
Menyambung ilmu di IKIM dua hari. Wah, Tekno-Da’ei, boleh buat novel fiksyen nih! - al-Kurauwi
“Kasihilah makhluk di bumi, nescaya kamu akan dikasihi oleh Tuhan di langit tinggi”

Menyambung ilmu di IKIM dua hari. Wah, Tekno-Da’ei, boleh buat novel fiksyen nih! - al-Kurauwi

Bila kupohon agar kaumendengar ceritaku,
Lantas kaumulai berikan aku nasihatmu.
Saat itu kau sebenarnya tidak memenuhi permintaanku.
Bila kupohon agar kaumendengar ceritaku,
lantas kaurasai bahawa kau perlu melakukan sesuatu.
Demi menyelesaikan permasalahanku,
kau telah merendah-rendahkanku,
Keanehan pun mulai terasa.
Bila kupohon agar kaumendengar ceritaku,
Lantas kaumulai berkata:
“Tidak sepatutnya kaumerasai sebegitu”
Saat itu, kau telah menginjak-injak perasaanku.

ARTIKEL dari laman ERAMUSLIM barangkali sudah disalin dalam banyak blog-blog yang lain. Namun dimuat naik semula sekali lagi ke laman kecil ini kerana ia sangat mengesankan lebih daripada kejadian sejadah berdiri atau penemuan jenazah yang masih lagi sempurna di Perlis semalam. Artikel itu bermula begini:
Segala sesuatu kejadian di muka bumi merupakan ketetapan Allah SWT. Demikian pula dengan musibah bernama gempa bumi. Hanya berselang sehari setelah kejadian, beredar khabar — antaranya lewat pesan singkat — yang mengaitkan waktu terjadinya musibah tiba gempa itu dengan surah dan ayat yang ada di dalam kitab suci al-Quran.
“Gempa di Padang jam 17.16, gempa susulan 17.58, esoknya gempa di Jambi jam 8.52. Cuba lihat Al-Quran!” Demikian bunyi pesan singkat yang beredar. Siapa pun yang membuka al-Quran dengan tuntunan pesan singkat tersebut akan merasa kecil di hadapan Allah SWT. Berikut ialah ayat-ayat Allah SWT tersebut:
17.16 (Surah Al Israa’ ayat 16): “Dan jika Kami hendak membinasakan suatu negeri, maka Kami perintahkan kepada orang-orang yang hidup mewah di negeri itu (supaya mentaati Allah) tetapi mereka melakukan kedurhakaan dalam negeri itu, maka sudah sepantasnya berlaku terhadapnya perkataan (ketentuan Kami), kemudian Kami hancurkan negeri itu sehancur-hancurnya.”
17.58 (Surah al-Israa’ ayat 58): “Tidak ada suatu negeri pun (yang durhaka penduduknya), melainkan Kami membinasakannya sebelum hari kiamat atau Kami azab (penduduknya) dengan azab yang sangat keras. Yang demikian itu telah tertulis di dalam kitab (Lauh Mahfuz).”
8.52 (Surah al-Anfaal: 52): (Keadaan mereka) serupa dengan keadaan Firaun dan pengikut-pengikutnya serta orang-orang sebelumnya. Mereka mengingkari ayat-ayat Allah, maka Allah menyeksa mereka disebabkan disebabkan dosa-dosanya. Sesungguhnya Allah Maha Kuat lagi Amat Keras seksaan-Nya.”
Tiga ayat Allah SWT di atas, yang ditunjukkan tepat dalam waktu kejadian tiga gempa kemarin di Sumatera, berbicara mengenai azab Allah berupa kehancuran dan kematian, dan kaitannya dengan hidup bermewah-mewah dan kedurhakaan, dan juga dengan keadaan Firaun dan pengikut-pengikutnya. Ini tentu sangat menarik.
Saya menambah; Sesungguhnya ia sangat menarik untuk dikaji, diteliti, diinsafi dan diimani bahawa segala kejadian itu bukanlah kerana semata-mata fenomena alam, tetapi hikmahnya lebih daripada itu. Ia bercerita tentang pentingnya ‘rasa bertuhan’ kita bahawa makhluk bernama gempa ini adalah ‘jundullah’ suatu yang sudah ada dalam azali – suatu yang ditentukan oleh Tuhan - al-Kurauwi

SEKALI-SEKALI pulang ke desa, walaupun mendamba kasih mertua, bahagianya menusuk ke jiwa. Damai sawah melambai, angin sawah mendingin. Hijau saujana mata menunda pandangan. Di sini, menghadap jendela desa, ilham mencurah-curah, khusyuk amal dan segala ibadah. Alhamdulillah syukur Ya Allah, setelah bebanan memikul tugasan setelah kepenatan mengekor segala kesesakan jalanan. Dari jendela desa, lagu nasyid Hijjaz Damai Desa, tiba-tiba mengapung indera.
Bila terkenangkan desa
Rindu selalu melanda
Pada ayah dan bonda sanak dan saudara
Kampung halaman nun jauh di mata
Kini tiba ketikanya
Saat kembali ke desa
Indah suasana mesra sambutannya
Rasa gelora di dalam dada

1. Mulakan Syawal lebih awal dalam memanifestasikan makna fitrah iaitu fitrah badaniah.
Dari ‘Aisyah Radhiallahu ‘anha yang maksudnya: “Sepuluh perkara dikira sebagai fitrah (sunnah): mengunting misai, merapi janggut, bersugi, memasukkan air ke hidung, memotong kuku, membasuh sendi-sendi, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu ari-ari, beristinja, dan berkumur.” [Hadis riwayat Muslim]
2. Banyakkan bertakbir pada malam 1 Syawal.
Firman Allah Ta‘ala yang bermaksud “Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur.” [Al-Baqarah: 18]
Disunatkan kepada kita melafazkan takbir dengan mengangkat suara, bermula waktunya dari terbenam matahari malam Hari Raya sehingga imam mengangkat takbiratul ihram solat Hari Raya. Boleh dilakukan sama ada secara berjemaah atau bersendirian, di masjid, surau atau di rumah bersama-sama keluarga. Bahkan pada zaman Rasulullah SAW takbir itu dikumandangkan sehingga ke jalan-jalan, rumah-rumah dan masjid.
3. Berdoa dan berbuat kebaikan pada malam Aidil Fitri
Imam Al-Syafie r.a. telah menegaskan bahawa malam Aidil Fitri itu adalah antara malam-malam yang mudah diperkenankan doa, sebagaimana beliau berkata di dalam kitabnya Al-Umm:
“Telah sampai kepada kami bahawasanya pernah dikatakan, sesungguhnya doa itu sungguh mustajab pada lima malam; malam Jumaat, malam Aidil Adha, malam Aidil Fitri, awal malam Rejab dan malam Nisfu Sya‘ban.
4. Ambil kesempatan untuk berqiamulail.
Imarahkan malam dengan ibadat, bukan kerana bakar lemang atau masak ketupat. Lebih teruk lagi jika kita mengambil peluang untuk berbuat maksiat serta berhibur dengan pelbagai program yang melalaikan hingga ke pagi. Walaupun amalan menghidupkan malam Hari Raya adalah antara perkara khilaf. Namun Imam Syafie Rahimahullah menyukai amalan ini walau pun hadithnya dhaif.
SUARA saya akan berkumandang di 91.5 IKIM.FM pada hari Selasa 15 September 2009, 4.30 pagi (khusus untuk ibu-ibu yang memasak sahur untuk keluarga) dan ulang siar pada jam 1.30 tengah hari, pada hari yang sama. Tazkirah ini bertajuk “Sindrom Lengangisme”. Terima kasih Maslina, Terima kasih IKIM – al-Kurauwi
Walaupun nama Habib Bourguiba – tokoh sekularis yang melarang rakyatnya berpuasa – sudah tinggal catatan dalam sejarah namun cucu cicit yang bermazhab Bourguiba sangat ramai. Oleh sebab itu tidak hairanlah 10 malam yang terakhir Ramadan, masjid dan surau semakin lengang. Tidakkah semua itu mengiakan apa yang didakwa oleh Habib Bourguiba? Tidakkah semua itu petanda bahawa kita memang tidak produktif dalam bulan Ramadan?
10 sebab mengapa masjid dan surau diserang oleh virus lengangism.
1. Masjid semakin lengang kerana majoriti umat islam dilanda wabak al-Wahn yakni cintakan dunia takutkan mati.
2. Kita lebih mengutamakan kepada mendirikan masjid daripada mendirikan solat. Menghias luar masjid daripada dalamnya sedang firman Allah Taala:
“Orang yang Kami beri kekuasaan memerintah di bumi, mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat baik, dan menegah berbuat mungkar kepada Allah kembali segala urusan”.
3. Kita melayan Ramadan sebagai pelancong bukan sebagai tetamu. Pelancong hanya datang ke masjid sekadar melawat kemudian pulang dengan sekeping dua foto kenangan sedangkan tetamu sifatnya dirai, dikasihi dan dimuliakan.
4. Amalan dalam bulan Ramadan hanya bersifat adat bukan ibadat. Yang datang ke masjid dan surau kerana mahukan keseronokan dan kemeriahan bukan mencari reda, rahmat dan keampunan Allah.
5. Ramadan ditatang tanpa ilmu. Kemanisan Ramadan laksana menikmati sebatang tebu. Manis hanya di pangkal namun tawar di hujung.

Beberapa ulama seperti Abu Gharib Al-Asfahani, Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Prof. Dr Muhd Uqlah Ibrahim, Syeikh Abdullah bin Baz serta lain-lainnya berpandangan bahawa di samping pahala yang berganda, dosa juga boleh berganda di bulan mulia ini. Walau bagaimanapun gambaran dosa tidak digambarkan dalam bentuk sifat dan angka seperti pahala dalam banyak hadis seperti yang berikut:
“Dan barang siapa yang menunaikan suatu fardu dalam bulan Ramadan maka samalah nilainya dengan orang yang mengerjakan 70 fardu pada bulan yang lain.”
Gandaan dosa datang dalam bentuk sifat sahaja seperti sangat besar, sangat dahsyat dan lain-lain. Kata Syeikh Abdullah bin Baz: Dalam bulan yang mulia Allah gandakan pahala dengan segala kebaikan dan dosa dalam bulan Ramadan lebih besar sifatnya daripada bulan selain Ramadan.
Sebagai jalan terbaik, perbanyakkan amal taat, hindarilah sejauh-jauhnya segala maksiat. – al-Kurauwi.
Setiap insan pasti merasa
Saat perpisahan terakhir
Dunia yang fana akan ditinggalkan
Hanya amalan yang dibawa
Terdengar sayup surah dibaca
Sayunya alunan suara
Cemas di dada lemah tak bermaya
Terbuka hijab di depan mata
Selamat tinggal pada semua
Berpisahlah kita selamanya
Kita tak sama nasib di sana
Baikkah atau sebaliknya
Amalan dan takwa jadi bekalan
Sejahtera bahagia pulang ke sana
Sekujur badan berselimut putih
Rebah bersemadi sendiri
Mengharap kasih anak dan isteri
Apa mungkin pahala dikirim
Terbaring sempit seluas pusara
Soal-bicara terus bermula
Sesal dan insaf tak berguna lagi
Hancurlah jasad dimamah bumi
Berpisah sudah segalanya
Yang tinggal hanyalah kenangan
Diiring doa dan air mata
Yang pergi takkan kembali lagi

Yang kembali, Ramadan yang dirindui. Yang kembali – hanya tinggal beberapa detik sahaja lagi – ialah rahmat Rabbi, keampunan Ilahi dan janji pembebasan Tuhan daripada api neraka.
Yang pergi tidak lagi boleh dibilang oleh jari. Yang pergi – hanya tinggal beberapa detik sahaja lagi – tidak sempat menyeluk kantung Ramadan. Yang pergi tidak mengenal insan kawan, lawan, sasterawan, agamawan hatta si syaitan! – al-Kurauwi

DALAM ucapan Raja Muda Perak, Raja Nazrin saat memberi ucapan dalam Majlis Pelancaran 3 buah buku hasil karya Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Syed Hussein Alatas di DBP, ada menyebut mengenai 7 wasiat Raja-raja Melayu sebelum Merdeka. 7 wasiat itu adalah seperti yang berikut:-
1. Kami namakan dan kami panggil akan dia, bumi yang kamu pijak dan langit yang kamu junjung, Persekutuan Tanah Melayu.
2. Kami isytiharkan dan kami simpan untuk kamu dan kami benarkan kamu isytihar dan simpan, selain gunung-ganang, tasik dan hutan simpan, tanah simpanan Melayu sehingga nisbah 50% selebihnya kamu rebutlah bersama-sama kaum lain.
3. Bagi menjaga kamu dan melindungi anak-anak kamu harta hak milik kamu, kami tubuhkan Rejimen Askar Melayu untuk membenteras kekacauan dalam negara dan ancaman dari luar negara.
4. Kami kekalkan dan kami jamin Kerajaan dan Kedaulatan Raja-Raja Melayu memerintah Negara ini.
5. Kami tetapkan Islam ialah agama Persekutuan.
6. Kami tetapkan juga bahasa kebangsaan ialah Bahasa Melayu dan,
7. Kami amanahkan dan kami pertanggungjawabkan kepada Raja-Raja Melayu untuk melindungi Kedudukan Istimewa Orang Melayu dan Kepentingan Sah Kaum-Kaum lain. (Kemudian ditambah kedudukan istimewa anak negeri Sabah dan Sarawak).
Mengakhiri ucapan, sebak menggulati hatinya saat mengenangkan sumbangan Allahyarham Prof. Dato’ Dr. Syed Hussein Alatas dan barangkali terusik rasa beliau terhadap kemelut negara. Raja Nazrin semakin sebak kemudian memohon hadirin bersedekah dengan al-Fatihah. – al-Kurauwi
TINTA SAPA