BEDUNG LIDAH, ISLAHKAN HATI

DICERITAKAN dalam satu riwayat, Luqman telah disuruh oleh tuannya untuk memasak daging kambing dan memilih bahagian yang paling sedap untuk dimakan. Luqmanpun memilih hati dan lidah. Selesai makan tuannya meminta pula bahagian yang tidak sedap. Luqman tetap memilih hati dan lidah yang sama, lalu dimasak dan dihidangkan kepada tuannya. Perbuatan Luqman tersebut telah mengundang persoalan di benak tuannya. Menjawab kepada persoalan itu, dipermudahkan oleh penulis dengan membawa sebuah hadis Nabi SAW yang bermaksud: “Tidak akan lurus keimanan seorang hamba sehingga lurus pula hatinya dan tidak akan lurus hatinya, sehingga lurus pula lidahnya.”           

Kesimpulannya, hati dan lidah adalah anugerah Allah Taala yang hebat dan unik penciptaannya. Kedua-dua organ tersebut berfungsi dengan satu jaringan penghubung yang saling berkait rapat antara satu sama lain. Antara hati dengan lidah, hatilah unsur yang paling utama. Imam Ghazali menyatakan bahawa hati adalah raja yang menentukan segala-galanya sama ada baik ataupun jahat. Lidah, hanyalah hamba yang bertindak melalui panduan dan arahan daripada gerakan hati.

Benar, bahawa lidah berperanan membantu kita merasai nikmat makanan sama ada masin, masam, tawar, pahit, manis dan lain-lain. Dengan satu alat pengukur itu, kita dapat menikmati berbagai-bagai rasa. Walau bagaimanapun, ada kalanya timbul juga pertentangan. Kadang-kadang lidah kata manis tetapi hati kata tawar. Kadang-kadang lidah rasa masin, hati berkata sebaliknya.

Lebih membimbangkan lagi andai lidah yang lembut itu bertutur daripada hati yang kotor serta ditunggangi oleh nafsu dan syaitan, maka segala tindakan dan perlakuan pastilah akan turut tercemar. Kata orang tua, hati-hati, lidah tidak bertulang! Oleh sebab tidak bertulanglah, maka segala dusta, hasad dengki, fitnah, buruk sangka, iri hati, maki hamun mudah menguasai seseorang.

Hal ini dijelaskan oleh Allah SWT melalui firman-Nya yang bermaksud: “Janganlah kamu berdusta dengan sebab apa yang disifatkan oleh lidahmu bahawa ini haram itu haram untuk mengada-adakan sesuatu yang dusta terhadap Allah. Sesungguhnya orang yang berdusta terhadap Allah tidak akan berjaya” (Surah al-Nahl: 116)

Ada baiknya kerajaan negeri Perlis menganjurkan seminar mulut baru-baru ini demi menyediakan garis panduan kepada rakyat cara penggunaan bahasa yang sopan dan berhemah. Imam al-Ghazali dalam kitabnya Ihya’ Ulumuddin telah menulis dengan panjang lebar mengenai bahaya dan bencana disebabkan lidah ini, termasuklah umpat dan fitnah orang lain.

Walau bagaimanapun, hal ini tidaklah bermakna Nabi SAW melarang umatnya bergurau senda. Rasulullah SAW juga bergurau senda dalam kehidupan seharian, tetapi baginda tidak pernah berlebih-lebih dan melampau. Rasulullah SAW pernah bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Aku pun turut bergurau senda, tetapi aku tiada mengatakan sesuatu melainkan yang benar belaka.” Rasulullah SAW bersabda lagi maksudnya: “Bukanlah seorang mukmin itu yang jadi pencaci, pelaknat, bukan yang suka berkata kotor atau yang lidahnya suka menyebut kata-kata hina.”

Kesimpulannya apa yang Luqman ingin sampaikan kepada kita ialah faktor pembentukan diri Muslim baik lidahnya, sikapnya dan segala pancainderanya itu sebenarnya bermula dengan membentuk hati; iaitu membersihkannya daripada kekufuran dan dosa dan menghiasinya dengan keimanan kepada Allah SWT. Hati yang bersih dan dihiasi dengan cahaya keimanan akan membuahkan insan Muslim yang benar tutur katanya dan kuat berpegang kepada janjinya serta terserlah jati diri Muslimnya. Ayuh, mari kita bedung lidah dengan mengislahkan hati!

Artikel ini tersiar dalam Majalah Dewan Masyarakat April 2007 dengan tajuk ‘Jaga Lidah Islahkan Hati’

Advertisements

2 thoughts on “BEDUNG LIDAH, ISLAHKAN HATI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s