CATATAN DI WADI KHILAF

Catatan Sesudah Maulud

GADIS itu telah membuat satu pilihan yang amat sukar. Pilihan itu akhirnya menemukan mutiara iman membuahkan bahagia yang dicari-cari sekian lama. Gadis yang tidak pernah dikenali ketika menjadi wartawan di akhbar Sunday Express itu tiba-tiba gegak jadi bualan. Dunia gegau dan gagau. Wajahnya yang terselindung di sebalik kerudung hitam terpampang di muka hadapan akhbar utama hari itu; Tebusan di Fallujah memeluk Islam! Malam itu, seraut wajahnya yang bersih terpamer berkongsi kenangan di skrin televisyen dalam program Breakfast With Frost yang disiarkan oleh Perbadanan Penyiaran Britain. Rating tontonan rancangan itu mencalak naik, tertinggi dalam sejarah dunia penyiaran!

Catatan Sebelum Maulud

“Duumm! Dentuman kuat tiba-tiba menghentam dinding subuh di tengah kota Fallujah. Serentak itu gumpalan pasir dan batu kecil lebat memercik. Debu galak berterbangan dan kepul hitam menyondol gelap langit. Lidah api marak menjilat kereta kebal jenis Abrams dan sebuah kereta perisai Bradley setelah ia melambung lalu terperosok renyuk ke dalam longkang. Jerangkap samar itu bukan sahaja mengopak jentera perisai itu tetapi turut merabak tubuh mayat yang lengkap beruniform, tumbang bergelimpangan dengan hanyir darah terpalit ke dinding runtuhan bangunan yang sudah tidak berpenghuni itu. Zulmat kota Fallujah bagaikan lohong tengkolok jembalang dengan jalan dan lorong sunyi, gelap dan lengang menelan sebuah tragedi.

qqqqqDia satu-satu yang terselamat daripada pancungan pedang Izrail, mengaduh panjang menyeringai perit dan sakit. Peduli pada nyawa yang bersisa, gadis itu segera mengengsot mencari perlindungan. Dalam pucat dan gegar jantung yang bagai mahu terpecat itu dia menyumpah. Dia meraba seluruh jasadnya. Mujur beg sandang yang mengisi nyawanya itu masih terlekat di tubuh. Bisa jerangkap samar dari cerucuk jarum, paku dan kaca itu bagai menggerudi tubuh dan kakinya. Dia sudah berura-ura hendak melarikan diri tetapi cadangan bodoh itu cepat sahaja terpadam kerana bimbang lebih banyak jerangkap samar yang menunggu kakinya untuk dipecahkan. Dia diam menanti dua kemungkinan; pertolongan atau saat kematian yang bila-bila sahaja menerjah datang.

qqqqqDalam hanyir pagi diramu hangit oleh celaka itu, matanya liar memerhatikan kelibat musuh di sebalik rekahan dinding bangunan yang runtuh, bimbang ada musuh yang datang merusuh. Semakin lama memata-matai pandangannya jadi kabur, tubuhnya terkejur kebas. Dadanya mula sesak menghenyak kotak jantungnya. Alu sesal mula menumbuk ke lesung akal.
Dia mulai terbayang bagaimana nasib tubuhnya akan diganyang apabila jasad yang semakin lemah itu ditemui musuh. Untung, jika nyawanya di atas sabut, dia akan jadi mangsa si gerila yang akan dilanggan setiap inci tubuh badan. Jika nasibnya di atas untung batu, pasti dia akan tenggelam menjadi mangsa tebusan yang menanti saat kepala dipancung rancung pedang. Pandangannya berkunang-kunang dan telinganya bagai terbias suara takbir bersahut-sahutan. Ah, tidak, tolong …!, Dia tidak mahu mati di sini. Dia memaksa dirinya bangun namun tidak berdaya. Tubuhnya semakin lemah sedang suara jeritnya bagai terkanjal di kerongkong.

Catatan I

Aku menulis di bawah bilah matahari yang menerobos dari jendela kacanya yang kain percanya sudah rabak. Cahaya yang menempias masuk mewarnakan jasadku yang sudah berubah lapik baju. Baju dan seluarku yang rabak sudah bertukar jubah hitam berjahit bunga kasar di dada. Tubuh yang luka sudah berbalut kain perca putih, kejap. Ada tompok-tompok darah merah yang terserap sudah bertukar kehitaman. Entah berapa lama aku berada di sini, tidak kuingat. Tumpu akalku sudah tidak peka mencerap warna maklumat. Aku pun tidak tahu di ceruk mana aku disembunyikan. Mungkin masih di bandar Falujjah atau mungkin di ceruk pedalaman Samarra.

qqqqqKopi pekat, roti Baladi dan falafil yang masih panas turut terhidang di sisi. Aku diserbu kehairanan. Doktrin tawanan yang kuanuti sebelum ini jelas sekali bercanggah. Apakah benar layanan seorang tawanan seperti ini patut diterimanya. Dan gelodak lapar membantutkan arus fikirku dan menghilangkan sebu gusar yang bersarang. Apa yang terhidang dijamah lahap hatta racun sekali pun tidak kuhiraukan. Bunyi telapak kaki yang diseret kasar mematikan gelojohku. Takut yang menyerbu pembuluh darah mengocak tangkai jantungku tiba-tiba. Ngilu saat kepala dipancung pedang terasa hingga ke hujung roma. Aku pura-pura tidur sedang tekaknya tersendat gumpalan roti. Pintu yang dibuka bukan sahaja menghantar bunyi uzur tetapi terselinap suara-suara kecil yang dipuput angin masuk ke pendengaranku. Telingaku tiba-tiba berdesing mendengar satu suara yang menyergah.
“Bangunlah, saya tahu saudari sudah sedar.”

…………Gagal dengan lakonan, aku segera menyandarkan tulang belakangku dalam kepayahan metah. Wajahku pecah dalam pucat sambil cuba memandang sepenuh curiga lelaki yang berjubah putih dengan kerudung merah berikat igal di kepala.

“Jangan bimbang, kamu selamat di sini.” Senyumnya lebar. Graf ketakutanku segera turun memandang wajah tenang yang membias damai ke hati. Bayangan wajah dendam, bengis gerila, militan kejam langsung tidak terimbas, apatah lagi rupa bentuk mortar, bom roket, mesingan atau senjata ringan langsung tidak kelihatan.

qqqqqEntah mengapa melihat wajah lelaki itu bagai melihat bayang-bayang Salahuddin al-Ayyubi ketika masuk membawa keamanan ke Baitul Muqaddis. Akhlaknya terimbas watak Sultan Muhammad al-Fateh yang masuk menawan kota Contantinople tanpa tertumpah setitis darah. Tiada dendam kesumat apatah lagi dengki khianat. Aku seakan diyakinkan oleh garis-garis tenang di wajah mereka yang memberi keselamatan atas sebuah senyuman yang terukir. Persepsiku mula berubah 360 darjah di sini. Aku khilaf.

“Keamanan tanah airku tidak dijual di mana-mana di dunia ini. Jika tidak, saya telah lama membelinya. Setelah bumi dijarah, rumah, bandar dan Al-Andalus dimusnahkan. Kehidupan kami semakin ditindas. Anak-anak pula terpaksa tinggal di kem-kem pelarian di luar Fallujah ini. Mereka dinafikan hak untuk memiliki ummi dan walidnya disebabkan serakah bangsa kamu!” Ujar lelaki itu tiba-tiba. Lembut tetapi sakitnya bak selumbar.

qqqqqKalau kata-kata itu harapan, harapan itu memang tidak akan terpenuhi. Kalau ia luahan rasa kecewa, luka kecewa itu hari ini tentunya bertambah parah dan jadi makin untuk sukar diubati. Kekerasan tidak menyelesaikan sebarang masalah. Hatiku tiba-tiba menempelak, entah kepada diri atau entah kepada siapa. Bagai ada air sedih yang bertakung di tubir matanya. Hujung kerudung merah lelaki itu cuba mengempang air yang semakin memecah dengan sepenuh kasih. Ah, bagaimana aku boleh terpukau dengan gelagat yang beremosi itu!

“Berehatlah, anak-anak di luar itu lebih utama untuk didahulukan keperluan mereka!” Lelaki itu berlalu pergi, aku memejamkan mata melayan kekenyangan yang semakin memberatkan. Dan ketika pena kalamku bertingkah dengan kertas, di telingaku terlaung suara anak-anak kecil di luar bilik itu.

Catatan II

Lega, kerana masih dapat melihat sinar matahari menerobos lagi bilik gelap itu. Tubuh yang sudah bertenaga, luka yang sudah mula sembuh memungkinkan katih kumelangkah ke pintu yang sedia tidak berkunci itu. Pekikan suara kanak-kanak bermain di luar itu menyentuh nyaliku. Serta merta jasadku terangsang untuk turut serta. Aku keluar menghirup udara luar yang penuh cahayanya. Bilah cahaya segera hinggap ke retina sebaik pintu diselak. Kelopak mata kumemicing. Di atas tangga batu rumah kecil itu aku melihat sebaris khemah-khemah usang di sebuah wadi yang begitu nadir dan terpencil. Hangat tanah lapang yang berpasir dan berdebu tidak menghalang kanak-kanak kecil itu menghambat sebuah kegembiraan.

…………Kehadiranku yang bertenggek di mata tangga itu langsung tidak dipeduli. Namun sifat cakna kewanitaanku memudahkan aku mendapatkan beberapa seorang gadis kecil yang sedang duduk memerhati lama rakan-rakan yang lain bermain seakan tanpa kelopak mata.

“Siapa namamu, sayang?”
“Saya Rimah”
“Mengapa tidak bermain?”
“Saya cacat. Mata ini sudah lama kehilangan cahaya. Ia hilang bersama-sama kegembiraan yang pernah kami kecapi dahulu. Apa ertinya kegembiraan sedang seluruh keluarga saya maut disebabkan senjata kimia yang menghujani kampung halaman kami.” keluhnya tersendat segunung amarah di dada.

“Saya Umair.” Sapa seorang kanak-kanak tiba-tiba. Ada api di matanya.
“Mengapa tidak bermain bola bersama-sama rakan-rakanmu?”
“Saya takut. Setiap kali saya menendang, saya melihat kepala ayah yang bergolek itu. Saya mahu lekas dewasa supaya boleh memiliki sepucuk senapang dan mencari pembunuh ayah. Dan saya akan membunuh mereka kerana mereka membunuh ayah saya.”

…………Pegun telingaku mendengar jawapan itu. Khilaf semakin berpusar di saraf otakku. Perang bukan sahaja menyebabkan mereka melukut di negara sendiri tetapi merakusi segala-galanya yang ada di tangan mereka; kasih sayang keluarga, dan keamanan. Perang lebih mengenalkan mereka erti dendam daripada makna kasih sayang. Suara anak-anak mangsa perang itu berkumpul dalam cepu ingatannya mengimbau anak-anak kecil seusia adik-adiknya di kejauhan itu. Dia sedar betapa perang telah merampas nikmat secara total zaman kanak-kanak mereka.

“Saya mahu ke sekolah belajar seperti kanak-kanak lain. Perang memusnahkan sekolah dan rumah, dan mengusir kami dari tanah air sendiri.” Suara Umair yang tercetus dari derita itu mematangkan tumpu akalnya. Rimah yang ditemuinya itu juga cukup memahami pentingnya wahana ilmu pengetahuan masih melaungkan harapan.

“Biarlah mereka rakus menyedut telaga emas kami. Kami yang kecil ini akan segera mengorek telaga ilmu yang tidak pernah kering biar sebanyak mana kita menimbanya. Ah, orang yang tiada ilmu sama seperti keldai yang tidak tahu apa yang dipikulnya!” Di mata Rimah ada getar cahaya tetapi kalam di jarinya ada gementar.

qqqqqAku sangat mahu menulis tentang hal ini dalam catatanku; Entah berapa hari, di wadi ini, kisah gerila yang fanatik membunuh dan memaksa orang lain memeluk Islam di hujung pedang yang jadi anutan sejarawan adalah cerita yang paling tidak masuk akal! Di sini, terakam suara-suara kecil simpati tentang nilai kasih sayang dan kebersamaan. Di sini, terkandung mesej cinta, toleransi dan keamanan yang ada dalam Islam. Namun apa yang dirakamkan dalam catatan itu bukanlah hanya suara derita, ada suara harapan buat dunia luar. Jika nyawanya bersisa akan didedah segala yang benar di sini!

Catatan III

Subuh itu saat sinar matahari belum memanjat kaki langit, aku sudah berada di hujung wadi meninggalkan segala yang terkhilaf tentang bumi ini dan tentang Islam. Semuanya sudah terjawab. Mereka tidak memberi jawapan tetapi segala yang waham di bumi gersang ini terjawab dengan sendirinya. Semakin lama aku di sini terasa bagai dipeluk damai. Aku khilaf lagi. Khilaf sama ada untuk meninggalkan wadi ini atau kekal sahaja di sini.

“Kamu harus pulang. Seluruh dunia mencarimu. Tempatmu bukan di sini. Pulang dan nyatakan kebenaran!” Katanya bagai menelur jawapan. Dan mataku berlama-lama jatuh ke wajah lelaki dan anak-anak kecil yang mengiringiku di persimpangan itu.

“Ini hadiah untukmu dari Rimah. Kamu pasti memerlukan mukjizat ini akan menyokong segala kebenaran.” Gementar kumenyambut naskhah al-Quran itu. Dalam diam aku berjanji untuk mendalaminya.

Catatan Terkini

Dia gadis yang wajahnya terselindung di sebalik kerudung hitam terus mendapat perhatian pada hari kedua Forum Keamanan Sejagat Perdana 2005 yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini. Dia, yang kini bertugas sebagai wartawan The Islamic Channel, United Kingdom menutup ucapannya.

“Kebenaran tidak boleh ditutup dengan Dolar. Ada wartawan kononnya melaporkan berita perang seolah-olah mereka berada dalam situasi sebenar tetapi hakikatnya mereka jauh berselindung di belakang tentera penceroboh dan hanya mampu melihat kepulan asap. Mereka menyogok berita demi memenuhi matlamat mereka dengan wang bukan dengan kebenaran. Syukur kepada Allah Taala yang menjunjung kebenaran dengan kalam Tuhan ini!” Dia menjulang naskhah al-Quran pemberian Rimah itu!

Cerpen ini tersiar di akhbar Utusan Melayu Mingguan 4 September 2006

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s