HIKAYAT JEREBU PULAU JERUBUK

TERSEBUT alkisah akan sebuah pulau berjarak masa seratus tahun yang lampau disebut orang Pulau Jerubuk. Kata yang empunya ceritera, duduk letak ia di kepulauan bawah angin pada garis lintang 0 darjah di atas garis al-Istiwa, seratus batu jaraknya ke utara Pulau Serambi Mekah yang masyhur itu.

Sesungguhnya yang baik-baik selalu dibawa mulut orang yang pernah datang bertandang datang ke pulau itu. Apa tidaknya, gabungan gunung-ganang yang memegang pulau, hutan belantara yang redup menghijau sehinggalah ke lembah dan pesisir pantai. Semuanya bagai terlorek indah di atas kanvas dalam bingkai ciptaan Allah yang memukau mata yang memandang. Sekali-sekala hujan menyimbah bumi bertuah memalit kabus putih di kening gegunungan. Makmur dan subur. Tiada bah, tiada musibah yang memalit resah hatta senang dikunjungi wangkang dan para pedagang yang datang.

Berjiran dengan Pulau Jerubuk, sebuah pulau yang dahulunya disebut orang Pulau Kelabuk. Berbanding Pulau Jerubuk, pulau ini tersangatlah mundurnya, apa tidaknya jajahan kepulauannya besar, marhaennya terbiar sehingga tidak tertanggung akan si penguasanya. Hasil utamanya hanyalah bercucuk tanam, sekadar bertani menumpang tuah sawah; rezeki secupak mahu jadi segantang sedang bumi subur tetapi sekadar ditumbuhi semak, belukar dan lalang, hanya menjadi tempat tidur dan sepak terajang si cempiang. Tersepit dengan rezeki sedikit, ramai marhaen berhijrah meranduk rezeki di Pulau Jerubuk yang rezekinya melimpah ruah berkat si penguasa yang bijak memerintah.

Oleh sebab kedua-dua pulau ini dahulunya setanah sejantung, serumpun bahasa dan bangsa, namun bumi yang tergantung berubah bergerak semakin terjarak dek fitrah sunnatullah. Pernah berkata si cendekia penghuni Pulau Jerubuk; tuan utama yang menjadi pakar rujuk; bumi ini asalnya segumpal tanah leluhur seperti genggaman bayi yang terkujur lahir. Maka apabila usia bertambah, masa semakin bertemu titik noktah, genggamannya juga semakin menengadah. Akhirnya bumi yang tua sudahlah rekah, terpisah pula mengikut jajah dan wilayah.

Syahadan Pulau Jerubuk bertambah tersohor disebut orang dek bijak pandai penguasa dan para wedana mengurus mandala di samping berkat tunjuk dan bimbing si cendekia yang tidak pernah lupa walau janggut sudah putih panjang pula sedepa. Pulau yang berasaskan tani bertukar wajah menjadi pulau sehenti menjemput kapal singgah membawa herba, wangian dan juga rempah berlabuh di dermaga memunggah lenguh dan lelah sebelum menunggu angin mudik berdagang pula ke Temasik dan Melaka.

Pulau Jerubuk yang aman damai dipeluk makmur terus berkembang dengan pesat lagi luhur. Bak kata pepatah, tidak menimbun tanah yang tinggi, tidak menggali tanah yang lekuk. Walaupun pulaunya kecil, jiwa yang besar, sepakat membangun mamlakat. Berserah kepada Allah tiada alpa menjunjung Risalah malah bertambah-tambah berkat pula dek berpusatkan daulah kepada pemerintah khalifah.

Kemakmurannya diriwayatkan oleh sahibulhikayat, telah tersohor seantero buana, sehingga ditafsir oleh perawi; yang berlayar dari timur membawa makmur yang menyongsong dari barat membawa berkat. Subur harta dan juga agama kerana lama terkejur dek bertuhan kepada tahyul dan tunggul akhirnya ke hadrat Allah jua segala tunduk dan akur. Segalanya berkat dakwah si cendekia, berbekal Risalah menjunjung amanah. Pernah si cendekia yang masyhur itu ditanya wedana apakah ada umpan penunduk kata. Si cendekia yang memetik kalam sabda berkata, bahawa agama itu di atas jemala penguasa jua.

Suku abad lamanya segala yang direncana molek laksana, sampai serunya tetap diuji oleh Yang Esa. Seyogia telah dipesan si cendekia yang ilmuwan; iman itu laksana lingkaran butir tasbih. Setiap kali digentel ia bertambah, lagi lama dipegang makin ia berkurang. Maka insan yang beriman mahu diuji Tuhan sarwa alam; apakah bersyukur dengan nikmat Tuhan atau kufur terlanjur membelakang perintah dan larangan.

Maka tersurat di loh Tuhan akan suatu hari datang petualang berambut perang tetapi hati hitam bagai dipalit arang. Datangnya sudah ditilik si cendekia yang telinganya panjang, firasatnya tajam kerana telah sampai maklum akan wilayah khalifah sudah hampir tumbang di jerkah petualang kerana yang berbaju jubah rupa-rupanya musang berbulu ayam. Si nakhoda merangkap kepala dagang bermata biru lagi fasih berbahasa itu menghadap ke bawah si penguasa menawar diri berkongsi kerjasama yang kononnya bijak merencana, berilmu, lagi pintar bermain kata.

“Yang mulia penguasa, nawaitu hamba sekadar mahu memanjang saudara sambil berdagang, menawar laba dunia dari kepulauan atas angin yang tiada panas melainkan dingin,” ungkapnya berbahasa.

“Apa gerangan barang yang mahu didagang. Apa laba yang mahu dijaja?” tanya wedana bernada istifham, memohon faham.

“Mahukah penguasa dan wedana yang bestari mengatur kehidupan terpuji yang asal pulau bertani menanam ubi dan padi kepada dunia lestari paku dan besi agar dapat berdiri sama tinggi, tegak bergerak seiring dengan pulau hamba di pulau atas angin …”

“Apa yang lestari, apa yang terpuji. Bukankah Allah sahaja yang selayaknya dipuji. Apa, tidak cukupkah harta dunia ini yang kamu cari, hatta pulau yang sekecil ini mahu dikhianati,” tingkah si cendekia bernada keji tiba-tiba, namun masih mengawal hati.

Dipendekkan kalam, segala nasihat dan tegur si cendekia tiada mahu mereka undur, apatah lagi melihat si penguasa dan para wedana bagai membujur segala izin, diam segala tutur, sekali-sekali mengangguk-angguk bak burung tekukur dipetik jari tuannya. Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, si nakhoda segera menyambung pujuk penuh bermadah.

“Nah, hamba tidak mahu memanjang bicara apatah lagi mencetus khilaf. Inilah produk tinggi ciptaan tamadun kami,” ujarnya menyeringai sambil mengeluarkan barang dagang dalam khanah bercat emas kerajang.

Adapun kata yang empunya cerita, dalam khanah bercat emas kerajang itu tersimpan makhluk bernama Ortas. Pernah berpesan si cendekia kepada segala jelata Pulau Jerubuk agar berhati-hati, bahawa Ortas ini asalnya jin bermata satu, bertelinga tepu dan bermulut sengkarut. Telinganya leper bak kuali, kerjanya menangkap gelombang di pucuk yang tinggi. Matanya bak layar putih melebar, kerjanya hanya mempamerkan gambar dan juga menyiarkan khabar tiada henti 24 jam berdegar degur dengan libur dan hibur. Mulutnya panjang bak galah. Di tengahnya tegak terjelir lidah bak ketagih samsu, kerjanya hanya mendendangkan bunyi dan lagu yang disedut oleh telinga leper itu walau isyaratnya jauh berbatu-batu.

Berbalik semula kisah mereka, maka teruja penguasa dan para wedana melihat barang yang tiada pernah tersaksi akan rupa, kononnya hanya diternak di pulau atas angin tempatnya. Apabila dijana barang yang digelar Ortas itu, maka terpancar, terlaunglah segala dikir memuja memuji akan nafsu, juga kisah hikayat Awang telanjang, Mak Yong lenggang gerudi dan hikayat-hikayat yang tidak pernah di dengar dek telinga dan terkedang mata memandang. Para wedana dan penguasa teruja tanpa kata-kata.

“Inilah Ortas, barang dagang dari pulau atas angin yang sudah terbilang itu,” ujar petualang bermata jalang, bangga sambil mengusap jambang. Maka penguasa yang ditelanjangi iman mula dirasuk syaitan lalu tanpa usul periksa, tanpa mempedulikan pengaruh dan adab dan sopan, angguk memperkenankan permintaan. Lalu bertanyakan upah dan tawaran, maka segera dijawab hubaya penjarah.

“Harganya tiada mahal sebidang tanah jua sebagai galang gantinya. Barang diingat, Ortas ini hendaklah dipasang di setiap ceruk perabung rumah, dengan itu gelombangnya akan mudah masuk ke setiap teratak agar marhaen boleh belajar dan melihat adab dan santun pulau atas angin.”

Sesungguhnya adapun maksiat itu menutup pintu makrifat. Pernah juga si cendekia berpesan iman itu sehalus rambut, gentingnya menanti putus diragut, kerana itu si penguasa mudah dikaburi nafsu kelakunya gelabah akalnya khilaf melulu. Wedana yang takjub mengejar kemajuan, rapuh segala pegangan. Tiada peduli tanah sekangkang seorang, lalu terpukau serapah si kelembai petualang.

Yang menjadi mangsa marhaen sepulau terpalit virus Ortas hingga tunduk bertuhan kepada kejalangan ‘adab’ dan ‘santun’ pulau atas angin hingga terkesan menjadi barang pakaian harian. Seisi rumah dari ceruk kampung dan desa hanya mahu hiburan. Kesannya sangat kuat kata perawi hikayat; si isteri tiada lagi hormat pada suami, si suami sudah berani menyundal di belakang isteri. Keluarga runtuh, anak-anak yang terasuh daripada buai dan dodoi Otras hanya menuntun kepada kehendak nafsu.

Walang menumpang di wajah cendekia mengenang iman senipis bawang yang kelupasan. Si cendekia yang melihat ombak dosa tiada upaya menahan debur bahana. Habis upaya dan ikhtiar segenap tenaga. Virusnya meruntuh iman sepulau, buruknya sukar dihalau. Ahli keluarga, rakan dan taulan yang cuba bertahan ditekan dan dipulau. Virus hedonisme tiada lagi vaksin penyembuhnya kerana membelakangkan nasihat dan amaran si cendekia. Pernah dipesan si cendekia; sebaik-baik jin sejahat-jahat manusia namun kepada si penguasa dan para wedana tiada mereka peduli lagi akan kalam mutiara.

Dipendekkan ceritera, di puncak gunung, di tengah-tengah Pulau Kelabuk bercabang tiga itu si cendekia lari berkhalwat memohon syafaat dan hidayat. Akhirnya dilorongkan jalan dan panduan. Suatu malam si cendekia bermimpi berkali-kali setiap hari. Dalam mimpinya, kabus putih melingkari jasad ibarat ular melilit batang. Maka si cendekia cepat mentakwilkan mimpi yang datang, lalu segera pulang memerintahkan keluarga, saudara-mara, rakan taulan seiman agar berhijrah ke Pulau Kelabuk berpindah tanah, berhijrah memakmurkan bumi Allah yang tidak terpalit segala yang murka dan amarah.

Benar seperti titah Tuhan dalam kitab junjungan, andai beriman seluruh ahli pulau, maka pasti akan Tuhan buka keberkatan dari langit berkilau-kilau. Maka pulau yang dahulunya dipenuhi belukar dan hutan zulmat, makmur di bawah lembayung berkat, dihujani limpah rahmat dari tujuh petala langit dan tujuh petala bumi melimpah ruah menaungi Pulau Kelabuk. Rezeki bukan lagi secupak tidak juga segantang. Segalanya berkat kurnia Tuhan, lalu berpesan cendekia kepada penguasa empunya pulau kerana mahu ditukar nama daripada Pulau Kelabuk kepada Pulau Daik. Penguasa Pulau Kelabuk yang beriman cepat faham kerana nama yang baik jadi benteng daripada yang buruk-buruk. Kebetulan makna daik itu nama yang molek-molek juga.

Berbalik kepada Pulau Jerubuk, maka khabar petanda orang salih itu tiadalah dusta melainkan benar-benar belaka. Sepurnama meninggalkan Pulau Jerubuk, petaka juga yang datang menyapa. Bukan sahaja setitis hujan, awan redup pun tidak lagi mahu berhenti mengawan. Angin panas mengipas-ngipas penghuni yang mula bergalau seluruh pulau yang bahangnya bagai terpeluwap daripada perut pulau. Malah banjaran gunung yang lama diam, tanpa siapa yang dapat menjangka, memuntahkan asap yang tiada warna ceria, berkepul-kepul menjulang ke langit mencemar alam. Bumi yang dahulunya hijau tenggelam dalam jerebu kelabu, sekelabu warna jerebu. Menurut setengah-setengah hikayat, Pulau Jerubuk itu rupanya tidak tumpah seperti sumbu dian, ketika apinya membiru, sinarnya menyala menyuluhi alam. Kemudian tiba-tiba berjelaga hitam kerana tiada dijagai dek tiup angin yang keras datang dan minyak yang membakar sumbu dian sudah kering kontang.

Penguasa dan para wedana serta seluruh marhaen terkedang dalam sumbang kerana Ortas yang ditatang tak mampu lagi menyumbang jalangnya. Bukan hidung sahaja yang senak dengan asap, yang memandang pun sudah tidak nampak bayang malah seribu satu macam penyakit seperti hawar turut menggigit indera makhluk sepulau. Si penjarah lari tak cukup tanah namun yang tinggal, tiada akal yang mahu berfikir di sebalik hikmah kerana terdangkal dek maksiat. Gelisah mereka tiada sudah. Segala ikhtiar belum ketemu penawar.

Pengajaran bagi yang beriman, penyuluh segala jala di hadapan. Dari kejauhan Pulau Daik itu si cendekia menadah tangan syukur kerana doanya makbul. Akhirnya, hikmah jerubu kelabu itu menghalang Ortas daripada berfungsi menyedut gelombang yang berlingkar panjang memeluk ceruk pulau. Ortas, kejang di atas perabung. Iman penghuninya terlompang dalam hati hitam.

Di akhir hikayat, si penguasa Pulau Jerubuk hilang kudrat, lumpuh segala keringat dan urat. Kata setengah riwayat, menyesal sepanjang hayat tidak ikut kalam dan nasihat. Akhir usianya dikatakan mati beragan asyik terkenang budi si cendekia pagi petang malam dan siang. Sebelum matinya, kata setengah riwayat yang lain, si penguasa telah menukar nama Pulau Jerubuk kepada Pulau Pandan, mengharap bala Jerebu bertemu titik akhiran, mohon diketemu akan lenanya semula, namun perawi yang mengendong hikayat berkhilaf menentukan benarnya. Entah benar atau tidak, kata si empunya hikayat, ada suku sakat yang terjumpa catatan hibanya di atas batu bersurat bertulis Jawi dengan skrip tulisan Kawi daripada prasasti pantun Melayu yang masyhur itu. Katanya;

Pulau Pandan jauh ke tengah,
Gunung Daik bercabang tiga;
Hancur badan dikandung tanah,
Budi yang baik dikenang juga.

Cerpen ini tersiar dalam Majalah Dewan Sastera Mei 2006

Advertisements

2 thoughts on “HIKAYAT JEREBU PULAU JERUBUK

  1. Salam, Syarifah Salha,
    Cerpen ini sudah terbit lama di Dewan Sastera. Sesudah itu jarang sekali beraksi di situ.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s