POHON JEJAWI KHANYAM SAMLOU

PAGI yang masih damai itu, lengkung petala langit masih belum menyelak sayap jendela seluasnya. Namun ada bilah matahari yang menerobos dari regangannya masuk menyapa kulit bumi. Dingin yang berkerajaan mengeram butir embun di atas dedaun pohon jejawi. Satu daripada jurai dahannya meliuk lentuk seakan payung gergasi menaungi bangunan kelas yang terpisah di sudut masjid berkubah biru itu. Rutin pohon yang rendang akan menebarkan jaring asli dari rimbunan dedaun yang mengepung molekul-molekul embun lalu mengewapkan damai dingin menyentuh halus wajah alam di perbaringan. Dedaun pohon jejawi itu adalah jari-jemari yang menapis bahang sinar matahari daripada terus menyalai ke kulit bumi. Sampai masa, tajam kaki matahari yang sedang mendaki di atas paksinya itu akan memijak hangus butir-butir kristal itu.

Telah kami, pohon jejawi itulah yang sering menyihirkan pandangannya hingga terpukau kaku di situ. Kerana itu kami sering melihat dia berawal-awal duduk menghadap pohon besar itu berteleku menunggu kami sambil menghirup segar-bugar udara pagi. Apabila dingin sepoi pagi menyapa, akan dipeluknya dalam dakap erat lalu disedut sarinya dalam-dalam kemudian dilepaskan lega siranya perlahan-lahan. Aura damai itu seakan tonik segar meramu cepu fikir seorang mualim.

Pernah kami bertanya hal duduk menungnya itu. Selalu-selalunya dia akan menjawab berbasaan.

“Ah, anakanda, sekadar mahu menjemput damai bertandang ke jemala hati. Bukankah, kedamaian itu buah ilham. Ilham itu mencernakan perasaan. Damai yang terbit itulah yang akan memfasihkan lisan, menolak segala waham bersarang.”

Dan dia mula beralih tempat melangkah masuk ke kelas pengajian itu apabila ruangnya sendat dengan kelibat yang terisi. Kami pun tidak tahu, aura apakah yang menyebabkan kami bersesak-sesak di sini, setiap kali tibanya hujung minggu. Apakah kerana wajah kacaknya yang berhias janggut pandak dan kumis nipis itu atau kerana berkat tulus mulus amalnya yang tidak pernah lokek menghidangkan mutiara ilmu, menyampaikan khazanah Rasul yang tiada bernoktah walaupun digali seluruh risalah.

Yang pasti, kami gembira di sini. Yang pasti, kami bermadu cinta dengan pesona akhlaknya. Akhlaknya bak rendang pohon jejawi yang manfaatnya menyejukkan mata memandang. Kalaulah dia belum beristeri, pastilah kami orang pertama yang sanggup menebal muka menawarkan seorang suri bekal bimbingan solehah buat anak-anak kami.

Sesungguhnya graduan muda Universiti al-Azhar itu cerminan molek buat kami. Lokek bukan sifat ilmunya, sombong tiada langsung dalam gedung akhlaknya. Psikologinya menegur dan membimbing penuh berhikmah persis orang tua, walaupun usianya macam cucu-cucu kami. Bukan ilmu akidah itu sahaja yang tercurah, ilmu menulis dan membaca kitab jawi turut menjadi agenda keutamaannya. Galau juga kami memenangkan usaha murninya dalam serba kedaifan kami yang serba ‘rabun’ itu.

Didikannya di bumi Arab langsung tidak ‘mengarabkannya’. Jati diri Melayu, bahasa dan citra kebangsaannya jelas tersimpul ketat dengan tali kesantunan mengakar kemas peribadi Mukmin. Baginya, al-Quran, bahasa Arab dan tulisan jawi itu bagai sebatang pohon daripada satu akar yang dahannya bercabang tiga, namun hasilnya tetap dinikmati bersama, baik manfaat buahnya mahupun redup buat insan yang menumpang untuk berpayung di bawahnya.

Benih ilmunya disemai dan terbaja dari keringat kesungguhannya. Memang bersungguh sekali dia mengajar. Wataknya agak pemalu di luar, namun sangat peramah dan aktif di dalam kelas. Sekejap duduk berceramah, sekejap bangun bersyarah. Bila perlu menulis, berkejar dia ke papan putih di hadapan. Bila seorang dua yang terkeliru berlari pula ke belakang membantu. Semuanya itu mengundang rasa simpati dan kekaguman yang bercampur-campur. Simpati, kerana sukarnya dia melenturkan lidah kami yang sudah keras membaca dan menyebut huruf-huruf abjadiah itu.

Kagum, walaupun ada di kalangan kami yang tegar jawinya, masih merangkak-rangkak membaca, herot-berot menulisnya, namun hatinya cekal, semangatnya sepukal berbekal ilmu yang tulus buat kami beramal. Bukan sahaja kami yang peroleh berkat, anak-anak dan suami kami pun turut menumpang syafaat. Sesungguhnya usahanya itu tidak terbayar dengan nilaian harga keringatnya buat ahli kariah. Pasti tergantung nanti baktinya itu di kantung pahala buat bekal syurga.

Kadang-kadang nakal tua kami berjela-jela juga tak sepadan dengan usia. Ketika kami bermalas, sengaja kami umpan dengan soalan-soalan di luar kitab. Berlengah-lengah dengan isu-isu semasa, memanjang-manjang masa bertanya tentang petua dan doa anak yang tak dengar kata, suami yang mahu kahwin dua, petua menambat erat kasih sayang keluarga atau cerita itu ini serta macam-macam lagi. Tak terjawab juga dek melayan kehendak kami.

Hari ini, bilik kecil itu penuh semula dengan wajah-wajah emas yang datang dari pelbagai latar belakang. Dari suri muda sepenuh masa hinggalah kepada golongan profesional yang lanjut usia. Kami benar menekuni ilmu, menadah telinga di sebalik tudung litup yang berwarna-warni dan berbagai fesyen itu. Ada yang menekur memerhati huruf-huruf jawi berkulit kuning itu. Ada yang menggumam kalam berdengung seperti lebah sekali tinggi, sekali rendah mengulang lembar ayat yang akan dipunggah segala inti makna dan disyarah segala yang syubhah di hati.

Tidak kurang juga yang mengapungkan kalam khabar berdegar-degar dengan cerita dari bekal berminggu tidak bertemu. Sambil menunggu, ada juga yang menyulam kata niaga bersiaga dengan kain, kerepek dan katalog jualan langsung untuk menambah isi kantung keluarga. Dalam pada itu, sebahagian kami sabar menanti suaranya penuh tekun, mengharap nasihat mujarab terlantun keluar.

Apabila kalam bicara bermula, suara paraunya akan segera menenggelamkan suara kami yang kembang bersipongang dalam libang-libu itu. Dan ketika itu, dia akan menyandarkan tulang keringnya ke kerusi plastik rapat-rapat menghadapkan tampang wajahnya ke wajah kedut kami. Dan saat itu kami bersedia mendengarnya.

Bicaranya dibuka dengan salam. Suaranya diujar mendatar, tuturnya bernada ikhlas dan makhraj sebutannya jelas didengar. Kami sambut dengan suara yang pecah mengapung tingkah-meningkah bercelaru dari awal bercanggah bahagian penyudah. Mukadimahnya beralas pula puji-pujian kepada Tuhan berangkai-rangkai dengan selawat dan salam menjunjung cinta kasih kepada Rasul junjungan. Biasanya doa Insyirah penerang hati dan fatihatulkitab kami tadah mengakhiri panjang mukadimah.

Pagi itu, antara bubar mukadimah dengan pemula bicaranya ada jarak panjang yang tervakum. Lama sekali dia memerhatikan huruf-huruf jawi yang terpampang di hadapan mata. Mungkin sedang menyusun kata-kata. Kami biarkan sahaja dia bersiaga.

Hampir sebulan wajah imam masjid itu tidak bertamu di hati kami. Katanya, dia ke Kemboja, mengikut rombongan jemaah Syarikat al-Ameen yang membawa ibadah korban dan akikah sempena Hari Raya Aidil Adha ke sana. Jeda menanti kelas bermula, dalam sela-sela waktu itu, dia masih membelek-belek lembaran kitab yang tengadah di hadapannya, mungkin mencari tandaan tarikh pada helaian yang terakhir dipelajari.

Natijah dari bisik-bisik saat menanti itu, kami lontarkan buah cadangan. Sepakat kami mahu mendengar cerita dari perjalanannya melawat ke bumi Kemboja. Akhirnya terluah juga idea itu apabila Kak Sal, ketua Muslimat memberi cadangan.
“Ustaz, ceritakanlah lawatan ustaz ke Kemboja,” cadang Kak Sal terkulum bahasanya berbutir sopan. Dia membalas dengan seleret senyuman.

Melihat senyumnya menguntum panjang, sedarlah kami dia bersetuju dengan cadangan itu. Namun apabila sebuah keluhan berat terhempas ke aspal berserdakkan pula batuk-batuk kecil, tahulah kami ada rusuh yang melanggar cepu fikirnya. Biasanya jika ada suatu yang menyesakkan akalnya pasti akan ada buah fikir atau cerita besar yang mahu disampaikannya. Kalau itu yang terjadi, kelas tidak akan berlangsung mengikut isi kandung kitab. Hanya ceramah bersulam pesan dan nasihat berdegar-degar menggantikan kelas akidah itu.

Debar kami bubar apabila melihat dia sudah mengatup kitab. Tahulah kami dia akan bercerita berlama-lama pengalamannya di sana. Kami senyum menurut geraknya; Kak Cet yang meniaga kedai runcit di hujung taman itu tersenyum lega. Mek Nga yang penuh bunga di halaman rumah setentang dengan masjid itulah mula berani menegak kepala. Bukan mereka berdua sahaja yang lega, Kak Limah, Mak Cik Khairi, Kak Som dan Kak Pah juga mengurut dada kerana tidak dipaksa membaca kitab bertulis jawi itu. Kami menajamkan telinga, mencuping lebar-lebar di sebalik tudung yang menutupi indera dengar kami itu. Pagi itu dia memulakan ceritanya dengan menyebut perkataan yang tidak pernah kami dengar.

“Khanyam samlou, khanyam samlou!”
Suaranya tiba-tiba mengacah menduga riak. Perasaan kami bergolak cuba mengagak maksudnya.

“Ibu-ibu, suara itu ialah bahasa sapaan anak-anak kecil yang memancing simpati menagih harga sesen dua sebuah kehidupan. Suara marhaban itulah yang menyambut rombongan kami sampai di kota Phnom Penh. Sesungguhnya bahana serakah rejim Pol Pot itu walaupun sudah sekian lama berlalu, namun sejarah si penjarah seakan luka lama berparut tetapi belum kebah. Deritanya masih bernanah hingga kini. Lapar membuatkan mereka liar. Lapar menyebabkan mereka menelan rasa malu hingga tidak mampu membaju maruah diri dirobek oleh jiwa serakah di lorong gelap.” Kami yang memandang tertumpah jua simpati sekawah.

“Kerut wajah mereka melorek daif merengek simpati yang tak sudah. Kusam rambut mereka tersalai perang di mamah matahari. Kasihan, hangat kota Phnom Penh rakus sekali menelanjangkan tubuh kurus mereka. Mujur ada kulit yang memegang tulang tubuh yang sudah tidak berisi itu. Keringat adalah mandian mereka, debu dan lumpur jalanan pula jadi solekan yang tak dipedulikan demi sebuah kelangsungan.”

Dia menarik nafas simpati yang terlekat pekat di pagar resah. Cuba dilepaskan resah simpati itu dengan segugus keluhan yang berat namun gagal. Resah itu seakan bertenggek di pelipat dahinya. Dan dia menyambung semula lirih bahasa ceritanya.

“Ibu-ibu, cukuplah Mekah dan Madinah, cukuplah segala ibadah di sana. Jejakkanlah kaki ke bumi Kemboja, pasti nanti akan terjala keinsafan kita di jaring hati. Derita mereka akan menyedarkan kita betapa bertuahnya tanah air tercinta. Negara kita yang merdeka, agama kita yang bertakhta, bangsa yang berkuasa dan bahasa yang masih berakar dan berjiwa. Oleh itu, bersyukurlah dengan nikmat kesederhanaan yang kita miliki hari ini. Hingga kini, rakyat Kemboja, termasuk generasi muda yang tidak pernah melalui kesengsaraan perang terpalit juga kesan titik hitam itu dalam hidup mereka. Apatah lagi yang seagama dan sebangsa dan serumpun yang bermelayu Campa dengan kita. Jelas di mata kami, entiti agama Islam sudah bercampur yang karut-marut mereka bahasa Melayu kian hanyut, dan rumpun bangsa mereka jadi terlarut di bumi pertiwi terjerlus dalam dilema kelompangan jati diri yang gah suatu ketika dahulu.”

Kami yang mendengar, dua tiga kali menelan liur dek simpati yang terkulum. Membayangkan derita mereka, sesak menghenyak benak. Kami pusatkan telinga tajamkan indera sebaik suaranya membesar di hadapan pembesar suara.

“Ibu-ibu, tersayat hati kami ketika berkunjung ke salah sebuah kampung Melayu Campa di Phav, 165 kilometer dari Phnom Penh. Tiada bunga manggar, tiada bunyi kompang yang menyambut kami sewaktu menyampaikan sedekah korban kami kecuali ditepungtawarkan oleh debu siang yang bukan sahaja mengotorkan tiang-tiang rumah yang dibina tinggi itu tetapi turut mencemarkan tiang akidah penghuninya. Islam yang dinaungi hanya pada nama dan keturunan bak berlindung di rumah yang berdinding serta berbumbung daun palpa itu. Celus-celas teduhnya tertikam juga tajam matahari dan tertusuk juga tumpul hujan yang pasti tertempias basah.”

Kami yang mendengar tidak mampu membayangkan bagaimana gersangnya akidah mereka yang bernaung di teduhan iman yang semakin rapuh kerana berhujan kan racun dakyah akibat dijajah komunis itu.

“Alhamdulillah, walaupun yang dikelek kemiskinan yang dikendong seribu satu penderitaan, terpinggir ekonominya, terasing pendidikan anak-anaknya, namun jamung Islam masih berbara. Mereka sedang berusaha menghidupkan apinya dalam segala kekurangan. Kerana kayu api yang basah dan ribut yang sekali-sekali kuat membelah. Satu-satunya masjid yang menjadi tempat singgah kami bersujud pun hanya diimarahkan segala ibadah dari kelam cahaya kalimantangnya sahaja. Itu pun sekadar menumpang kuasa bateri kenderaan. Syukur, segala macam kedaifan tidak menjadi punca tercungkilnya Islam daripada isi tempurungnya. Cuba ibu-ibu lihat benih pohon tumpang yang tersemai di bawa angin di atas pohon jejawi itu, begitulah perumpamaannya. Doakanlah agar benih itu dapat disemai semula di atas batas tapaknya kembali agar akarnya berpijak di bumi yang nyata, memegang pasak bumi bukan berteduh di dahan tumpang yang rapuh, tunggu masa dirempuh ribut dan guruh.”

Kami tiba-tiba dipukau rasa semangat yang tiba-tiba menyengat nyali kami dek mendengar rentetan bahasa ceritanya itu. Tiada yang menguap, tiada jua yang sampai hati untuk lelap. Dan dia bercerita lagi, bagai tiada niat untuk berhenti.

“Walaupun dihimpit segala kedaifan dan ditelanjangkan segala kekerdilan namun sedikit pun tidak mematahkan semangat mereka untuk bangkit berdikit-dikit. Di atas semangat itulah mereka dirikan sebuah pondok Madrasah al-Islamiah an-Nikmah, menumpang kan lebih 300 anak-anak kecil di situ. Kalam Tuhan tidak lagi jauh berenggang jadi rutin tilawah, malam dan siang. Mana kala bahasa syurga pula menjadi bahasa rujukan ilmu para allamahnya. Dan siapa yang tidak bangga di sebalik kekurangan itu, rupanya citra bahasa Melayu iaitu tulisan jawi terus menjadi tinta bermata yang membekalkan ilmu makrifah Tuhan Yang Esa. Malah, buku-buku tulisan jawi yang semakin daif itu rupanya sumbangan tokoh-tokoh dermawan negara kita yang prihatin. Saya yang terasa kerdil sempat menabur khidmat mengajar bahasa Melayu untuk guru-guru di sana. Kerana mualim seperti saya dan mualim kampung seperti mereka itu rela bekerja tanpa gaji mempertahankan apa yang kita miliki selagi ada kudrat berbekalkan semangat yang akarnya memegang agama, yang batang dan dahannya tempat berpeluk dan berpaut kukuh menjulang rimbunan dedaun maruah anak bangsa.”

Kata-kata balaghahnya membayangkan kepada kami pohon jejawi yang sudah lama tegak berdiri memberi khidmat naungannya di sudut masjid itu. Syukur kepada Allah, ada sepusar tenaga yang bercantum pada rumpun bangsa, bahasa dan agama itu menaungkan teduhnya menyediakan prasarana rujukan korpus ilmu agar pulih menjunjung langit Tuhan memijak semula dataran dengan syariat Tuhan. Lebuh akal cepat menghantar arus fikir. Insaf mengalir meruap menyentuh naluri kami. Berfikir; kami yang diperturunkan segala rahmat dan nikmat bagai terpanggil untuk turut sama membantu, berkongsi usaha bersama-sama para pendakwah dan pejuang bahasa yang sering singgah menabur benih gigih menyuburkan semula ummah seagama sejak satu dasawarsa lalu di situ agar dipunggah semula warisan Melayu yang sudah lama terkubur dibatunisankan oleh rejim Khmer Rouge di bumi Indo Cina itu.

Pagi itu, belum ada yang gelisah walaupun hari cepat mencalak naik. Bebayang tengah hari itu mencerah di luar, namun bahang di bawah pohon jejawi itu belum menyerap hangatnya ke dalam kelas itu. Antara khusyuk mendengar dan redup yang memupuk tidak terasa cepatnya masa berlalu. Tiba-tiba wajahnya sugul berkerut memerhatikan kitab kuning di tangan. Nadanya berbau bimbang mengenangkan nasib tulisan jawi di kepuk yang menanti saat hilang. Dia membandingkan senario yang terjadi kepada bahasa Melayu Campa yang semakin terjajah diterjah oleh rejim bahasa Khmer.

Kami angguk dalam masyghul memikirkan kebenarannya. Memang setiap etnik diciptakan Tuhan mempunyai citra bangsa dari bahasa dan tulisannya. Dan bangsa itulah yang sepatutnya menentukan nasib warisan mereka, adakah semaiannya di tanah subur atau patut dikebumikan di tanah kubur kecuali bahasa dan tulisan al-Quran yang terjamin pemeliharaannya. Ah, apa kurangnya dengan nasib bahasa Melayu yang bagai tercicir kendongannya itu. Gelut dan selut globalisasi yang melumpurkan bahasa Melayu di bumi sendiri akan terdagang juga seperti bahasa Melayu Campa yang kini sekadar ditutur oleh golongan tua yang lanjut usia sahaja. Ah, terpalit juga rasa malu ke wajah kami apabila syarahnya mengambil tempat lamunan kami.

“Ibu-ibu, sedar tak sedar sesungguhnya inilah harga yang harus dibayar untuk memperoleh kembali warisan ekstrak Islam yang semakin hilang itu. Walang ini angkara spesies petualang agama yang bermazhabkan fahaman Artatukiah yang dahulu telah menumbangkan pemerintahan Khalifah Othmaniah. Dasar sekularisasinya itulah yang mengubah tulisan Arab al-Quran kepada tulisan rumi dan akhirnya masuk menuba rasa menukar kemanisan beribadah dengan racun-racun mazmumah. Sesungguhnya kita yang menganyam tikar takwa dengan iman dan Islam ada orang lain pula yang merungkaikannya. Dan dasar anti Islamnya itulah yang mengundang musibah buat ummah. Bahananya turut terpalit sama kepada warisan Melayu itu apabila virusnya berjangkit kepada orang Melayu kita yang ghairah mengejar yang tak dapat dan akhirnya yang dikendong berciciran dalam lumpur kejahilan!” syarahnya penuh perasaan sambil bibirnya mengetap geram.

Ya, kami akui kata-katanya itu. Dahulu, kamilah yang menjadi bahan kepada eksperimen kepada sebuah kejahilan. Bukan itu sahaja, kini, disantau pula oleh huruf rumi yang merabunkan terus rupa jawi yang bersusur-galur daripada kalam Tuhan itu. Arus risau kami tambah berombak pula mengenangkan anak-anak dan cucu-cicit kami apakah nanti turut dihanyutlemaskan pula oleh dasar globalisasi penginggerisan. Alhamdulillah, mujur kami yang tersedar ini sudah memasang tekad, sauh harus dibongkar, layar harus dikembangkan, kemudinya meminjam berkat bimbingan ustaz.

Apa tidaknya, selama belajar ini, warisan Melayu dan lambang jati diri bangsa Melayu itulah yang mendekatkan kami dan mengenalkan kami akan al-Quran. Tulisan jawi itulah yang memandu bahasa al-Quran kami di atas lenggok tartilnya dengan tepat; makhraj yang betul, tadaburnya tidak lagi kabur seperti yang dikehendaki dalam al-Quran. Dalam lewat usia yang bersisa ini huruf jawi itulah yang menyedarkan kami akan indahnya Islam. Huruf jawi itulah yang mengilap iman, memperelok amalan untuk bertemu dengan Tuhan.

Mujur ada ustaz. Dialah maulana yang jadi kemudinya. Kami menumpang tunjuk ajar di atas bahteranya. Maklumlah, mata tua kami tidak setajam dahulu menelaah, akal kami tidak secerdas dahulu menggugah. Semakin lama memandang huruf yang berlingkar-lingkar itu, mata yang berkatarak ini makin terpejam celik, merah dan pedih meneropong di sebalik kaca mata tebal itu. Bimbingannya lebih daripada guru sekolah. Yang merangkak-rangkak baru belajar mengenal huruf dipandangnya dengan wajah simpati, diulangnya bertubi-tubi hingga kami mangli. Yang bagus membaca, cepat sahaja dipuji, dibimbingnya pula segala makna dan inti. Ada juga yang gatal mencadangkan agar guna sahaja kitab rumi yang berlambak di kedai buku. Sebahagian besar kami tetap mahu mempertahan.

“Ibu-ibu, puan-puan yang dirahmati Allah sekalian. Jika kita mencipta budaya membenci warisan milik bangsa kita sendiri, maka tunggulah ia sebenarnya sedang menuju ke titik noktahnya sendiri. Jika bahasa dan tulisan itu tidak digunakan, lama-kelamaan bahasa berkenaan akan hilang penutur hilang pengamal, akhirnya dibatunisankan orang di kuburan.”

“Ibu-ibu …,”
Suaranya sebak tersaktah nafas dan lelah bagai cuba menahan empang di tubir mata yang mula basah digenangi air.

“Janganlah kita jadi petualang, bangsa kepalang tanggung dengan pahat di tangan menisankan warisan bangsa hanya sekadar sebuah artifak sejarah untuk dikenang dan diratapi hari malangnya nanti. Janganlah kita cepat melupai sejarah. Mengenang segala yang ternukil oleh sejarah bukanlah si cauvinisme, tetapi mujahid dan mujaddid altruisme yang menjadi benteng pengimbang dan penampan bangsa. Sejarahlah yang merangsang akal fikir. Mundur atau maju sesuatu bangsa adalah kerana sikap mereka yang sambil lewa dan tidak menitik beratkan hal-hal yang berkaitan dengan jati diri. Ibu-ibu sekalian, sesungguhnya penghayatan kita kepada tulisan jawi bukan menterbalikkan zaman, tetapi usaha kecil daripada penerapan nilai-nilai budaya dan keagamaan milik warisan bangsa Melayu. Walaupun sumbangannya kecil tetapi ia harus dipertahankan supaya tidak terus kerdil” katanya menambah mengulang buat kali terakhir menyimpul mati segala resah.

Kami yang dihujani gagasan dan harapannya itu bagai dipeluk sunyi makan dan inti sambil menahan gelodak dan galak yang tersembunyi.

“Cuba ibu lihat pohon jejawi di luar sana. Bandingkanlah diri seperti pohon jejawi; Dasar akar tunjangnya adalah agama, batangnya yang sepemeluk itu mengukuh budaya warisan bangsa. Dahan dan rantingnya menjunjung bahasa Melayu dan tulisan jawi citra pertiwi. Bunga dan dedaunnya yang merimbun adalah lembayung mulia lambang jati diri Melayu Mukmin kita. Andai buahnya boleh dimakan, kunyahkanlah demi meramukan ulam pahit buat anak cucu kita agar lidah mereka tidak kelu, bibir mereka tidak bisu, tangan mereka tidak kaku dan lesu mempertahankan khazanah budaya Melayu. Pinjamkanlah semangat pohon jejawi untuk diri, nusa dan anak bangsa!”

Pulang itu tersihir kami dengan kata-katanya, berulang-ulang, terngiang-ngiang. Tertoleh juga kami ke pohon jejawi itu. Menunggu azan zohor berkumandang, kami lihat kelibat ustaz kami sudah duduk di bawah pohon jejawi itu. Kami tahu, walau hari mencalak tinggi, namun pohon yang rendang itu masih meneduhkan dingin di perdu pohonnya. Dedaun pohon jejawi masih menapis bahang sinar matahari dari menyalai terus ke kulit bumi.

Sebaik azan berkumandang menyeru kepada kejayaan, pohon jejawi itu bagai berzikir kalam Tuhan, terbias ke indera pendengaran. 
 

Tidakkah kauperhatikan
bagaimana Allah SWT telah membuat perumpamaan,
Kalimah yang baik
seperti pohon yang baik,
akarnya teguh dan
cabangnya merengkuh langit
Pohon itu memberikan buahnya
Pada setiap musim dengan seizin Tuhan-Nya.

Wahyu Tuhan itu merasuk semangat kami agar bangkit mempertahankan nikmat sebuah warisan sebaris para wali dan syuhada di medan perjuangan bersenjatakan pena ilmu dan tinta hitam. Pohon jejawi itu seakan menangkal bekal, memukul semangat kami agar turut sama bangkit demi memugar kembali milik bangsa. Bisiknya bagai terngiang membunga simpati kami atas nasib warisan pertiwi.

“Khanyam samlou, khanyam samlou …!”,

Cerpen ini memenangi Hadiah Sayembara Mengarang Sempena Jubli Emas 50 tahun DBP

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s