DI DADANYA KALAM TUHAN

 

“INSYIRAH, bukankah kita yang mempermudah jalan buat orang lain memperoleh ilmu itu telah dijanjikan Tuhan kemuliaan syurga! Kamu tahu bagaimana pemurahnya Tuhan mengganjari pahala orang yang menekuni al-Quran?” Walid memulakan bicara, selepas terdiam panjang dek tertelankan pertanyaanku, petang itu.  

Bukan apa, sebaik bubar kelas walid, aku sengaja bermanis mulut bertanyakan wajah redupnya yang memeta bahasa kepenatan itu. Yang kutanyakan ialah tentang lebihnya walid memilih untuk berlama-lama dengan ibu-ibu yang separuh abad itu mengaji alif bata daripada melepaskan lelah setelah seharian bekerja.   

“Bayangkan Insyirah, betapa beratnya pundi pahala kita apabila setiap satu huruf al-Quran itu Allah ganjari dengan sepuluh kebajikan.” Tambah walid lagi lewat sesaat daripada suara balasku. Seperti selalu-selalunya, walid akan berbasa-basi dengan kalam junjungan. Aku memilih untuk terus diam, sambil mata kecilku terus meraup ke wajahnya yang tidak lepas memandang mashaf al-Quran berkulit hijau yang bahagian sisi isinya sudah semakin hitam kerana kerap diselak.  “Insyirah, andai begitu pemurahnya Tuhan, mengapa penat yang harus dibimbangkan. Bukankah lebih atau kurangnya pahala itu bergantung kepada senang atau sukarnya sesuatu amalan itu dilakukan.” Tambah walid lagi. Suara itu serasa bergema memecah hening kelas yang kosong ditinggalkan itu. Petang yang berwaktu itu walid beriktikaf lagi di atas kerusinya sehinggalah waktu maghrib menjenguk masuk. Dan begitulah rutin hariannya. Aku diam mengiakan sambil walid bangkit membetulkan sengal pinggang dan mendepangkan tangannya mencari lega. Al-Quran yang dipegangnya itu, didadakannya dengan penuh hormat lalu diciumnya. Setelah itu dijunjungnya pula ke dahi dengan penuh kasih. Ritual itu dilakukannya berulang-ulang bertiga-tiga kemudian meninggalkanku seketika meramukan pesannya terhadam di hati. Di luar, suara beburung petang sayup panjang mengetuk pintu petang agar segera melabuhkan tirai senjanya. Dan aku mula menekuni al-Quran sebaik terdengar air kumur walid menggelegak dalam rongga mulutnya. Oh, walid sedang memperbaharui wuduknya! 

Aku tahu, mulut walid berbibir nipis berkumis halus dengan janggut yang dijaga rapi itu tidak banyak bicaranya di khalayak kecuali kepada yang selayaknya. Walau bagaimanapun sejak akhir-akhir ini suaranya bernada getar. Di wajahnya terlorek juga urat tegang yang bersulam tekat resah. Tubuh kurusnya itu seakan memikul seguni lelah. Puncanya hanya kerana kuarters kecil ini. Itu pun aku terdengar dari suara bisik-bisik mak cik-mak cik yang datang belajar itu. 

Kata walid, kuarters ini, dulunya hanyalah tinggalan surau lama setelah didirikan surau agam baru yang lebih besar di sebelahnya. Sayang untuk dirobohkan, barang yang lama ada juga manfaatnya, lalu dibahagikan kepada tiga ruang. Satu dijadikan ruang dapur, satu ruang kelas dan satu lagi kuarters imam. Insyirah tahu, walid bukanlah penghuni yang pertama di sini. Walid pun bukanlah penduduk asal taman ini. Apabila mama meninggal dunia, walid yang ketika itu bertugas di Jabatan Pelajaran Kelantan mohon dipindahkan di Kuala Lumpur.

Mungkin segala-galanya sudah direncanakan Tuhan. Rakan-rakan seperguruan walid di Timur Tengah yang turut bekerja di tempat yang sama telah memperkenalkan walid taman ini. Walid hanya menumpang di sini. Walid tahu itu. Dan akhirnya, walid di sini kerana kepercayaan mereka. Dan setelah sekian lama kepercayaan itu diberikan ada pula yang memandang dengan segala zan dan waham. Sebagai anak tunggal yang membesar tanpa seorang suri di sisi, tidak pernah kulihat sepalit gundah pun di wajah walid. Semangat di dada walid itulah yang kupinjam hingga jiwaku tidak mudah empuk direbus rasa. Namun kali ini, kulihat walid tewas juga apabila diasak dengan pertanyaan oleh ibu-ibu itu hatta tersepuh juga ribut di rimbun hati.  Walid sendiri tidak tahu kesahihannya, apakah benar rumah ini menjadi punca adanya iri hati segelintir jemaah.

Haji Kamarulzaman, pengerusi yang kurang berisi tubuhnya itu tidak pernah mengiakan malah berterima kasih atas segala usaha walid memakmurkan surau kecil ini. Haji Ismail, imam rawatib itu juga sama. Bekas inspektor polis itu, langsung tidak mahu ambil pusing. Wak Bilal apatah lagi, bahkan lelaki tua itu pula menyindir kepada si pembawa mulut itu. Sebenarnya, mereka ini pun tak pernah jejak kaki ke surau. Cerita-cerita tak baik kan kerja syaitan, syaitan bukannya pernah datang surau! Katanya suatu hari itu, marah-marah.  

“Bismillahhirahmanirrahim…” Suara walid mengalunkan al-Fatihah memulai talaqiku petang itu. Namun akal gadisku masih menebak segala kemungkinan. Kalau rumah ini menjadi puncanya. Apalah istimewa sangat rumah ini. Rumah yang berkembar dengan kelas ini hanya dua bilik, sebuah ruang tamu yang berkembar dengan dapur surau. Serta sebuah bilik air yang kecil baru sahaja ditambahi tandasnya. Itu pun setelah tertumpah sebakul simpati dek melihat kami berulang-alik berkongsi tandas surau itu. Hatiku masih berbicara sedang anggotaku menadah doa walid yang pasrah mengharapkan barakah al-Quran menjemput tenang bersemayam di hati kami. 

“Rumah ini boleh sahaja diambil jika kamu mahu. Tetapi bolehkah kamu memberi jaminan tidak akan mengapa-apakan kelas al-Quran aku?” Ada kejengkelan bersarang dalam emosi walid yang membunuh santai kami pagi itu. Jarang sekali walid bernada sedemikian, lebih-lebih lagi di hadapan tetamu yang tidak pernah bertandang pun sebelum ini. Cuma sekali itu. Ya, sekali itu! Aku masih ingat.  Haji Hakam yang datang ke surau untuk berunding itu terdiam. Pemuda segak berkemeja lagi bersongkok itu juga terkedu. Wajah yang jarang kelihatan di surau itu kelihatan gelisah apabila membalas renung mata walid yang sudah membulat. Walid merengus, jelas sekali dia tidak senang menerima kunjungan tetamu petang itu. Mungkin kerana itu mereka berbincang di beranda surau tanpa kopi atau biskut kering.  

Setahuku, Haji Hakam imam lama surau ini. Beliau pernah ditolak oleh ahli kariah dek sarat dengan masalah. Ya, lelaki muda berkemeja itu juga pernah disergah walid ketika datang memohon pengesahan permastautinan di taman ini untuk berkahwin. Kata walid, dia sengaja tidak mahu menjadi saksi kepada lelaki yang dia sendiri tidak kenal dan tidak mahu pula Tuhan kenal dia. Walid tahu, rumah Allah ini jadi saksi, siapa dan anak siapa yang pernah bersujud di perutnya.  

 “Apakah benar rumah ini yang kamu cemburu atau kelas al-Quran walid.” Aku menokok sambil membalas tenungan Haji Hakam yang memandangku, seolah-olah mahu menelan tubuhku bulat-bulat itu. Walid yang duduk di hadapanku berubah 180 darjah kepalanya lalu menggeleng-geleng kepalanya tanda tidak setuju dengan bahasaku. Mereka diam lama. Suara sampukku itu tidak mendapat reaksi mereka seakan kipas itu menerbangkannya jauh rungutku daripada telinga mereka.  

“Andai kelas itu menjadi masalah keberadaanku di sini, ketahuilah aku tidak menjual al-Quran dengan keuntungan dunia yang sementara. Mana mungkin al-Quran boleh dinilai dengan harga sesen dua itu!” Kata walid sambil mencampakkan rusuh hatinya itu keluar. Ya, bukan walid yang meletakkan harga, jauh sekali terhegeh-hegeh meminta. Andai adapun sumbangan, ya ada! Tetapi lebih bersifat peribadi bukan atas nama al-Quran. Al-Quran bukan barang untuk dijual beli. Ah, kalaulah boleh suaraku ini didengari, jerit batinku lagi. 

“Andai rumah ini yang kamu inginkan, aku boleh keluar daripada rumah ini tetapi sekali-kali tidak akan kuputuskan cintaku kepada al-Quran!” Kali ini suara walid lebih tegas. Dia segera bangkit lalu masuk ke rumah tanpa sepatah kata, enggan berbicara lanjut tentang cadangan yang langsung tidak munasabah.  

“Huugghhh …!” Aku menghempaskan dengusku dengan bahasa tubuh, reaksi  ketidaksetujuanku. Mengapa mereka tergamak memperlakukan walid sedemikian. Hormatilah walid sebagai seorang imam walaupun bukan itu yang diperlukan. Sekurang-kurangnya gunakanlah saluran yang betul, protesnya terlaung ke dalam telinga.  

Seminggu kemudian, Walid mengambil cuti panjang. Kelas al-Quran walid lengang tanpa penghuni. Telahku tentu mereka juga sedia maklum. Ahli jemaah yang mengerti memandang simpati. Tetapi walid tidak termakan dengan simpati, ada reaksi yang walid sembunyikan tidak kumengerti. Aku ke sekolah seperti biasa dan kami tidak ke mana-mana pun sepanjang tempoh itu. Tiada yang luar biasa; rutin walid seperti biasa di surau. Cuma malam walid lebih banyak di surau berbanding biasa. Manakala siangnya kulihat walid banyak berbincang dan berurusan dengan Wak Bilal.  Maghrib itu, bacaan walid itu tidak seperti selalu-selalunya. Ah, bukan Maghrib itu sahaja seingat Insyirah lebih sebulan ini walid membaca lenggok qari Syeikh Ahmad al-Ajamy. Sebelumnya walid sangat setia dengan bacaan Syeikh Saad Said al-Ghamidy. Aku pun tidak pernah dengar bacaan seperti itu kecuali sekali itu. Ya, saat mama menanggung derita sebelum dijemput Tuhan pulang dan suara hati walid berkabung pasrah dengan taranum seperti itu. Bacaan itu begitu mendayu-dayu. Bukan walid  sahaja sebak, kami yang berjemaah di belakangnya juga sebak. Rusuh di dada walid cuba disembuhkannya dengan kalam Tuhan.  

“Insyirah, bisanya fitnah manusia ini tak terlawan kita. Kalau tidak, masakan Tuhan membandingkannya dengan dosa membunuh. Untung kita ada Tuhan. Walid tahu, Tuhan akan menghilangkan resah kita sekeluarga dengan kemanisan kalam-Nya.” Walid menyuarakan rasa hatinya petang itu sebaik usai solat.

Kami memilih untuk bersantai di beranda surau. Walid suka berlama-lama di beranda yang bermarmar putih itu. Andai ada walid di sini, aku turut sama menemaninya. Kadang-kadang bila matahari garang membakar, walid akan berbaring di sini. Kuarters kecil itu mudah sahaja memenjarakan bahang panas di dalamnya. Kuat sekalipun kipas berputar ia tidak lagi berperanan menyejukkan tubuh kami. 

 “Insyirah tahukan, Walid tidak menyuap rezeki kita dengan upahan al-Quran. Al-Quran akan sentiasa menjadi medan buat walid mendamba cinta Tuhan. Percayalah, selagi kalam Tuhan di dada, Tuhan tidak akan sia-siakan kita.” Walid memulakan bicaranya. Dan diamku kerana mengakui kebenaran kata-katanya. Angin petang dan sejuk marmar putih itu terasa menyamankan menyentuh hati kecilku. Dari jauh kelihatan bumbung-bumbung rumah teres tersusun bersegi-segi bersulam dengan pepohon teduh di hadapan rumah.  

“Insyirah setuju kalau kita berpindah?” Walid tersenyum memandang wajah bulatku. Aku mengeluh dengan bahasa tubuh yang dimengertikan. Tajamnya kecewa bagai menghiris perasaanku mendengarnya. Walid mengusap kepalaku dan menyentuh lembut bahuku seolah-olah seorang ibu sedang memujuk rajuk seorang anak.

“Andai itu yang walid ikhtiarkan untuk kebaikan kita, Insyirah setuju, dan tidak sekali-kali kecewa. Cuma, Insyirah terkilan kerana kita mengalah dek fitnah yang tidaklah sebesar mana pun bahkan tidak menjejaskan kita pun.” Walid mengangguk faham mendengar keluhanku tanpa reaksi. 

Sebuah kereta yang dipandu oleh seorang lelaki berhenti di hadapan surau. Lelaki itu keluar dari kenderaannya bersama-sama dengan Wak Bilal. Kalam kami tertunda. Walid berbincang seketika sebelum aku menyertai mereka menuju ke sebuah rumah berhadapan dengan pintu masuk surau kami itu. Hatiku sekadar menelah dengan rasa curiga cuba mencari jawapan yang tiada di kepalaku. Sebelum melangkah masuk ke rumahnya, walid sempat berbisik memperkenalkan watak lelaki yang tidak dikenali itu sebagai anak Wak Bilal. Kami dijemput sebagai tetamu lalu tenggelam dalam sofa lembutnya. Tanpa mukadimah, tetapi dengan izin ayahnya itu, lelaki muda tersebut memulakan bicaranya. Di wajahnya memeta bahasa penat dan kalut.          

“Saya difahamkan, ayah sudah bercakap dengan ustaz tentang hajat kami sekeluarga. Kali ini, biarlah dari mulut saya sendiri. Kami sekeluarga akan berpindah ke England atas tugasan kerja di sana. Tak tahu berapa lama di sana. Daripada membiarkan rumah ini kosong, elok ada orang yang menghuninya. Kami tak bercadang untuk menyewakannya. Syukurlah kalau ustaz boleh tinggal di sini. Sekurang-kurangnya rumah ini makmur dengan orang yang baik-baik seperti ustaz.” Jelasnya berbasa-basi. Di sebelah lelaki itu, isterinya datang bersimpuh menatang sedulang hidangan membalas senyuman ke wajahku penuh mesra.          

“Baguslah kalau begitu. Abah setuju kamu tak sewakan. Imam kita ni dah lama berkhidmat sesen pun tidak ditagih ganjarannya. Yang lebih penting surau kita tidak hilang khidmatnya. Ilmunya juga dapat terus dicurahkan kepada ahli kariah sini. Ah, kamu juga tumpang pahalanya nanti.” Balas Wak Bilal sambil mengurut lutut walid. Walid langsung tiada bicaranya melainkan angguk dan senyum sahaja hinggalah kami keluar daripada rumah bertuah itu.         

Petang itu kami tinggalkan langit kirmizi memerahi dada langit. Burung-burung petang sudah mula bertukang dengan lagu puji dan syukur. Walid sempat menitip pesan, sebelum merah petang di langit itu hilang. “Insyirah, setitis bisa fitnah yang jatuh ke dalam putih hati, akan rosak andai tidak dicedok buang dan dipapas bersih. Kita berpindah bukan kerana kita tidak kuat untuk menghadapinya tetapi sebolehnya kita mengelak duga fitnah yang lebih besar sebelum merah fitnah seluas kaki langit itu jatuh ke baju iman. Andai tertimpa pasti sukar untuk ditanggal!”  

Maghribnya, suara walid dipandu segala bahasa sebak dengan kalam Tuhan itu. Aku tahu apa yang walid luahkan di dadanya, tidak lain melangit segunung pujian dan kesyukuran seorang insan! 

Cerpen ini tersiar di Akhbar Berita Minggu Ahad 3 Jun 2007

Advertisements

5 thoughts on “DI DADANYA KALAM TUHAN

  1. Terima kasih Ren dan juga rakan-rakan yang mengucapkan tahniah.

    Sempat baca sahaja di KOL tak sempat nak membalas lagi sibuk bertukang ‘rumah baru’ Bulan Julai ni akan tutup penyertaannya.

    Setahun tak menulis. Kali terakhir cerpen Pohon Jejawi Khanyam Shamlou dulu.

    Doakan sama-sama kita berjaya!

  2. salam…
    (ikhlas), cerpen yang menarik…
    bukan senang mahu menulis setelah memasuki alam pekerjaan.
    saya membaca cerpen ini dari jauh…

  3. Pingback: KORBAN DAN NOVEL INSYIRAH « IBNU AHMAD AL-KURAUWI

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s