DERMA ORGAN: JARIAH YANG BERTERUSAN

Takziah Buat Keluarga Siti Salmah 

BAYANGKAN, setiap tahun negara memerlukan sehingga 1,200 buah pinggang, 700 kornea mata, 450 jantung dan 200 hati untuk dipindahkan kepada pesakit-pesakit yang memerlukan. Malangnya, disebabkan ketiadaan penderma, angka ini menjadi semakin meningkat dari setahun ke setahun.

Pemindahan organ adalah salah satu ikhtiar untuk pesakit-pesakit yang mengalami kegagalan organ. Si penderma, sama ada yang hidup atau yang telah meninggal dunia adalah suatu bentuk kebaktian yang tidak semua orang boleh melakukannya. Mereka memberi harapan baru kepada pesakit-pesakit seperti Muhammad Fikri Nor Azmi dan Tee Hui Yee.  

Amalan menderma organ telah lama dijelaskan oleh ulama kita melalui ijtihad mereka. Di Malaysia, lujnah fatwa Negeri Johor memutuskan bahawa hukumnya harus dalam keadaan darurat iaitu bagi menyelamatkan nyawa orang yang didermakan kepadanya, terutama yang ada hubungan nasab dan keluarga.

Boleh jadi mitos yang dikaitkan dengan pendermaan organ yang dikatakan bertentangan dengan ajaran agama ialah jika ia dilakukan tanpa tujuan sehingga menyakiti mayat tersebut. Oleh sebab itu, pemindahan itu perlu melalui beberapa syarat antaranya dilakukan dengan penuh disiplin ilmu, iman dan takwa, penghormatan yang sewajarnya kepada si mati mengikut hukum syarak serta tiada unsur-unsur penghinaan. Organ yang dipindahkan tidak boleh dijadikan barang dagangan untuk dijual beli.

Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyebut dalam fatwanya bahawa orang yang menderma sebahagian anggota badan adalah sama seperti bersedekah dengan harta. Malah harus dikeluarkan sama ada kepada orang Muslim dan bukan Muslim.

Andai mahu bersedekah dan sudah pun dipasakkan niat, tidak seharusnya dibimbangkan siapa penerimanya dan apa kegunaannya. Tak timbul lagi sama ada berkait dengan makanan haram dan halal dan percampuran darah. Sebaliknya membiarkan manusia sakit atau mati kerana keengganan menderma adalah satu keburukan dan dosa. Hujah bahawa memindah organ merupakan menyeksa mayat adalah tidak tersasar. Benar, jenazah mesti dihormati kerana ia merupakan maruah manusia tetapi membiarkan saudaranya terlentang mati tanpa simpati merupakan pekerti yang tiada sifat manusiawi.

Jangan biarkan mitos seperti itu menghalang kita daripada memberi ‘nyawa’ kepada orang lain. Mufti Perlis Sahibus Samahah Dr. Mohd Asri Zainul Abidin berkata bahawa perbezaan agama tidak sepatutnya menjadi penghalang kepada umat Islam untuk menderma organ kepada orang bukan Islam kerana tidak timbul pertikaian dari segi hukum mengenai perkara tersebut.

Sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku untuk Allah Tuhan sekalian alam. Itu ikrar kita di hadapan Tuhan setiap kali kita mengerjakan solat sebagai petanda kita bukan milik siapa-siapa. Kita milik Allah dan kepada Allah juga kita akan pulang.

Biarlah sebelum pulang, sebelum jenazah kita dikebumikan, sebelum jasad kita itu hancur dimamah oleh tanah eloklah kita sedekahkan kepada mereka yang memerlukan. Menyedekahkan kepada manusia tentulah jauh lebih baik sebagai jariah demi menyelamatkan manusia yang lain daripada kita membiarkan makhluk-makhluk tanah merosakkan tubuh kita hancur tak berguna. Moga-moga dapat juga menambah kebaikan sebelum dipanggil Tuhan.

Artikel ini disiarkan di Dewan Masyarakat Disember 2007. Gambar dari Utusan Malaysia 28 November 2007 di bawah artikel Siti Salmah Meninggal Dunia di IJN

Advertisements

4 thoughts on “DERMA ORGAN: JARIAH YANG BERTERUSAN

  1. Assalamualaikum saya tidak dapat hendak menolong cuma saya dapat menjual salah satu buah pinggang saya dengan harga berpatutan kerana saya perlu menyelesaikan hutang saya.kalau berminat sila email dgn segera..kepada yang amat memerlukan…saya berumur 37 lelaki sihat tubuh badan.beragama islam.

  2. Encik Zainul, salam ziarah,
    Niat itu lebih murni jika amalan itu diniatkan atas nama ibadah. Manalah tahu yang memerlukan itu mampu menambah pahala kita, selain mampu menyelesaikan hutang kita.

  3. Tahniah Shankar,
    Tuan medahului bicara! Kerana ada orang mendahului bicara daripada perbuatan.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s