Archive for the 'Artikel Tokoh' Category

SAYA SELESA BERTUDUNG

BERKAT doa dan keinginan yang kuat serta dorongan daripada keluarga akhirnya Tengku Puan Pahang, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah Sultan Iskandar memilih untuk memakai tudung kepala.

Beliau berkata, hasrat untuk memakai tudung menjadi impiannya sejak zaman remaja, tetapi ia hanya menjadi kenyataan selepas pulang daripada menunaikan ibadat haji di Makkah awal tahun ini. 

“Sebagai wanita Islam saya mempunyai hasrat untuk memakai tudung kepala, tetapi hasrat saya itu belum menjadi kenyataan daripada zaman remaja hinggalah saya berkahwin dan mempunyai anak. Bagaimanapun saya tidak berhenti berdoa kepada Allah untuk memakai tudung kerana bertudung dan menutup aurat adalah suatu yang wajib bagi seseorang wanita beragama Islam.”

Selain berdoa selepas menunaikan solat, saya juga berdoa ketika menunaikan ibadat haji yang pertama ketika saya belum berkahwin dan doa itu diteruskan ketika saya menunaikan ibadat haji pada kali kedua ketika berusia 32 tahun,” katanya kepada Berita Harian ketika ditemui di Kuantan.

Tengku Puan Pahang berkata, setiap kali menunaikan ibadat haji di Makkah, beliau akan berdoa untuk memakai tudung seperti mana dilakukan wanita Islam lain.

Suaminya, Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah pernah menasihatkannya supaya memakai tudung, tetapi hatinya masih belum terbuka untuk memakainya.  Selain itu, beliau berkata, hatinya turut merasa malu apabila mengadakan lawatan ke kampung di seluruh Pahang apabila mendapati wanita yang menyambut kedatangannya semuanya memakai tudung.

 “Saya rasa malu kerana wanita berkenaan nampak kemas memakai tudung, sedangkan saya masih tidak bertudung. Bagaimanapun ketika itu, hati saya masih belum terbuka untuk bertudung, sehinggalah saya pergi menunaikan ibadat haji bersama suami pada awal tahun ini, Allah membuka pintu hati saya untuk memakai tudung. 

“Saya gembira kerana berjaya memakai tudung kepala sejak pulang dari tanah suci itu hingga ke hari ini dan akan terus memakainya hingga ke akhir hayat,” katanya.Tengku Puan mengakui semua ahli keluarganya, terutama suami dan putera puterinya melahirkan rasa senang hati melihat beliau memakai tudung.“Anak saya sendiri, Tengku Hasanal Ibrahim Alam Shah juga sentiasa memuji saya dengan mengatakan ‘mama nampak cun dan kemaslah sejak pakai tudung’,” katanya.Beliau berkata, pujian dan dorongan daripada keluarga menjadikannya sentiasa gembira apabila mengenakan tudung, terutama apabila menghadiri pelbagai program yang diadakan di seluruh negeri ini.

Petikan Akhbar Berita Harian Oleh Zaharah Manan

PAK UNGKU YANG MUDA

SAYA sangat teruja bila dikhabarkan akan bertemu dan berbincang dengan Pak Ungku Aziz di Universiti Malaya. Saya yang diamanah mentransliterasi buku Allayarham Zaaba “Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri” dari tulisan rumi ke tulisan Jawi sedikit berdebar. Dalam kepala menelah soalan-soalan renyah mengenai sistem ejaan tulisan Jawi yang kononnya caca merba. 

Semalam, kami bersama-sama dengan Kak Hanim, Ketua Bahagian Sains Sosial bergegas  ke UM lebih awal. Temu janjinya pukul 11.00 pagi. Dalam usia 85 tahun, Pak Ungku datang tepat waktunya, memanjat tangga ke bilik mesyuarat dengan bergaya. Tanpa bongkok dan tanpa alat sokongan!

Waktu kosong sambil menunggu ahli mesyuarat dari ITNB dan UM sendiri kami berbual isi (bukan kosong). Setelah berbasa-basi dengan khabar kesihatan, Pak Ungku mengakhiri dengan, “Oh, hari ini sahaja saya tidak berjoging!” Wah, saya yang berjarak usia 52 tahun ini tertemplak inti diksinya ke hati. Dalam usia 33 tahun inipun, liatnya untuk bersukan, liat untuk mengunyah ulam dan sayuran. Agaknya liat juga untuk terus kekal muda!

Selain teruja dengan kesihatannya, saya terkesima dengan caranya berfikir, caranya mengendalikan mesyuarat dan objektifnya yang jelas. Beliau menghargai dan menghormati cabang ilmu yang kurang beliau kuasai dengan bahasa yang lembut, beradab dan menghormati keilmuan orang lain! Pulang ke DBP menu tengah hari saya langsung berubah. Nasi separuh, ikan dan ulam-ulaman hijau! Puas saya mengunyah! Berikut saya perturunkan ketokohan Pak Ungku dari laman sesawang http://ms.wikipedia.org/wiki/Ungku_Aziz 

- Ibnu Ahmad al-Kurauwi

Terus membaca ‘PAK UNGKU YANG MUDA’

ZAABA TOKOH ULAMA?

SAYA sedang menangani sebuah buku yang ditulis oleh Allahyarham Zaaba bertajuk “Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri”. Kali terakhir buku ini diterbitkan ialah pada tahun 1987 oleh Dewan Bahasa dan Pustaka. Dengan kerjasama Universiti Malaya, buku ini sedang diberi nafas baharu dengan memuatkan dua versi bahasa dan dua versi tulisan, iaitu bahasa Inggeris dan Melayu, rumi dan Jawi.

Saya diamanahkan untuk menteransliterasikan buku ini dari tulisan Rumi kepada tulisan Jawi. Kerja-kerja ini memerlukan daya usaha yang lebih untuk kita membaca dari satu perkataan ke satu perkataan dan mentransliterasikan pula dalam tulisan Jawi yang disempurnakan. Secara tidak langsung saya telah menghadamkan buku ini bulat-bulat ke dalam hati dan jiwa. Zatnya bersemarak dalam setiap urat dan nadi.

Rupa-rupanya Pendeta Zaaba bukan sahaja seorang tokoh bahasa dan budayawan negara. Malah beliau (dalam hati kecil saya) tokoh cendekiawan dan mujaddid zaman yang mahu melihat bangsanya memegang agama dalam diri sebagai citra rujukan dan kemajuan.

Tulisannya mendahului zaman. Malah buku ini bukanlah yang pertama dalam laras wacana agamanya. Buku-buku lain dan artikel-artikelnya terakam dalam beberapa buah majalah seperti Lembaga Melayu, Pengaruh dan al-Ikhwan. Buku seperti Asuhan Budi dan Falsafah Takdir berbaur kritikan keras terhadap kemunduran orang Melayu yang tidak percaya kepada kebolehan diri kita, lemah cita-cita, terlalu bergantung atau berharap kepada orang lain.

Kita terlalu berharap kepada doa para ustaz dan tok lebai. Tawakal melampau kita, Tahlil dan Yasin kita, air jampi, air yasin kita hatta bomoh dan pawang menjadi tangkal dan tasbih kita agar rezeki di langit jatuh ke riba. Itulah ikhtiar kita berkiblatkan taklid buta kita dan itulah kononnya kehendak Islam selama-lamanya.

Kelantangan beliau mengingatkan saya kepada Dr. Mohd Asri Zainal Abidin, Mufti Perlis kini. Keterbukaan Islam yang diketengahkan itu ramai yang memuji dan ada juga yang mengeji. Allahyarham Zaaba juga tidak kurangnya. Buku ini pernah suatu ketika diharamkan oleh sebuah kerajaan negeri.

Sayang, buku edisi lama, berkulit coklat ini sudah habis dipasaran. Entah mengapa tergerak hati ini untuk membeli buku Zaaba ini lebih dahulu  sebelum diberi tugasan ini. Itupun tempatnya  dalam satu lelongan besar-besaran dengan harga serendah RM1 senaskhah. Walau bagaimanapun saya pasti nilainya dalam memberi kefahaman dan kesedaran orang Melayu untuk berubah pastilah besar pahalanya di sisi Tuhan. Al-Fatihah buat Pendeta Zaaba!

- Ibnu Ahmad al-Kurauwi  

MUHAMMAD IQBAL: Seniman Yang Berdakwah Menerusi Pena

Wahai Muslimah Kelumbungmu hijab yang memelihara kehormatan kami.
Suatu rahmat bagi kami, kekuatan agama kami, asas umat kami.
Bibir putera-puteri kami mereguk susu di dadamu,
Sejak mula belajar menyebut kalimah La ilaha illallah,
Cintamulah yang mencorakkan pemikiran kami, kata-kata kami, amalan kami,
Panahan kilat kami beradu dalam awanmu,
Berkemilau di gunung, menyapu tanah pamah.
 Wahai Muslimah Tinggi, tinggi, keinginan yang bergelut dengan dirimu!…Teladan sempurna, Fatimah ‘Afifah itu,
      Meskipun sekalian makhluk mentaati suruhannya,
      Namun ia menenggelamkan iradatnya dalam keredaan suaminya yang salih.
      Terdidik tabah dan rendah hati,
      Sedang bibirnya mentilawah kitab suci,
 Ia memutar kisaran gandum di rumahnya
      Insaflah sentiasa akan tuladanmu, Fatimah
      Agar dahanmu akan membuahkan Hussin yang baharu,
      Taman sari kita berkembang mekar dengan zaman kencana.

Syair ini ialah sebahagian daripada kata-kata indah yang menggambarkan tentang peranan wanita dan ibu dalam Islam. Syair ini ditulis oleh seorang tokoh sasterawan besar dalam sejarah dunia Islam. Beliau yang dimaksudkan ialah ‘Allamah Muhammad Iqbal bin Nur Muhammad bin Rafi seorang tokoh intelek dan falsafah Islam yang sangat tersohor.  

Seniman Muhammad Iqbal ini dilahirkan pada 9 November 1877. Beliau dibesarkan dalam keluarga golongan menengah Punjab di Sialkot, (kini di Pakistan). Beliau dikatakan berketurunan Kashmir, ini kerana datuknya iaitu Shaikh Rafiq telah mengikut gerakan penghijrahan besar-besaran dari Kashmir lalu menetap dan membina kehidupannya di Sialkot. Pada tahun 1892 Muhammad Iqbal bertemu jodoh dengan Karim Bibi dan dianugerahi tiga orang anak. Malangnya perkahwinan mereka tidak kekal lama dan berpisah pada tahun 1916.  Sejak kecil lagi Muhammad Iqbal dan adik-beradiknya sudah terdidik dalam suasana keluarga yang mengutamakan aspek spiritual. Tambahan pula bapanya iaitu Shaikh Nur Muhammad dan ibunya, Imam Bibi sangat kuat berpegang kepada disiplin beragama. Setiap kali selesai sahaja solat subuh, Muhammad Iqbal akan membaca al-Quran. Pernah pada suatu hari, ayahnya berkata, “Wahai Iqbal, bacalah al-Quran seolah-olah ia diturunkan untukmu!” Kemudian Iqbal menjawab, “Wahai ayah sesungguhnya aku merasakan seolah-olah al-Quran berbicara kepadaku.” Hasilnya, elemen spiritual inilah yang banyak mempengaruhi karya-karya beliau dalam penulisan kreatif terutamanya dalam bidang sastera Islam. Oleh sebab itu tidak hairanlah, sebagai seorang pemikir beliau memasukkan dimensi spiritual dalam khazanah pemikiran Islam. 

Proses perkembangan pendidikan Muhammad Iqbal sedikitpun tidak terjejas walaupun ketika itu India di bawah kekuasaan British. Polisi pemerintahan British juga tidak mengubah dasar bahasa di sekolah-sekolah malah menjadikan bahasa Parsi sebagai bahasa utama pengajaran. Di daerah kelahirannya ini, Muhammad Iqbal mula mendapat pendidikan awal. Bermula di sinilah minat Iqbal terhadap dunia sastera mula dipupuk. Hal ini dikesan oleh gurunya iaitu Sayyid Mir Hassan apabila beliau melihat minat dan kecenderungannya kepada sajak-sajak klasik.  Muhammad Iqbal percaya dengan menguasai banyak bahasa dunia selain dari bahasa Urdu dan Parsi seperti bahasa Inggeris dan bahasa Arab mampu mengembangkan minat serta ilmunya dengan lebih luas lagi. Pada tahun 1895 beliau melanjutkan pelajarannya di sebuah kolej kerajaan di Lahore pada peringkat Ijazah Sarjana Muda dalam bidang falsafah, bahasa Arab dan kesusasteraan Inggeris. Pada tahap ini Iqbal mula mengatur langkah untuk menulis puisinya secara serius dan meraih nama sebagai penyair bahasa Urdu sebelum berangkat ke England. 

Pada tahun 1905 beliau melanjutkan pengajiannya ke Eropah dan memperolehi Ijazah Sarjana Muda dalam bidang undang-undang dari Universiti Cambridge dan Ijazah Kedoktoran dalam bidang falsafah dari Universiti Munich.  Pada tahun 1908 beliau kembali ke tanah air dan menceburi bidang undang-undang serta aktif menyampaikan ceramah di universiti-universiti India. Koleksi ceramah akademik beliau kemudiannya dibukukan dan diterbitkan dalam bahasa Inggeris dengan judul ‘The Reconstruction of Religious Thought in Islam’ Kesibukan beliau terhadap kerjaya tersebut tidak menghalang minat dan tumpuan beliau dalam bidang kesusasteraan pada satu masa.  

Muhammad Iqbal banyak mengubah puisinya dalam bahasa Urdu, Parsi dan Inggeris. Puisi besarnya yang terkenal iaitu Asrar-e Khudi (The Secret of the Self) yang ditulis dalam bahasa Parsi. Dalam karyanya ini beliau menegaskan beberapa konsep tentang diri, perinsip kehidupan, alam semesta, dan asas kehidupan manusia. Hasil koleksi puisinya yang kedua juga ditulis dalam bahasa Parsi iaitu Rumus-e Bekhudi (The Mysteries of Selflessness). Kali ini Iqbal mengimbang balas deria keegoan dan keindividuan dalam karyanya yang pertama dengan idea yang lebih menjurus kepada persaudaraan dan ibadah dalam Islam. 

Koleksi puisinya yang pertama ditulis dalam bahasa Urdu ialah Bang-e Dara (Seruan Perjalanan) yang lebih bersifat nasionalistik dan bertemakan cinta. Antara puisinya yang terkemudian yang terkenal ialah Khizr-e Rah (Panduan di Perjalanan). Koleksi puisi ini cenderung membuka kesedaran kepada umat Islam agar tidak mudah terpesona dengan kerajaan dan undang-undang Barat.  Walaupun Muhammad Iqbal dibesarkan dalam tradisi intelektual Barat namun beliau tidak menjadikan sistem Barat sebagai model ikutan. Tetapi tidak pula bermakna beliau anti-Barat, ini kerana pada pandangan beliau apa yang harus diambil oleh umat Islam dari Barat adalah ilmu pengetahuan dan kemajuan teknologinya. Dalam syair-syairnya sendiri Iqbal banyak menterjemahkan kesungguhannya untuk membakar semangat umat Islam agar sentiasa bergerak dan maju. Dalam sebuah sajak beliau berkata:“Umat Islam, bila ingin maju, harus mampu berpacu dengan waktu… Sekali umat Islam terhenti, bererti dia membiarkan dirinya tergilas dek sang waktu” 

Iqbal melihat seni sebagai mahkota seniman. Penghayatan seorang seniman terhadap keindahan akan menimbulkan cinta yang mendalam. Dalam menyampaikan tugasnya, seorang seniman harus jujur dan bersungguh-sungguh dalam berkarya. Sebab itulah karya-karya Muhammad Iqbal merupakan ekspresi perasaannya sendiri dan bukan hanya sekadar mewakili yang luar daripada dirinya.  Malah idea dan falsafah perjuangan Muhammad Iqbal yang berdakwah melalui karya seninya telah diadunkan dan dijelmakan dengan penuh simbolik terutamanya untuk membangkitkan kesedaran dan membangunkan kekuatan umat Islam.  Jika diteliti puisi-puisinya agak cenderung kepada aliran tasawuf. Walau bagaimanapun bentuk tasawuf yang diperjuangkan bukanlah ke arah yang melalaikan dan menidurkan umat Islam, tetapi lebih kepada membangkitkan semangat bekerja dan berjihad. 

Keistimewaan dan kebolehan Muhammad Iqbal bukan sahaja sebagai ahli falsafah dan tokoh pemikir malah beliau adalah seorang tokoh mujadid Islam terakhir abad ke-20 yang muncul di kalangan Ahli Sunnah wal Jamaah. Secara tidak langsung beliau telah meletakkan dirinya ketika itu di tengah-tengah masyarakat Islam yang masih terjajah oleh Barat sebagai sasterawan dan pembina ketamadunan Islam.   Keadaan ini menyebabkan beliau muncul sebaris dengan tokoh-tokoh intelektual tradisional Islam sebelumnya seperti al-Razi, al-Farabi, Ibn Sina, dan al-Ghazali, bezanya beliau muncul dalam dunia kontemporarinya yang tersendiri. Bakat serta kebolehan beliau berkarya melalui puisi-puisi perjuangannya membangkitkan kesedaran umat Islam yang masih terjajah ketika itu. Secara tidak langsung beliau sebenarnya sebaris dengan tokoh-tokoh perjuangan yang membangunkan kemerdekaan masyarakat Asia seperti Jose Rizal, Sun Yat Sen dan lain-lain.  Sumbangan besar Muhammad Iqbal ialah apabila beliau dianggap sebagai bapa pembentukan negara Islam Pakistan yang bebas merdeka daripada India. Selain itu dalam kesusasteraan Parsi, Iqbal diiktiraf sebagai salah seorang penyair modennya. Manakala dalam kesusasteraan Urdu beliau dianggap sebagai penyair agung abad ini oleh penutur bahasa Urdu baik di Pakistan mahupun India dan banyak puisi-puisinya menjadi madah dan kata-kata hikmat bahasa ini. Muhammad Iqbal terus memperjuangkan  nasib orang Islam melalui penulisan puisinya sehinggalah beliau meninggal dunia pada 21 April 1938.

SULTAN MUHAMMAD AL-FATIH: Melayarkan Kapal di Puncak Bukit Bersauh di Kota Constantinople

Terus membaca ‘SULTAN MUHAMMAD AL-FATIH: Melayarkan Kapal di Puncak Bukit Bersauh di Kota Constantinople’

UMAR AL-MUKHTAR: Tali Gantung Bukti Jihadnya

TOKOH kali ini ialah Umar al-Mukhtar iaitu seorang tokoh pro-Kemerdekaan abad ke-20 yang muncul memperjuangkan pembebasan negara Libya dari diduduki penjajahan kuku besi Itali. Pada awalnya nama Umar al-Mukhtar agak asing dan kurang mendapat perhatian ramai berbanding beberapa tokoh-tokoh pro-Kemerdekaan Islam yang lain.

Ketokohan dalam perjuangan beliau mula dikenali sekitar tahun 80-an apabila ketika itu muncul sebuah filem Omar al-Mukhtar: Lion Of The Dessert yang mana wataknya dilakonkan oleh pelakon Hollywood iaitu Anthony Quin.

Promosi percuma Barat tersebut telah mengangkat lagi senarai tokoh-tokoh Islam yang sepatutnya menjadi sumber inspirasi buat umat Islam hari ini. Al-Syahid Umar atau Omar al-Mukhtar bin Umar al-Minifi telah dilahirkan pada tahun 1858 di Barqah, Libya. Beliau dikatakan keturunan daripada keluarga farhat iaitu salah satu daripada puak al-Minifiyah yang mengamalkan aliran sufi al-Sanusiyah yang berpusat di Cyrenaica, iaitu di bahagian timur Libya. Sejak kecil lagi Umar al-Mukhtar sudah menunjukkan kebijaksanaannya. Beliau terdidik dalam suasana keluarga yang mengutamakan nilai kerohanian. Tambahan pula keluarganya sangat kuat berpegang kepada amalan sufi al-Sanusiyah sehingga berjaya mempengaruhi sikap dan keperibadian beliau menjadi seorang yang warak dan terpuji akhlaknya. 

Pendidikan awal Umar al-Mukhtar hanyalah di sebuah sekolah pondok di Zanzur. Pada tahun 1887, setelah mendapat galakan daripada keluarganya, minat Umar al-Mukhtar untuk mendalami ilmunya mula bertambah. Beliau kemudiannya menyambung pelajarannya di Universiti Jaghbub iaitu ibu kota Libya ketika itu dan memilih bidang agama yang bersesuaian dengan nalurinya. Kemudian beliau berhijrah bersama gurunya ke kawasan padang pasir Kufra pada tahun 1895.

Dua tahun kemudian, setelah berjaya menamatkan hafalan al-Quran dan pengajian agamanya Umar al-Mukhtar telah dilantik menjadi pengetua sekolah al-Zawiyah al-Qusur di Jabal al-Ahdar iaitu di bahagian Tenggara Libya.

Kebolehan dan keistimewaan yang ada pada beliau telah menyebabkan beliau dijemput oleh Muhammad al-Mahdi dan dilantik menjadi pengetua di sebuah sekolah di Sudan. Di sini beliau telah menimba pengalaman pertama dalam bidang ketenteraan apabila turut serta dalam peperangan ketika menentang tentera Perancis. Pada tahun 1321/1903 beliau kembali semula ke Libya untuk mentadbir sekolah al-Zawiyah al-Qusur sehingga tahun 1921. 

Mujahid Umar al-Mukhtar merupakan simbol jihad telah diangkat oleh umat Islam Libya yang menyokong penentangan terhadap penjajahan Itali. Ketika itu Itali di bawah pemerintahan diktator Musolini yang telah mengisytiharkan perluasan kuasa dengan melebarkan empayarnya melalui penjajahan ke atas negara Libya.

Setelah mendengar pendirian angkuh Musolini, Umar al-Mukhtar telah menyusun strategi dengan menyatukan kabilah-kabilah dan seluruh rakyat Libya melalui panji-panji jihad.

Dalam sejarah Libya, beliau digambarkan antara tokoh terpenting yang menyalakan semangat dan bara perjuangan rakyatnya demi mempertahankan negara dan agama Islam.

Peperangan pertama berlaku pada tahun 1911. Strategi tentera Itali untuk menguasai Libya ketika itu, dilakukan dengan cara menyerang dan menguasai kota-kota di bahagian pantai seperti Tripoli, Benghazi, Misrata dan Derna satu demi satu. Namun begitu usaha Umar al-Mukhtar untuk mempertahankan negara tidak kurang hebatnya sehingga berjaya memberi tentangan walaupun dalam keadaan serba kekurangan. Misalnya pertempuran yang terjadi di al-Hani dekat Tripoli pada 23 Oktober 1911, al-Rmaila dekat Misrata, al-Fwaihat dekat Benghazi pada Mac 1912 dan Wadi al-Shwaer dekat Derna.

Walaupun ada beberapa wilayah yang gagal dipertahankan namun, mereka telah menyusun gerakan semula di kawasan pergunungan. Di sana mereka tidak hanya berdiam diri, namun menyusun beberapa siri serangan lanjutan secara gerila.Sesungguhnya jumlah bala tentera dan peralatan perang yang canggih tentera Itali ketika itu, masih tidak berjaya melumpuhkan kekuatan roh jihad yang ditiup oleh Umar al-Mukhtar terhadap tenteranya. Mereka penuh yakin dengan janji syahid buat mereka, walaupun jumlah tentera yang berjuang bersama-samanya tidak ramai tetapi mereka mempercayai akan janji Allah SWT yang menjelaskan bahawa golongan yang sedikit akan berjaya menewaskan golongan yang banyak dengan izin Allah dengan syarat mereka sentiasa bersabar.

Akhirnya dalam satu pertempuran yang besar di al-Gherthabiya, dekat Sirt pada April 1915, tentera Itali telah menerima tamparan hebat apabila kehilangan ribuan tenteranya. Pertempuran tersebut menyebabkan pemerintahan pusat di Itali terpaksa mengisytiharkan gencatan senjata pada tahun 1917.

Sesungguhnya gencatan senjata tersebut telah memulihkan kekuatan tentera Umar al-Mukhtar untuk menyusun semula pasukannya. Tambahan pula beliau telah mendapat sokongan yang kuat daripada pemimpin baru gerakan al-Sanusiyah iaitu Muhammad Idris untuk sama-sama membantu perjuangan beliau. Pada tahun 1922, Umar al-Mukhtar dengan corak kepimpinannya yang berkarisma telah menyusun para mujahidin di Jabal al-Ahdar dan melancarkan penentangan baru terhadap tentera Itali.

Kebolehan Umar al-Mukhtar dalam bidang ketenteraan sangat masyhur yang dilihat melalui strategi perangnya yang luar biasa terutama di kawasan padang pasir. Kemahiran beliau itulah menyebabkan beliau diberi gelaran lion of the dessert. Selain itu kemahirannya dalam bidang politik juga dikagumi sehingga mampu menyatukan perpaduan dan semangat jihad umat Islam ketika itu. Faktor-faktor di atas membuatkan tentera Itali tidak senang duduk. Mereka merasai bahaya yang bakal mengancam mereka sekiranya Umar al-Mukhtar tidak ditangkap. Lalu pemerintah pusat Itali mengutus panglima perangnya iaitu, Badolio dan kemudiannya Rodolfo Grasiani yang terkenal dengan kezaliman mereka bagi memimpin tentera Itali menangkap dan melumpuhkan tentera Umar al-Mukhtar.

Rodolfo Grasiani sewaktu menyerang Libya dengan angkuh beliau menyatakan prinsipnya, “Jika kamu tak bersamaku maka kamu adalah lawanku” Dengan itu, mereka sendiri menghalalkan nyawa umat Islam yang tidak berdosa dan dibunuh dengan kejam disebabkan kononnya menyokong perjuangan Umar al-Mukhtar.

Langkah pertama untuk melumpuhkan kekuatan tentera Islam, Rodolfo Grasiani telah menghalang serta memutuskan sebarang bantuan ketenteraan dan perhubungan luar yang bersempadan dan memasang kawat berduri sepanjang 300 km manakala tingginya 2 meter dan lebarnya 3 meter yang merentasi dari pelabuhan Bardiyat Slaiman, bahagian utara Libya sehinggalah ke al-Jagboub di bahagian tenggara Libya. Langkah kedua beliau telah membina kem-kem tahanan seluruh Libya baik di al-Aghaila, al-Maghroun, Solouq, dan al-Abiyar.

Pada akhir November 1929 semua rakyat Libya di tangkap dan dipaksa untuk tinggal di kem-kem tersebut.

Pada tahun 1933, Dr. Todesky, ketua turus angkatan tentera darat Itali, dari unit kesihatan menulis sebuah buku yang bertajuk Cerinaica Today. Dalam bukunya itu beliau menyebut bahawa dari bulan Mei sehingga September 1930, lebih daripada 80 ribu warga Libya dipaksa meninggalkan tanah kelahirannya dan hidup di kem-kem tahanan. Kehidupan di kem-kem tahanan tersebut sangat mengerikan. Bahkan ribuan yang mati kelaparan. Beliau menambah bahawa hampir 55 peratus daripada 80 ribu tahanan tersebut meninggal dunia. Seorang sejarawan Libya, Mahmoud Ali al-Taeb menyatakan bahawa pada November 1930 paling tidak terdapat 17 kematian dalam sehari disebabkan kelaparan, penyakit dan depresi.Pada tahun 1931, ketika gerakan menangkap rakyat Libya giat dijalankan, pada masa yang sama usaha-usaha memburu tentera Umar al-Mukhtar terus dilancarkan. Ini menyebabkan tentera Umar al-Mukhtar bergerak dan bertahan di kawasan pergunungan sambil terus berjuang melawan penjajahan Itali. Walaupun usia Umar al-Mukhtar ketika itu 80 tahun, ditambah dengan kesihatannya yang tidak menentu namun beliau tetap meneruskan perjuangannya sehinggalah beliau berjaya ditangkap.

Setelah dibicarakan beliau didapati bersalah dan dijatuhi hukuman gantung. Umar al-Mukhtar meninggal dunia pada 16 September 1931 di Kota Solouq. Patah tumbuh hilang berganti. Walaupun jihadnya di tali gantung, namun roh jihadnya tidak mati, malah perjuangannya telah membangkitkan inspirasi kepada tokoh pemimpin Islam yang lain sehingga melahirkan singa padang pasir yang baru seperti Ramadan al-Swaihli, Mohammad Farhat al-Zawi, al-Fadeel Bo-Omar, Solaiman al-Barouni dan Silima al-Nailiah.

SULTAN SALAHUDDIN AL-AYYUBI; Munajatnya Bak Ruhban, Jihadnya Bak Fursan

Diriwayatkan setelah Sultan Salahuddin al-Ayyubi berjaya menawan kembali Baitul Muqaddis, beliau berjalan-jalan di sekeliling kota. Tiba-tiba beliau disapa oleh seorang lelaki tua beragama Kristian, katanya: “Wahai pahlawan agung, mengapa tuan tidak membalas semula tindakan kejam tentera salib terhadap tentera tuan?” Jawab Sultan Salahuddin: “Wahai orang tua, agama kami bukan sahaja melarang sifat balas dendam, tetapi sangat menegah tindakan di luar batas perikemanusiaan seperti yang pernah musuh-musuh kami lakukan. Islam menyuruh kami menepati janji, memaafkan kesalahan orang lain dan melupakan kekejaman pihak musuh ketika mereka berkuasa.”

Orang tua itu berkata lagi: “Alangkah indahnya agama tuan! Saya ingin sangat menikmati kehidupan yang indah seperti itu pada sisa-sisa akhir hidup ini. Apakah yang patut saya lakukan untuk memeluk agama tuan yang mulia ini?” Sultan Salahuddin menjawab: “Lafazkanlah syahadah, beriktikadlah bahawa Allah SWT itu Maha Esa dan Muhammad itu Rasul-Nya. Kemudian kerjakanlah apa yang Allah Taala perintahkan dan tinggalkanlah segala larangan-Nya.” Mendengar penjelasan itu, lelaki itupun terus mengucap dua kalimah syahadah dengan penuh keyakinan.

Siapakah Sultan Salahuddin al-Ayyubi ini? Apakah jasa beliau sehingga keharuman namanya menghiasi setiap bibir umat, bahkan sentiasa disebut oleh musuh-musuh Islam sehingga ke hari ini?

Beliau yang dimaksudkan ialah seorang tokoh pahlawan Islam dan raja yang gagah. Ketokohan Sultan Salahuddin al-Ayyubi dalam memimpin pasukan tentera merampas kembali Baitul Muqaddis (al-Quds) membuahkan kejayaan setelah penjajahan hitam selama 88 tahun. Malah kejayaan menghancurkan tentera Salib, terpahat dalam sejarah sebagai lambang kejayaan agung menundukkan musuh yang kejam.

Sultan Salahuddin Yusuf bin Ayyub bin Shadhi al-Ayyubi atau disebut juga Saladin di kalangan orang Eropah, merupakan anak seorang gabenor. Ayahnya bernama Najmuddin Ayyub bin Shadhi anak buah kepada Sultan Nuruddin Zengi, berketurunan Kurdistan.

Selain sebagai panglima perang, pendakwah, raja, mujahid dan tokoh pemimpin Islam bukan daripada kalangan bangsa Arab. Beliau telah dilahirkan pada 532 Hijrah bersamaan dengan 1137 Masihi di kota Tekrit, iaitu bahagian Tebing Barat Sungai Tigris, di antara Mosul dan Baghdad.

Tiada siapapun yang menjangka bahawa suatu hari nanti beliau akan mengembalikan semula Palestin dan menjadi pembela akidah Islamiah. Hal ini kerana pada awal kehidupannya, beliau banyak terpengaruh dengan godaan dan kesenangan dunia sehingga mengaburi pandangannya. Tidak ada sebarang tanda-tanda beliau akan menjadi pemimpin hebat ketika itu, malah beliau di besar dan dididik sama seperti anak-anak orang Kurdis biasa.

Sungguhpun begitu beliau berminat mempelajari ilmu sains, di samping seni peperangan dan pertahanan diri. Apabila meningkat dewasa Salahuddin al-Ayyubi mula berjinak-jinak dengan peperangan. Di sinilah detiknya bermula.

Allah SWT telah mentakdirkan beliau untuk menjadi pemimpin besar pada zamannya. Pada tahun 1169 Masihi, Asaduddin Shirkuh iaitu bapa saudaranya telah dilantik sebagai wazir di bawah naungan Kerajaan Fatimiyyah. Apabila bapa saudaranya meninggal dunia Sultan Salahuddin al-Ayyubi telah diangkat menggantikannya.

Antara kejayaan awalnya apabila beliau berjaya memadamkan pemberontakan dalam negeri dan turut berjaya menumpaskan serangan kerajaan Byzantine yang cuba untuk menakluki Kaherah. Pada tahun 1175 Masihi, Sultan Salahuddin al-Ayyubi telah dilantik menjadi Raja Mesir menggantikan raja terakhir dari dinasti Fatimiyyah yang mangkat ketika itu. Beliau memakai gelaran Sultan al-Malikun Nasir.

Sejak itu, Sultan Salahuddin al-Ayyubi mula merasai bebanan tanggungjawab sebagai seorang pemimpin. Corak hidupnya mula berubah dengan mengetepikan kesenangan hidup serta kemewahan harta. Malah beliau bertambah warak dan menjalani hidup dengan lebih berdisiplin dan sederhana. Beliau yakin bahawa Allah SWT telah mempertanggungjawabkan kepadanya satu tugas yang amat berat.

Beliau yakin bahawa tugas ini tidak mungkin akan terlaksana jika tiada roh jihad dan kesungguhan. Oleh sebab itu beliau telah menumpukan seluruh tenaga dan buah fikirannya dalam menyusun semula kekuatan dengan mencagarkan nyawanya sendiri.

Dalam Perang salib pertama berlaku pada tahun 1099 Masihi (490H) Waktu itu tentera Kristian memakai tanda salib di baju mereka sebagai simbol pemersatuan dan untuk menunjukkan bahawa peperangan yang mereka lakukan adalah suci.

Pada tahun 1187 Masihi (583H) berlaku pula perang Salib kedua, yang dikenali juga sebagai perang Hittin. Peperangan ini dipimpin sendiri oleh Sultan Salahuddin al-Ayyubi sehingga akhirnya membuka jalan mudah untuk menawan kembali Baitul Muqaddis. Pada tahun 1192 Masihi (588H) berlaku perang Salib ketiga hasil daripada dendam dan kekecewaan golongan pembesar-pembesar Kristian. Mereka berusaha merampas semula Baitul Muqaddis daripada tangan orang Islam. Perang Salib ketiga tersebut walaupun menggabungkan seluruh kekuatan dunia Kristian, namun tidak mampu menggoyangkan kekuatan tentera Sultan Salahuddin al-Ayyubi. Peperangan tersebut berlanjutan selama 5 tahun. Kali ini beliau hanya dibantu oleh beberapa pembesar, saudara mara dan tenteranya demi mempertahankan kehormatan Islam.

Sultan Salahuddin al-Ayyubi merupakan tokoh mujahid yang tidak pernah berputus asa mendidik umat. Menurutnya bahawa perjuangan yang berasaskan kaum atau bangsa, sekali-kali tidak akan membuahkan hasil. Sebaliknya perjuangan yang berpaksikan agama Islam sahajalah yang menjamin kejayaan yang gemilang.

Buktinya, tentera-tentera Islam yang berjuang datang dari pelbagai negara seperti Mesir, Mesopotamia, Syria, Kurds, Turkmans, tanah Arab dan dari berbagai tempat lain dan keturunan. Walaupun mereka berlainan bangsa dan etnik tetapi kekuatan roh jihad telah menyatukan mereka di atas jalan Allah SWT. Perjuangan mereka berhasil membebaskan Palestin.

Menurut penasihat kepada Sultan Salahuddin al-Ayyubi, Bahauddin bin Shaddad, beliau seorang panglima perang yang terkenal dengan keberanian yang luar biasa. Katanya beliau lebih banyak berada di dalam khemah perang daripada duduk di istana bersama isteri dan anak-anaknya. Kesungguhan, semangat dan ketahanan jihadnya, mampu mendorong beliau untuk turun sendiri ke kawasan perkhemahan tentera musuh bersama-sama perisiknya.

Beliau juga seorang yang sangat warak dalam beribadah, sehingga digambarkan seolah-olah seorang abid di waktu malam, dengan zikir dan munajatnya kepada Allah SWT. Siangnya seperti singa yang tangkas berjuang di medan pertempuran. Solat berjemaah dan puasa sunat adalah rutin harian yang tidak pernah ditinggalkan.

Selepas 6 tahun mengecap kejayaan mengembalikan Baitul Muqaddis di takhta keagungan Islam. Pada hari Rabu, awal subuh 27 Safar 589 Hijrah bersamaan 1193 Masihi, Sultan Salahuddin al-Ayyubi pulang ke rahmatullah pada usianya 57 tahun di Damsyik Syria, dalam keadaan penuh zuhud.

Beliau meninggal dunia tanpa meninggalkan sebarang harta untuk diwarisi. Beliau dikatakan hanya memiliki 47 dirham wang perak dan satu dinar wang emas. Urusan penyelenggaraan jenazah ditanggung kosnya oleh keluarganya. Manakala kain kapannya diberikan oleh seorang menterinya.


November 2014
I S R K J S A
« Okt    
 12
3456789
10111213141516
17181920212223
24252627282930

RSS KLINIK JAWI

  • SIFIR JAWI
    ANTARA RUNGUTAN yang sering kedengaran daripada guru-guru pembimbing mata pelajaran Jawi ialah kerapnya berlakunya kesalahan memadankan tulisan rumi kepada Jawi dalam kalangan murid-murid. Sama ada kesalahan pada padanan huruf vokal mahupun padanan huruf konsonan. Puncanya ialah apabila kita mengharapkan pelajar kita menghafal huruf-huruf Jawi sebanyak 37 hu […]

KLINIK JAWI DI RADIO

Temui saya dan DJ Muhammad Suffian di Klinik Jawi, setiap Sabtu, jam 10 pagi di IKIM.fm

KARYA BAHARU

BUKU

Buku kaedah belajar jawi-4(1)

Buku "Kaedah Pembelajaran Jawi" ini menghimpunkan nota-nota pembelajaran Klinik Jawi Peringkat Asas yang dimuat naik ke laman sesawang PNM sebagai panduan kepada para pendengar radio IKIMFM yang mengikuti Rancangan Klinik Jawi setiap hari Sabtu, jam 10.00 pagi. Buku ini ditulis dalam dua versi tulisan iaitu Jawi dan rumi.

CERPEN

Lelaki Si Pemasang Karpet

Cerpen 'Lelaki Si Pemasang Karpet' ditulis dan diolah semula dalam bentuk kreatif berasaskan kisah benar seorang sahabat. Mari kita belajar daripada pengalaman dan pengorbanannya untuk dikutip iktibarnya oleh pembaca bukan watak-wataknya yang mahu diuji pada benar dan salahnya. Kisah ini tidak berniat untuk memburukkan sesiapa dan bukan juga bertujuan untuk mengaibkan pencerita. - Berita Harian, 12 Oktober 2014 - al-Kurauwi

Cerpen 'Zam Zam ke Tanah Haram' diolah semula berasaskan cerita daripada mulut bonda sewaktu kecil. Kisah ini berlaku di kampung kelahiran di Parit Abas, Kuala Kurau. Perak. Wallahu a'lam, benar atau tidak kesahihannya. - Mingguan Malaysia, 21 Oktober 2012 - al-Kurauwi

Sebuah kisah benar. Kisah yang terilham daripada salah sebuah testimonial melalui e-mel seorang pembaca setelah mengulit novel “Punya Cinta Ramadan”.
- Mingguan Malaysia, 7 Ogos 2011 - al-Kurauwi

Terima kasih kepada Puan Siti Zabidah yang menumpahkan cerita ini ke telinga saya. Saya tidak pernah melihat wajah mereka namun berkongsi rasa dan air mata.

Berita Minggu 10 Julai 2011 - al-Kurauwi

Memberikan interpertasi baharu bukanlah memusuhi sejarah, jauh sekali memusuhi Islam.

- Ku Seman, Mingguan Malaysia, 14 November 2010

CERPEN

Ini kisah Dena Balosha. Gadis kecil dari Gaza yang syahid membebaskan buminya daripada Yahudi Israel. Bagaimana jika Dena Balosha berbicara dari syurga?

-Tunas Cipta, Jun 2010

KOLEKSI NOVEL

NAMAKU BUKAN MARIA

"Bagaimana kalau alur sejarah dibiaskan pada pertengahannya oleh suatu idealisme yang berpaksi pada tauhid? Novel ini memilih simpang lain untuk
Natrah, menghasilkan naratif yang menggugah"

– Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan

PUNYA CINTA RAMADAN

“Punya Cinta Ramadan meneruskan kelangsungan keindahan nada dakwah melalui kekuatan gaya bahasa karya yang puitis dan keampuhan bercerita Ibnu Ahmad Al-Kurauwi selepas kelahiran novel Tinta Elipsis dan Insyirah, serta Kumpulan Cerpen Di Dadanya Kalam Tuhan.”

- w.b.rendra,
wbrendra.blogspot.com

DI DADANYA KALAM TUHAN

ddkt-blog Sesungguhnya, tidak sampai lima tahun selepas menyertai bengkel penulisan cerpen anjuran KEPEZI (Kelab Penulis Zaharah Nawawi) awal September 2004 Ibnu Ahmad al-Kurauwi sudah mampu menghasilkan 20 cerpen yang melayakkannya memiliki kumpulan Di Dadanya Kalam Tuhan. Hal begini diperakui jarang terjadi. Namun bagi penulis muda pemegang ijazah Kesusasteraan Arab dari Jordan ini tiada perkara mustahil. Ke bulan pun manusia boleh jejak, inikan pula sekadar melahirkan sebuah kumpulan cerpen dalam waktu yang relatif singkat. – Zaharah Nawawi USJ Subang Jaya 9 Mac 2009

INSYIRAH

insyirah2

Sesungguhnya Novel "Insyirah" ialah novel kedua yang telah lahir daripada rahim Sayembara Mengarang Novel Kanak-kanak dan Remaja 2007 - Dewan Bahasa dan Pustaka. Novel ini telah memenangi hadiah pertama dalam sayembara tersebut. - al-Kurauwi

TINTA ELIPSIS

Novel TE bergerak sekitar gejolak rasa dan jalanan minda watak Amir Afif Amizul, anak peneroka FELDA, yang berpeluang menekuni bahasa Arab dan Pengajian Islam di Universiti Jordan. Amir Afif mempunyai sedikit sebanyak pengalaman dalam bidang penerbitan (TE: 25/7), iaitu selain pengalamannya sebagai konsultan yang ditimbanya selama lima tahun bertugas dengan Syarikat Amal Profesional Sdn. Bhd. (TE: 28) Amir Afif berhadapan dengan beberapa masalah yang wajar diatasinya sebijak mungkin. - Dr. Anis

TETAMU

  • 240,858 hits

Top Rated


Ikut

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 34 other followers