BAHASA MELAYUKU DI PARLIMEN

SEELOKNYA rencana ini ditulis 50 tahun lalu ketika negara baru mencapai kemerdekaan dan kita tercari-cari hala tuju untuk meletakkan bahasa Melayu sebagai pemimpin di negaranya. Kalau 50 tahun lalu ada orang tidak begitu mahir berbahasa Melayu, itu suatu fenomena biasa. Tetapi selepas 50 tahun merdeka, bahasa kebangsaan yakni bahasa Melayu masih lagi menunggu simpati untuk dimuliakan di tempat yang mulia, inilah luar biasanya orang-orang kita.

Rencana ini perlu juga ditulis sebagai mengingatkan tahun ini kita telah 50 tahun mencapai kemerdekaan. Kita dalam konteks ini adalah semua rakyat negara bertuah ini; bukan Melayu, Cina, India atau pelbagai lagi.Tidak perlulah disebut lagi tentang Perlembagaan Persekutuan yang meletakkan darjah tertinggi kepada bahasa Melayu. Bahasa Melayu diangkat menjadi bahasa kebangsaan dan dengan sendirinya ia bukan bahasa untuk orang Melayu saja. Bahasa Melayu juga menjadi milik orang Cina, India dan sebagainya.

Maka apabila Menteri Kebudayaan Kesenian dan Warisan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim menegur mutu penggunaan bahasa Melayu di Parlimen yang rendah, ini suatu yang sangat serius. Kalau di dewan semulia Parlimen bahasa Melayu tidak dimuliakan selayaknya, janganlah mengharapkan orang di Chow Kit, Petaling Street atau Bukit Bintang memuliakan bahasa yang malang ini.

 

Apabila Rais mendedahkan mutu bahasa Melayu yang teruk di Parlimen, rakyat pasti tertanya-tanya, “Inikah kepimpinan melalui teladan?” Jadi benarlah segala seruan kepada rakyat supaya mendaulatkan bahasa Melayu itu hanya retorik politik semata-mata? Adakah bahasa Melayu menjadi penghalang kepada ahli Parlimen untuk melontarkan idea atau hujah? Bolehkah kita menganggap kegagalan melontarkan idea dengan menggunakan bahasa Melayu yang baik sebagai kelemahan bahasa Melayu?

Kalau kita masih ingat pelbagai pihak termasuk orang politik yang “membelasah” seorang artis remaja kerana memberitahu dia kelihatan bodoh kalau bercakap dalam bahasa Melayu. Tetapi ada pihak yang terlupa bahawa sikap artis itu terhadap bahasa Melayu adalah dibentuk oleh orang-orang yang lebih berpengaruh termasuk ahli Parlimen.

Teguran Rais itu menunjukkan ada ahli Parlimen yang serupa dengan bidalan Melayu, ibu ketam mengajar anak berjalan betul, sedangkan ibu ketam sendiri jalan tidak betul.

Sebenarnya tidak ada isu baru mengenai bahasa Melayu kecuali kegagalan menguasai bahasa Melayu kalangan ahli Parlimen semasa berbahas. Bahasa Melayu adalah isu lapuk yang tidak pernah selesai. Cuma apabila orang yang berhormat di tempat yang mulia pula meletakkan bahasa Melayu demikian rupa, elok juga untuk rakyat menilai pemimpin mereka.Mempersoalkan penggunaan bahasa Melayu bukanlah menyalakan semangat perkauman. Ini kerana bahasa Melayu adalah bahasa kita semua, tanpa mengira bangsa dan budaya. Cuma kalau kita bercakap tentang isu bahasa lain daripada bahasa Melayu, itu adalah perkauman sekali gus menafikan perlembagaan.

Apabila Rais menegur, ada pula yang menyampuk mempertahankan penggunaan bahasa Melayu yang carcamarba di Parlimen. Katanya, di Parlimen bukan untuk bersastera. Dia terlupa atau sebenarnya tidak tahu bahawa menuturkan bahasa Melayu dengan betul bukanlah sastera.Kalau di Parlimen bahasa kebangsaan tidak diletakkan pada persada yang betul, apa lagi golongan bawahan yang dibatasi oleh sentimen kaum yang kuat. Perubahan sikap mesti bermula dari atas supaya yang di bawah boleh melihat apa yang pemimpin mereka lakukan.

Bahasa Melayu telah ditukar menjadi bahasa Malaysia dan inilah pengorbanan paling besar orang Melayu yang mengizinkan nama bahasanya dipadamkan. Secara teori, apabila disebut bahasa Malaysia, tidak ketara hubungannya dengan “Melayu”. Dengan cara ini bahasa tersebut akan digunakan dengan lebih luas. Tetapi sikap bukan Melayu terhadap bahasa Melayu bukan kerana namanya. Ia berkaitan dengan kedudukannya dalam kehidupan harian; urusan pejabat, urusan perniagaan dan hal-hal sosial.Contohnya di Parlimen yang tidak menggunakan bahasa Melayu dengan baik. Jadi apa istimewa menggunakan bahasa Melayu dengan baik sedangkan tidak ada kemuliaannya?

Banyak bahasa di dunia ini tenggelam bukan kerana namanya tetapi bahasa itu tidak memartabatkan iaitu menggunakan dengan penuh hemah. Faktor yang menenggelamkan sesuatu bahasa adalah pendukungnya. Mereka inilah yang menentukan tinggi rendah martabat atau panjang pendek hayat sesuatu bahasa.

Sesuatu bahasa tidak akan dihormati kalau hanya menjadi bahasa gelandangan. Kerana itu memuliakan bahasa tentulah dengan menuturkan dengan betul di tempat yang juga mulia selain berurusniaga dengannya.

Jadi, jangan berpura-pura menangisi bahasa Melayu yang sekarang menjadi bahasa gelandangan di negara yang mencatatkan ia sebagai bahasa kebangsaan. Kalau 50 tahun merdeka kita tidak mampu memberi kemuliaan kepada bahasa kebangsaan, berapa ratus tahun lagi diperlukan untuk melakukannya?

Artikel ini ditulis oleh Ku Seman Ku Hussain bertajuk, Muliakah Bahasa Melayu Di Parlimen? Di akhbar Mingguan Malaysia 26 Ogos 2007

Advertisements

One thought on “BAHASA MELAYUKU DI PARLIMEN

  1. Kalau dah tak mampu untuk memartabatkan bahasa Melayu – apa kata kalau kita memartabatkan bahasa sukuan masing-masing sahaja?
    Wat say you, ya mualim?

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s