LEGASI BLOG, SELUMBAR DI HUJUNG JARI?

 

DATUK SERI ABDULLAH AHMAD BADAWI dalam kenyataannya kepada akhbar memberi amaran kepada pengendali laman blog supaya tidak menulis sesuka hati terutama perkara sensitif menyentuh soal Yang dipertuan Agong dan agama Islam. Sungguhpun didaftarkan di luar negara, itu tidak bermakna mereka kebal daripada undang-undang dan perlu bersedia menghadapi tindakan tegas jika tulisan mereka mempunyai unsur yang tidak baik dan tidak bertanggungjawab.

Sebelum itu, Tan Sri Muhammad Muhd Taib, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi terhadap laman blog Malaysia-Today kerana didakwa menghasut rakyat supaya menentang pemimpin negara termasuk Yang dipertuan Agong selain agama Islam. Ketua Penerangan Umno itu turut meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap pengendali laman blog dan penulis yang memberi komen kerana ia boleh mencetuskan ketegangan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini.

Di Singapura, usaha mengekang diayah-diayah bloggers menerusi undang-undang lebih keras lagi dikenakan apabila dua rakyatnya berketurunan Cina pernah dipenjarakan di bawah akta anti hasutan kerana menyiarkan artikel berbau anti-Muslim dalam blog mereka.

Tidak kurang juga di Mesir kerana buat pertama kalinya dalam sejarah perundangan Mesir, mahkamah Iskandariah menjatuhkan hukuman penjara empat tahun kepada bloggers , Abdel Karim Suleiman; seorang siswa Universiti al-Azhar,  kerana didakwa menghina Islam dan Presiden Mesir, Husni Mubarak. Selain itu, Jan Pronk, wakil khas Sudan ke PBB, diberi notis tiga hari untuk keluar dari Sudan disebabkan pandangan peribadinya terhadap tentera Sudan dalam blognya.

Berasaskan kepada senario di atas, ada kewajarannya kebimbangan Pak Lah terhadap definisi hak individu dan kebebasan bersuara yang kini tidak mampu disekat lagi beraja di dunia siber – dunia tanpa sempadan dan undang-undang. Ironinya ia didorong oleh kepesatan perkembangan teknologi maklumat yang telah mendatangkan impak besar terhadap kehidupan manusia. Akhirnya konotasi kebebasan itu mula diterjemahkan sewenangnya dari pelbagai sudut, baik politik, ekonomi, pendidikan, agama dan lain-lain mengikut kehendak dan cara seseorang itu berfikir.

Dengan kecanggihan dunia internet, maka perakaman data, – baik yang ‘putih’ dan yang ‘hitam’ – pemerolehan, perkongsian ilmu dan maklumat menjadi tersangat pantas. Siapa yang menulis, apa yang ditulis, sah atau tidak bukan lagi persoalannya. Bahkan peranan media masa konvensional sebagai sumber rujukan sudah dibumbui dengan keraguan dan prasangka. Kalau dulu dunia maya kita hanya ada e-mel dan laman sesawang, kini tanpa siapa menduga, teknologi ini bergerak setapak lagi apabila muncul pula weblog.

Ada yang mengatakan Weblog ialah gabungan daripada perkataan web dan log yang membawa maksud catatan seharian yang boleh ditulis dalam laman sesawang tertentu secara talian. Ringkasnya, ia dikenali sebagai blog. Istilah ‘weblog’ telah dicipta oleh Jorn Barger pada 17 Disember 1997. Mengikut cerita yang lain, kononnya kependekan ‘blog’, asal-asalnya diilhamkan oleh Peter Merholz daripada frasa ‘we blog’ dalam blognya Peterme.com pada tahun 1999.

Blog mudah dilayari, percuma, mempunyai capaian yang meluas, sangat popular dan mendapat tumpuan ramai. Ia mula popular di laman sesawang Xanga, yang dilancarkan pada tahun 1996. Walaupun permulaannya agak perlahan iaitu kira-kira 100 catatan peribadi sahaja pada tahun 1997, kemudian meningkat secara mendadak sehingga berupaya mencapai lebih daripada 20 juta pada Disember 2005.

Pada Oktober 1998, keupayaan penggunaan blog mula meningkat apabila dilancarkan komuniti blog peribadi pertama yang disebut sebagai Open Diary Online. Bezanya blog ini lebih bersifat interaktif kerana pembaca boleh memberikan komen dan pandangan mereka. Kemudian muncullah beberapa tokoh bloggers pertama seperti Brad Fitzpatrick yang bermula di LiveJournal pada Mac 1999. Selepas itu dirancakkan lagi dengan kehadiran Andrew Smales yang mencipta Pitas.com pada Julai 1999 serta kemunculan Diaryland pada September 1999 yang lebih mesra pengguna dan mudah diselenggarakan. Dunia blog kemudiannya lebih pesat berkembang apabila muncul Evan Williams dan Meg Hourihan (Pyra Labs) yang melancarkan blogger.com pada Ogos 1999 dan kemudiannya dibeli oleh Google pada Februari 2003.

Tegasnya, pengaruh dan kuasa blog dalam kalangan pembaca begitu kuat mengakar seiring dengan perkembangan dunia siber dan kecanggihan teknologi maklumat. Masakan tidak, akhbar China,  Southern Metropolitan News baru-baru ini melaporkan bahawa blog Xu Jinglei dinobatkan sebagai blog paling popular di dunia kerana menerima lebih daripada 100 juta pengunjung pada 12 Julai 2007 yang lalu.

Tahun 2001 merupakan tahun pencetus fenomena kepada dunia blog ini sehinggakan akhbar berpengaruh, The Guardian turut bersaing merebut perhatian pembaca dengan melancarkan halaman baru yang mengandungi daily digest of blogs pada muka dua akhbar mereka. Selain itu pada Januari 2005, majalah Fortune telah menyenaraikan lapan tokoh bloggers yang berpengaruh iaitu Peter Rojas, Xeni Jardin, Ben Trott, Mena Trott, Jonathan Schwartz, Jason Goldman, Robert Scoble, dan Jason Calacanis. Mereka bukan sahaja mencipta blog tetapi menjadikan blog mereka sumber rujukan utama dan tumpuan tokoh-tokoh korporat dunia. Bayangkan, dari sebuah catatan harian sehingga ke wahana media, dari perbincangan kosong hingga ke ruang sastera dan agama, dari catatan album peribadi hingga ke ruang-ruang pornografi, dari dunia korporat sehingga ke kempen politik rata-ratanya ditunjangi oleh seorang penulis dengan blog tunggal, atau beberapa bloggers dengan antologi blog-blog yang lain yang disebut sebagai blogosphere.

Kini, di Amerika, memiliki blog dalam kalangan ahli politik telah menjadi satu budaya yang bersifat persaingan kerana masing-masing mahu mempertontonkan populariti bagaimana mereka menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh para pengundi. Antara tokoh politik yang terawal menggunakan blog sebagai saluran berkempen dan penyambung suara mereka kepada pengundi seperti Bob Somerby’s Daily Howler yang dilancarkan pada tahun 1998 dan Mickey Kaus‘ Kausfiles yang telah dilancarkan pada tahun 1999.

Begitu juga di United Kingdom, beberapa wakil rakyat seperti Clive Soley, Boris Johnson, Tom Watson dan Richard Allan memiliki blog mereka untuk berinteraksi dengan penduduk di kawasan masing-masing. Sesungguhnya ruang siber tidak mempunyai sempadan. Ia mudah diakses, berkos rendah, mempunyai capaian yang meluas dan merupakan medium paling popular untuk tujuan komunikasi, penyalur maklumat dan urusan perniagaan.

Di Malaysia, pengaruh blog dalam masyarakat walaupun tidak sepenuhnya berkembang namun sudah mendapat tempat, bahkan pengaruhnya ada kalanya sudah tidak dapat disekat. Perkembangan teknologi ini membolehkan semua orang mampu membuat blog mereka sendiri dengan syarat ada talian internet. Dari golongan remaja, dewasa, baik artis, pemimpin politik, sasterawan hinggalah kepada golongan agama, masing-masing menggunakan medium blog berasaskan cita rasa dan tahap pengetahuan mereka sendiri.

Dari satu sudut, media siber seperti ini mempunyai banyak manfaatnya, namun dari sudut yang lain banyak juga negatifnya. Dahulu, mahasiswa dengan isu plagiat bahan rujukan menerusi budaya copy and paste sibuk diperkatakan orang hingga dunia akademik diragui tahap ketulenannya. Hari ini, tahap kerosakan menerusi dunia siber bergerak lebih canggih lagi hinggakan jatuh bangunnya seseorang itu boleh ditentukan oleh selumbar di hujung jari bloggers. Berita palsu, khabar angin, tulisan berbentuk hasutan dan tohmahan yang bersifat peribadi kadang-kadang lebih mudah dipercayai berbanding capaian maklumat di media masa dan radius seputarnya.

Kepenggunaannya yang ‘mesra pengunjung’ mendorong pembaca untuk singgah membaca dan kemudiannya menyebar gosip-gosip tersebut. Andai tersebar, tiada siapa yang dapat menyekat. Ia sememangnya berada di luar jangkauan kita kerana segala apa yang tersiar, bakal mempengaruhi pembentukan minda dan sikap masyarakat hinggakan tercipta pepatah baru, dari asal pepatah ‘mulut tempayan bagaimana boleh menjahitnya’ kepada ‘jari bloggers bagaimana boleh mengikatnya!’

Kenyataan kerajaan yang suara-suara teguran dan amarannya sering kali ditafsirkan oleh pihak pembangkang sebagai mengugut itu sama sekali tidak bercanggah dengan komitmennya terhadap kebebasan bersuara dan keterbukaan.

Sejauh pemerhatian penulis, belum ada lagi blog dan laman sesawang pembangkang ditutup. Mana mungkin teknologi disekat andai pemilik jari-jemarinya tidak diluruskan. Apa pun kebebasan tentu sekali bukan lesen bagi mencetus huru-hara dan melanggar undang-undang negara. Walaupun di alam siber tidak mempunyai undang-undang yang tertulis, ini tidak bermaksud kita boleh menghasut atau melempar fitnah sewenangnya. Kalau undang-undang siber belum diwartakan bukankah undang-undang Tuhan sudah lama dilohkan.

Dalam surah al-Hujurat ayat 12 Allah berfirman yang bermaksud. “Hai orang-orang yang beriman, jauhilah kebanyakan purba-sangka (kecurigaan), Kerana sebahagian dari wasangka itu dosa. dan janganlah mencari-cari keburukan orang dan janganlah kamu mengumpat antara satu sama lain. Adakah seorang antara kamu yang suka memakan daging saudaranya yang sudah mati? Maka tentulah kamu merasa jijik kepadanya. dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Penerima Taubat lagi Maha Penyayang.”

Walau bagaimanapun, selagi jari bloggers kita bengkok, selagi itulah kita tidak akan mampu untuk meluruskan. Sikap pembacalah yang harus dibentuk agar bijak sana dan bijak sini. Pembacalah yang perlu membuat penilaian antara yang baik dan buruk, antara yang benar dan fitnah. Tanggungjawab pembacalah untuk menilai cerita-cerita yang disiarkan melalui blog. Mungkin juga di alam siber, seseorang itu boleh menjadi penulis maya di mana identiti dan kredibiliti tidak perlu memenuhi ciri-ciri penulisan media arus perdana.

Bagi mereka, yang penting adalah sama ada mereka mampu mengetengahkan cerita-cerita sensasi yang boleh meraih perhatian dan kunjungan pembaca. Namun, penulisan di akhbar media perdana dilihat lebih bertanggungjawab sifatnya kerana ada penulis dan ada mediumnya. Namun kadang-kadang di ruang maya, ada segelintir bloggers yang lempar batu sembunyi tangan. Nah, di sinilah kita perlu menggunakan ciri-ciri ‘edisi siasat’ dan membuat penilaian yang bijak antara apa yang terkandung di alam siber dengan apa yang disiarkan di media.  

Walau bagaimanapun, pengendali laman-laman dan peserta laman-laman web di negara masih tertakluk di bawah undang-undang negara sedia ada, seperti Akta Keselamatan Dalam Negeri, Akta Hasutan, 1948, Akta Fitnah, 1957, dan Akta Komunikasi dan Multimedia, 1998. Dari sudut saingan, antara blog dengan media arus perdana, ini merupakan satu perkembangan yang kita tidak perlu dibimbangi. Sebaliknya, media arus perdana perlu peka kepada perkembangan teknologi dan sedia berubah demi memenuhi kehendak pembaca. Contohi sahaja , mereka turut bersaing secara sihat apabila, BBC News melancarkan kumpulan blog dari para editor mereka pada Jun 2006.

Janganlah kita bimbang, menurut Ketua Eksekutif Google Inc., Eric Schmidt, bahawa beliau percaya dalam tempoh lima tahun akan datang, dunia siber bukan sahaja menjadi wahana kepada dunia maklumat, bahkan akan tiba suatu kita ada satu bentuk perkhidmatan yang akan ditawarkan oleh Internet yang boleh menyemak serta-merta kesahihan kenyataan yang dibuat oleh golongan bloggers terutama yang berselumbar di hujung jari!  

Artikel ini tersiar di Dewan Masyarakat keluaran September dalam kolum Laporan Khas dengan tajuk; Antara Blog dengan “Goblok” – Ibnu Ahmad al-Kurauwi

Advertisements

2 thoughts on “LEGASI BLOG, SELUMBAR DI HUJUNG JARI?

  1. During such urgent and exigency state of affairs, the best alternative you Money AwayPersonal loanwords 88310 from MillionairesYou’ve got to be compulsive if you need to secure a personal loanword from millionaires.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s