MEMINTAS AL-QADAR

MALAM 21

ENTAH berapa kali tingkap cermin itu diselak. Dia masih menjengah-jengahkan mukanya meningkap ke luar kegelapan malam. Pantulan cahaya bulan susut selikur kecil sahaja samar-samar menerobos masuk ke ruang halaman rumah. Walaupun darjah bukaan pandangannya agak terbatas tetapi masih kelihatan bayang kelam pepohon membias memagar ruang halaman rumahnya. Antara ruang bilah kaca yang sempit itu terkesip-kesip mata tuanya menilik tuah seribu malam. Dia meninjau-ninjau alam luar sambil mengharap ada sinar laba tersingkap dari langit.         

Jam di dinding sudah tiga kali berdetik lemah lewat pagi itu, tetapi matanya masih segar dek kerana ketiduran di siang hari. Malam pertama itu agak hangat memijar jasadnya sehingga mendesak kakinya turun ke beranda muka untuk memata-matai liuk lentuk pelita minyak tanah dari buluh minyak yang di pasang di sekeliling rumah. Cahaya pelita dari buluh minyak itu ada yang mati dan ada yang masih nyawa-nyawa ikan. Bergegas dia menambah minyak gas agar api lebih besar menyilau. Dia pasti cahaya antena itu cukup terang untuk memancarkan gelombang isyarat kepada malaikat yang dinantinya supaya tidak tersalah rumah.

Sengal pinggangnya mula mencucuk-cucuk. Lelaki tua itu melabuhkan punggungnya di atas pangkin. Sesekali telapak tangannya sibuk menepuk tampar betis yang telanjang apabila di gigit nyamuk yang menyerang hendap mengekah kulitnya yang menggelambir. Dia masih sabar menunggu di atas pangkin itu sambil teringat-ingat khutbah Imam Robani Jumaat lepas. “Lailatul Qadar berlaku pada malam-malam ganjil. Biasanya Nabi berusaha dengan bersungguh-sungguh memperbanyakkan amal ibadah pada 10 malam yang terakhir daripada bulan Ramadan berbanding dengan masa-masa yang lain.”

Ada magnet halus menyentap medan semangatnya. Hatinya nekad. Peluang sekali dalam setahun itu tidak akan dilepaskan begitu sahaja.“Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar…” Terlontar zikirnya spontan menggumam antara dengar dengan tidak sambil ingatannya menyelongkar kehidupan yang berkarat dengan daki mazmumah.

Dia tahu amal pahalanya sedikit sedangkan dosanya tinggi membukit. Kepalanya keras seperti kelapa tua. Sudah berbuih mulut isteri dan anak-anaknya mengingatkan akan usia senjanya itu. Tetapi putik taubatnya begitu rapuh gugur sebelum berbunga lagi. Lantaran kedaifan itu dia mahu menebus dengan kantung pahala al-Qadar. Dia akan tunggu makhluk itu. Dia yakin kafarah dosa jahiliahnya itu akan tertebus apabila al-Qadar datang menjengukkan salamnya.   

MALAM 23

Malam ganjil itu ditunggunya lagi penuh sabar. Dia masih sanggup menunggu walaupun kelmarin dahulu dia gagal bertemu malaikat yang dinantinya sehingga tertidur di atas pangkin. Sedar-sedar dingin embun jantan rakus menuba racun mengecutkan liang-liang romanya yang semakin dimamah usia itu. “Ah, gagal semalaman tidak bermakna gagal semuanya. Tidak rugi bersengkang mata, esok boleh tidur puas-puas.” Fikirnya bersemangat menolak kekecewaannya.

Asap nipis kopi keras buat bekal berjaga dihirupnya perlahan-lahan sambil mata pudarnya liar mengamati tajam-tajam kalau-kalau kelibat putih membayang di sebalik pepohon yang berbalam-balam itu. Dia membayangkan malaikat berupa orang alim berjubah putih, berserban putih dan berjanggut putih datang menyapanya. Andai menjelma, dia akan peluk semahunya seperti Jibril peluk Nabi – hingga sesak nafas Nabi – ketika mengajarnya Iqrak di gua Hirak. Dia nak minta pahala ibadah 83 tahun seperti kisah Syam’un, lelaki bani Israel dalam khutbah Imam Robani.

Dia juga nak masuk syurga macam Imam Robani dan Lebai Ali – walaupun marahnya masih tidak reda kerana ditangkap ketika makan di restoran Ang Seng tempoh hari. Sampai hati mereka tuduh dia tidak puasa. Bukannya orang kampung tidak tahu penyakit gastriknya setiap tahun itu. Namun dia tidak ambil kisah, kalau dia jumpa malaikat jubah putih itu nanti, tahulah mereka langit tinggi rendah! Biar orang kampung terlopong macam sahabat Nabi kagum mendengar kehebatan dan kekuatan lelaki bani Israel itu. Hatinya mengomel panjang.“Jangan lupa minta ubat kuat!” Hatinya tiba-tiba mengingatkan. Senyumannya memanjang menampakkan gigi-gigi depannya yang luruh. “Ya, dia juga mahu gagah seperti Syam’un yang kuat beribadat sepanjang malam kemudian berjihad pula menentang musuh di waktu siang bahkan melakukannya selama seribu bulan! Ah, dia sudah tidak kuasa mengekah tongkat Ali yang pahit perit itu. Dia mahu tenaga lelakinya kuat, biar isterinya tahu! Biar orang kampung tidak pandang rendah padanya lagi!” leter hatinya geram.

Sisa kopinya yang berbaki itu direguknya kasar. Termos merah bekal kopinya berjaga itu dituang perlahan-lahan ke dalam cawan sambil lidah kerasnya berzikir dengan suara lirih meraih simpati Ilahi.“Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar…” Ah, itulah sahaja zikir yang boleh disebutnya. Lebai Ali ada menulis doa al-Qadar untuknya. Tetapi huruf-huruf jawi itu sukar benar untuk difahaminya. Malu nak minta Lebai Ali menulis rumi nampak sangat jahil murakabnya.

Dia sedar kejahilannya itulah yang memerangkap dosa maksiatnya. Bila dinasihati, alasan tegarnya air dan minyak tidak bercampur. Jangan ditanya tanggungjawabnya kepada Tuhan, isteri dan anak-anak langsung diabaikannya. Nasib baiklah anak-anaknya sudah bekerja, kalau tidak makin huru-haralah kehidupannya. Setelah puas pandangannya menerawang ke setiap penjuru malam itu, akhirnya dia duduk berlunjur kaki bersandar kepada dinding beranda sambil memori tuanya terus meneroka perlahan-lahan sejarah hitamnya. 

MALAM 25

Malam al-Qadar kali ketiga itu, kelihatan lelaki tua masih berbaring di atas katil melangut sendirian. Matanya terkulat-kulat sedari tadi menerawang ke siling uzur yang mulai bertukar warna kelam sekelam malam sunyi itu. Isterinya yang taat itu setelah bertahajud terus sahaja menarik selimut. Cepat sahaja dibuai mimpi dek kepenatan dengan tugasan di siang hari. 

“Ah, malam masih muda!” Hati kecilnya cuba mengipas dengan pujukan. Hatinya berbolak-balik resah. Suatu tarikan halus mendorongnya supaya bangkit. Dituruti rasa hatinya lantas meninggalkan isterinya keseorangan. Lelaki tua itu keluar kemudian melabuh punggungnya di beranda papan itu sambil menghisap daun tembakau. Racun daripada tembakau kering itu disedut lambat-lambat lalu dihembusnya berat-berat keluar daripada mulut dan lubang hidungnya yang pesek itu.

Dia merenung jauh kepekatan malam yang bersahut-sahut unggas dan serangga malam berzikir bertasbih memuji kebesaran Tuhan yang menciptakan. Tetapi zikir makhluk kecil itu tidak tersingkap oleh cuping telinganya. Hanya kedengaran decip unggas desa yang simfoninya mengalunkan karya asli ciptaan Tuhan.

Bunyi zikir makhluk itu meresahkan hatinya. Dia mundar-mandir di atas beranda papan itu. Berkereket bunyi lantai bergeser dipijaknya. Wajahnya berbaur kehampaan. Kedengaran nyanyian unggas malam itu, sama sahaja lagunya. Seni kata lagunya juga sama seperti pada malam 21 dan malam 23 lalu. Langsung dia tidak perasan!

Dia tahu bila malam berdansa, al-Qadar akan menyirnakan dirinya. Dia tahu malam al-Qadar akan datang bersama-sama ketenangan dan kedamaian. Malam al-Qadar datang, unggas desa akan berhenti menyanyi. Cengkerik akan kehilangan suara sumbangnya. Dia pasti malam akan melabuh tirai sunyinya kerana tunduk dan hormat. Dia pasrah pada takdir. Dia yakin malam 25 itu al-Qadar belum menjenguk lagi ke bumi. Lelaki tua itu bangun menutup pintu cepat-cepat. Dia bergegas masuk ke bilik tidur. Jasad dinginnya itu mahu sahaja dihangatkan dengan pelukan ke tubuh panas isterinya yang lena.

“Ah, ada dua malam lagi. Tidak malam lusa, tulat. Pencariannya masih belum berakhir!” Hatinya cuba meniup semangat yang sudah mula pudar. Sepudar imannya yang taksub memintas takdir Ilahi.  

MALAM 27

Malam tujuh likur itu dia menajamkan azam untuk beriktikaf di surau. Dia berharap benar tanda-tanda al-Qadar mengetuk pintu terakhir Ramadan itu. Mungkin malaikat tidak sudi berkunjung ke rumahnya seperti kuburan yang sunyi dengan ayat-ayat al-Quran. Dia masukkan selimut, bantal  dan tasbihnya ke dalam plastik. Ketayap putih disarungnya. Kain pelekat digulung tinggi-tinggi. Malam itu dia bergegas-gegas meninggalkan isterinya dengan wajah kehairanan.

Lelaki tua itu pantas meredah dingin malam menyusur laluan sempit ke hujung kampung. Kebetulan malam tujuh likur itu bulan tampak bersinar lemah menyuluh samar-samar langkah kakinya. Kelibat pepohon kelapa tua yang berbaris memagari tebing sungai dihitungnya ada sembilan. Ia membias sembilan bayang hitam panjang persis kaki-kaki lembaga gelap seperti ceritera mistik orang kampung yang pernah didengarnya.

“Kalau tidak kerana al-Qadar sudah lama aku cabut” Bisik hatinya cuba menenangkan bulu tengkuknya yang mula mengembang. “Ah, apa nak ditakutkan dengan hantu tinggi, pocong atau puntianak dalam bulan puasa ni.” Cepat-cepat dipujuknya hati. Dia tahu hantu dan jembalang sudah dirantai dengan besi panas daripada neraka. Langkah kakinya sengaja diluaskan. Dia mahu cepat-cepat sampai ke surau. Riak mata hujungnya meliar ke kulit sungai yang bercahaya itu sambil mengharap benar ia berhenti mengalir atau terserempak dengan pepohon kayu yang tunduk rukuk ke bumi.

Semakin hampir lelaki tua itu ke tangga surau, kelihatan cahaya lampu berkunang-kunang dari luar. Kelibat lelaki berjubah putih juga ada. Dalam hatinya mengharap malaikat jubah putih itulah yang sedang menantinya di perut surau. Langkahnya dipercepatkan. Dari jauh satu suara menegur.

“Ha, Pak Mid pun ada, baguslah qiamullail kita baharu sahaja nak bermula!” Suara Imam Robani tiba-tiba menegur mencairkan harapannya yang memuncak ketika itu. Niat hatinya untuk melencong langkah pulang mati begitu sahaja apabila Lebai Ali menarik tangannya memapah naik ke perut surau bersama jemaah.

Ketika lafaz zikir Imam Robani bermula tingkah meningkah syahdu memuji Ilahi, mensyukuri nikmat Tuhan dan membesarkan-Nya, lelaki tua itu juga berzikir dengan hampa. Mulutnya dibuat-buat terkumat-kamit tetapi hati hitamnya menolak.

Sedang jemaah mula khusyuk beribadah kepada Tuhan, dia mengesotkan punggungnya ke pintu belakang perlahan-lahan lalu terjun ke tanah pulang meninggalkan sayup-sayup zikir Tuhan-Nya.“Subhanallah, Alhamdulillah, Allahu Akbar…”  

MALAM 29

Malam itu bulan purnama penuh, cahaya terang berseri-seri. Walaupun hujan gerimis baharu sahaja berhenti namun suasana malam 29 itu sangat hening dan tenang. Tiada siulan katak memalu gong kesyukuran kerana mengiringi hujan turun.          

Gelagat lelaki tua itu seolah-olah kehilangan ghairah untuk memintas al-Qadar seperti malam pertama dan kedua. Pada firasatnya tiada apa lagi yang harus ditunggu. Takdirnya seakan-akan mendahului al-Qadar, merobek-robek semangatnya. Selepas tubuhnya tertancap kemas di hadapan televisyen mendengar perisytiharan hari raya, dia terus ke halaman rumah sambil membelek-belek lemang agak tidak terbakar hangus. Ketupat daun palas dan daun kelapa yang dipanjatnya pagi tadi sudah pun tinggal suam-suam kuku membeku di dalam periuk besar. Riuh-rendah cucunya membakar mercun tidak menarik perhatiannya. Dia kepenatan.

Malam 29 itu tidurnya lebih awal bersedia menanti lebaran yang pasti datang. Al-Qadar yang dinanti sudah lumpuh hilang dalam kotak memorinya. Malam itu alam begitu mendamaikan. Bulan purnama begitu cerah tenang tanpa nyanyian unggas yang menari-nari gembira. Mungkin kerana kagum melihat kelompok cahaya berombak di ufuk dunia membawa salam dan rahmat Allah kepada hamba-Nya. Kemuliaan itulah yang dijanjikan Tuhan memayungi seluruh maya ini sehingga menyingsingnya fajar mulia. 

————————————

Pagi itu matahari bercahaya putih tanpa sinar yang mengerutkan mata memandang. Awan seakan-akan mendung tetapi tiada awan hitam. Redupnya tidak memanggil hujan turun. Sarwajagat luas seolah-olah diliputi oleh makhluk lut sinar hening berbondong-bondong pulang gembira meraikan hamba-Nya yang menerima anugerah al-Qadar itu. Pagi Syawal itu di kala kakinya menapak ke surau yang sayup-sayup kedengaran suara memuji dan mengagungkan Ilahi, dia tiba-tiba terkesima melihat sembilan batang pohon kelapa tua membongkok merendah ke bumi betul-betul ke satu jihat, menghadap kiblat!

Rasulullah s.a.w. pernah bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya bulan ini (Ramadan) datang kepada kami, dalamnya ada satu malam. Amal ibadah yang dilakukan pada malam itu lebih baik dan lebih besar ganjarannya daripada amalan selama seribu bulan. Sesiapa yang kehilangan malam itu, sesungguhnya dia kehilangan semua kebaikan. Dan tidak akan kehilangan semua perkara itu, kecuali orang yang diharamkan (tidak mendapat petunjuk) daripada Allah.  (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Cerpen ini tersiar dalam Mingguan Malaysia Disember 2004 dan memenangi Hadiah Sastera Utusan. Cerpen ini turut  diantologikan sempena Jubli Emas 50 tahun DBP.

Antologi Cerpen Jubli Emas DBP: Gemilang
Penyelenggara: Siti Aisah Murad, Hajijah Jais
Penerbit: DBP
No. KK: 8997202705101 No. ISBN: 9836292403
Tahun Terbitan: 2006. Harga Buku: RM45.00

Advertisements

2 thoughts on “MEMINTAS AL-QADAR

  1. assalammualaikum kanda ustaz yang dihormati. dinda ingin maklum tentang antologi ini – adakah antologi ini memuatkan cerpen2 yang menang semasa sayembara jubli emas baru-baru ini? [dinda rasa (mungkin) belum lagi.] terima kasih, kanda.

  2. Wa’alaikum salam Ren,
    Kanda, sisipkan blurb antologi ini seperti yang berikut,

    “Gemilang mengemukan 58 buah cerpen hasil karya 58 orang penulis yang terdiri karyawan, sama ada yang sedang berkhidmat atau pernah berkhidmat dengan Dewan Bahasa dan Pustaka sejak penubuhannya pada tahun 1956 sehinggalah sekarang. Kebanyakan hasil karya tersebut pernah tersiar dalam pelbagai majalah terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, akhbar dan kumpulan cerpen perseorangan ataupun antologi bersama. Antologi cerpen yang temanya agak rencam ini, memaparkan pelbagai persoalan dan permasalah individu dan masyarakat yang boleh dijadikan panduan dan rujukan pembaca dalam menongkah arus kehidupan pada zaman yang serba mencabar ini.”

    Untuk makluman Ren, kesemua aktiviti penerbitan Novel kita ditangguhkan bagi mengutamakan penerbitan pemenang jubli emas 50 tahun DBP baru-baru ini. – Ibnu Ahmad

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s