i
Atas seperdua sejadah kusam
Kukoyakkan helaian kuras malam
Menjadi lembar sunyi yang menebak nurani
Setelah sekilat hidayah memetir amarah
Kalbu merah membelah sebuah muhasabah
dek pahala amal yang tersejat di kantung maksiat
dek bakti pertiwi bergelumang daki dan karat
Saat diselak fajar dinihari
Segalanya cicir berselerakan di gerbang rezeki
Antara tanah yang subur, hujan pahala yang lebat
dan belut haloba yang melumpur di sebalik nikmat.
Atas seperdua sejadah kusam
Kupeluk sesal di atas bahu malam
Gunung kalbu retak sumbunya dalam gegar gempita
Kubiarkan lahar dosa padam di kolam nasuha
cair di atas puing-puing lensa kerja yang sesia.
Dahulu sehelai baju berkolar biru
menjadi seragam diri meladang nafsu.
Sekuntum bibir tumbuh liar bersari pedu
sebilah lidah ramah menikam fitnah
sepasang tangan sogok meramas ghairah daging merah
sepasang kaki tempang melangkah tanpa arah.
Sebahagian daripada puisi sepanjang 500 patah perkataan.

Usai deklamasi puisi, saat merakamkan terima kasih kepada pendengar, tidak lupa saya ucapkan syukur kepada Tuhan atas kemenangan puisi ini – tempat pertama, Sayembara Mencipta Puisi Kualiti DBP 2009 – dan penghargaan kepada Saudara Sharifullizan Yahya dan Nazira Mohd Noor, kerana memberikan inspirasi dan galakan agar tidak patah semangat untuk menulis setelah tiga kali mencuba. Sesungguhnya kita masih belajar menulis puisi. - al-Kurauwi



Sesungguhnya Novel "Insyirah" ialah novel kedua yang telah lahir daripada rahim Sayembara Mengarang Novel Kanak-kanak dan Remaja 2007 - Dewan Bahasa dan Pustaka. Novel ini telah memenangi hadiah pertama dalam sayembara tersebut. - al-Kurauwi
Sesungguhnya, tidak sampai lima tahun selepas menyertai bengkel penulisan cerpen anjuran KEPEZI (Kelab Penulis Zaharah Nawawi) awal September 2004 Ibnu Ahmad al-Kurauwi sudah mampu menghasilkan 20 cerpen yang melayakkannya memiliki kumpulan Di Dadanya Kalam Tuhan. Hal begini diperakui jarang terjadi. Namun bagi penulis muda pemegang ijazah Kesusasteraan Arab dari Jordan ini tiada perkara mustahil. Ke bulan pun manusia boleh jejak, inikan pula sekadar melahirkan sebuah kumpulan cerpen dalam waktu yang relatif singkat. – Zaharah Nawawi USJ Subang Jaya 9 Mac 2009
assalamualaikum kanda ustaz. wah, tahniah! hebat puisinya.
Waalaikum salam Ren,
Janganlah macam tu, Kanda sebenarnya sedang belajar meneliti bait-bait puisi Ren. Tiadalah hebat mana berbanding puis-puisi Ren yang sudah menempah tempat di dada akhbar. Izinkan Kanda belajar. Curahkanlah!
kanda ustaz, ren jua sentiasa belajar dari semasa ke semasa. banyak yang perlu diperbaiki. melalui karya-karya kanda, banyak yang ren perolehi terutamanya rentak dan gaya bahasa kanda.
Ren,
“Melalui karya-karya kanda, banyak yang ren perolehi terutamanya rentak dan gaya bahasa kanda.”
Ya, marilah sama-sama kita belajar.
Assalamualaikum,
Terlalu lama tidak bertandang ke sini. Setiap kali menyinggah, nampaknya pasti ada sesuatu yang baru. Alhamdulillah, baguslah. Memang sangat menarik melihat gaya penyampaian al-kurauwi. Mesej yang berat tersirat dalam ayat yang disurat. Insya Allah saya akan dapatkan Di dadanya kalam tuhan dan Insyirah.
Teruskan! Semoga dirahmati Allah selalu.
Terima kasih Dr. Hasanah,
Terima kasih atas ziarah. Sokongan daripada rakan-rakan seperjuangan bak sumbu yang menjadi jambatan di antara minyak dengan api.
Salam,
Ustaz, tahniah
Mabrouk!
Tapi, yang puisi penuh, mana boleh didapatkan, Ustaz?
Wassalam.
Kanda S.K.
Nanti saya masukkan sebahagian lagi. Terima kasih.