Baitul Muslim

SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA, 

Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah dengan mentaati segala perintah-Nya dan meninggalkan segala larangan-Nya. Hayatilah tuntutan dan syariat Islam dan amalkanlah dalam urusan kehidupan kita seharian. Marilah kita jadikan al-Quran itu sebagai pegangan hidup kerana sesungguhnya al-Quran sahajalah yang menjadi petunjuk dan penyelamat kita di dunia dan di akhirat. Yakinilah bahawa al-Quran sahajalah yang mampu menjadi ubat dan penawar kepada segala macam penyakit akhlak yang sedang melanda umat Islam kita hari ini.   

 SIDANG JUMAAT YANG DIMULIAKAN, 

 Keselesaan fizikal dan persekitaran sesebuah rumah merupakan faktor penting yang boleh mempengaruhi hidup dan pembentukan peribadi seseorang Muslim. Rumah adalah suatu institusi tarbiah yang ulung dan terawal dalam membentuk sahsiah  peribadi Muslim. Rumah yang baik akan melahirkan peribadi yang baik, tetapi rumah yang buruk luaran dan dalaman persekitarannya akan memberi kesan kepada akhlak dan perwatakan penghuninya dan akan memberi kesan kepada pembinaan masyarakat keseluruhannya.      

  

SIDANG JUMAAT YANG DIMULIAKAN, 

  Islam sangat menitikberatkan pencegahan pada peringkat awal kerana mencegah lebih baik daripada merawat. Oleh itu, tugas kita untuk memakmurkan rumah dengan 1001 macam kebaikan mampu membentuk ketenangan fikiran dan emosi penghuninya. Tambahan pula kebahagiaan dan ketenangan adalah lambang kepada agama Islam itu sendiri. Nabi SAW bersabda yang bermaksud: “Kegembiraan itu mempunyai empat unsur, isteri yang solehah, rumah yang baik, jiran yang soleh dan kenderaan yang selesa” (Riwayat Ibn Hibban) 

 Pada perspektif Islam, rumah adalah tempat tinggal untuk merehatkan badan dan menenangkan minda. Ia menjadi perantara kepada hubungan tiga hala iaitu antara manusia dengan pencipta-Nya, manusia dengan manusia dan manusia dengan persekitarannya. Allah SWT berfirman yang bermaksud: 

  والله جعل لكم من بيوتكم سكنا       

 

  

“Dan Allah menjadikan bagi kamu rumah-rumah (yang kamu dirikan itu) tempat tinggal” (Surah al-Nahl: 80)  

 

  SIDANG JUMAAT YANG DIMULIAKAN, 

Untuk menjauhkan rumah menjadi punca kepada berputiknya unsur-unsur maksiat dan gejala negatif, Islam telah menutup ruang atau benih-benih yang boleh membawa kepada gejala-gejala tersebut. Dari sudut fizikalnya Islam telah menyusun struktur dalaman sebuah rumah. Rumah yang baik sekurang-kurangnya mengandungi tiga buah bilik tidur secara berasingan iaitu sebuah bilik untuk ibu bapa dan dua buah bilik yang memisahkan antara anak-anak lelaki dan anak-anak perempuan. Pembahagian struktur ini telah disusun oleh Nabi SAW dalam sebuah hadisnya yang berbunyi:  

 مروا اولادكم بالصلاة وهم ابناءِ سبعِ سنين واضربوهم عليها  

وهم ابناءُ عشرٍ وفرقواهم في المضاجع 

 

  

“Perintahkanlah anak-anak kamu supaya menunaikan solat apabila usia mereka 7 tahun. Apabila usianya 10 tahun pukullah mereka seandainya mereka ingkar dan pisahkanlah tempat tidur mereka (antara anak lelaki dan perempuan)” (Riwayat Abu Daud)  

   

Apakah sebenarnya hikmah di sebalik etika yang di susun oleh Nabi Muhammad SAW sejak 1400 tahun yang lalu? Sesungguhnya keselesaan secara fizikal dan material sahaja bukanlah asas utama yang menentukan keselesaan atau ketenangan bagi penghuninya dalam sesebuah rumah. Hikmah yang tersirat yang boleh kita pelajari daripada hadis Nabi ini sebenarnya memupuk kesedaran kita sebagai ibu bapa tentang wujudnya perubahan dari sudut perkembangan seksologi anak-anak apabila sampai kepada peringkat umur tertentu. Selain penerapan nilai halal dan haram dalam memahamkan anak-anak, aspek pencegahan juga penting kerana ia merupakan proses pencegahan awal bagi membantu mereka supaya dapat menghindarkan diri daripada gejala negatif yang merosakkan.  

  

Hari ini senario kegawatan akhlak yang berlaku seperti kejadian rogol, sumbang mahram atau kes-kes bersekedudukan antara ibu bapa dengan anak-anak atau yang melibatkan sesama adik beradik, sedikit sebanyak berpunca daripada pembinaan struktur dalaman rumah yang tidak menepati piawaian yang telah diatur oleh Islam.     

  

SIDANG JUMAAT YANG DIMULIAKAN, 

 Bagaimanakah fenomena ini boleh berlaku? Secara teorinya rumah kecil akan mengehadkan unsur-unsur ‘privacy’ dan ‘secrecy’; iaitu had-had batasan dan kebebasan peribadi atau kerahsiaan dalam kehidupan seharian kita dan anak-anak. Sekiranya unsur ini tidak ditangani dengan sebaiknya, maka ia akan memberikan tekanan. Lebih ramai bilangan sesebuah keluarga itu, maka makin terhadlah unsur-unsur ‘privacy’ dan ‘secrecy’ tersebut. Andai tidak dikawal dengan baik ia boleh melonggarkan nilai-nilai moral, adat budaya dan pegangan agama dalam sesebuah keluarga. Selain itu, ia juga akan memberi kesan kepada proses pembelajaran anak-anak disebabkan ruang dan persekitaran yang tidak membantu untuk mempengaruhi minat dan semangat mereka supaya belajar.

 Akhirnya untuk melepaskan diri daripada kesesakan dalam rumah, anak-anak akan keluar mencari ketenangan bersama-sama kawan-kawannya di luar rumah. Ini akan mendedahkan mereka kepada gejala negatif seperti budaya lepak dan ponteng sekolah sehingga menjejaskan pencapaian akademik mereka. Sedar atau tidak, ruang rumah yang sempit boleh menyebabkan hubungan kekeluargaan dalam sebuah rumah menjadi renggang. Malah aktiviti ‘kebersamaan’ dalam sebuah keluarga seperti solat berjemaah, makan atau menonton televisyen akan longgar dan makin hilang kemesraannya. Malah rumah yang sempit juga boleh merumitkan ketegangan atau pertengkaran kecil yang lazimnya berlaku sehingga mengeruhkan hubungan dan menyulitkan kemesraan sesama keluarga.  

 Akhirnya si anak mencari jalan penyelesaiannya sendiri melalui kawan-kawannya di jalanan, manakala si bapa terpaksa melepaskan ketegangannya dengan teman bualnya di kedai-kedai kopi dan si ibu pula mencari ketenangannya dengan bertandang ke rumah jiran tetangga. Maka di sinilah sebuah keluarga itu akan kehilangan arah sehingga terlepas daripada pengawasan dan tautan kasih sayang keluarga sehingga terjebak ke dalam aktiviti-aktiviti yang tidak baik dan mengundang masalah sosial kepada negara.      

  

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,  

Justeru itu, Islam melihat bahawa rumah yang baik ialah rumah yang mampu menyumbang kepada perkembangan kasih sayang dan keutuhan institusi kekeluargaan yang berlandaskan syariat yang suci dan bersih daripada sebarang bentuk maksiat dan dosa. Sebab itulah Islam datang untuk memelihara maruah manusia dan menutup apa jua ruang yang boleh membawa kepada kemaksiatan atau kebinasaan terhadap umatnya. Rasulullah SAW pernah berdoa dengan bersungguh-sungguh, dalam sebuah hadis yang bermaksud: 

“Ya Allah, ampunilah dosaku, lapangkanlah rumahku dan berkatilah rezekiku.” Baginda kemudiannya ditanya: “wahai Rasulullah, mengapa engkau sering memohon perkara ini? Baginda menjawab: “Apakah ada yang lebih baik?” (Riwayat Nasa’i dan Ibn al-Sunni) 

  

SIDANG JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH,  

Marilah sama-sama kita bertakwa kepada Allah. Moga-moga kita bertakwa dan keluarga kita, anak-anak dan isteri kita juga bertakwa kepada Allah. Ketahuilah bahawa orang yang bertakwa itu akan dapat menyelamatkan isi rumah; dirinya dan keluarganya daripada api neraka yang bahan bakarnya manusia dan batu-bata.       

  

SIDANG JUMAAT YANG DIKASIHI ALLAH,  

Sesungguhnya rumah yang baik tidak hanya dinilai semata-mata pada seni bina atau dekorasinya sahaja, sedangkan unsur dalamannya kosong tanpa sebarang pengisian yang boleh memberikan faedah buat penghuninya. Hal ini kerana rumah yang kosong daripada sebarang bentuk pengisian mudah dimasuki syaitan dan jauh daripada keberkatan Allah Taala. Apatah lagi apabila diisi dengan unsur-unsur hiburan dan alat-alat yang melalaikan daripada mengingati Tuhan.  

Firman Allah SWT: 

  

  واذكرنَ ما يُتلى في بيوتكنَّ من ايات الله والحكمة إن الله كان لطيفا خبيرا      

  

“Dan ingatlah (serta amalkanlah) apa yang dibaca di rumah kamu dari ayat-ayat Allah (al-Quran) dan hikmah pengetahuan (hadis Rasulullah s.a.w.) Sesungguhnya Allah maha halus tadbirnya lagi maha mengetahui.” (Surah al-Ahzab: 34)  

   

  

SIDANG JUMAAT YANG DIKASIHI SEKELIAN,  

Adalah menjadi kewajipan ibu bapa menunjukkan contoh teladan kepada ahli keluarganya. Ibu bapa hendaklah sentiasa membaca al-Quran di rumah dan memastikan al-Quran dibaca oleh ahli keluarga. Mengapa kita terlalu banyak masa untuk membaca akhbar, majalah, menonton televisyen melayari internet dan lain-lain? Kenapa tidak boleh kita memperuntukkan sedikit masa untuk membaca al-Quran? marilah sama-sama kita mengambil iktibar dari Sabda Rasulullah SAW yang berbunyi : 

  ِاقْرَوُوا القُرْءآنَ فَإِنَّهُ يَأْتِيْ يَوْمَ الْقِيَامَةِ شَفِيْعًا ِلأَصْحَابِهِ      

  

Maksudnya : ” Bacalah kamu akan Al-Quran, sesungguhnya (al-Quran) akan datang pada hari kiamat memberi syafaat kepada pembaca-pembacanya “.(Riwayat Muslim)   

 Sesungguhnya rumah yang tidak dibacakan al-Quran bagaikan tanah kubur yang sunyi sepi dan akan terhindar dari rahmat Allah SWT. Oleh itu kita sebagai umat Islam sepatutnya menjadikan al-Quran sebagai bacaan utama setiap masa. Bukankah mereka yang membaca al-Quran, mendengar malah melihat al-Quran pun akan diberi pahala oleh Allah SWT Sabda Rasulullah SAW yang berbunyi :  

  مَنْ قَرَأَ حَرفًا مِنْ كِتَابِ اللهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنةٌ، والحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا 

 لآ أَقُوْلُ ( ألم ) حَرْفٌ، وَلَكِنَّ أَلِفٌ حَرْفٌ وَ لاَمٌ حَرْفٌ وَمِيْمٌ حَرْفٌ  

Maksud hadis tersebut : “Sesiapa yang membaca satu huruf dari al-Quran, maka bagi-nya diberi sepuluh pahala dan ditambah sepuluh lagi kewajiban seumpamanya, tidak aku katakan( alif, lam, mim ) itu satu huruf, akan tatapi alif satu huruf dan lam satu huruf dan mim satu huruf  “.     

  

Tidak salah andainya kita memprogramkan penghayatan al-Quran di rumah secara bersistematik dengan memperuntukkan masa selepas solat Maghrib umpamanya sebagai waktu membaca, mempelajari dan mentadabbur al-Quran dengan memanfaatkan masa tersebut bersama ahli keluarga. Selain itu, galakkan kepada anak-anak dan ahli keluarga dengan memberi hadiah atau seumpamanya sebagai motivasi kepada mereka untuk mendekatkan dengan al-Quran. Mengapa di kalangan kita bersedih, malu dan kecewa sekiranya anak-anak kita gagal dalam pelajaran? Dan kenapa kita tidak pula sedih atau kecewa jika anak-anak dan diri sendiri merangkak-rangkak dan buta membaca al-Quran?   

SIDANG JUMAAT YANG BERBAHAGIA, 

Pelbagai  usaha dan program dilaksanakan baik di luar mahupun di dalam masjid Hukama ini untuk membantu kita membaca, mencintai dan menghayati al-Quran. Ini termasuklah melalui program-program kelas pengajian al-Quran yang memerlukan sokongan dan dukungan dari kita semua. Malangnya penyertaan kita boleh dibilang oleh sebelah tangan sahaja. Sedangkan program-program berbentuk hiburan tak dimaklumkan terhegeh-hegeh juga datang berbondong-bondong. Hal ini kerana kita tidak melihat al-Quran sebagai syifak, penyembuh, jauh sekali menjadi rujukan yang dijunjung dan dikelek. Firman Allah yang bermaksud: Dan kami turunkan al-Quran sesuatu yang boleh menyembuhkan penyakit ( hati ) dan menjadi rahmat kepada orang-orang yang beriman dan al-Quran itu tidak menambahkan orang-orang yang zalim ( disebabkan keingkaran mereka ) melainkan kerugian jua ” . ( Surah al-Isra’  ayat : 82 )      

Oleh itu marilah kita bertakwa kepada Allah dengan menjadikan rumah kita syurga kita bukan rumah kita neraka kita. 

 

Teks khutbah ini disampaikan di Masjid Hukama DBPKL 26 Safar 1428/16 Mac 2007 

  

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s