Alhamdulillah, sesungguhnya segala puji dan puja kami buat-Mu Ya Allah
Tuhan yang selayaknya disembah dan selayaknya tangan menadah
Salam dan selawat memohon syafaat kepada baginda Rasulullah.
Selawat yang menyelamatkan kami daripada segala musibah
Yang menyempurnakan segala hajat
Yang menyucikan kami daripada segala maksiat
Yang mengangkat kami ke sisi-Mu setinggi darjat
Moga bertambah kebaikan di dunia dan di akhirat.
Ya Allah Ya Hannan Ya Mannan
Sempena sambutan ulang tahun ke-53, Dewan Bahasa dan Pustaka.
Kami bersyukur atas segala nikmat yang Engkau kurnia.
Kerana tertumpah segala cinta buat organisasi waja,
Dewan pusaka, gunung gemilang bangsa, citra negara merdeka.
Ya Qahhar,
Inilah organisasi kami, gunung bertuah dari suatu sejarah,
api dari suatu zaman, nyala obor kebangsaan.
Ya Qahhar, inilah organisasi waja,
Sari pendeta berpena bitara perakam jiwa bangsa
Tintamu teramu dari tulus jiwa embun maya
Warnamu merah dari titis darah perwira
Ya Allah, setelah kami tegak kan liwak di puncak
Janganlah Engkau undang nujum bertapa
Menuba firasat sesat dengan jampi dan mantera
Ya Allah, janganlah engkau senyawakan anai-anai membina busut
Menggigit dari dalam mahu gunung kami mereput
Ya Allah,
Gunung gemilang kami, jangan ditanggalkan tulang belulangnya
Jangan dipawang dengan kemenyan wasangka
Jangan ditebuk gua-gua untuk bertapa
Dalam gelita menyucuk fitnah dan caci-cela
Dalam terang, lalang-lalang tumbuh subur dengan miang berbisa
Ya Allah,
Kamilah gunung sejantung obornya tetap menyala
Tak kan padam biar tengkujuh bermaharajalela
Menyuluh saat gelita dan bisik nestapa
Kerana kami khalifah akan terus menulis sejarah
Pena kami tidak akan dibiar patah
Tinta kami tidak akan tersejat oleh amarah
Ya Allah,
Kamilah gunung sejantung penyambung tradisi agung
Sedarkanlah kami andai terlupa kejutkanlah kami andai masih terlena
agar gagah mempertahankan sila bahasa, mulus sastera milik singgahsana bangsa.
Ya Allah, kamilah legasi gunung sejantung terus tinggi menabur budi
Puncaknya mencolok dada langit
Pangkalnya menyimpul peribadi insani
Ya Allah demi 53 tahun dewasanya Dewan Bahasa dan Pustaka
Susah senang kami bersama, bersatu seia dan sekata,
Janganlah kiranya kami khianati amanah Tuhan yang Esa.
Ibnu Ahmad al-Kurauwi
Sempena Sambutan Ulang Tahun 53 DBP




Sesungguhnya Novel "Insyirah" ialah novel kedua yang telah lahir daripada rahim Sayembara Mengarang Novel Kanak-kanak dan Remaja 2007 - Dewan Bahasa dan Pustaka. Novel ini telah memenangi hadiah pertama dalam sayembara tersebut. - al-Kurauwi
Sesungguhnya, tidak sampai lima tahun selepas menyertai bengkel penulisan cerpen anjuran KEPEZI (Kelab Penulis Zaharah Nawawi) awal September 2004 Ibnu Ahmad al-Kurauwi sudah mampu menghasilkan 20 cerpen yang melayakkannya memiliki kumpulan Di Dadanya Kalam Tuhan. Hal begini diperakui jarang terjadi. Namun bagi penulis muda pemegang ijazah Kesusasteraan Arab dari Jordan ini tiada perkara mustahil. Ke bulan pun manusia boleh jejak, inikan pula sekadar melahirkan sebuah kumpulan cerpen dalam waktu yang relatif singkat. – Zaharah Nawawi USJ Subang Jaya 9 Mac 2009
Ameen. Semoga Allah SWT menerima doa ini. Dalam zaman yang ada pelbagai permainan ini, kita perlu kuatkan semangat dan terus berusaha untuk meneruskan perjuangan lalu. Mungkin zaman berbeza, cara berlainan, tetapi tujuan tetap sama.
Amin Ya Rabbal Alamin…
Terima kasih Ustaz, atas karangan puisi doa ini.
Ya, benar Kak Ton,
Harap sangat matlamat tidak menghalalkan cara.
Embun,
‘Tintamu teramu dari tulus jiwa embun maya’
Bagaimana agaknya, andai setiap novel ditulis dengan warna embun. Embun bukan kerana warnanya, tetapi kerana warna tulus ikhlasnya yang suci dan bersih.
Ustaz,
Teruskan perjuangan bersama sama ada di KL mahupun di Hujung Tanah yang telah berjalan selama 53 tahun ini. Cuma… sikit komentar pendek (atau mungkin pandangan yang tak tentu hala… hehehe…) yang boleh difikirkan bersama, saya ada tulis dalam blog rarws berjudul ‘DBP BERUSIA 53 TAHUN… MAJORITI MASYARAKAT SEDARKAH?
Terima kasih sahabatku Rusdi,
Mana yang lebih utama, mahu Tuhan nampakkah atau mahu masyarakat nampak? Manusia barangkali terkhilaf, tetapi Tuhan tidak walaupun sebesar zarah.