DAKWAH SIBER WAHANA DI HUJUNG JARI

HARI ini, perkembangan dunia teknologi internet telah mendatangkan impak besar terhadap kehidupan manusia dari semua sudut, baik politik, ekonomi, pendidikan, agama dan lain-lain. Dengan kecanggihan dunia internet maka perakaman data, pemerolehan, perkongsian ilmu dan maklumat menjadi tersangat pantas. Bahkan dari satu sudut ia kadang-kadang boleh melampaui peranan buku sebagai sumber rujukan.

Kalau dulu kita ada e-mel dan laman sesawang, kini tanpa siapa menduga, teknologi ini bergerak setapak lagi apabila muncul pula weblog. Weblog ialah gabungan daripada perkataan web dan log yang membawa maksud catatan seharian yang boleh ditulis dalam laman web tertentu secara talian. Secara ringkasnya, ia dikenali sebagai blog. Ia mudah dilayari, percuma, mempunyai capaian yang meluas, sangat popular dan mendapat tumpuan ramai.

Kini, penulisan dalam blog bukan lagi sekadar catatan harian bahkan alat ini mampu menghidupkan dunia penulisan secara maya dan tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada dakwat dan kertas. Bukan setakat itu sahaja ada blog yang berperanan sebagai medium interaksi yang membolehkan ilmu, pemikiran, perkongsian dan maklum-balas dilakukan di alam maya tanpa ada hubungan secara langsung.

 

Di Malaysia, pengaruh blog dalam masyarakat sememangnya sudah mendapat tempat bahkan ada kalanya sudah tidak dapat disekat. Perkembangan teknologi ini membolehkan semua orang mampu membuat blog mereka sendiri dengan syarat ada talian internet. Dari golongan remaja, dewasa, baik artis, pemimpin politik, sasterawan hinggalah kepada golongan agama, masing-masing ada blog mereka tersendiri.  

Andai ditanya kepada alim ulama, maka mereka berijtihad bahawa  ia suatu teknologi yang diharuskan dalam Islam. Sesungguhnya Islam tidak menghalang teknologi seperti ini asalkan tidak bertentangan dengan syariat dan besar pula manfaatnya kepada masyarakat Islam itu sendiri.

Oleh sebab itu, maka wajar bagi golongan dai dan ilmuwan agama untuk tidak ketinggalan sama menyediakan bahan bacaan yang bermanfaat sebagai alternatif kepada pembaca. Hal demikian ini kerana, dakwah kini harus dipelbagaikan kaedah penyampaiannya bukan semata-mata dengan cara melakukan kerja-kerja lapangan seperti turun memberi kuliah atau ceramah semata-mata. Bayangkan dengan teknologi ini segala kuliah boleh dirakam dan dimuat turun oleh pendengar, segala ilmu dan pemikiran mereka boleh dimanfaatkan oleh orang ramai tanpa had dan tempat, setiap masa dan ketika.  

Penggunaan internet, blog dan teknologi-teknologi yang lain sebagai medium dakwah diyakini mampu memberi nafas baharu kepada dunia dakwah agar skop dan capaian dakwahnya lebih luas, kreatif dan yang penting ilmu itu akan sampai kepada masyarakat dan masyarakat pula boleh berinteraksi dengan mereka.

Ambil sahaja contoh para ulama besar seperti Dr. Yusof al-Qaradhawi, Dr. Wahbah al-Zuhayli, Dr. Muhammad Said Ramadan al-Buty dan lain-lain yang turut berdakwah melalui dakwah siber ini. Tokoh-tokoh ini walaupun berada di dunia yang berbeza mampu memberi pandangan dan fatwa-fatwa terhadap permasalahan agama disebabkan kecanggihan dunia siber ini. Kalau dahulu jarak sebagai halangannya, kini tiada lagi.

Pendakwah-pendakwah tanah air juga tidak kurang hebatnya. Laman sesawang milik Ustaz Zaharuddin Abd. Rahman di www.zaharuddin.net atau Ustaz Hasrizal Jamil di saifulislam.com (sekadar menyebut beberapa nama) antara laman sesawang tanah air yang berjaya menarik begitu ramai pembaca lebih daripada suku juta pengunjung. Malah laman mereka ini pernah tergendala beberapa ketika disebabkan masalah talian yang tidak boleh menampung jumlah pelawat yang berkunjung dalam satu-satu masa.

Memetik kenyataan Ustaz Zaharuddin sendiri dalam laman sesawangnya, menurut http://www.alexa.com, laman sesawang beliau (www.zaharuddin.net) pernah menduduki kedudukan sekitar top 45,000 di seluruh dunia iaitu dari sudut jumlah capaian pelawat dan halaman yang dibuka terutamanya pada bulan Februari dan Mac 2007.

Statistik pelawat ini membuktikan bahawa peranan internet sebagai salah satu medium dakwah diakui suatu yang sangat popular dan diterima sebagai bahan ilmu andai ditulis dengan jujur, bahasa yang baik, dimuatkan interaksi soal jawab dan pandangan yang interaktif sifatnya. Selain itu, segala isu-isu agama yang dijelaskan bukan kerana mencari populariti tetapi atas kesedaran demi mencari reda Allah Taala yang berlandaskan al-Quran dan sunah Nabi.

Medium dakwah siber seperti ini boleh juga menjadi peranti terhadap tohmahan dan pandangan destruktif terhadap kesucian agama Islam itu sendiri. Sebagai contohnya, isu penghinaan terhadap agama seperti pernah terjadi karikatur-karikatur yang dicipta dengan niat menghina Nabi Muhammad SAW. Maka kepalsuan diayah songsang tersebut boleh dibanteras dan diberi penjelasan dan kefahaman yang pantas kerana segala-galanya berada di hujung jari kita!  

Artikel ini tersiar di Majalah Dewan Masyarakat Julai dengan tajuk: Berdakwah Melalui Blog

Advertisements

2 thoughts on “DAKWAH SIBER WAHANA DI HUJUNG JARI

  1. Hadis mendahului ilmu moden, tamadun
    Berita Harian | 19/07/2007

    PERSPEKTIF sunnah hanya sumber perundangan dan hukum hakam saja perlu diperbetulkan kerana sunnah Nabi SAW mencakupi ilmu pengetahuan yang luas dan pembinaan tamadun berkembang daripada dulu hingga hari ini.

    Pegawai Penerangan (Ketua Unit Pengurusan Isu) Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa), Shamsul Muda, berkata hakikat itu perlu dihebahkan kepada semua untuk memperlihatkan kemampuan serta kesempurnaan sunnah Nabi menjadi teras dan sumber pemikiran serta falsafah bagi umat Islam membina kemajuan.

    Selain itu katanya, pandangan luas serta keyakinan mutlak terhadap sunnah juga dapat meyakinkan umat Islam bahawa mereka memiliki perbendaharaan pemikiran terbaik dalam pelbagai bidang dan falsafah yang melimpah ruah.

    “Pandangan umat Islam bahawa sunnah sekadar sumber perundangan Islam mendorong umat Islam beralih kepada sumber lain untuk mendapat input, pemikiran dan falsafah membina tamadun. Sedangkan, sunnah sudah menjadi teras sumber pemikiran umat Islam membina kemajuan sejak dulu.

    “Kenapa kita import falsafah lain ialah kerana kita gagal mengetengahkan sunnah sebagai sumber ilmu pengetahuan dan tamadun,” katanya ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Sunnah Teras Islam Hadhari.

    Beliau berkata, sunnah tidak bercanggah dengan ilmu baru malah ia mendahului ilmu moden dan buktinya adalah berdasarkan kepada sabda Rasulullah SAW yang banyak memberi gambaran mengenai apa yang berlaku waktu ini.

    Contohnya, Nabi SAW pernah bersabda yang melarang manusia menebang pokok dan ternyata apa yang disarankan itu mempunyai sebab serta akibatnya kerana sekarang ini kerajaan menganjurkan kempen menanam pokok.

    Begitu juga dengan kesedaran pada peringkat antarabangsa mengenai isu kepupusan pelbagai spesies haiwan melalui sabda Baginda yang bermaksud: “Jika anjing ini bukan umat seperti kamu pasti aku memerintah membunuhnya tetapi aku tidak perintahkan kerana anjing adalah umat seperti kamu. Aku perintahkan bunuh anjing hitam.”

    Shamsul berkata, contoh serta maklumat daripada sunnah Nabi yang melangkaui masa berkenaan perlu diketengahkan kerana sunnah Rasulullah SAW tetap relevan bukan saja hari ini, malah sesuai untuk rujukan bagi menjalani kehidupan sepanjang zaman.

    Beliau berkata, permasalahannya ialah sunnah Rasulullah SAW ditenggelami kejahilan umat Islam yang hanya menjadikannya zahir dalam aspek hukum dan serba sedikit berkaitan akhlak serta tatasusila.

    Katanya, sunnah Nabi boleh menjadi teras kepada Islam Hadhari dengan cara membongkar dan menyebarkan pemikiran mengenai tamadun yang ada dalam sunnah; mempromosi hadis yang menyeru kepada kemajuan dan memperbetulkan salah faham terhadap beberapa hadis.

    Antara hadis yang menimbulkan salah faham umat Islam ialah hadis yang lemah, iaitu mengenai doa Nabi SAW meminta dilahirkan dalam keadaan miskin, mati dalam keadaan miskin dan dikumpulkan di kalangan orang yang miskin.

    “Miskin yang dimaksudkan ialah tawaduk bukan miskin harta benda dan perkara berkenaan perlu dijelaskan bagi mengelak mudarat serta jenayah kepada hadis itu.

    “Ada hadis yang bermaksud kebanyakan ahli syurga adalah orang bodoh. Bodoh itu bukan bodoh yang kita fahami tetapi kebodohan dalam bidang agama.

    “Justeru, maksud sunnah teras Islam Hadhari ialah untuk memperbetulkan persepsi silap terhadap hadis Nabi, memperkenalkan hadis yang menggalakkan perkara positif untuk menjadikan Islam sebagai penggerak ummah serta menjadi satu sistem paling maju, di depan dan bertamadun,” katanya.

    Sumber : Berita Harian

  2. salam..ustaz.. sy dptkan maklumat tentang Artikel ini tersiar di Majalah Dewan Masyarakat Julai dengan tajuk: Berdakwah Melalui Blog.
    julai tahun berape ya…

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s