Arkib untuk kategori 'Khutbah Jumaat'

SINDROM LENGANGISME

index_8

Walaupun nama Habib Bourguiba – tokoh sekularis yang melarang rakyatnya berpuasa – sudah tinggal catatan dalam sejarah namun cucu cicit yang bermazhab Bourguiba sangat ramai. Oleh sebab itu tidak hairanlah 10 malam yang terakhir Ramadan, masjid dan surau semakin lengang. Tidakkah semua itu mengiakan apa yang didakwa oleh Habib Bourguiba? Tidakkah semua itu petanda bahawa kita memang tidak produktif dalam bulan Ramadan?

10 sebab mengapa masjid dan surau diserang oleh virus lengangism.

1. Masjid semakin lengang kerana majoriti umat islam dilanda wabak al-Wahn yakni cintakan dunia takutkan mati.

2. Kita lebih mengutamakan kepada mendirikan masjid daripada mendirikan solat. Menghias luar masjid daripada dalamnya sedang firman Allah Taala:
“Orang yang Kami beri kekuasaan memerintah di bumi, mereka mendirikan solat, menunaikan zakat, menyuruh berbuat baik, dan menegah berbuat mungkar kepada Allah kembali segala urusan”.

3. Kita melayan Ramadan sebagai pelancong bukan sebagai tetamu. Pelancong hanya datang ke masjid sekadar melawat kemudian pulang dengan sekeping dua foto kenangan sedangkan tetamu sifatnya dirai, dikasihi dan dimuliakan.

4. Amalan dalam bulan Ramadan hanya bersifat adat bukan ibadat. Yang datang ke masjid dan surau kerana mahukan keseronokan dan kemeriahan bukan mencari reda, rahmat dan keampunan Allah.

5. Ramadan ditatang tanpa ilmu. Kemanisan Ramadan laksana menikmati sebatang tebu. Manis hanya di pangkal namun tawar di hujung.

Terus membaca ‘SINDROM LENGANGISME’

LARANGAN BERPUASA KEPADA RAKYAT

portrait01

Pada bulan Mac 1974, dunia Islam digemparkan oleh arahan Presiden Tunisia pertama, Habib Bourguiba, apabila  mengeluarkan perintah melarang rakyat Tunisia, terutama dalam kalangan kakitangan awam daripada berpuasa dalam bulan Ramadan.

Malah untuk menunjukkan tahap keseriusan beliau dengan arahan tersebut, Habib Bourguiba telah muncul bersama-sama anggota kabinetnya secara langsung di televisyen pada tengah hari Ramadan dan mereka makan beramai-ramai demi membuktikan apa yang mereka kata. Alasan Habib Bourguiba kerana puasa mengurangkan produktiviti negara malah syariat berpuasa dianggap sebagai batu penghalang kepada pertumbuhan ekonomi. Siapa Habib Burguiba ini?

Terus membaca ‘LARANGAN BERPUASA KEPADA RAKYAT’

AHLAN WASAHLAN YA RAMADAN

Ramadan2

Diriwayatkan oleh Ibnu Khuzaimah dari Salman Radhiallahu ‘anhu, katanya: Rasulullah SAW berkhutbah di hadapan kami pada hari terakhir daripada bulan Syaaban. Baginda bersabda yang bermaksud:
“Wahai manusia, sesungguhnya kamu dinaungi oleh bulan yang sentiasa besar lagi penuh keberkatan, iaitu bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik daripada seribu bulan; bulan yang Allah telah menjadikan puasa-Nya suatu fardu dan qiam di malam harinya suatu tatawwu’ (ibadah sunat). Barang siapa mendekatkan dirinya kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan di dalamnya, samalah dia dengan orang yang menunaikan suatu fardu di bulan yang lain. Dan barang siapa yang menunaikan suatu fardu dalam bulan Ramadan maka samalah nilainya dengan orang yang mengerjakan 70 fardu pada bulan yang lain.

Amirul Mukminin Umar Al-Khattab ketika berada di ambang Ramadan berulang-ulang kali menuturkan “Ahlan wa Sahlan Ya Ramadan” sehinggakan khadam beliau berkata, seandainya manusia tidak mengetahui Ramadan itu nama bagi satu bulan nescaya mereka akan menyangka Umar sedang menunggu seorang lelaki yang bernama Ramadan.

PALESTIN: WAJIB QUNUT NAZILAH

langit-hitam

“Ya Allah ampunilah dosa kami, dosa saudara-saudara kami Muslimin dan Muslimat, Mukminin dan Mukminat. Ya Allah lembutkan serta satukanlah hati kami, perbaikilah keadaan kami, bantulah kami untuk kami menentang musuh-musuh-Mu, dan musuh-musuh kami.

Ya Allah, laknatilah golongan kuffar yang mendustakan para rasul-Mu dan membunuh wali-wali-Mu. Ya Allah cerai-beraikanlah kesatuan mereka, hancur-leburkanlah kekuatan mereka dan turunkanlah bala-Mu dan janganlah Engkau tangguhkan lagi untuk mereka yang penuh dengan dosa. Sesungguhnya dengan nama-Mu Ya Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Ya Allah, sesungguhnya kepada-Mu kami memohon perlindungan” – Umar al-Khattab

Terus membaca ‘PALESTIN: WAJIB QUNUT NAZILAH’

PALESTIN, CUKUPKAH DI MATA?

lost-of-land

MELIHAT peta Palestin sebelum dan selepas (1946-20000, hati saya tersayat lagi. Makar Yahudi masih segar di hati kita, tatkala tercetusnya krisis Israel – Lubnan bermula 12 Julai 2006 yang lalu. Ketika itu Israel turut menyerang Palestin di Genting Gaza dan kemudian menyerang hampir ke seluruh Lubnan terutama di Beirut. Belumpun reda segala keperitan, makarnya menumpahkan darah lagi. Gelodak jiwa dihamburkan dalam khutbah Jumaat, hari ini di DBP. Kata seorang sahabat, usai Jumaat, “Betapa, kami turut menitis air mata hari ini, moga doa kita sampai ke langit tinggi!” Apa, cukupkah di mata? bisik hati saya. Di bawah ialah sebahagian daripada teks khutbah untuk renungan kita. - al-Kurauwi

Terus membaca ‘PALESTIN, CUKUPKAH DI MATA?’

HIJRAH: MAKSIMUMKAN PERANAN MASJID/SURAU

SIDANG JUMAAT YANG DIKASIHI SEKALIAN

Rasulullah SAW telah lama berjaya membedah, membuang dan mengubati penyakit ‘asabiah’ berpuak-puak ini. Apakah ubatnya? Tidak lain, baginda berjaya menangani masalah perpecahan sesama sendiri dengan cara menjadikan Islam sebagai asas perpaduan. Di manakah titik peralihan, titik perubahan kepada perpaduan tersebut?

Tidak lain, Rasulullah membina nilai-nilai pengukuhannya di Masjid. Masjid tidak meletakkan sistem kasta, pangkat atau kemuliaan seseorang sebagai ukuran. Kita sama rata di sisi Tuhan. Kita hanya hamba sedang Tuhan Pencipta kita. Takbir kita, rukuk kita, sujud kita malah aku janji dan apa yang kita baca, sama sahaja di sisi Tuhan, yang membezakan kita hanya siapa yang paling bertakwa, siapa yang paling tinggi darjat imannya.  

SIDANG JUMAAT YANG DIKASIHI SEKALIAN

Rasulullah SAW memaksimumkan masjid bukan tujuan ibadah khususiah semata-mata bahkan hal-hal yang melibatkan pemerintahan, perundangan, ekonomi dan sosial turut dilibatkan. Mujur sahaja Jumaat kita diwajibkan. Hari ini, malangnya masjid kita kosong dan surau kita kosong tak bertuan. Dari setinggi-tinggi pangkat sehingga yang paling rendah sekalipun. Terus membaca ‘HIJRAH: MAKSIMUMKAN PERANAN MASJID/SURAU’

SEMPURNAKAH SOLAT KITA?

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan supaya sama-sama kita bertakwa kepada Allah dengan meningkatkan lagi amal soleh dan berusaha menjauhi larangannya. Semoga kehidupan kita akan lebih cemerlang dan diberkati Allah di dunia dan di akhirat. 

SIDANG JUMAAT YANG DIHORMATI SEKALIAN,

Solat atau sembahyang adalah rukun kedua yang menjadi asas terbinanya Islam. Solat juga merupakan tiang agama dan satu ibadah wajib ke atas setiap umat Islam melakukannya dalam apa jua keadaan selagi akalnya masih waras. Dalam al-Quran terdapat lebih daripada 25 tempat ayat “ اَقَامَ ” yang merujuk kepada makna perintah mengerjakan atau mendirikan solat dan terdapat lebih 70 kali perkataan     الصلاة ” atau sembahyang diulang dan disebut dalam al-Quran, antaranya Firman Allah SWT:  Yang bermaksud:

“Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (Surah an-Nisa’ : 103)

Terus membaca ‘SEMPURNAKAH SOLAT KITA?’

PEMURAHNYA NABI!

SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah dengan mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Hayatilah tuntutan dan syariat Islam dan amalkanlah sunah dalam urusan kehidupan kita seharian. Marilah kita jadikan Baginda Rasulullah SAW itu sebagai Uswah Hasanah, suatu contoh ikutan yang terbaik sepanjang masa tidak hanya terhenti semata-mata kedatangan bulan Rabiulawal sahaja agar segala garis panduan kehidupan di atas muka bumi ini dapat dijadikan petunjuk dan penyelamat kita di akhirat kelak.  

SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA Tidak ada sifat-sifat yang paling dimuliakan dan diagungkan oleh bangsa Arab baik pada zaman Jahiliah mahupun di zaman Islam lebih daripada sifat pemurah dan berani. Para penguasa raja dan sultan sangat senang bila disebarluaskan kepemurahan mereka. Andai golongan sasterawan Arab memuji-muji, mereka akan mengkhususkan kepada dua sifat yang utama pemurah dan berani dalam syair-syair mereka. Kadang kala mereka memuji dengan sesungguh-sungguhnya dan kadang kala secara berlebih-lebihan.    

SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA

Begitu  juga tidak ada sifat-sifat yang paling dibenci oleh bangsa Arab pada waktu itu lebih dari membenci dua sifat yang buruk iaitu penakut dan bakhil. Bagi mereka tidak ada sifat yang lebih buruk untuk mencela lawan selain sifat penakut dan bakhil. Bila seorang penyair hendak memperolok-olokkan atau mencela lawannya maka ia memperolok-olokkan dan mencela dengan sifat penakut dan bakhil. Apabila lahirnya makhluk yang bernama Muhammad SAW, sifat dermawan pada diri Baginda SAW adalah sifat lain daripada yang lain yang mempunyai corak baru yang belum pernah dikenal oleh bangsa Arab, juga belum dikenal oleh bangsa yang lain.  Terus membaca ‘PEMURAHNYA NABI!’

Baitul Muslim

SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah dengan mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Hayatilah tuntutan dan syariat Islam dan amalkanlah dalam urusan kehidupan kita seharian. Marilah kita jadikan al-Quran itu sebagai pegangan hidup kerana sesungguhnya al-Quran sahajalah yang menjadi petunjuk dan penyelamat kita di dunia dan di akhirat. Yakinilah bahawa al-Quran sahajalah yang mampu menjadi ubat dan penawar kepada segala macam penyakit akhlak yang sedang melanda umat Islam kita hari ini.  

SIDANG JUMAAT YANG DIMULIAKAN,

Keselesaan fizikal dan persekitaran sesebuah rumah merupakan faktor penting yang boleh mempengaruhi hidup dan pembentukan peribadi seseorang Muslim. Rumah adalah suatu institusi tarbiah yang ulung dan terawal dalam membentuk sahsiah  peribadi Muslim. Rumah yang baik akan melahirkan peribadi yang baik, tetapi rumah yang buruk luaran dan dalaman persekitarannya akan memberi kesan kepada akhlak dan perwatakan penghuninya dan akan memberi kesan kepada pembinaan masyarakat keseluruhannya. 

SIDANG JUMAAT YANG DIMULIAKAN,

Islam sangat menitikberatkan pencegahan pada peringkat awal kerana mencegah lebih baik daripada merawat. Oleh itu, tugas kita untuk memakmurkan rumah dengan 1001 macam kebaikan mampu membentuk ketenangan fikiran dan emosi penghuninya. Tambahan pula kebahagiaan dan ketenangan adalah lambang kepada agama Islam itu sendiri. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Kegembiraan itu mempunyai empat unsur, isteri yang solehah, rumah yang baik, jiran yang soleh dan kenderaan yang selesa” (Riwayat Ibn Hibban)

Pada perspektif Islam, rumah adalah tempat tinggal untuk merehatkan badan dan menenangkan minda. Ia menjadi perantara kepada hubungan tiga hala iaitu antara manusia dengan pencipta-Nya, manusia dengan manusia dan manusia dengan persekitarannya. Allah SWT berfirman yang bermaksud:

 والله جعل لكم من بيوتكم سكنا  

“Dan Allah menjadikan bagi kamu rumah-rumah (yang kamu dirikan itu) tempat tinggal” (Surah al-Nahl: 80) 

 SIDANG JUMAAT YANG DIMULIAKAN,

Untuk menjauhkan rumah menjadi punca kepada berputiknya unsur-unsur maksiat dan gejala negatif, Islam telah menutup ruang atau benih-benih yang boleh membawa kepada gejala-gejala tersebut. Dari sudut fizikalnya Islam telah menyusun struktur dalaman sebuah rumah. Rumah yang baik sekurang-kurangnya mengandungi tiga buah bilik tidur secara berasingan iaitu sebuah bilik untuk ibu bapa dan dua buah bilik yang memisahkan antara anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan. Pembahagian struktur ini telah disusun oleh Nabi SAW dalam sebuah hadisnya yang berbunyi:

مروا اولادكم بالصلاة وهم ابناءِ سبعِ سنين واضربوهم عليها

وهم ابناءُ عشرٍ وفرقواهم في المضاجع

“Perintahkanlah anak-anak kamu supaya menunaikan solat apabila usia mereka 7 tahun. Apabila usianya 10 tahun pukullah mereka seandainya mereka ingkar dan pisahkanlah tempat tidur mereka (antara anak lelaki dan perempuan)” (Riwayat Abu Daud) 

 Apakah sebenarnya hikmah di sebalik etika yang di susun oleh Nabi Muhammad SAW sejak 1400 tahun yang lalu? Sesungguhnya keselesaan secara fizikal dan material sahaja bukanlah asas utama yang menentukan keselesaan atau ketenangan bagi penghuninya dalam sesebuah rumah. Hikmah yang tersirat yang boleh kita pelajari daripada hadis Nabi ini sebenarnya memupuk kesedaran kita sebagai ibu bapa tentang wujudnya perubahan dari sudut perkembangan seksologi anak-anak apabila sampai kepada peringkat umur tertentu. Selain penerapan nilai halal dan haram dalam memahamkan anak-anak, aspek pencegahan juga penting kerana ia merupakan proses pencegahan awal bagi membantu mereka supaya dapat menghindarkan diri daripada gejala negatif yang merosakkan.  

  

Hari ini senario kegawatan akhlak yang berlaku seperti kejadian rogol, sumbang mahram atau kes-kes bersekedudukan antara ibu bapa dengan anak-anak atau yang melibatkan sesama adik beradik, sedikit sebanyak berpunca daripada pembinaan struktur dalaman rumah yang tidak menepati piawaian yang telah diatur oleh Islam. 

SIDANG JUMAAT YANG DIMULIAKAN,

Bagaimanakah fenomena ini boleh berlaku? Secara teorinya rumah kecil akan mengehadkan unsur-unsur ‘privacy’ dan ‘secrecy’; iaitu had-had batasan dan kebebasan peribadi atau kerahsiaan dalam kehidupan seharian kita dan anak-anak. Sekiranya unsur ini tidak ditangani dengan sebaiknya, maka ia akan memberikan tekanan. Lebih ramai bilangan sesebuah keluarga itu, maka makin terhadlah unsur-unsur ‘privacy’ dan ‘secrecy’ tersebut. Andai tidak dikawal dengan baik ia boleh melonggarkan nilai-nilai moral, adat budaya dan pegangan agama dalam sesebuah keluarga.Selain itu, ia juga akan memberi kesan kepada proses pembelajaran anak-anak disebabkan ruang dan persekitaran yang tidak membantu untuk mempengaruhi minat dan semangat mereka supaya belajar.

Akhirnya untuk melepaskan diri daripada kesesakan dalam rumah, anak-anak akan keluar mencari ketenangan bersama-sama kawan-kawannya di luar rumah. Ini akan mendedahkan mereka kepada gejala negatif seperti budaya lepak dan ponteng sekolah sehingga menjejaskan pencapaian akademik mereka. Sedar atau tidak, ruang rumah yang sempit boleh menyebabkan hubungan kekeluargaan dalam sebuah rumah menjadi renggang. Malah aktiviti ‘kebersamaan’ dalam sebuah keluarga seperti solat berjemaah, makan atau menonton televisyen akan longgar dan makin hilang kemesraannya. Malah rumah yang sempit juga boleh merumitkan ketegangan atau pertengkaran kecil yang lazimnya berlaku sehingga mengeruhkan hubungan dan menyulitkan kemesraan sesama keluarga.

Akhirnya si anak mencari jalan penyelesaiannya sendiri melalui kawan-kawannya di jalanan, manakala si bapa terpaksa melepaskan ketegangannya dengan teman bualnya di kedai-kedai kopi dan si ibu pula mencari ketenangannya dengan bertandang ke rumah jiran tetangga. Maka di sinilah sebuah keluarga itu akan kehilangan arah sehingga terlepas daripada pengawasan dan tautan kasih sayang keluarga sehingga terjebak ke dalam aktiviti-aktiviti yang tidak baik dan mengundang masalah sosial kepada negara. 

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Justeru itu, Islam melihat bahawa rumah yang baik ialah rumah yang mampu menyumbang kepada perkembangan kasih sayang dan keutuhan institusi kekeluargaan yang berlandaskan syariat yang suci dan bersih daripada sebarang bentuk maksiat dan dosa. Sebab itulah Islam datang untuk memelihara maruah manusia dan menutup apa jua ruang yang boleh membawa kepada kemaksiatan atau kebinasaan terhadap umatnya. Rasulullah SAW pernah berdoa dengan bersungguh-sungguh, dalam sebuah hadis yang bermaksud:

“Ya Allah, ampunilah dosaku, lapangkanlah rumahku dan berkatilah rezekiku.” Baginda kemudiannya ditanya: “wahai Rasulullah, mengapa engkau sering memohon perkara ini? Baginda menjawab: “Apakah ada yang lebih baik?” (Riwayat Nasa’i dan Ibn al-Sunni)

SIDANG JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH,

Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah. Moga-moga kita bertakwa dan keluarga kita, anak-anak dan isteri kita juga bertakwa kepada Allah. Ketahuilah bahawa orang yang bertakwa itu akan dapat menyelamatkan isi rumah; dirinya dan keluarganya daripada api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu-bata.  

SIDANG JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH,

Sesungguhnya rumah yang baik tidak hanya dinilai semata-mata pada seni bina atau dekorasinya sahaja, sedangkan unsur dalamannya kosong tanpa sebarang pengisian yang boleh memberikan faedah buat penghuninya. Hal ini kerana rumah yang kosong daripada sebarang bentuk pengisian mudah dimasuki syaitan dan jauh daripada keberkatan Allah Taala. Apatah lagi apabila diisi dengan unsur-unsur hiburan dan alat-alat yang melalaikan daripada mengingati Tuhan. 

Firman Allah SWT:

 واذكرنَ ما يُتلى في بيوتكنَّ من ايات الله والحكمة إن الله كان لطيفا خبيرا 

“Dan ingatlah (serta amalkanlah) apa yang dibaca di rumah kamu dari ayat-ayat Allah (al-Quran) dan hikmah pengetahuan (hadis Rasulullah s.a.w.) Sesungguhnya Allah maha halus tadbirnya lagi maha mengetahui.” (Surah al-Ahzab: 34) 

SIDANG JUMAAT YANG DIKASIHI SEKELIAN,

Adalah menjadi kewajipan ibu bapa menunjukkan contoh teladan kepada ahli keluarganya. Ibu bapa hendaklah sentiasa membaca al-Quran di rumah dan memastikan al-Quran dibaca oleh ahli keluarga. Mengapa kita terlalu banyak masa untuk membaca akhbar, majalah, menonton televisyen melayari internet dan lain-lain? Kenapa tidak boleh kita memperuntukkan sedikit masa untuk membaca al-Quran? marilah sama-sama kita mengambil iktibar dari Sabda Rasulullah SAW yang berbunyi :

 ِاقْرَوُوا القُرْءآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِيْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيْعًا ِلأَصْحَابِهِ 

Maksudnya : ” Bacalah kamu akan Al-Quran, sesungguhnya (al-Quran) akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada pembaca-pembacanya “.(Riwayat Muslim)  

Sesungguhnya rumah yang tidak dibacakan al-Quran bagaikan tanah kubur yang sunyi sepi dan akan terhindar dari rahmat Allah SWT. Oleh itu kita sebagai umat Islam sepatutnya menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama setiap masa. Bukankah mereka yang membaca al-Quran, mendengar malah melihat al-Quran pun akan diberi pahala oleh Allah SWT Sabda Rasulullah SAW yang berbunyi : 

 مَنْ قَرَأَ حَرفًا مِنْ كِتَابِ اللهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنةٌ، والحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا

 لآ أَقُوْلُ ( ألم ) حَرْفٌ، وَلَكِنَّ أَلِفٌ حَرْفٌ وَ لاَمٌ حَرْفٌ وَمِيْمٌ حَرْفٌ 

Maksud hadis tersebut :Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka bagi-nya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajiban seumpamanya, tidak aku katakan( alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tatapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf  “. 

Tidak salah andainya kita memprogramkan penghayatan al-Quran di rumah secara bersistematik dengan memperuntukkan masa selepas solat Maghrib umpamanya sebagai waktu membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran dengan memanfaatkan masa tersebut bersama ahli keluarga. Selain itu, galakkan kepada anak-anak dan ahli keluarga dengan memberi hadiah atau seumpamanya sebagai motivasi kepada mereka untuk mendekatkan dengan al-Quran. Mengapa di kalangan kita bersedih, malu dan kecewa sekiranya anak-anak kita gagal dalam pelajaran? Dan kenapa kita tidak pula sedih atau kecewa jika anak-anak dan diri sendiri merangkak-rangkak dan buta membaca al-Quran?  

SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA,

Pelbagai  usaha dan program dilaksanakan baik di luar mahupun di dalam masjid Hukama ini untuk membantu kita membaca, mencintai dan menghayati al-Quran. Ini termasuklah melalui program-program kelas pengajian al-Quran yang memerlukan sokongan dan dukungan dari kita semua. Malangnya penyertaan kita boleh dibilang oleh sebelah tangan sahaja. Sedangkan program-program berbentuk hiburan tak dimaklumkan terhegeh-hegeh juga datang berbondong-bondong. Hal ini kerana kita tidak melihat al-Quran sebagai syifak, penyembuh, jauh sekali menjadi rujukan yang dijunjung dan dikelek. Firman Allah yang bermaksud: Dan kami turunkan al-Quran sesuatu yang boleh menyembuhkan penyakit ( hati ) dan menjadi rahmat kepada orang-orang yang beriman dan al-Quran itu tidak menambahkan orang-orang yang zalim ( disebabkan keingkaran mereka ) melainkan kerugian jua ” . ( Surah al-Isra’  ayat : 82 ) 

Oleh itu marilah kita bertakwa kepada Allah dengan menjadikan rumah kita syurga kita bukan rumah kita neraka kita.

Teks khutbah ini disampaikan di Masjid Hukama DBPKL 26 Safar 1428/16 Mac 2007

 


 

Disember 2009
I S R K J S A
« Nov    
 123456
78910111213
14151617181920
21222324252627
28293031  

BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2009

BBK

KARYA TERKINI

CERPEN DI MINGGUAN MALAYSIA
OKTOBER 2009
Kemuncup 2

"KEMUNCUP Di Atas Padang" cerita tentang rintih alam kepada anak-anak gempa yang melanda bumi Padang, Sumatera Indonesia. Cerita tentang Epa Poho yang dipujuk oleh Zahara Talua saat menemui anak yang luka dan duka bersalut lumpur derita. Cerita tentang tanah leluhur kita yang imannya belum teruji sepenuhnya. Makmur diuji nikmat aman hingga hidup bagai tidak bertuhan.

CERPEN DI DEWAN SASTERA
OKTOBER 2009
DDKT

“Al-Qadar Buat Angkasawan Di Bumi” pernah tersiar di Akhbar Mingguan Malaysia, Syawal 2007. Kali ini, cerpen ini diberi penghargaan ke persada MASTERA yang disiarkan dalam Majalah Dewan Sastera (Malaysia), Majalah Horison (Indonesia) dan Majalah Bahana (Brunei). Cerpen ala fiksyen sains angkasa ini terilham daripada kisah dua angkasawan negara Dr. Syeikh Muzaphar dan Dr. Faiz Khaleed.

CERPEN DI BERITA HARIAN
FEBRUARI 2009
dia-lelaki

"Dia, Lelaki yang Baru Saya Salam Itu" terilham berasaskan semangat untuk memboikot produk Amerika lewat perang Gaza, Palestin - Israel. Ideanya timbul usai solat Jumaat di Masjid Hukama’, DBP. Hari tersebut turut disempurnakan dengan Khutbah tentang Gaza beriring Qunut Nazilah dan solat hajat. Dalam khutbah saya menyentuh tentang boikot barangan Amerika termasuk rokok seperti Marlboro atau Benson & Hedges. Semangat boikot saya nampak di mata jemaah yang tidak tidur!

INSYIRAH

insyirah2 Sesungguhnya Novel "Insyirah" ialah novel kedua yang telah lahir daripada rahim Sayembara Mengarang Novel Kanak-kanak dan Remaja 2007 - Dewan Bahasa dan Pustaka. Novel ini telah memenangi hadiah pertama dalam sayembara tersebut. - al-Kurauwi

DI DADANYA KALAM TUHAN

ddkt-blog Sesungguhnya, tidak sampai lima tahun selepas menyertai bengkel penulisan cerpen anjuran KEPEZI (Kelab Penulis Zaharah Nawawi) awal September 2004 Ibnu Ahmad al-Kurauwi sudah mampu menghasilkan 20 cerpen yang melayakkannya memiliki kumpulan Di Dadanya Kalam Tuhan. Hal begini diperakui jarang terjadi. Namun bagi penulis muda pemegang ijazah Kesusasteraan Arab dari Jordan ini tiada perkara mustahil. Ke bulan pun manusia boleh jejak, inikan pula sekadar melahirkan sebuah kumpulan cerpen dalam waktu yang relatif singkat. – Zaharah Nawawi USJ Subang Jaya 9 Mac 2009

TINTA ELIPSIS

Novel TE bergerak sekitar gejolak rasa dan jalanan minda watak Amir Afif Amizul, anak peneroka FELDA, yang berpeluang menekuni bahasa Arab dan Pengajian Islam di Universiti Jordan. Amir Afif mempunyai sedikit sebanyak pengalaman dalam bidang penerbitan (TE: 25/7), iaitu selain pengalamannya sebagai konsultan yang ditimbanya selama lima tahun bertugas dengan Syarikat Amal Profesional Sdn. Bhd. (TE: 28) Amir Afif berhadapan dengan beberapa masalah yang wajar diatasinya sebijak mungkin. - Dr. Anis

TINTA LARIS

TETAMU

  • 65,349 hits

RSS Saifulislam.Com

  • The Sudanese Mahdiyyah Movement: A Quick Review 4 Disember 2009
    source: Brittanica Online Encyclopedia INTRODUCTION The jihadist movement known as the Sudanese Mahdist was a colonial war of the late 19th century. It is frequently asserted that the Mahdist was due to the oppression and misgovernment of the Egyptians in the Sudan. This hypothesis has been too easily and uncritically accepted, since its fail to explain why […]

RSS Faisal Tehrani

  • Array 4 Disember 2009
    “Sesungguhnya pemimpin kalian adalah Allah, Rasul-Nya dan orang-orang yang beriman yang mendirikan Shalat dan mengeluarkan zakat sementara ia dalam keadaan rukuk”. (al-Ma'idah 55).Salam buat Tsiqlul-Ashghar pelengkap Tsiqlul-akbar!

RSS Nisah Haron Online

  • Titipan Terakhir 2009 3 Disember 2009
    Karya-karya yang menjadi penutup tahun 2009 :DisemberDewan Sastera - Minggu Penulis Remaja: Membina Penulis PelapisDewan Bahasa - Penyebaran Bahasa Melayu melalui Blog SasteraWANITA - Siri Akhir "Gapura Purnama" : Cinta Luhur"Melalui penggunaan bahasa Melayu yang baik, secara tidak langsung mereka (pemblog sastera) dapat memperkenalkan dan mem […]

RSS Serunai Faqir

  • Anak-anak Kita 5 Disember 2009
    Orang kita masih berangankan bulan jatuh ke riba. Masih lagi menatap wajah pungguk yang sedih amat. Tidak dikira lagi anak-anak kita yang sudah jauh hanyut ke dalam rahang hedonisme. Segala macam hiburan dan nyanyian saban hari disodorkan pada anak-anak kita. Terpanggil lewat membaca betapa di pameran sains robot di Jepun (Utusan Malaysia), saya merasakan ba […]

RSS BECKyilHAM

  • Cerpen PROTOKOL CINTA dalam Dewan Sastera Disember 2009 1 Disember 2009
    “Suatu tindak balas alam.” Pernyataan, bukan persoalan. Dominique mengorak senyum, mempersilakan duduk. Dhaliza tercegat, berkerut. Pernyataan itu tidak lucu. Cuma terlalu klise. Dan Dhaliza – ah, dia sudah mengagak. Pelajar petah itu pasti akan memburunya selepas kuliah. Berdebat. Sehingga puas, meski kalah lebih acap. Dhaliza – gadis muda sedang ranum dari […]

RSS Coretan Perjalanan ZulDeanz

  • Selamat Hari Raya Korban 30 November 2009
    Selamat berhari Raya Aidiladha dan menjalankan ibadah korban. Jika kita tidak membuat korbanpun, sama-samalah kita membantu dan menyaksikan ibadah korban yang dibuat di kariah kita. Setiap yang menyaksikan ibadah korban itu pasti ada ganjaran pahalanya.Bukan mudah menumbangkan seekor lembu.Laungan takbir bergema selama beberapa hari ini di masjid, surau dan […]

Flickr Photos

Untitled

More Photos