Archive for the 'Sarwa Doa' Category

DOA SEMPENA MUHARAM 1433

Wahai Tuhan sayyidulayyam,
Sempena Muharam 1433
Syukur kami kerana menambah angka,
dan memendekkan tarikh nyawa.
Bukanlah sanya tanda tua,
tetapi mendekatkan kami kepada-Mu, Tuhan Pencipta,

Wahai Tuhan sayyidulayyam,
Sempena Muharam syahrulharam,
Kami bertekad dan berazam,
Menjauhi maksiat yang menambah usia kami di neraka,
Memperbanyakkan ibadat yang memudakan kami semula di syurga.
Allahumma amin.

DOA LELAKI BERJANGGUT PANDAK

 

LELAKI BERJANGGUT PANDAK yang memesan dua keping roti canai dan teh tarik di hujung gerai cikgu itu dapat saya teka bangsanya melalui telor lidahnya. Yang pasti dia bukanlah orang Melayu. Tubuhnya agak kurus, berkemeja putih dengan seluar panjang dan ketayap sulaman tangan yang bersih meyakinkan saya bahawa dia bukanlah lelaki gelandangan.

Lelaki berjanggut pandak itu, mencubit rotinya yang masih berasap dengan tiga jarinya satu demi satu bak perca kain yang dikoyak. Matanya berkaca-kaca barangkali sedikit lapar dengan pembuka doa. Sebelum menjamah, lelaki itu meneguk teh tariknya yang sudah mula suam. Halkumnya bergerak turun naik, seteguk demi seteguk. Dua teguk, tiga teguk mengikut sunah Nabi, sapa akal saya. Saya berselera mencubit roti yang saya pesan sambil melihat lelaki itu menjamah sarapannya dengan tertib dan beradab sekali.

Belumpun habis separuh daripada roti keduanya, saya melihat lelaki itu sudah membasuh tangan. Tangannya yang sudah dikeringkan dengan tisu kemudian melurut janggutnya yang hitam. Tertangkap sepotong doa usai makan melalui gerak bibirnya yang nipis. Sekonyong-konyong lelaki itu memandang baki sarapannya. Ada keluh di hujung nafasnya. Lelaki itu menadah tangan berdoa dalam bahasa Arab yang sangat saya mengertikan,

“Tuhan, andai rezeki yang tidak terhabiskan ini dibebankan dengan dosa, maka ampunkanlah dosaku. Sesungguhnya aku cuai mengukur rezeki yang Engkau kurnia dengan saiz perut yang mengisi ruang nafsuku. Tetapi andai rezeki yang tidak terhabiskan ini menjadi mudarat kepada tubuhku, maka rezeki yang masuk ke dalam perutku itu Engkau jadikanlah ia berkat dan memberi upaya untuk beribadat!”

Saya yang terkesima mendengar, bingkas bangun sesudah meneguk sisa teh yang berbaki  lalu mendahului lelaki itu ke kaunter bayar. Pantas saya berbisik kepada cikgu bahawa roti canai dan teh tariknya sudah pun saya jelaskan.  Saya melaungkan lafaz salam yang sedikit tinggi ke wajahnya yang terpinga-pinga dek melihat saya yang semakin jauh meninggalkan gerai cikgu, pagi itu. – al-Kurauwi

KEPADA-MU MENGADU

Ya Rabbana, wahai Tuhan kami.
Sesungguhnya kami mengadu kepada-Mu akan
betapa kerasnya jiwa,
betapa banyaknya dosa,
betapa panjangnya angan-angan yang sia-sia,
betapa banyaknya amal yang tidak Engkau terima,
betapa malasnya kami untuk tunduk dan taat.
Terlalu banyak khilaf dan maksiat.
Hanya Engkaulah tempat kami mengadu,
dan hanya Engkau penerima segala taubat.

al-Kurauwi
Doa Pagi Isnin 29 Mac 2010

DOA BERBALAS PANTUN

 Pertandingan Akhir Berbalas Pantun

Huwallahu la ila hailla anta Awwalu wal akhir                                

Ya Allah sesungguhnya setiap yang bermula pasti akan berakhir. Hanya Engkaulah yang kekal abadi janji-Mu tidak pernah mungkir.          

Huwallahu la ila hailla Anta Arsala Rasulukal huda nabiyil Mustafa.

Sesungguhnya segala puji dan puja buat Rasul-Mu penyuluh gelita                  Yang menerangkan alam ini dengan cahaya petunjuk dan pedoman bermakna. 

Ya Allah kami pohonkan doa harapan redailah segala usaha dan kerjasama Sempurna atur cara sepanjang Majlis Pertandingan Berbalas Pantun yang penuh ceria. Moga pertemuan dijauhi daripada cacat cela bahkan dianyam oleh ukhuwah dan jalinan mesra dalam lindungan kasih-Mu jua.                

Ya Allah, Ya Fattah Ya Alim.

Sempena pertandingan ini, Kami memohon kepada-Mu berkat dan syafaat Melalui kesungguhan dan usaha yang tidak kenal penat demi kemuliaan agama kami, bahasa dan sastera kami, negara dan ummah sejagat. Moga yang kami pertahankan, seni warisan milik nenek moyang kami bakal duduk di singgahsana yang terhormat di bawah rahmat, sepanjang hayat. 

Ya Allah moga usaha kami ini membenihkan budi pekerti, masyarakat pertiwi. Moga sumbangan kami ini dapat menyatukan hati, mengeratkan silaturahmi, mengukuhkan jati diri menerusi citra tradisi dan akhirnya dapat merealisasi bangsa Malaysia yang harmoni, damai dengan bahasa budi, molek hati dan jiwa nurani. Saling faham-memahami, saling hormat-menghormati.   

Ya Allah Andai usaha kami tersalah pandang, tersalah lorong dan simpang.      Di langit ketujuh kami pohon ke keampunan.

Ya Allah, kami menolak segala yang syak dan yang zan dengan segala tekad kami rungkaikan kekeliruan. Dan segala kekurangan dan kelemahan tidak pula kami berpeluk badan.

Ya Allah kami khalifah menjunjung amanah Tuhan                                        Mohon disedarkan akan hakikat kehambaan dan keinsanan, Agar rendah hati meskipun berharta. Agar bijaksana meskipun berkuasa, Agar tidak asyik dibuai leka dunia. Agar tidak tunduk pada syaitan dan nafsu menggila, Agar keinsanan tak punah dek dendam kesumat, tamak haloba dengki khianat,  fitnah dan buruk sangka, agar tidak menjadi laknat oleh Tuhan semesta.

Amin Ya Qadial hajat  Amin Ya Muqbilut taubat. 

Dideklamasikan buat Tuhan Yang Maha Perkenan di Auditorium DBP, 1 November 2007 sempena Pertandingan Akhir  Berbalas Pantun Antara Kementerian 2007 – al-Kurauwi

DOA BUAT AMIZA!

 

“AKHIRNYA rakan KAPEZI kita, yang sama-sama menulis novel dengan kita, Amiza Khuysri bertemu juga jodohnya, iaitu Khairun Nisak Binti Munzir pada 13 Mei 2007 yang lalu. Kita doakan rakan-rakan kita yang lain juga dipertemukan jodoh juga hendaknya. Terutamanya Serunai Faqir, Rendra dan lain-lainlah! Jangan lama-lama membujang, nanti dikebas orang!

Buat Amiza, maaf kami tak dapat hadir sama. Marilah kita doakan kebahagiaan buat mereka berdua. Kita doakan moga perkahwinan itu tidak menghentikan terus keupayaannya untuk terus menulis! Kekal bahagia hingga ke akhir usia…” – Ibnu Ahmad al-Kurauwi

Ya Allah ya Rahman

Tuhan yang menciptakan makhluk berpasang-pasangan. Diciptakannya siang dan malam, langit dan bumi, bintang dan bulan. Diciptakannya buat lelaki, seorang perempuan sebagai teman untuk berkasih-kasihan. Ya Allah Sesungguhnya kami bersyukur kepada-Mu atas nikmat kejadian. Ya Allah Sesungguhnya kami pasrah kepada-Mu dengan jodoh pertemuan, kehidupan dan juga kematian. Ya Allah Ya Fattah Ya Alim Tuhan yang Maha BijaksanaTuhan yang Maha Kaya. Kurniakanlah buat pasangan pengantin kami kerukunan rumah tangga. Yang payungnya melindungi daripada fitnah, umpat dan caci cela. Yang kelambunya menyimpan rahsia, kehormatan diri dan keluarga. Yang kesannya membentuk insan beriman dan bertakwa. Tetap taat pada Tuhan yang esa. Tetap menghormati kedua-dua ibu bapa dan juga mertua. Menjaga maruah keluarga dan zuriat tercinta. Kukuh teguh terus terpelihara sehingga bila-bila. 

Ya Allah kami sedar langit cerah tidak selalunya ceria. Ya Allah kami sedar sedangkan lidah lagi tergigit inikan pula manusia. Ya Allah kami sedar hakikat tanggungjawab sebagai suami dan isteri yang amat berat. Jika hati-hati kami tidak erat, tekad kami tidak kuat, muafakat kami tidak bulat sudah pastilah perkahwinan kami akan cacat.  Oleh itu Ya Allah, satukanlah hati pengantin kami dengan cahaya keimanan. Gandakanlah kasih sayang dengan jiwa pengorbanan, Agar mereka bertindak dalam satu haluan. Agar mereka menyusun perjalanan dengan satu fikiran. Bijak berhemah melaksanakan kewajipan. 

Ya Allah sedarkanlah kami akan hakikat kehambaan dan keinsanan. Agar rendah hati meskipun berharta. Agar bijaksana meskipun berkuasa. Agar tidak asyik dibuai leka dunia. Agar tidak tunduk pada syaitan dan nafsu menggila. Agar keinsanan tak punah dek dendam kesumat, tamak haloba dengki khianat, fitnah dan buruk sangka. Agar tidak dilaknat oleh Tuhan semesta. Allahumma Amin.. Ya Mujibas Sa’ilin, Ya Rabbal Mustada’fin, Ya Rahman Ya Rahim.Ibnu Ahmad al-Kurauwi DBPKL (sumber gambar dari http://annyss.blogspot.com Terima kasih Kak Nisah Haron)

BAHTERA KAMI

Ya Allah Ya Hannan Ya Mannan

Ya Allah betapa cintanya kami kepada organisasi ini. Inilah organisasi kami, Dewan Bahasa dan Pustaka, pusaka warisan tempat kami berpijak. Organisasi yang lahir dari satu sejarah, api dari satu zaman, obor perjuangan tempat kami meminjam semangat tokoh terbilang. Yang telah lama belayar menongkah badai gelombang, bermandikan masin laut, ribut hujan dan taufan yang menderam panjang.

Ya Allah sedarkanlah kami akan hakikat betapa bertuahnya kami menumpang di bahtera ini. Inilah organisasi kami, tempat kami berdayung, mengembangkan layar, membelah lautan perjuangan yang luas terbentang berpandu kepada mentari, bintang dan bulan Tuhan, mengharapkan angin agar bertiup sopan, Ya Allah dengan iman dan tawakal yang berkekalan kami pasti bertemu pelabuhan wawasan.

Ya Allah, demi bahtera pertiwi ini, satukanlah hati-hati kami, padukanlah tenaga dan segala janji, eratkanlah silaturahmi dalam kalangan kami agar kami tidak tersalah kemudi menongkah gelora ombak ke beting mati.

Ya Allah, kami hanya kelasi. Mohon diberkati kerja kami, usaha-usaha kami dan pengorbanan kami agar segala muatan, misi dan visi kami sampai ke destinasi buat masyarakat dan pertiwi.

Ya Allah demi bahtera madani ini, janganlah hendaknya kami khianati amanah yang diberi, Yang di atas mematah layar kemudi Yang di bawah menebuk geladak demi kepentingan peribadi dan amarah nafsu nafsi.

Ya Allah demi bahtera ini, berikanlah kekuatan untuk kami sentiasa melakukan muhasabah diri agar kami dapat mengamalkan budaya kerja yang ikhlas, jujur dan dedikasi demi memperkukuh integriti diri dan organisasi. Ya ilahi hanya kepadamu kami memohon simpati.

Ibnu Ahmad al-Kurauwi

Dideklamasikan untuk Tuhan, sempena perhimpunan bulanan DBP 28 Mac 2007

POHON JEJAWI KAMI

Ya Allah, sempena sambutan perayaan Jubli Emas yang diraikan
Izinkanlah kami bermuhasabah.
Merenung kembali organisasi kami yang lahir dari satu sejarah,
api dari satu zaman, obor perjuangan mendaulatkan bahasa dan kesusasteraan.

Ya Allah jadikanlah Dewan Bahasa ini seperti pohon jejawi yang tegak perkasa.
Akar tunjangnya adalah agama,
batangnya yang sepemeluk itu mengukuh budaya warisan bangsa,
dahan dan rantingnya menjunjung bahasa Melayu tercinta,
bunganya mengharumkan sastera,
dedaunnya yang merimbun bak naskhah penerbitan yang mencetak khazanah bangsa.

Ya Allah andai buahnya boleh dimakan,
pucuknya boleh dijadikan ulam,
kami akan kunyah demi meramukan ubat pahit buat anak cucu,
agar lidah mereka tidak kelu, bibir mereka tidak bisu,
tangan mereka tidak kaku dan lesu,
demi mempertahankan khazanah budaya, agama, bahasa, dan negara tercinta.

Ya Allah, pinjamkanlah semangat pohon jejawi itu untuk kami,
agar ia menjadi minyak yang membakar obor kebangsaan,
terus menyala membakar semangat rakyat, abadi dan keramat,
buat anak bangsa kami beroleh berkat dan syafaat.

Ibnu Ahmad al-Kurauwi
DBPKL
19 Jun 2006

 


Oktober 2014
I S R K J S A
« Jul    
 12345
6789101112
13141516171819
20212223242526
2728293031  

RSS KLINIK JAWI

  • SIFIR JAWI
    ANTARA RUNGUTAN yang sering kedengaran daripada guru-guru pembimbing mata pelajaran Jawi ialah kerapnya berlakunya kesalahan memadankan tulisan rumi kepada Jawi dalam kalangan murid-murid. Sama ada kesalahan pada padanan huruf vokal mahupun padanan huruf konsonan. Puncanya ialah apabila kita mengharapkan pelajar kita menghafal huruf-huruf Jawi sebanyak 37 hu […]

KLINIK JAWI DI RADIO

Temui saya dan DJ Muhammad Suffian di Klinik Jawi, setiap Sabtu, jam 10 pagi di IKIM.fm

KARYA BAHARU

BUKU

Buku kaedah belajar jawi-4(1)

Buku "Kaedah Pembelajaran Jawi" ini menghimpunkan nota-nota pembelajaran Klinik Jawi Peringkat Asas yang dimuat naik ke laman sesawang PNM sebagai panduan kepada para pendengar radio IKIMFM yang mengikuti Rancangan Klinik Jawi setiap hari Sabtu, jam 10.00 pagi. Buku ini ditulis dalam dua versi tulisan iaitu Jawi dan rumi.

CERPEN

Cerpen 'Zam Zam ke Tanah Haram' diolah semula berasaskan cerita daripada mulut bonda sewaktu kecil. Kisah ini berlaku di kampung kelahiran di Parit Abas, Kuala Kurau. Perak. Wallahu a'lam, benar atau tidak kesahihannya. - Mingguan Malaysia, 21 Oktober 2012 - al-Kurauwi

Sebuah kisah benar. Kisah yang terilham daripada salah sebuah testimonial melalui e-mel seorang pembaca setelah mengulit novel “Punya Cinta Ramadan”.
- Mingguan Malaysia, 7 Ogos 2011 - al-Kurauwi

Terima kasih kepada Puan Siti Zabidah yang menumpahkan cerita ini ke telinga saya. Saya tidak pernah melihat wajah mereka namun berkongsi rasa dan air mata.

Berita Minggu 10 Julai 2011 - al-Kurauwi

Memberikan interpertasi baharu bukanlah memusuhi sejarah, jauh sekali memusuhi Islam.

- Ku Seman, Mingguan Malaysia, 14 November 2010

CERPEN

Ini kisah Dena Balosha. Gadis kecil dari Gaza yang syahid membebaskan buminya daripada Yahudi Israel. Bagaimana jika Dena Balosha berbicara dari syurga?

-Tunas Cipta, Jun 2010

KOLEKSI NOVEL

NAMAKU BUKAN MARIA

"Bagaimana kalau alur sejarah dibiaskan pada pertengahannya oleh suatu idealisme yang berpaksi pada tauhid? Novel ini memilih simpang lain untuk
Natrah, menghasilkan naratif yang menggugah"

– Sasterawan Negara Dato’ Dr. Anwar Ridhwan

PUNYA CINTA RAMADAN

“Punya Cinta Ramadan meneruskan kelangsungan keindahan nada dakwah melalui kekuatan gaya bahasa karya yang puitis dan keampuhan bercerita Ibnu Ahmad Al-Kurauwi selepas kelahiran novel Tinta Elipsis dan Insyirah, serta Kumpulan Cerpen Di Dadanya Kalam Tuhan.”

- w.b.rendra,
wbrendra.blogspot.com

DI DADANYA KALAM TUHAN

ddkt-blog Sesungguhnya, tidak sampai lima tahun selepas menyertai bengkel penulisan cerpen anjuran KEPEZI (Kelab Penulis Zaharah Nawawi) awal September 2004 Ibnu Ahmad al-Kurauwi sudah mampu menghasilkan 20 cerpen yang melayakkannya memiliki kumpulan Di Dadanya Kalam Tuhan. Hal begini diperakui jarang terjadi. Namun bagi penulis muda pemegang ijazah Kesusasteraan Arab dari Jordan ini tiada perkara mustahil. Ke bulan pun manusia boleh jejak, inikan pula sekadar melahirkan sebuah kumpulan cerpen dalam waktu yang relatif singkat. – Zaharah Nawawi USJ Subang Jaya 9 Mac 2009

INSYIRAH

insyirah2

Sesungguhnya Novel "Insyirah" ialah novel kedua yang telah lahir daripada rahim Sayembara Mengarang Novel Kanak-kanak dan Remaja 2007 - Dewan Bahasa dan Pustaka. Novel ini telah memenangi hadiah pertama dalam sayembara tersebut. - al-Kurauwi

TINTA ELIPSIS

Novel TE bergerak sekitar gejolak rasa dan jalanan minda watak Amir Afif Amizul, anak peneroka FELDA, yang berpeluang menekuni bahasa Arab dan Pengajian Islam di Universiti Jordan. Amir Afif mempunyai sedikit sebanyak pengalaman dalam bidang penerbitan (TE: 25/7), iaitu selain pengalamannya sebagai konsultan yang ditimbanya selama lima tahun bertugas dengan Syarikat Amal Profesional Sdn. Bhd. (TE: 28) Amir Afif berhadapan dengan beberapa masalah yang wajar diatasinya sebijak mungkin. - Dr. Anis

TETAMU

  • 235,972 hits

Top Rated


Follow

Get every new post delivered to your Inbox.

Join 32 other followers