OEDIPUS, DBP DAN KEMANDULAN MINDA

 

PADA satu senja, Oedipus menikam kedua-dua matanya sendiri. Darah mengalir laju membasahi pipi dan badannya. Dalam kesakitan yang tidak tertanggung, dia melangkah meninggalkan Kota Thebes, negara tercinta.

Tidak ramai yang tahu kenapa dia berbuat demikian. Adakah kewarasannya mulai pudar? Kisah Oedipus adalah sebuah tragedi dan perjalanan sebuah takdir yang ditentukan oleh para dewa.

Dewa-dewa yang bertakhta di Banjaran Olympus telah mentakdirkan perjalanan hidup Oedipus seperti itu – menjadi pemerintah di Kota Thebes dan akhirnya melangkah pergi dengan penuh kehinaan.

Oedipus telah membunuh ayahandanya, Raja Laius yang pernah menikam kakinya sewaktu masih bayi kerana para dewa meramalkan putera itu akan membunuh baginda sendiri.

Tidak ada tempat untuk si bayi di Thebes. Dengan darah mengucur deras, ia dicampak ke kawasan pergunungan. Namun, para dewa juga yang menentukan Oedipus untuk terus hidup.

Malah para dewa turut menentukan perkahwinan Oedipus dengan ibunya sendiri, Jocasta, suatu dosa moral dan penodaan terhadap nilai sosial yang tidak mungkin diampunkan.

Namun, dia hanyalah objek dan `patung’ yang ditentukan oleh kekuasaan tertinggi yang berada di tangan para dewa. Oedipus tidak berupaya membantah atau melawan takdir ke atasnya.

Naskhah karya Sophocles yang ditulis 2,400 tahun lalu itu sebenarnya sebuah simbol tentang pertembungan hegemoni dua kelompok dalam masyarakat Romawi iaitu rakyat biasa dan elit birokrasi.

Sesuatu yang cukup menarik mengenai naskhah tersebut ialah kebijaksanaan Sophocles mentafsir masa depan. Apa yang ditulis adalah tragedi dalam kehidupan masyarakat yang akan hidup dan terus hidup hingga ke hari ini.

Adakah isu terbaru mengenai ‘kemandulan minda’ yang dilemparkan terhadap Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah tragedi dalam masyarakat – kisah antara Oedipus dan para dewa dalam naskhah itu?

Ini cuma analogi. Dan, mungkin ia tidak terlalu tepat untuk dibuat andaian dalam isu kemandulan minda tetapi pemikiran Sophocles tentang tragedi Oedipus dan masa depan itu ada sedikit persamaan.

 

Adakah DBP benar-benar kehilangan idealisme dan mengalami kemandulan minda? Atau ia hanyalah Oedipus yang terpaksa bertatih keluar dari Thebes akibat takdir para dewa?

Misalnya, tentunya agak asing dan mungkin sebahagian besar daripada kita akan ketawa mendengar perkataan laman sesawang. Kalau laman web? Pastinya semua mengetahuinya dengan akrab.

Tahukah kita, laman sesawang merupakan istilah yang diperkenalkan oleh Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) untuk menggantikan perkataan homepage dalam bahasa Inggeris.

Namun, berapa ramaikah rakyat di negara ini yang menggunakan istilah itu? Sebaliknya, masyarakat kita hari ini cenderung menggunakan kata laman web dengan meluas kerana digunakan media.

Akhirnya, laman sesawang terkubur begitu sahaja. Ia senasib dengan dengan hampir sejuta istilah yang diciptakan oleh DBP berdasarkan kata asli dari rumpun Melayu atau serapan daripada bahasa asing.

Ini kerana segelintir masyarakat kita begitu mengutamakan bahasa Inggeris. Malah, beberapa istilah Inggeris dimelayukan dengan tambahan ‘i’. Misalnya, kondisi (keadaan), posisi (kedudukan) dan konklusi (kesimpulan).

Itu hanya peratusan yang amat kecil sebagai contoh yang cuba diperkenalkan oleh sang Oedipus. Ada usaha lain misalnya untuk menggunakan kata singkatan dengan bahasa Melayu teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) tetapi masyarakat tetap menggunakan ICT.

Terry Crowley dalam An Introduction to Historical Linguistics (1987) menulis pandangan yang menarik. Beliau berpendapat, sebahagian perbendaharaan kata setiap bahasa cenderung mengalami perubahan jika dibandingkan dengan lainnya.

Ini berarti ada kata yang dengan mudah digantikan oleh bentuk yang bukan kata kognitif. Ia mengandungi implikasi bahawa perubahan kosa kata ini berlaku sama pada semua bahasa.

Kosa kata inti mencakup kata ganti, kata bilangan, kata nama bahagian badan, dan kata yang merujuk ciri-ciri geografi dan alam sekitar.

“Penggantian kosa kata dasar (inti) dalam sesebuah bahasa lebih stabil dan berlaku sama pada semua bahasa dalam setiap kurun waktu tertentu,” tulis Crowley.

Namun, wajarkah kosa kata yang sudah berakar kuat dalam bahasa Melayu perlu diganti dengan kata serapan daripada bahasa asing semata-mata untuk menambah perbendaharaan kata.

DBP dalam hal ini juga adalah kisah sebuah takdir. Namun, kesilapan terbesar ialah agensi tidak cuba berpegang teguh pada prinsip sedang ia berhak untuk berbuat demikian dengan sedikit kuasa yang ada.

Menikam pedang ke mata hingga buta bukanlah pendekatan terbaik. Tindakan itu hanya meneruskan sebuah tragedi dan sekadar menurut takdir para dewa di Banjaran Olympus!

Artikel ini tulisan saudara Azman Ismail di Utusan malaysia 5 Disember 2007

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s