INSTITUSI HISBAH: MEKANISME CEGAH MAKSIAT

PRINSIP usul fikah iaitu ‘Matlamat tidak menghalalkan cara’ merupakan suatu prinsip yang digunapakai sebagai paksi memelihara maruah serta kesucian agama Islam dan penganutnya. Pada zaman Khalifah Umar Al-Khattab, seorang sahabat pernah menegur khalifah sendiri yang dikatakan cuba mengintip ke dalam rumah seseorang bagi mengetahui sama ada penghuninya berbuat maksiat atau tidak.

Mungkin kerana itu, Mufti baharu Perlis, Dr. Mohd Asri Zainul Abidin tidak menyetujui tindakan pegawai pihak berkuasa agama mengintip, seterusnya menyerbu pasangan yang disyaki melakukan maksiat. Apatah lagi andai serbuan tersebut dilakukan berdasarkan maklumat yang tidak jelas dan kemudian bertindak mengaibkan pasangan terbabit yang boleh memalukan dan menjejaskan imej Islam.

Dari satu sudut, usaha pencegahan maksiat itu seakan tidak serius. Putik-putik kepada zina itu sendiri tidak dibasmi habis-habisan. Kadang-kadang usahanya lebih ditonjolkan kepada aspek tangkapan daripada faktor pencegahannya. Lihat sahaja berita-berita tentang hasil tangkapan kes-kes khalwat. Angka-angka tangkapan, siapa, di mana dan bagaimana itulah yang sering sangat diberi keutamaan. Maka tidak hairan berita-berita seperti ini menjadi pelaris kepada akhbar-akhbar dan tabloid arus perdana.

Bukankahkah pencegahan kepada zina atau khalwat itu sepatutnya diberikan lebih perhatian dan difikirkan jalan penyelesaiannya! Di sinilah wajarnya insitusi Hisbah dihidupkan kembali. Institusi ini bukan sahaja berperanan mencegah dan menghapuskan kemungkaran yang tersebar di kalangan masyarakat dan mengambil tindakan ke atas mereka, tetapi yang menariknya semua masyarakat boleh mengambil bahagian berasaskan syarat-syarat yang tertentu.

Tangkapan bukanlah kerja utama. Hal ini disebut oleh Imam al-Ghazali dalam kitab Ihya Ulumiddin. Beliau telah membahagikan kepada lima cara untuk penguasa hisbah membenteras kemungkaran iaitu melalui penerangan, nasihat serta peringatan yang lembut, mengherdik kata-kata keras yang boleh menyedarkan, mencegah dengan tangan dengan serta merta dan memberi ancaman yang menakutkan.

Dalam Islam, institusi hisbah ini mempunyai bidang kuasa yang lebih luas dan bukan terhad kepada tugasan amar makruf nahi mungkar sahaja. Dalam konteks Malaysia, tugas-tugas yang dijalankan oleh bahagian Penguatkuasaan Majlis Daerah atau Dewan Bandaraya contohnya, merupakan sebahagian daripada bidang hisbah.

Mewujudkan institusi Hisbah tidaklah bermakna serbuan ke tempat-tempat yang disyaki tidak boleh dilaksanakan. Andai tindakan pihak berkuasa agama itu dilakukan berasaskan bukti yang kukuh, dikenal pasti bukan dari mulut-mulut fitnah, dan memenuhi syarat-syaratnya, maka segerakan tindakan dan laksanakan hukuman. Jika seseorang itu sudah jelas berzina dan ada bukti lagi dan didapati salah oleh mahkamah, kenapa tidak dijalankan hukuman seperti yang diperintahkan oleh al-Quran. Sesungguhnya ciri utama institusi Hisbah ini meliputi seluruh masyarakat tanpa mengira agama, keturunan atau pangkat.

Dalam permasalahan agama, institusi ini memastikan kehidupan masyarakat tidak tercemar dengan kepercayaan dan amalan yang khurafat dan bidah. Segala hukuman bukan bertujuan memalukan pesalah tetapi yang lebih utama menjadi pengajaran dan iktibar kepada orang lain. Jelas sekali bahawa seruan ke arah kebaikan dan usaha mencegah kemungkaran bukan bertujuan untuk memalukan seseorang, sebaliknya mendidik masyarakat ke arah jalan kebenaran. Sehubungan itu seruan kebajikan dan larangan maksiat hendaklah dilakukan secara bijaksana dan berhemah.

Artikel ini tersiar di Majalah Dewan Masyarakat Mac 2007

Advertisements

One thought on “INSTITUSI HISBAH: MEKANISME CEGAH MAKSIAT

  1. Pingback: FWD: Pesan Ustaz Haron Din - Page 2 - WangCyber.com - Komuniti Usahawan Internet Malaysia

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s