AIDIL FITRI: BUDAYAKAN AMALAN BERZIARAH

 

AIDILFITRI yang terkandung di dalamnya limpahan nikmat dan keampunan Tuhan pasti akan disambut dengan penuh kegembiraan oleh pelbagai peringkat umur baik yang tua, muda apatah lagi golongan kanak-kanak. Tradisi kemeriahan lebaran ini jangan sekadar dilihat kepada baju baru atau kuih-muih, ketupat dan lemang sahaja bahkan kemeriahannya lebih terasa andainya budaya kunjung-mengunjungi, ziarah-menziarahi dari rumah ke rumah dihidupkan semula.

Pertemuan yang setahun sekali itu harus dibumbui dengan taaruf demi mengelak daripada fitnah dan syak wasangka. Jelas Nabi dalam satu riwayat; “Suatu ketika aku menemui Rasulullah SAW di rumah Baginda, kemudian aku mengetuk pintu rumahnya. Maka Nabi SAW bertanya: Siapa tu? Maka aku menjawab: Saya. Rasulullah SAW bertanya pula: Saya? (saya tu siapa?) Nada suara Baginda seolah-olah membenci jawapan aku itu.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

Adab meminta izin juga merangkumi beberapa adab yang lain antaranya; jangan meninggikan suara atau terjerit-jerit memanggil. Sebaik-baiknya ulangi sebanyak tiga kali sambil diselang-selikan dengan ketukan pintu yang lembut atau deringan loceng yang sopan. Anas meriwayatkan bahawa rumah Nabi SAW sering diketuk oleh para sahabat dengan luku jari bukan dengan tangan mereka. Ini menunjukkan ketinggian akhlak para sahabat serta kemuliaan mereka yang sentiasa beradab kepada seorang Nabi.

Islam melarang seseorang itu berada betul-betul di hadapan pintu apabila menunggu penghuninya keluar. Rendahkanlah pandangan mata daripada melihat aurat yang dilarang serta memelihara maruah orang lain. Rasulullah SAW apabila mendatangi rumah sahabat-sahabatnya, Baginda akan mengelak daripada berdiri menghadap pintu masuk. Baginda memilih di sudut kanan atau kiri pintu.

Ringankan mulut dengan memberi salam. Gerak laku memberi salam ketika berkunjung ke rumah jiran tetangga atau sahabat handai atau pulang selepas itu sebenarnya membezakan kita dengan golongan Yahudi dan Nasrani. Mengapa malu untuk berjabat tangan? Sedangkan adab ini tuntutan sunah Nabi untuk menyatakan perasaan kasih, kegembiraan dan rasa hormat.

Huzaifa Ibnu Yaman menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Apabila dua orang beriman bertemu antara satu sama lain dan selepas memberi salam saling berjabat tangan maka mereka dibersihkan daripada dosa mereka sebagaimana daun gugur daripada pokok” (Riwayat al-Tabarani)

Apabila penghuninya tiada atau kita tidak dibenarkan masuk, maka ketika itu pulanglah tanpa menunjukkan sebarang reaksi buruk sama ada dengan keluhan, cacian atau tindakan-tindakan yang boleh menimbulkan kemarahan penghuninya.

Sesungguhnya jelaslah bahawa dalam bergembira masih ada batas dan sempadan yang harus dipegang. Etiket dan nilai murni yang cukup sempurna yang telah disusun oleh Rasulullah SAW ini menggambarkan bahawa Islam sangat mengambil berat terhadap nilai mahabbah demi mengukuhkan pertalian silaturahim sesama insan, ahli keluarga, ibu bapa, adik-beradik, suami isteri dan kaum keluarga jauh dan dekat.

Jangan jadikan lambakan program hiburan televisyen membunuh rasa ukhuwah kita. Jadikanlah sesi ziarah sebagai acara wajib Aidilfitri yang tidak akan berseri tanpanya seperti juga hilangnya seri tanpa penyediaan kuih-muih dan baju raya. Malahan budaya amalan rumah terbuka dan ziarah-menziarahi antara satu sama lain perlulah dipanjangkan dan dilakukan sepanjang masa sesuai mengikut syariat melalui konsep ziarah yang disebut dan diamalkan oleh Rasulullah SAW.

Artikel ini tersiar di Majalah Dewan Masyarakat Oktober 2007 dengan tajuk Aidilfitri: Kunjung mengunjungilah

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s