Arkib untuk kategori 'Tinta Elipsis'

SAYA DI PESTA BUKU 2009

bannerpestabuku

OLEH sebab Insyirah masih lagi belum lahir, saya diminta membawa Tinta Elipsis untuk dipromosikan sempena Pesta Buku nanti.  Pengalaman pertama bertemu peminat (kalau ada :( ). Yang berkelapangan, jumpa di sana pada 20 April 2009 di Galeri DBP. Tentu seronok dapat bertemu ulat-ulat buku di sana. Saya turut dijemput memeriahkan majlis pelancaran 200 buah buku di bawah dana pengerak industri buku pada  sebelah paginya. - al-Kurauwi

ZUBIR ALI & SUARA PALESTIN

zubir

BALADA SEORANG GADIS KECIL.

Gadis kecil itu telah bertahun, dikecam derita,
Di khemah pelarian, yang menjanjikan dukacita.

Munir tak mengenal erti cinta, telah kering airmata,
menangisi kematian, ayah bonda dan saudara.

Pada suatu senja langit Shatila,
Menyaksikan pembunuhan, anak kecil dan wanita,

Munir ditembak penuh luka, tapi ajalnya belum tiba,
Kerana Tuhan mengasihi dia.

Peristiwa hitam 17 September, telah menjadi bukti,
Sempurnalah kekejaman suatu bangsa yang sombong dan hina.

Berapa banyak lagi, gadis kecil tak berdosa,
akan menjadi mangsa, kekejaman manusia.

Berapa abad lagi gadis kecil seperti Munir,
Akan menjadi korban, peperangan.

Zubir Ali (17 Disember 1982).

Terus membaca ‘ZUBIR ALI & SUARA PALESTIN’

INSYIRAH SEDANG ‘SARAT’

insyirah

SAYA tidak tahu adakah Insyirah yang sedang sarat mengandung atau saya yang sedang sarat mengandungkan Insyirah. Kata kawan-kawan, bukan saya sahaja yang sarat mengandungkan Insyirah, yang terlebih bulan itu, editornya juga sarat dan Kekanda Sinaganaga juga sarat-barat turut mengendungkannya juga. Semuanya harus dipaksakan kelahiran daripada rahim ibunya Februari ini juga.

Dek kecanggihan teknologi ‘pengimbas perut’, gambar di atas ialah draf pertama rupa wajahnya. Terimalah buah tangan saya yang kedua selepas Tinta Elipsis.  Sepenuh jiwa yang mulus saya menulis. Moga dari jiwa saya, turunnya ke jiwa anda juga. - al-Kurauwi

PROSES KREATIF DLYBSSI

dia-lelaki

CERPEN: Dia, Lelaki yang Baru Saya Salam Itu, timbul setelah selesai solat Jumaat di Masjid Hukama’, DBP. Hari tersebut turut disempurnakan dengan Khutbah tentang Gaza beriring Qunut Nazilah dan solat hajat. Dalam khutbah saya menyentuh tentang boikot barangan Amerika termasuk rokok seperti Marlboro atau Benson & Hedges. Semangat boikot saya nampak di mata jemaah yang tidak tidur!

Selesai Jumaat, seorang kawan perokok menyapa. “Kami dah lama boikot Marlboro dan Benson & Hedges nih. Sebab tu kami hisap Dunhill atau Gudang Garam!” Mulutnya memuncungkan asap sedang kotak rokok Dunhil membengkak dalam kocek kemejanya.

Terus membaca ‘PROSES KREATIF DLYBSSI’

JAWI DI HUJUNG JARI VS JAWI DI HATI

Anda ingin menulis Jawi tetapi tidak boleh menulis? Atau anda tahu menulis Jawi tetapi tidak tahu sistem penulisan yang terkini? Mungkin maklumat di bawah sedikit sebanyak boleh membantu anda.

KECANGGIHAN teknologi siber hari ini telah melahirkan Ejawi.net atau Jawi Conveter 2.1  yang dicipta oleh Nik Muhammad Nik Abdul Kadir API, Universiti Malaya, mungkin boleh membantu anda membentuk aksara-aksara Jawi. Anda hanya perlu memasukkan tulisan rumi dalam petak yang disediakan. Jawi Conveter ini sedia membantu anda.

 

Satu lagi aplikasi Jawi pelbagai fungsi telah dibangunkan oleh Kolej Universiti Teknologi Pengurusan Malaysia (KUTPM) untuk KEKKWA telah dilancarkan baru-baru ini. Ia mengandungi pemeroses perkataan Jawi, Daftar Kata Jawi, penukar tulisan Jawi dan pengimbas tulisan Jawi. Perisian ini boleh dimuatturunkan ke perisian anda melalui Portal K-Jawi yang disediakan.

Portal Jawi ini adalah portal interaktif yang dihasilkan dengan penggunaan tulisan Jawi sepenuhnya. Ia mengandungi pelbagai ciri bagi pengguna untuk melayarinya. Portal ini menyediakan pelbagi fungsi seperti forum, artikel, berita dan sebagainya. 

Walau bagaimanapun, andai Jawi anda hanya diletakkan di hujung jari ia tak akan dapat membantu anda menyemarakkan tulisan Jawi kerana ia akan mudah hilang, seperti hilangnya tulisan Jawi yang dicabut Tuhan di dada pencintanya. Jangan biarkan tulisan Jawi meniti hari-hari untuk ditalkinkan hanya sekadar perhiasan yang digahkan seni khatnya sahaja dan hanya alat untuk mencapai matlamat yang tertentu sahaja.  

Andai tulisan Jawi diletakkan di hati, pasti tak akan mati kerana ia dicintai, dihargai, dilestari dan dibawa hingga ke mati! - Ibnu Ahmad al-Kurauwi

SAYA DAN JAWI

 

Hari ini 21 Mei 2007 wajah saya terpampang besar di akhbar Utusan Melayu bilangan ke-217 dengan tajuk ‘Pembakar Semangat Jawi’ saya petik kenyataan akhbar seperti yang berikut:

” KUALA LUMPUR – Pelbagai cara dan kaedah telah digunakan untuk membakar semangat Jawi di kalangan pelajar dan orang dewasa dalam usaha memartabatkan semula tulisan Jawi di negara ini.

Pegawai Perancang Bahasa, Bahagian penyelidikan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Azman Ahmad tidak terkecuali, malah beliau salah seorang pakar Jawi telah menggunakan komputer semasa mengajar, selain memberikan kefahaman turut membakar semangat Jawi di kalangan para peserta. Usaha bersungguh-sungguh beliau menempakkan hasil kerana proses pembelajaran mudah, tidak membosankan dan penerangan yang jelas berkaitan ejaan baru Jawi.

Itulah usaha terbaru Perpustakaan Negara Malaysia menerusi Klinik Jawi yang mendapt sambutan ramai sebagai susulan Semarak Jawi yang dilancarkan Menteri Kebudayaan Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. rais Yatim Januari lalu.” 

“Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini, khususnya majikan saya Dewan Bahasa dan Pustaka. Moga-moga warisan Melayu kebanggaan kita ini terus dipertahankan kelangsungannya dan disemarakkan kempennya berterusan.” - al-Kurauwi

ANDA TAK MALU?

INILAH perlakuan manusia yang disebut oleh Allah SWT sebagai al-An’am atau al-Bahimah bahkan tabiat mereka ini lebih teruk daripada yang digambarkan oleh Allah SWT itu.

Sejumlah 18,000 orang dengan sukarelanya berbogel di  Zocalo Square, Mexico City kononnya atas nama seni. Tanpa rasa malu mereka berkumpul awal bulan lalu, semata-mata memenuhi hasrat seorang jurugambar profesional, Spencer Tunick untuk mencatat rekod dunia.

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan daripada Abu Laith, daripada Abdullah bin Mas’ud; katanya, Rasulullah SAW bersabda:

“Malulah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar malu.” Dijawab para sahabat, “Kami sudah malu kepada Allah, alhamdulillah.” Jawab Nabi: “Bukan itu, tetapi sesiapa yang malu kepada Allah dengan sesungguhnya, maka hendaklah ia menjaga kepala dan semua pancainderanya dari dosa-dosa, juga perut dan apa yang masuk ke dalamnya, dan hendaklah selalu ingat akan mati dan bencana di dalam kubur. Dan sesiapa yang benar-benar inginkan akhirat, ia akan sanggup meninggalkan kesenangan dunia, maka siapa yang berbuat demikian maka ia telah malu kepada Allah dengan sesungguh-sungguh malu.”

Dalam satu hadis yang lain nabi bersabda, maksudnya: …”Kalau kamu tak malu, buatlah apa yang kamu suka.”

- Ibnu Ahmad al-Kurauwi

 

FIQH AL-AULAWIYAT

Trauma yang dihadapi oleh mangsa pasca-tsunami yang terselamat masih mengundang rasa simpati di relung hati setiap individu. Bagi yang bersimpati, tangan dihulur bagai air terjun. Isunya, ketika sambutan ibadah korban baru-baru ini ada insan yang bertanya – Antara ibadah korban dengan menyumbang bantuan kepada mangsa bencana tsunami yang manakah patut diutamakan sedangkan kedua-duanya baik. Begitu juga antara ibadah Haji sunat (Ibadah Haji kali kedua atau selanjutnya) atau Umrah sunat seperti dalam bulan Ramadan dengan sumbangan dana bantuan kepada golongan yang memerlukan seperti di Palestin, Iraq dan negara Islam lain yang mana sepatutnya diutamakan?

Polarisasi antara dua kebaikan ini telah diperbincangkan oleh Prof. Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam sebuah buku: Fiqh Keutamaan – Satu Kajian Baru dari Perspektif Al-Quran dan Al-Sunnah yang sangat baik untuk dibaca. Kandungan buku ini telah dibahagikan kepada sebelas bab. Bab pertama memaparkan “Hajat umat Islam terhadap fiqh keutamaan”. Bab kedua, “Keutamaan kualiti ke atas kuantiti”. Bab ketiga, “Keutamaan kefahaman ke atas semata-mata hafalan”. Bab keempat, “Keutamaan dalam bidang fatwa dan dakwah” Bab kelima, “Keutamaan dalam bidang amal perbuatan” Bab keenam, “Keutamaan dalam perkara-perkara yang diperintahkan Allah Taala”  Bab ketujuh, “Keutamaan dalam perkara-perkara yang dilarang Allah Taala”. Bab kelapan, “Sifat sangat kedekut”. Bab kesembilan, “Keutamaan dalam bidang pembaharuan masyarakat”. Bab kesepuluh, “Fiqh keutamaan di dalam ilmu warisan Islam”. Bab kesebelas, “Keutamaan mengikut pandangan para pejuang pembaharuan di era moden”.

Menariknya dalam bab pertama lagi Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyatakan bahawa salah satu faktor yang mengakibatkan kedaifan umat Islam pada masa kini ialah hilangnya pertimbangan golongan intelektual dan masyarakat awam terhadap Fiqh keutamaan ini. Di kalangan remaja penekanan ke atas sukan dan hiburan menjadi lebih penting daripada mengejar ilmu itu sendiri. Yang sepatutnya disanjung bukan lagi golongan ilmuwan atau penulis walhal ahli sukan dan artis-artis diangkat dan dicontohi sebagai idola. Fenomena tersebut jelas membuktikan kejahilan masyarakat terhadap dimensi prioriti yang sedia ada dalam Islam.  

Oleh sebab itu, untuk memahami maksud fiqh keutamaan ini beliau telah mendefinisikannya sebagai meletakkan segala suatu pada tangga dan peringkatnya yang sebenar dengan pertimbangan keadilan sama ada mengenai perbuatan, pemikiran hukum-hakam dan nilai-nilai akhlak mulia.

Justeru itu, suatu yang kurang penting tidak wajib dipentingkan. Apa yang wajar didahulukan hendaklah diketengahkan, suatu yang wajar dikemudiankan hendaklah dikemudiankan, perkara yang kecil tidak patut dibesar-besarkan, sementara perkara yang penting tidak wajar dipermudah-mudahkan. Dengan lain perkataan tiap-tiap suatu hendaklah diletakkan pada tempatnya secara berimbangan. Allah S.W.T. berfirman yang bermaksud: “Dan Allah telah meninggikan langit dan meletakkan neraca keadilan, supaya kamu jangan melampaui batas tentang neraca itu, dan tegakkanlah timbangan itu dengan adil dan janganlah kamu mengurangi neraca itu.” (Surah al-Rahman: 7-9)

Sebagai seorang doktor rohani dan pembimbing ummah, Dr. Yusuf Al-Qaradhawi telah berusaha keras untuk menyajikan ramuan-ramuan dan resipi yang sesuai untuk dijadikan dispensari kepada setiap penyakit yang dideritai oleh masyarakat Islam kita pada masa kini. Oleh sebab itu beliau menggesa agar aspek-aspek ilmu mesti diberikan keutamaan daripada amalan serta lebih mencerap aspek kualiti isi kandungnya berbanding kuantiti bacaan itu sendiri. Justeru itu, dalam buku ini, aspek mengutamakan ilmu dan kefahaman sangat ditekankan hinggakan dalam bab yang ketiga telah dijelaskan suatu bab khusus tentang keutamaan kefahaman ke atas semata-mata hafalan.

Secara literalnya penulis telah membangkitkan kesedaran kepada kita agar memahami ajaran-ajaran agama Islam bukan setakat mempelajarinya untuk dihafal atau bagi tujuan lulus peperiksaan sedangkan memahami inti pati pengertiannya yang sebenar itulah yang lebih utama. Tetapi tidaklah sampai menyatakan ia sesuatu yang sia-sia namun dari sudut kedudukannya ia bukanlah matlamat yang utama tetapi hanya sebagai pengantara untuk mencapai apa jua kefahaman dan pengertian.Selanjutnya penulis menyusun beberapa panduan atau konteks yang perlu diambil kira ketika meletakkan aspek keutamaan tersebut terutama apabila bertembung dengan beberapa permasalahan yang timbul.

Keutamaan memberikan keringanan dan kemudahan daripada memberatkan. Dalam hal ini penulis membawa contoh bagaimana Rasulullah s.a.w. menganjurkan umatnya menyegerakan berbuka puasa dan mengakhirkan makan sahur untuk memberikan kemudahan kepada yang berpuasa. Mengakui keadaan darurat yang datang menimpa kehidupan manusia. Dalam keadaan tersebut syariat Islam membolehkan perkara-perkara yang sebelumnya terlarang dibenarkan demi memberi kemudahan kepada manusia baik individu mahupun jemaah. Perubahan fatwa dan ketentuan hukum kerana perubahan masa dan tempat. Oleh sebab perubahan dan perkembangan yang terjadi di dalam kehidupan manusia seperti permasalahan perubatan atau teknologi moden menyebabkan para ulama membolehkan perubahan fatwa dan ketentuan sesuatu hukum itu. Memahami sunnah al-Tadarruj (berperingkat-peringkat). Memahami sunah ini bukanlah bermaksud menangguhkan usaha-usaha ke arah pelaksanaan Islam tetapi lebih kepada mempersiapkan pemikiran, sikap, mentaliti, akhlak dan kefahaman masyarakat akan ajaran Islam yang sebenar seperti kaedah pengharaman arak yang disebut oleh Allah S.W.T. dalam al-Quran.

Suatu hal yang menarik yang sering berlaku kekeliruan di kalangan masyarakat Islam ialah bagaimana meletakkan keutamaan dalam gerak kerja dan amal ibadah Muslim. Pertamanya penulis menggesa kepada perlunya nilai istiqamah yang harus dikerjakan secara terus-menerus tidak terputus di tengah jalan seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Amal yang paling disukai oleh Allah Taala ialah amal yang berkesinambungan”

Keduanya amal yang lebih bersifat altruisme iaitu yang memberi manfaat kepada orang ramai lebih utama daripada kepentingan untuk dirinya sendiri atau golongan yang lebih sedikit seperti amalan berjihad atau menyokong kepada jihad yang lebih afdal daripada jenis amalan seperti menunaikan fardu haji ke Tanah Suci. Hal ini kerana manfaat amalan haji tersebut hanyalah untuk orang yang menunaikannya sahaja sedangkan kelebihan berjihad adalah untuk seluruh umat Islam. Selain itu mengutamakan suatu amalan yang lebih lama dan panjang kadar manfaatnya daripada amalan yang hanya kesan manfaatnya untuk jangka masa yang lebih singkat sahaja turut menjadi kriteria. Pengertian inilah yang menjadikan amalan sedekah jariah seperti bersedekah membantu mangsa tsunami mempunyai kelebihan dan keutamaan daripada ibadah korban yang bermusim dan oportunis sifatnya. Rasionalnya amalan bersedekah itu pahalanya lebih panjang kerana ia dijanjikan Tuhan akan terus mengalir walaupun orang yang bersedekah itu telah meninggal dunia.

Isu percanggahan pendapat dalam masyarakat hari ini sehingga timbul sikap saling kecam-mengecam dan salah-menyalahkan yang menyebabkan persaudaraan umat Islam goyah kerana didasari oleh perbezaan-perbezaan furuk iaitu cabang-cabangnya sahaja berbanding dasar atau usul syariat turut dihalusi oleh penulis. Dalam hal ini mengutamakan perkara-perkara dasar yang diperintahkan oleh Allah Taala harus didahulukan bukan hal-hal remeh-temeh. Kita masih terleka untuk melaksanakan kewajipan yang lebih utama iaitu memperkasakan asas akidah, iman dan tauhid serta membina keikhlasan terhadap agama Allah S.W.T. Kecenderungan sebahagian masyarakat kita membangkitkan perkara-perkara yang furuk adalah jelas menunjukkan betapa ceteknya kefahaman mereka terhadap fiqh keutamaan ini. Isu yang sama juga turut disebut iaitu antara amalan fardu dengan amalan sunat. Dalam hal ini umat Islam tidak menempatkan apa yang disebut fardu ain seperti kewajipan amar makruf dan nahi mungkar di mana al-Quran lebih mendahulukannya daripada solat dan zakat.

Ini dibuktikan oleh firman Allah S.W.T. dalam surah at-Taubah ayat 18 yang bermaksud: “Hanya sanya yang layak memakmurkan (menghidupkan) masjid-masjid Allah itu ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan hari akhirat serta mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat dan tidak takut melainkan kepada Allah, (dengan adanya sifat-sifat yang tersebut) maka adalah diharapkan mereka menjadi dari golongan yang mendapat petunjuk.” Dalam masyarakat Islam kita hari ini, ada golongan yang mementingkan suatu rukun ke atas suatu rukun yang lain. Mereka lebih mengutamakan kewajipan berpuasa pada bulan Ramadan sedangkan al-Quran menekankan kewajipan solat setiap masa. Terdapat juga sebahagian daripada kita yang menekankan perkara-perkara yang sunat seperti zikir, tasbih dan wirid lebih daripada perkara-perkara yang diwajibkan. Mereka tidak melayani ibu dan bapa, memutuskan silaturahim, tidak berbuat ihsan dengan tetangga atau ramah dengan golongan yang lemah, membantu golongan fakir dan miskin sehingga menentang kemungkaran dan kezaliman.

Dalam hal yang berhubung dengan nilai-nilai kemasyarakatan, aspek fiqh keutamaan ini tidak mendapat tempat di hati masyarakat. Masyarakat kita lebih mementingkan ibadat fardu yang bersifat nafsi-nafsi semata-mata lantas meminggirkan konsep ibadat yang lebih global di luar ruang lingkup diri. Ibadat fardu yang berasaskan prinsip jemaah seperti hak-hak jiran, kemanusiaan dan kenegaraan yang masih terabai.

Begitu juga kita masih tertinggal di belakang terutama dalam menguasai segala jenis ilmu pengetahuan sains dan teknologi. Akhirnya disebabkan kejahilan kita dan kelemahan para ulama dan umarak maka Islam terus-menerus lemah dan ketinggalan sehinggakan ruang yang diberikan Allah Taala dalam bidang fiqh seperti ijtihad dan hukum terus beku serta hilangnya kedinamikan syariat Islam yang sebenarnya boleh melumpuhkan penyebaran Islam itu sendiri, seperti yang berlaku pada dunia Islam hari ini.

Selanjutnya penulis memberi contoh tentang sekumpulan pemuda-pemuda di dunia Arab yang begitu ikhlas dengan agama. Segelintirnya adalah pelajar-pelajar yang sedang mengikuti kursus-kursus profesional seperti perubatan, kejururawatan, arkitek, perakaunan, pertanian dan sebagainya. Apabila mereka terlibat dalam bidang dakwah menyebabkan mereka berusaha untuk beralih pula ke bidang pengajian Islam akhirnya yang rugi adalah umat Islam itu sendiri. Mereka sewajarnya terus kekal dengan profesion tersebut kerana dari segi hukum syarak, walaupun ilmu-ilmu tersebut adalah bersifat fardu kifayah namun umat Islam yang mempunyai kelayakan profesional seperti amat berkurangan jika dibandingkan dengan yang bukan beragama Islam maka profesion tersebut harus menjadi keutamaan disebabkan maslahatnya kepada kepentingan umat Islam keseluruhannya.

Dedikasi Prof. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi sebagai seorang ulama dan cendekiawan yang begitu sibuk sebagai pendidik dan doktor kepada masyarakat yang sentiasa mengkaji, meneliti dan memerhatikan setiap perkembangan, permasalahan, dan kemusykilan yang timbul di tengah-tengah ummah dewasa ini wajar dihargai melalui penelitian hasil karyanya oleh kita sebagai pembaca. Apatah lagi hasil-hasil tulisan beliau sangat mudah didapati dan sudah pun diterjemahkan ke dalam bahasa Melayu. Sesungguhnya dalam mengutamakan ilmu pengetahuan daripada amalan beliau mengingatkan pembaca dengan memetik sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud: “Ilmu adalah pemimpin dan amal adalah pengikut.” Fikir-fikirkanlah!

Artikel ini pernah tersiar di Majalah Dewan Budaya dalam ruangan Ulasan Buku. 

AL-KURAUWI DI TV1

 

17 APRIL 2007 saya ke udara dalam Rancangan Selamat Pagi Malaysia di RTM1 yang dihoskan oleh Ustaz Irwan Johari (DJ Radio IKIM.FM). Dalam segmen Islam Hadhari ini, saya diberi amanah untuk mengupas tajuk “Menangani Sifat Marah’. Rencananya 5 soalan hanya 4 sahaja yang berjaya dikupas. Punca marah, Marah yang positif, Ciri-ciri orang marah dan Menangani sifat marah.

Tempohnya sangat pendek, sekitar 15 minit sahaja iaitu antara 8.45-9.00 pagi. Walaupun masanya pendek namun debarnya begitu panjang. Seminggu menanti tarikh hari ini, resahnya sudah lain macam. 1001 kerisauan timbul, walaupun ini bukanlah kali pertama.

Wajah pertama kali keluar di TV Pendidikan untuk slot Laman Minda, juga dibuat secara langsung. Keduanya, di TV 9 di awal tahun baru-baru ini. Kedua-duanya mengupas mengenai kelangsungan tulisan Jawi yang semakin diancam dan terancam.

Kata Puan Zamidah, “Peringkat awal agak ketara gabra dan gugup, dua tiga minit selepas itu baru nampak ’steady’, tapi kejap sangat!”

Tak apa, nanti perbincangan tajuk ini saya akan masukkan di ruangan ‘Tinta Elipsis’  –  al- Kurauwi 

 

 

 

MIMPI, Mainan Syaitan atau Anugerah Tuhan?

KECANGGIHAN sains dan teknologi hari ini mendorong manusia berlumba-lumba mencipta pelbagai alat kadang kala seolah-olah ingin menyaingi ciptaan tuhan. Sebuah syarikat pengeluar permainan pintar terkenal dari Jepun, Takara Co. baru-baru ini telah memperkenalkan sejenis alat atau gajet (Yumemi-kobo) yang membolehkan pengguna menentukan mimpi yang mereka kehendaki atau mendapat pasangan impian di dalam mimpi mereka. Agaknya ‘mesin mimpi’ ini nanti dapat membantu menyelesaikan masalah dikejar bayangan yang menakutkan atau mimpi yang pelik-pelik ketika tidur. 

Artikel kali ini ingin mengupas permasalahan tentang mimpi yang ada kalanya  mempengaruhi kehidupan kita hari ini. Mengikut kamus Dewan, mimpi bermaksud sesuatu yang terlihat atau dialami dalam tidur seseorang. Mimpi biasanya berkaitan dengan apa yang sedang menjadi fikiran seseorang. Kadang-kadang apa yang pernah dilihat, dialami dan dirasai oleh seseorang itu sering kali melintas dalam mimpinya. Hakikatnya, mimpi adalah nikmat yang dikurniakan oleh Allah Taala kepada siapa sahaja yang dikehendaki-Nya. Sekiranya mimpi itu datang dari Allah Taala ia disebut sebagai ‘al-rukyah’ Kadang-kadang ada juga yang datang dari iblis dan syaitan yang disebut sebagai ‘al-hulm’.   

Terdapat perbahasan antara ulama mengenai takwil mimpi. Ada mimpi yang boleh ditafsirkan dan ada yang tidak. Walau bagaimanapun tidak semua orang mampu mentafsirkan kebenaran mimpi tersebut. Ramai ulama yang ingin mendalami masalah takwil atau tafsir mimpi tetapi tidak ramai yang mengetahuinya kerana susahnya ilmu tersebut. Imam Ibnu Sirin, dalam bukunya Tafsir Mimpi Menurut Islam, berkata: ‘Tidak semua mimpi dapat ditafsirkan makna yang terkandung di dalamnya. Ada kalanya mimpi bagaikan angin lalu namun ada yang benar-benar menjadi kenyataan.’  

Mimpi insan yang bertakwa merupakan perkhabaran yang akan berlaku, kerana Rasulullah SAW tidak bermimpi melainkan mimpi baginda adalah wahyu dari Allah. Sedangkan mimpi manusia biasa merupakan berita yang disebarkan oleh iblis dan syaitan. Untuk memahami persoalan mimpi ini, bolehlah kita bahagikan mimpi kepada tiga jenis:  

1.     Mimpi yang baik.  

Mimpi yang baik disebut juga sebagai ‘busyra’ iaitu khabar gembira dari Allah SWT Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW menyatakan melalui sabdanya yang bermaksud: “Mimpi yang baik (soleh) itu dari Allah, sedang mimpi buruk itu dari syaitan.” (Riwayat Bukhari)  

Dalam sebuah hadis yang lain dari Abu Said al-Khudri r.a., dia pernah mendengar Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila salah seorang daripada kamu bermimpi dengan mimpi yang menyenangkan, maka itu adalah daripada Allah Taala. Dia hendaklah memuji Allah dan ceritakannya kepada orang lain” (Riwayat Bukhari) Menurut satu riwayat lain, menjelaskan bahawa larangan menceritakan mimpi baik itu kecuali kepada orang yang disukai atau orang yang paling dekat dengan kita. Hal ini pernah dialami oleh Nabi Yusuf a.s. Baginda bermimpi; sebelas bintang dan matahari sujud kepadanya. Ketika itu ayahnya melarangnya untuk menceritakan kepada saudara-saudaranya yang lain, sebab hal itu boleh mengundang fitnah. Mimpi yang baik boleh dibahagikan kepada dua kategori: 

i.       Mimpi para Nabi dan Rasul-rasul. 

Mimpi mereka adalah wahyu yang diturunkan oleh Allah SWT Bukti kebenaran mimpi ini dinyatakan oleh Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah akan buktikan mimpi itu benar kepada Rasul-Nya, kamu akan masuk Masjidil Haram jika dikehendaki Allah dengan aman”. (Surah al-Fath, ayat 27).  

Mimpi bagi nabi dan para rasul berbeza dengan mimpi manusia biasa. Hal ini kerana mimpi pesuruh Allah itu adalah benar. Ia merupakan salah satu cara bagaimana wahyu diturunkan dari Allah Taala kepada mereka. Kisah Nabi Ibrahim a.s. sebagai contoh telah diperintah oleh Allah SWT untuk menyembelih anaknya, Ismail a.s. yang datang melalui mimpinya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Maka apabila anak itu sampai (kepada peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim a.s. berkata: Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi, bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai bapaku, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya Allah ayah akan mendapati daku dari orang-orang yang sabar.” (Surah al-Soffat: 102) 

Kalau ditelusuri sejarah para nabi dan rasul-rasul, bukan Nabi Ibrahim a.s. sahaja yang mendapat wahyu dari Allah Taala melalui mimpi Baginda, tetapi hampir semua para nabi, termasuklah Nabi Muhammad SAW Bahkan hadis-hadis Qudsi yang diterima nabi juga merupakan wahyu dari Allah Taala.  

ii.     Mimpi orang soleh. 

Mimpi yang baik akan datang kepada hamba-hamba-Nya yang soleh. Walau bagaimanapun, mimpi yang baik di sini bukanlah bermaksud mimpi yang berbentuk ramalan atau sengaja-sengaja direka-reka apatah lagi bentuknya seolah-olah melampaui qada’ dan qadar Allah SWT. Mimpi melihat Rasulullah SAW adalah ciri-ciri mimpi orang soleh. Dalam sebuah hadis Nabi SAW Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang melihatku di dalam mimpi, sesungguhnya dia benar-benar melihatku, kerana syaitan tidak dapat mengambil bentukku.” (Riwayat Bukhari)  

Dalam sebuah hadis lain Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: “Apabila telah hampir kiamat tidaklah mimpi seorang Muslim itu dusta, mimpi yang paling benar ialah mimpi orang yang paling benar perkataannya dan mimpi seorang Muslim merupakan satu daripada empat puluh enam bahagian daripada mimpi kenabian.” (Riwayat Muslim) 

Justeru itu perlu diingat bahawa mimpi manusia biasa itu tidak mengandungi kebenaran yang mutlak. Kemungkinan tanda kebenarannya berlaku secara kebetulan sahaja, tetapi tidak menutup kemungkinan berlakunya banyak percanggahan yang mengelirukan. Apatah lagi bagi orang yang jahil atau yang memperkuda agama untuk kepentingan peribadi kononnya telah menerima wahyu melalui mimpinya, sehingga membawa kepada syirik dan terkeluar daripada agama Islam. Oleh itu kita yang jahil ini, dilarang mentakwilkan atau menyandarkan segala keputusan kepada mimpi. Sebaiknya berfikirlah lebih rasional dan berpijak pada bumi yang nyata.  

2.     Mimpi yang buruk. 

Mimpi jenis kedua ini sering berlaku kepada mereka yang mengalami masalah gangguan sama ada daripada iblis dan syaitan ataupun terkena sihir. Selain itu makhluk-makhluk halus juga mampu mengganggu mimpi manusia dengan izin Allah Taala melalui penglibatan manusia itu sendiri.  

     Prof. Madya Dr. Amran Kasimin, seorang pengamal perubatan Islam berpendapat, unsur kesedihan, susah hati atau apabila seseorang itu dalam keadaan marah akan menyebabkan pertahanan diri menjadi lemah. Apabila elemen dalaman ini lemah menyebabkan iblis dan syaitan yang sentiasa menunggu-nunggu peluang akan mudah menyerap masuk untuk mengganggu manusia melalui mimpinya. Dalam sebuah hadis Rasulullah SAW menyatakan melalui sabdanya yang bermaksud: “Mimpi yang baik (soleh) itu dari Allah, sedangkan mimpi buruk itu dari syaitan.” (Riwayat Bukhari)  

     Secara teorinya apabila kita tidur, jasad sahaja yang berada di atas perbaringan. Sedangkan akal manusia masih wujud, tetapi tidak aktif, tidak berfungsi dan di luar sedar. Ketika inilah, sekiranya kita tiada pertahanan diri menyebabkan makhluk-makhluk tersebut menyerang roh kita sehingga menyebabkan berlakunya gangguan-gangguan seperti mimpi-mimpi yang menakutkan dan sebagainya. Rasulullah s.a.w menjelaskan daripada Safiyah binti Huyayn, Baginda bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya syaitan itu berupaya berjalan dalam tubuh anak Adam mengikut pembuluh darah” (Riwayat Bukhari dan Muslim) 

     Apabila ini berlaku, ia boleh mengganggu manusia pada bahagian otak, hati dan mengawal pergerakan manusia dengan izin Allah Taala. Dalam sebuah hadis nabi memberi petua; apabila seseorang itu bermimpi yang buruk-buruk, maka jangan diceritakan sama sekali kepada orang lain, termasuk orang yang paling dekat sekalipun.  

3.     Mimpi mainan tidur. 

Mimpi ketiga ini yang paling banyak berlaku kepada kita. Mimpi jenis ini disebabkan pengaruh menonton cerita-cerita ganas, mengerikan, lebih-lebih lagi kanak-kanak yang kadang-kadang terbawa-bawa ke dalam mimpi mereka hasil daripada cerita yang ditonton ketika jaga.  

Selain itu, mimpi yang melibatkan anggota fizikal juga adalah mainan tidur. Mimpi ini disebabkan oleh gangguan fikiran yang berpunca daripada penyakit tertentu seperti demam, ramuan ubat, dadah atau pengaruh dan khayalan nafsu yang kuat. Walaupun demikian apabila mimpi tersebut berlaku berulang kali, tiga atau empat kali dalam seminggu, ataupun hampir setiap hari, iaitu ketika hampir terlena atau sedang tidur, ia bukan lagi mainan tidur. Ia kemungkinan antara tanda-tanda seseorang itu mengalami gangguan ataupun terkena sihir. 

Dalam masyarakat Melayu Islam hari ini amalan-amalan khurafat yang berpunca daripada mimpi merupakan elemen utama dalam perubatan secara tradisional. Ada antara mereka yang mencari keuntungan segera di sebalik mimpi mereka yang sebenarnya boleh merosakkan akidah pengamal dan orang yang berubat dengannya. Islam amat menitikberatkan soal-soal akidah, syariah dan akhlak untuk menjaga kesucian agama Islam itu sendiri. Amalan yang disabitkan dengan mimpi seperti yang diterangkan di atas tidak akan terlepas daripada amalan khurafat yang menyalahi akidah ini sekiranya: 

  1. Meramal suatu peristiwa yang bakal terjadi berdasarkan mimpi.

Perbuatan meramal atau menilik nasib seperti ini adalah perbuatan khurafat. Ia bukanlah satu-satunya cara atau landasan untuk menentukan sesuatu keputusan sementelahan pula mimpi itu sendiri bukanlah pemutus bagi segala-galanya untuk dipercayai. Islam tidak mengajar umatnya supaya meramal mimpi untuk menentukan baik buruk atau ajal maut dalam kehidupan manusia. Manusia bukanlah tuhan yang boleh meramal apa yang berlaku. Perbuatan meramal atau menilik mimpi melalui tukang tilik seolah-olah amalan dan budaya jahiliah yang sangat ditegah oleh Islam. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang yang beriman, bahawa sesungguhnya arak dan judi dan pemujaan berhala dan mengundi nasib adalah semata-mata amalan kotor dari perbuatan syaitan. Oleh itu hendaklah kamu menjauhinya supaya kamu berjaya” (Surah al-Maidah: 90)  

2.     Meletakkan keyakinan atau bergantung harap terhadap petunjuk melalui mimpi. 

Jangan meletakkan nasib kita pada mimpi yang menjadi mainan syaitan. Nasib seseorang Muslim itu tidak terletak kepada mimpinya. Mimpi adalah suatu yang sangat peribadi dan tidak mempunyai kuasa untuk merubah nasib seseorang. Sesungguhnya tempat bergantung harap, memohon perlindungan dan keselamatan hanyalah kepada Allah Taala. Perbuatan terlalu percaya kepada mimpi seolah-olah menafikan zat Allah yang Maha Kuasa. Hal ini boleh menyeret kita kepada perbuatan syirik kepada Allah SWT Firman Allah SWT yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah tidak mengampuni (dosa) kalau Dia disekutukan dan Dia mengampunkan selainnya, sesiapa yang dikehendaki-Nya. Dan sesiapa yang menyekutukan Allah, sesungguhnya dia telah sesat sejauh-jauhnya. (Surah al-Nisa’:116)  

  1. Mencampuradukkan antara ibadah dengan amalan khurafat.

Segelintir masyarakat kita sama ada sedar atau tidak telah mencampuradukkan ibadah mereka dengan amalan khurafat. Tanpa disedari fenomena menilik jodoh melalui mimpi dengan perantaraan solat sunat istikharah, terutamanya bagi sesetengah wanita perlu diperbetulkan semula.  

Amalan solat istikharah bukan bertujuan untuk meramal jodoh. Solat istikharah dilakukan apabila seseorang itu ingin melakukan sesuatu perkara tetapi tidak pasti apakah membawa kebaikan ataupun tidak kepadanya. Maka disunatkan baginya untuk melakukan solat istikharah. Pelaksanaannya sama dengan solat sunat yang lain. Dalam sebuah hadis dari Jabir bin Abdullah berkata, Rasulullah s.a.w pernah mengajar kami cara untuk meminta petunjuk dalam beberapa urusan yang penting. Baginda bersabda yang bermaksud, “Apabila salah seorang di antara kamu menghendaki pekerjaan, maka hendaklah ia solat dua rakaat, kemudian ia berdoa: ‘Ya Allah, sesungguhnya aku minta petunjuk yang baik dengan pengetahuan-Mu, dan aku minta diberi kekuatan dengan kekuatan-Mu. Aku minta kemurahan-Mu yang luas, kerana sesungguhnya Engkau yang Maha Kuasa sedang aku tiada berkuasa. Engkau mengetahui sedang aku tidak tahu, dan Engkau Maha Mengetahui yang ghaib” 

Malah apabila seseorang itu beriktikad bahawa mimpilah yang menjadi penentu kepada pasangan jodohnya maka dikhuatiri ia telah berbuat syirik kepada Allah SWT Islam melarang apa jua amalan baik yang bercampur aduk dengan kebatilan yang mengelirukan. Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan janganlah kamu mencampuradukkan yang benar itu dengan yang salah, dan kamu sembunyikan yang benar itu pula pada hal kamu semua mengetahuinya” (Surah al-Baqarah: 42) 

  1. Mimpi sebagai medium atau perantara yang menghubungkan antara manusia dengan makhluk lain atau alam ghaib.

Golongan ini biasanya melibatkan diri dengan perubatan tradisional misalnya, bomoh atau pawang yang terlibat dengan amalan semah, menyembah pantai, menurun dan sebagainya. Mereka ini kononnya didatangi oleh makhluk melalui mimpi meminta supaya disembelih binatang tertentu dan darahnya diberi makan kepada makhluk tersebut.  

Ada kalanya jenis mimpi, kononnya mereka didatangi oleh tokoh-tokoh agama atau manusia istimewa yang kononnya diberi keizinan oleh Allah SWT untuk menganugerahkan ijazah kemahiran atau ilmu-ilmu tertentu. Apabila keadaan seperti ini berlaku, orang yang didatangi mimpi itu merasakan yang ia mendapat arahan ataupun hidayah daripada Allah melalui mimpi. Sesetengah daripada mereka meyakini, bahawa yang datang itu ialah malaikat utusan Allah. Kepercayaan atau amalan melalui mimpi ini jelas bertentangan dengan ajaran Islam. Hal ini kerana mimpi bukanlah medium untuk memperoleh ilmu. Ilmu itu cahaya yang datang daripada sumber yang bersih dan suci. Manakala mimpi khurafat adalah lambang kepada kegelapan dan kesesatan. 

Sesungguhnya beruntunglah bagi hamba-hamba pilihan Allah Taala yang diberi anugerah mimpi yang baik. Sebaik-baik mimpi ialah mimpi bertemu dengan Rasulullah SAW Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Akan datang suatu masa di kalangan kamu dapat bermimpi melihatku lebih disukai olehnya daripada keluarga dan hartanya”  (Riwayat Bukhari)  

Manakala dalam usaha mengatasi gangguan tidur terutamanya mimpi-mimpi yang buruk akibat gangguan daripada iblis dan syaitan Rasulullah SAW telah mengajar doa berikut yang bermaksud: “Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada syaitan dan daripada keburukan mimpi” 

 Setelah membaca doa di atas, orang yang terlibat hendaklah mengubah posisi tidurnya. Kalau semasa bermimpi dia tidur mengiring sebelah kiri, dia hendaklah mengiring sebelah kanan, begitulah sebaliknya. Adalah lebih mudah andainya dia beralih tempat tidur. Demikianlah kaedah yang diajar oleh Rasulullah SAW Sebuah hadis daripada Jabir, katanya Rasulullah SAW ada bersabda yang bermaksud: “Apabila seseorang daripada kamu bermimpi dengan mimpi yang tidak disukai, dia hendaklah meludah ke sebelah kiri tiga kali, kemudian berlindung kepada Allah daripada syaitan tiga kali, dan ia hendaklah menukar posisi tidurnya” 

Artikel ini pernah tersiar dalam Majalah I terbitan Karangkraf


 

November 2009
I S R K J S A
« Okt    
 1
2345678
9101112131415
16171819202122
23242526272829
30  

BULAN BAHASA KEBANGSAAN 2009

BBK

KARYA TERKINI

CERPEN DI MINGGUAN MALAYSIA
OKTOBER 2009
Kemuncup 2

"KEMUNCUP Di Atas Padang" cerita tentang rintih alam kepada anak-anak gempa yang melanda bumi Padang, Sumatera Indonesia. Cerita tentang Epa Poho yang dipujuk oleh Zahara Talua saat menemui anak yang luka dan duka bersalut lumpur derita. Cerita tentang tanah leluhur kita yang imannya belum teruji sepenuhnya. Makmur diuji nikmat aman hingga hidup bagai tidak bertuhan.

CERPEN DI DEWAN SASTERA
OKTOBER 2009
DDKT

“Al-Qadar Buat Angkasawan Di Bumi” pernah tersiar di Akhbar Mingguan Malaysia, Syawal 2007. Kali ini, cerpen ini diberi penghargaan ke persada MASTERA yang disiarkan dalam Majalah Dewan Sastera (Malaysia), Majalah Horison (Indonesia) dan Majalah Bahana (Brunei). Cerpen ala fiksyen sains angkasa ini terilham daripada kisah dua angkasawan negara Dr. Syeikh Muzaphar dan Dr. Faiz Khaleed.

CERPEN DI BERITA HARIAN
FEBRUARI 2009
dia-lelaki

"Dia, Lelaki yang Baru Saya Salam Itu" terilham berasaskan semangat untuk memboikot produk Amerika lewat perang Gaza, Palestin - Israel. Ideanya timbul usai solat Jumaat di Masjid Hukama’, DBP. Hari tersebut turut disempurnakan dengan Khutbah tentang Gaza beriring Qunut Nazilah dan solat hajat. Dalam khutbah saya menyentuh tentang boikot barangan Amerika termasuk rokok seperti Marlboro atau Benson & Hedges. Semangat boikot saya nampak di mata jemaah yang tidak tidur!

INSYIRAH

insyirah2 Sesungguhnya Novel "Insyirah" ialah novel kedua yang telah lahir daripada rahim Sayembara Mengarang Novel Kanak-kanak dan Remaja 2007 - Dewan Bahasa dan Pustaka. Novel ini telah memenangi hadiah pertama dalam sayembara tersebut. - al-Kurauwi

DI DADANYA KALAM TUHAN

ddkt-blog Sesungguhnya, tidak sampai lima tahun selepas menyertai bengkel penulisan cerpen anjuran KEPEZI (Kelab Penulis Zaharah Nawawi) awal September 2004 Ibnu Ahmad al-Kurauwi sudah mampu menghasilkan 20 cerpen yang melayakkannya memiliki kumpulan Di Dadanya Kalam Tuhan. Hal begini diperakui jarang terjadi. Namun bagi penulis muda pemegang ijazah Kesusasteraan Arab dari Jordan ini tiada perkara mustahil. Ke bulan pun manusia boleh jejak, inikan pula sekadar melahirkan sebuah kumpulan cerpen dalam waktu yang relatif singkat. – Zaharah Nawawi USJ Subang Jaya 9 Mac 2009

TINTA ELIPSIS

Novel TE bergerak sekitar gejolak rasa dan jalanan minda watak Amir Afif Amizul, anak peneroka FELDA, yang berpeluang menekuni bahasa Arab dan Pengajian Islam di Universiti Jordan. Amir Afif mempunyai sedikit sebanyak pengalaman dalam bidang penerbitan (TE: 25/7), iaitu selain pengalamannya sebagai konsultan yang ditimbanya selama lima tahun bertugas dengan Syarikat Amal Profesional Sdn. Bhd. (TE: 28) Amir Afif berhadapan dengan beberapa masalah yang wajar diatasinya sebijak mungkin. - Dr. Anis

TINTA SAPA

ibnuahmadalkurauwi pada PAK AZIZI YANG MUDA
ibnuahmadalkurauwi pada PERCAKAPAN KALBU KEPADA INDERA…
ZulDean pada PAK AZIZI YANG MUDA
ibnuahmadalkurauwi pada PAK AZIZI YANG MUDA
anuar manshor pada PAK AZIZI YANG MUDA

TETAMU

  • 63,941 hits

RSS Saifulislam.Com

  • Sempitnya Dunia Luasnya Gua 12 November 2009
    image copyright www.chromasia.com “Sungguh menghairankan. Tidakkah Ashaab al-Kahf itu mengalami claustrophobia?” tanya seorang anak muda. “Haha, menarik juga soalan anta. Tak pernah terlintas di fikiran ustaz,” saya membalas. Claustrophobia itu didefinisikan sebagai ketakutan yang melampau oleh seseorang terhadap bilik atau ruang yang […]

RSS Faisal Tehrani

  • Satira Ketupat Cinta II: Kotak Berisi Kuih Lepat 11 November 2009
    Adapun pasar Melaka pada waktu itu sibuklah teramat. Segala barangan ada dijual. Termasuklah manusia yang akan dilelong sebagai hamba. Orang yang tua berumur delapan puluh tahun dijual dengan harga murah. Jika ia nyanyuk dijual dengan harga suku wang timah. Bak kata Abdul Mujid Bari, salah seorang pembesar di Melaka; adalah orang tua nyanyuk itu harganya mur […]

RSS Nisah Haron Online

  • Umbara Sastera III 11 November 2009
    Para penulis, peminat sastera dari jauh dan dekat, dengan segala hormatnya dipersilakan hadir ke majlis :Umbara Sastera III14 November 2009D'Ark, Taman Setia Kasih, Senawang, Negeri SembilanTema : Penulisan Sastera IslamPanel :Puan Nisah Haji HaronProses kreatif cerpen Aset IstiqamahTempat PertamaSayembara Cerpen Hadiah Sastera Berunsur Islam ke - 12Enc […]

RSS Serunai Faqir

  • Warisan Melayu - Gendang Silat 6 November 2009
    Upacara Penganugerahan Sandang Silat Gayong yang disempurnakan oleh Y.A.M Tengku Datuk Seri Tengku Ahmad Shah Al-Haj Ibni Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah Alhaj telah berlansung di Kuala Lumpur International Hotel pada 25 Oktober yang lalu. Kumpulan kami dijemput mengiringi majlis.

RSS BECKyilHAM

  • Ulasan Cerpen Jus Soli Jus Sanguinis dalam Tunas Cipta 11/09 5 November 2009
    "Pada dasarnya cerpen ini juga merupakan garapan warna-warni kehidupan yang bersifat global. Walaupun dalam situasi yang berlatarkan zon perang, masih ada nilai emosi dan nilai-nilai kemanusiaan sejagat. Saya terkesan cerpen ini kaya dengan maklumat, ada bahan-bahan sains politik, persekitaran budaya, aspek sejarah dan tamadun bangsa....oleh sebab isu y […]

RSS Coretan Perjalanan ZulDeanz

  • Segala-galanya Sudah Berubah 11 November 2009
    Dua minggu lalu, penulis telah menghadiri satu majlis perkahwinan seorang rakan di Banting, Selangor. Entah kenapa secara tiba-tiba sahaja penulis terkenangkan kembali memori indah semasa di sekolah menengah dahulu. Secara kebetulan rumah pengantin berhampiran dengan sekolah, tempat penulis pernah belajar dahulu, penulispun mengambil kesempatan berkunjung da […]

Flickr Photos

27/365 : Escape

More Photos