APAKAH TUJUAN MENCIPTA REKOD DUNIA?

 

Banyak pihak selalu beranggapan bahawa apabila terdapat penduduk di sesebuah negara mencipta rekod dunia, maka  seluruh dunia  mengenali negara tersebut dan prestij negara itu meningkat. Adakah benar tanggapan ini?

Mencipta rekod dunia dengan alasan untuk meletakkan nama negara di persada antarabangsa semakin menjadi-jadi di negara ini. Lepas seorang,  muncul pula  orang lain  dengan  rancangan  mahu mencipta  rekod dunia.   Semuanya  menggunakan  alasan yang sama; meletakkan nama negara di persada antarabangsa.

Namun, adakah penduduk negara ini mengenali  Amerika Syarikat (AS), Rusia,  Itali, atau Perancis kerana  rakyat negara tersebut mencipta rekod dunia? Tentu sekali tidak. Penduduk negara ini mengenali  AS kerana  penguasaan  media dan filemnya yang menjana nama AS ke seluruh dunia. Bukan kerana terdapat rakyat  AS  yang  menawan  puncak Everest,  melintasi kutub  dan sebagainya.  

Adakah penduduk negara ini mengenali  Perancis  kerana  rekod dunia yang “membazir” seperti yang sedang dilakukan oleh rakyat negara ini? Perancis terkenal kerana kebudayaan, kesenian, dan kesusasteraan  yang sangat berpengaruh. Malah, ketika manusia  “spiderman”  yang  banyak kali memecah rekod dengan memanjat  bangunan  tinggi  termasuk  Kuala Lumpur City Centre (KLCC) tidak lama dahulu, tidak mengingatkan langsung penduduk negara ini kepada Perancis. Padahal  “spiderman” ini merupakan rakyat Perancis.  Hal ini  membuktikan  bahawa sesesuatu rekod  yang  tidak  berkaitan dengan  kecemerlangan  seni  pemikiran  tidak  berupaya memperkenalkan  sesebuah negara kepada dunia.

Apabila sesetengah pihak  menganggap  perbelanjaan  yang dikeluarkan  khususnya oleh  kerajaan  untuk mencipta  rekod sebagai membazir, hal ini perlu diberikan perhatian yang  sewajarnya.   Banyak lagi program yang  boleh menaikkan  nama negara  selain  membuat  rekod dunia.    

Masyarakat umum tidak peduli dengan  rekod.  Mungkin  terdapat  laporan  media  antarabangsa yang menyebut nama Malaysia sepintas lalu.  Adakah hanya untuk tujuan itu, wang yang banyak perlu dibelanjakan?  Mengapakah tidak dirangka program jangka panjang bertaraf dunia seperti melahirkan  pemenang  Anugerah  Nobel  Kesusasteraan  yang sangat berprestij?  Atau mengapakah tidak dibelanjakan  untuk menghasilkan  filem  yang menjuarai  Festival Filem  Cannes misalnya?

Orang  Barat  mencipta  rekod  dunia  untuk kepuasan  peribadi.  Mereka menggunakan  wang  sendiri  kerana mereka tahu rekod yang dicipta tidak banyak menyumbang untuk menaikkan nama negara.  Maka,  untuk  menzahirkan  cita-cita  yang luar biasa itu,  sesetengahnya sanggup  menjual harta benda untuk mendapatkan wang sebagai belanja. Penduduk di negara berkenaan pun tidak mempersoalkan  tindakan tersebut,  kerana itu urusan peribadi  yang  tidak berkaitan dengan negara.

Namun, situasi berkenaan berbeza di negara ini. Kesemuanya  menggunakan  alasan “menaikkan  nama  negara”. Maka, perbelanjaan yang mencecah jutaan  ringgit   mesti  ditanggung oleh  kerajaan dengan menggunakan duit rakyat. Penduduk negara ini wajar mempersoalkannya  apabila  duit mereka  dibelanjakan  dengan  cara yang  tidak memberikan pulangan yang sepatutnya kepada negara. 

Mereka  yang ingin mencipta  rekod  pula  mulai  sekarang  jangan  sewenang-wenang  menganggap  tindakan tersebut sebagai sumbangan kepada  negara.  Tolong jangan  mempermurahkan  “sumbangan kepada negara” kerana banyak pihak lain yang lebih banyak memberikan sumbangan  kepada negara tetapi tidak menggunakan  frasa  keramat itu.    

Penduduk negara ini perlu realistik  bahawa selama ini  dunia mengenali  dan mengagumi Malaysia  bukan  kerana rekod dunia. Negara ini mempunyai keterampilan dan pemikiran tersendiri di persada dunia  dan menjadi jurucakap semua isu kemanusiaan sejagat. Inilah rekod  sebenarnya. 

“Artikel ini ditulis oleh Chairil Ehsan dalam Majalah Dewan Masyarakat, Julai. Terima kasih kepada editor Dewan Masyarakat atas keizinan beliau untuk disiarkan semula di sini” – al-Kurauwi

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s