaca buah tangan Ibnu Ahmad al-Kurauwi itu.
‘Di Dadanya Kalam Tuhan’ (DBP: 2009) menghidangkan 20 buah cerpen yang pernah terisar dalam pelbagai media. Kemudian saya terus membaca beberapa buah cerpen beliau yang lain seperti, ‘Syahadah Mc. Allister’, ‘Dan Kuntum Syawal pun Mewangi’, ’Memintas Al-Qadar’, ‘Kerudung Kefiyyeh Baba’, ’Dari Kerisek ke Baiturrahman’, ’Tiga Drama dalam Tiga Gerabak Keretapi’,’Dua Lewat Taubat’, dan ‘Di dadanya Kalam Tuhan’.
Sebagai Seorang Ustaz, sudah tentu Ibnu Ahmad al-Kurauwi banyak menyelitkan kisah-kisah pengajaran. Dari seorang pemuda Inggeris yang melafazkan syahadah kerana hendak ‘jadi Melayu’, seterusnya bagaimana seorang Walid yang menghadapi fitnah dan seorang suami yang kehilangan isteri tercinta banyak mengajar kita tentang erti kasih sayang, kesabaran dan juga penyesalan.
Bagi saya cerpen-cerpen beliau menarik kerana penggunaan ayat-ayatnya yang indah dan segar. Terutama selepas membaca ‘Bahasa Pelangi’. Lihat saja ayat-ayat ini:
- Bukan tidak mahu berduka tetapi saya sudah berlara-lara diyatimkan Tuhan…,
- Sempat saya bancuhkan sebuah senyuman manis bergaul pahit ke wajah ma..,
- Tahulah ma masih memeram dendam, kerana itu tiada tangan yang melambai kami pergi, tiada terjunan air mata…’
- Walang menumpang di kedut wajahnya,
- Saya cuba membuka mangga bicara yang mengunci mulut abah,
- Cukuplah kematian Wardah memenjara lidah saya, mengemam bibir dari berkata-kata,
- Saya kehilangan kata-kata kerana sebak bertali di uncang dada. “



Sesungguhnya Novel "Insyirah" ialah novel kedua yang telah lahir daripada rahim Sayembara Mengarang Novel Kanak-kanak dan Remaja 2007 - Dewan Bahasa dan Pustaka. Novel ini telah memenangi hadiah pertama dalam sayembara tersebut. - al-Kurauwi
Sesungguhnya, tidak sampai lima tahun selepas menyertai bengkel penulisan cerpen anjuran KEPEZI (Kelab Penulis Zaharah Nawawi) awal September 2004 Ibnu Ahmad al-Kurauwi sudah mampu menghasilkan 20 cerpen yang melayakkannya memiliki kumpulan Di Dadanya Kalam Tuhan. Hal begini diperakui jarang terjadi. Namun bagi penulis muda pemegang ijazah Kesusasteraan Arab dari Jordan ini tiada perkara mustahil. Ke bulan pun manusia boleh jejak, inikan pula sekadar melahirkan sebuah kumpulan cerpen dalam waktu yang relatif singkat. – Zaharah Nawawi USJ Subang Jaya 9 Mac 2009
TINTA SAPA