KEMERDEKAAN = UMMAH BERSAUDARA

 

KESATUAN ummah Islam dalam negara yang merdeka ialah penyatuan sesebuah komuniti masyarakat terhadap semua prinsip, kepercayaan dan nilai asas yang amat bererti kepada sesama manusia daripada semua perkara lain. Andai kefahaman ini dapat dibentuk, setiap individu dan negara juga sedia berkorban apa sahaja termasuk nyawa mereka untuk melindungi dan memeliharanya.

Kesatuan ummah, yang dinamai sebagai Ummah Muslimah semenjak penciptaan Adam sehinggalah kepada Nabi yang terakhir, Muhammad SAW tidak membawa ajaran baru, tetapi mengajar risalah yang sama sebagaimana utusan Allah sebelumnya.

 

Kesatuan ummah antara ciri-cirinya tidak merujuk pada perbezaan warna kulit, bangsa, keturunan, negara, masa atau tempat sebaliknya melalui kesatuan akidah bagi seluruh masyarakat Islam. Bahkan ia menjadi salah satu daripada tiga syarat sebelum diiktiraf sebagai umat terbaik. Hal ini ditegaskan oleh Allah SWT dalam al-Quran yang bermaksud: “Kamu (wahai umat Muhammad) ialah sebaik-baik ummah yang dikeluarkan untuk faedah manusia kerana kamu menyeru kepada kebaikan dan mencegah daripada kemungkaran dan kamu beriman kepada Allah.” (Surah Ali Imran: 110)

Prof. Dr. Yusof al-Qaradhawi dalam bukunya Ciri-Ciri Unggul Masyarakat Islam yang Kita Idamkan berkata bahawa bukanlah namanya masyarakat Islam jika ketaksuban kepada bangsa, keturunan dan kenegerian mendahului ukhuwah Islamiah.

Hal demikian ini kerana kesatuan ummah meletakkan persaudaraan Islam hendaklah berada di tempat yang lebih tinggi berpaksi kepada dua syarat lagi yang disebut dalam ayat di atas iaitu prinsip amar makruf nahi mungkar. Andai prinsip ini dipegang kesatuan ummah akan jauh daripada segala yang terikat dalam daerah hubungan atau pertalian yang berkepentingan.

Dengan lain perkataan persaudaraan yang mendominasi ummah akan merentasi semua kelompok masyarakat hatta yang berbeza agama pun ada hak dalam hubungan keinsanan kita terhadap mereka. Bukanlah namanya kesatuan ummah andai ada manusia yang terlalu tinggi darjatnya enggan bersaudara dengan orang lain begitu juga yang terlalu rendah darjatnya malu bersaudara dengan orang yang lebih tinggi daripadanya. Janganlah kita jadikan harta, jawatan, keturunan, kedudukan di dalam masyarakat untuk meninggikan diri antara satu sama lain.

Kata Dr. Yusof al-Qaradhawi, pemerintah adalah saudara kepada yang diperintah dan pemimpin adalah saudara kepada yang dipimpin. Di dalam sebuah hadis riwayat Muslim, Nabi SAW ada menyebut: “Sebaik-baik pemimpin kamu ialah orang yang kamu sayangi mereka dan mereka menyayangi kamu, kamu mendoakan mereka, mereka mendoakan kamu. Sejahat-jahat pemimpin kamu ialah mereka membenci kamu, kamu melaknat mereka, mereka melaknat kamu.”

Apabila kesatuan ummah mempunyai kepercayaan dan prinsip bersaudara yang sama, maka tiada sebab untuk berlakunya krisis sosial, kecemburuan melampau, dengki khianat, kasta dan sebagainya. Mereka sentiasa tergolong dalam ahli masyarakat yang sama dan mempunyai pemikiran yang sama, iaitu satu ummah yang bersaudara walaupun mereka terpisah oleh perbezaan warna kulit, bahasa, kewarganegaraan, masa atau tempat.

Semoga sambutan kemerdekaan negara pada usia emasnya ini menjemput muhasabah bertandang ke hati kita. Atas kesatuan ummah kita selesaikan segala masalah, kita leraikan segala yang berbalah, kita hapuskan buruk sangka, dengki, dendam dan khianat yang tidak sudah. Sayangkanlah negara kita. Kasih-mengasihilah sesama kita. Marilah kita bersama-sama memelihara kedaulatan negara kerana negara yang makmur beroleh keampunan Tuhan Yang Ghafur.

Artikel ini diterbitkan di Majalah Dewan Masyarakat Ogos 2007 – Ibnu Ahmad al-Kurauwi.

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s