SEMPURNAKAH SOLAT KITA?

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Saya berpesan kepada diri saya dan tuan-tuan supaya sama-sama kita bertakwa kepada Allah dengan meningkatkan lagi amal soleh dan berusaha menjauhi larangannya. Semoga kehidupan kita akan lebih cemerlang dan diberkati Allah di dunia dan di akhirat. 

SIDANG JUMAAT YANG DIHORMATI SEKALIAN,

Solat atau sembahyang adalah rukun kedua yang menjadi asas terbinanya Islam. Solat juga merupakan tiang agama dan satu ibadah wajib ke atas setiap umat Islam melakukannya dalam apa jua keadaan selagi akalnya masih waras. Dalam al-Quran terdapat lebih daripada 25 tempat ayat “ اَقَامَ ” yang merujuk kepada makna perintah mengerjakan atau mendirikan solat dan terdapat lebih 70 kali perkataan     الصلاة ” atau sembahyang diulang dan disebut dalam al-Quran, antaranya Firman Allah SWT:  Yang bermaksud:

“Kemudian apabila kamu telah selesai mengerjakan solat, maka hendaklah kamu menyebut dan mengingati Allah semasa kamu berdiri atau duduk, dan semasa kamu berbaring. Kemudian apabila kamu telah merasa tenteram (berada dalam keadaan aman) maka dirikanlah sembahyang itu (dengan sempurna sebagaimana biasa). Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.” (Surah an-Nisa’ : 103)

SIDANG JUMAAT YANG DIMULIAKAN,

Sebagai umat Islam, sama ada remaja, muda-mudi, dewasa, lelaki mahupun perempuan hendaklah memerhati, memahami dan menghalusi sehalus-halusnya perintah solat ini.  Harus diingat bahawa perintah solat ini bukan khusus kepada solat Jumaat sahaja bahkan turut diwajibkan kepada solat lima waktu yang lain sehari semalam tanpa sebarang pengecualian baik yang uzur. Bahkan pada saat-saat nak mati pun kita wajib mengerjakan solat. Seperti kisah Sayidina Umara al-Khattab ketika ditikam oleh Abu lukluk al-Majusi, beliau baru sahaja mahu memulakan solat subuh. Lalu sayidina Umar rebah di pangkuan para sahabatnya. Pada saat-saat nazaknya itu, Sayidina Umar masih lagi sempat bertanya, Apakah aku sudah mengerjakan solat, Apakah aku sudah mengerjakan solat, Apakah kamu juga sudah mengerjakan solat subuh. 

Sesungguhnya membandingkan kita dengan sayidina umar tentulah jauh. Tidak terbanding bak langit dengan bumi. Kita, Walaupun kita tahu, kita sudah terlepasnya waktu subuh. Dari subuh gajah bertukar pula menjadi subuh Dinasor pun, kita dengan selamba membiarkan subuh terus berlalu. Apatah lagi menimbulkan rasa bersalah disebabkan terlewat bangun solat subuh. 

Sebab itu, Baginda nabi SAW telah berpesan kepada umat Islam sejak 1400 tahun lalu supaya ibu bapa mengajar anak-anak bersolat. Bukan itu sahaja, menunjukkan kepemimpinan ibadah solat di hadapan anak-anak dan menyuruh anak-anak sejak umur mereka 7 tahun. Sabda Nabi pukullah mereka jika enggan solat ketika berumur 10 tahun.

Dan selepas itu kita wajib berdoa mengharapkan anak-anak dan keturunan kita sentiasa istiqamah mendirikan solat sesuai dengan Firman Allah: Maksudnya:

“Wahai Tuhan kami! kurniakanlah keampunan kepadaku dan kepada kedua-dua ibu bapaku serta kepada orang yang beriman, pada masa berlakunya hisab dan pembalasan.” (Surah Ibrahim : 40)  

Mujur tidak ada arahan daripada Nabi supaya memukul kanak-kanak yang berumur 20 tahun, 30, tahun, 40 tahun atau 50 tahun andai sengaja meninggalkan solat.

Andai ada lah, Atau andai wujudnya arahan solat itu seperti perintah solat Jumaat ini maka pastilah setiap hari surau-surau dan masjid kita akan penuh dengan makmum-makmumnya. 

Surau kosong dan masjid kosong hari ini, tidak seperti hari Jumaat ini kerana ibadah solat 5 waktu ialah ibadah yang bersifat ruhi atau qalbi, antara makhluk dengan Tuhan yang menciptanya. Kita tidak diajar menyembah Allah secara paksaan agar rasa beriman, ikhlas, tawaduk  dan rasa lazatnya beribadah dapat dijelmakan dalam diri kita.  

Oleh sebab itu, sidang Jumaat sekalian. 

Perintah atau suruhan agar kita dan kaum keluarga kita mengerjakan solat adalah satu tanggungjawab yang besar datang dari khatib atau para ustaz dan ulama tetapi dari langit yang tinggi, datang dari al-Quran, wahyu Tuhan sebagaimana Firman Allah dalam surah Toha ayat 132 yang berbunyi:  Maksudnya:

“Dan perintahkanlah keluargamu serta umatmu mengerjakan solat, dan hendaklah engkau tekun dan bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu, dan (ingatlah!) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.”  

SIDANG JUMAAT SEKALIAN,

Di sini dapat difahami betapa besarnya kepentingan solat kepada orang-orang Islam yang beriman, antaranya: 

1.    Solat dapat meningkatkan seseorang untuk sentiasa mengingati Allah. 

Firman Allah SWT:  Yang bermaksud:

“Sesungguhnya Akulah Allah, tiada Tuhan melainkan aku, oleh itu, sembahlah akan daku, dan dirikanlah solat untuk mengingati daku.” (Surah Toha ayat : 14)  

Berdasarkan maksud ayat tersebut solat adalah jalan untuk kita sentiasa mengingati Allah SWT. Sekali gus solat juga merupakan tanda pengabdian dan syukur seorang hamba kepada Allah SWT. Atas segala nikmat dan rahmat yang Allah kurniakan kepada kita. Orang yang tidak mengerjakan solat tiada dalam ingatan Allah. Ibadahnya tertolak, solat Jumaatnya tertolak, zikir dan tilawah al-Qurannya tertolak dan doanya juga tidak akan dimakbulkan Tuhan. 

2. Solat dapat menghapus dosa. 

Sebagai manusia, Kita tidak terlepas daripada melakukan dosa. Sekecil-kecil dosa walaupun sebesar zarah, tiada balasan lain, tiada penjara, tiada kerja kemasyarakatan melainkan dibasuh dengan api neraka. solat lima kali sehari semalam itulah dapat menghapuskan dosa kita yang kita dilakukan. Sebagaimana yang dinyatakan oleh Rasulullah SAW dalam sebuah hadis:  Bermaksud:

“Dari Abi Hurairah RA, sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: Solat lima waktu dan solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya adalah penebus dosa antara jarak waktu solat-solat itu, selama dijauhinya dosa-dosa besar.” (Hadis riwayat Muslim)  

3. Solat dapat mencegah perbuatan keji dan mungkar. 

Para ulama ad membahaskan bahawa tanda-tanda solat itu diterima Allah, apabila timbul perasaan benci kepada umpat dan kata carut dan keji, hasad dengki dan segala maksiat dan kemungkaran. Solat yang dikerjakan dengan khusyuk dan menepati segala rukun-rukunnya boleh mencegah orang yang melakukannya dari melakukan maksiat dan kemungkaran. Firman Allah SWT:   Yang bermaksud:

“…. Sesungguhnya solat itu mencegah dari perbuatan yang keji dan mungkar, dan sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya), dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.”(Surah al-Ankabut : 45) 

4.   Solat dapat memberi barakah hidup dan berbahagia kehidupan. 

Kehidupan orang yang memelihara solat jauh berbeza dengan orang yang meninggalkannya. Ini Jelas kita melihat orang yang memelihara solat kehidupannya dipenuhi dengan keberkatan dan kebahagiaan. Apa maksud berkat? Berkat bermaksud ziadah yakni bertambah. Berkatnya surau dan masjid bertambahnya jemaahnya. Berkatnya ilmu bertambahnya pengetahuan dan kefahaman, berkatnya rezeki yang kita makan, bertambah-tambahnya selera makan kita. Berkatnya tubuh badan, Allah kurnai kita kesihatan yang berpanjangan. Sebagaimana Firman Allah yang berbunyi: Maksudnya:

“Sesungguhnya berbahagia \ berjayalah orang-orang beriman. (Iaitu) mereka yang khusyuk dalam solatnya.” (Surah al-Mukminun : 1-2)  

Semua pAra jemaah sidang Jumaat tahu,

Bila tibanya musim Israk Mikraj kita diceritakan oleh khatib dan para penceramah bahawa solat adalah ibadah yang diterima oleh Baginda nabi SAW secara langsung daripada Allah SWT, ketika nabi SAW menghadap Allah SWT di “Sidratul Muntaha” Dengan lain perkataan ibadah solat berbeza dengan ibadah-ibadah yang lain seperti ibadah puasa, zakat, haji dan lain-lain yang diterima melalui wahyu dengan perantaraan malaikat Jibril AS pembawa wahyu. Ini adalah satu kenyataan bahawa ibadah solat itu terlalu istimewa di sisi Allah SWT.  

SIDANG JUMAAT YANG DIRAHMATI ALLAH,

Kita pun sudah tahu kelebihan solat Dari segi perubatan dan kesihatan. Kita tahu solat yang khusyuk boleh mendamaikan jiwa, mengawal tekanan perasaan dan menjadikan tubuh badan menjadi sihat serta cergas. Kita pun pernah dengar bahawa, Rasulullah SAW ketika berhadapan masalah, akan memperbanyakkan solat kerana solat bagi baginda adalah amalan penyejuk hati. Namun kita hanya tahu namun masih belum mahu bersolat, masih belum mahu menjadikan ibadah solat sebagai sumber rujukan dan penyembuh penyakit hati yang memusnahkan kita kiri, kanan, depan belakang atas dan bawah.  Muslim yang Tahu tetapi tak mahu adalah suatu nilai yang sangat bertentangan yang disebut oleh Allah sebagai golongan yang sesat. Mereka tahu solat itu wajib tetapi tak mahu mengerjakannya samalah seperti golongan Yahudi dan Nasrani yang menolak perintah Allah Dalam surah Maryam ayat 59, Allah berfirman :  Maksudnya:

“Maka datanglah selepas mereka pengganti (yang keji) yang mensia-siakan solat mereka serta mengikut hawa nafsu maka kelak mereka akan menemui kesesatan.”  

Bayangkanlah Abdullah bin Abbas ketika mentafsirkan maksud mensia-siakan solat bukanlah meninggalkan solat sama sekali tetapi golongan yang sesat ini ialah golongan yang hanya melewat-lewatkan solat dari waktunya. Masuk waktu solat pukul 1.25 tetapi solat hanya didirikan jam 3 petang atau 4 petang pun termasuk golongan yang sesat dalam ayat di atas mengikut tafsiran Abdullah bin Abbas. 

Imam Said Ibni al-Musayyib pula berpendapat iaitu mereka melaksanakan solat Zuhur dalam waktu Asar, solat Asar di dalam waktu Maghrib, solat Maghrib di dalam waktu Isyak dan solat Isyak ditangguhkan sehingga masuk waktu subuh serta solat subuh dilaksanakan selepas matahari terbit, iaitu solat subuh Dinasor.  

Sesiapa yang mati dalam keadaan ini tanpa bertaubat dia akan dihumbankan ke dalam sebuah lembah yang bernama “Ghaiy” di dalam neraka dan diberikan makanan yang amat jijik. Hal ini disebutkan oleh Said Hawa dalam kitab الأَسَاسُ فِى التَفْسِيْرِ“. Jika bersolat fardu di luar waktu sudah begini hukumnya, bayangkanlah azab yang bakal menimpa mereka yang tidak bersolat fardu sama sekali.  

Justeru marilah kita menginsafi dan melaksanakan solat fardu setiap hari, secara berjemaah seperti Jumaat ini dan penting juga agar ia ditunaikan dalam waktu yang ditetapkan. Semuanya merupakan sebahagian daripada disiplin Islam yang wajib dilaksanakan. Sabda nabi SAW:   Maksudnya:  

“Dari Abi Amr asy-Syibani katanya, Abdullah bin Mas’ud pernah bertanya kepada nabi SAW apakah amalan yang paling Allah sukai?. Nabi menjawab: Solat tepat pada waktunya. Ia bertanya lagi kemudian apa? Baginda menjawab: Melakukan kebaikan kepada kedua ibu bapa. Ia bertanya lagi kemudian apa? Baginda menjawab: Melakukan jihad pada Agama Allah SWT.”  (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim)

Khutbah ini ditulis dan dibaca pada 6 Julai 2007 di Masjid Hukama Dewan Bahasa dan Pustaka.

Advertisements

One thought on “SEMPURNAKAH SOLAT KITA?

  1. Bagaimana nak pujuk orang supaya bersolat. Saya tidak pandai dalam memujuk. Kekadang kata-kata saya seolah menyakitkan hati orang tersebut. Ada tak doa atau zikir khusus untuk lembutkan hati orang untuk ingin bersolat.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s