40 TAHUN: USIA LEWAT IBADAH?

 

SEMPENA kedatangan tahun baru 2008, soalan seperti ini mungkin keluar dalam benak kita; Benarkah kehidupan ini bermula pada usia 40 tahun? Apakah ia sekadar slogan pemanis mulut demi menutup kebimbangan diri akibat pertambahan usia dan penurunan fungsi organ tubuh serta penampilan diri? Sebenarnya tidak ada apa yang perlu kita bimbang. Usia bukanlah faktor penentu kesuksesan atau kebahagiaan seseorang.

Pertambahan usia tidak wajar mengurangkan semangat dan daya kerja kita. Andai berasa bimbang, bimbanglah kepada amal bakti kita. Apakah semakin bertambah usia kita makin berganda-ganda pahala kita dan apakah semakin dekat pula dengan syurga Allah?

Ibn Kathir mengaitkan pertambahan usia seseorang itu suatu yang sangat positif. Kata Ibn Kathir, usia 40 tahun itu usia mengukuhkan pendirian, panjang akal dan mudah faham dan bernas apabila berhujahDari satu sudut yang lain, ada benarnya ‘usia’ itu bermula dengan 40 kerana ada signifikannya dalam penciptaan manusia.

Sedar atau tidak angka 40 ini disebut oleh Nabi SAW dalam sebuah hadis. Sabda Nabi: “Setiap benih yang disenyawakan selepas 40 hari dalam rahim ibu akan didatangi malaikat. Malaikat itu berkata, wahai Tuhan, baikkah atau burukkah (kesudahannya)? Lelaki atau perempuankah? Kemudian Allah menjawab, tulislah dua perkara, tetap amalannya dan kesudahannya dan rezekinya kemudian sahifahnya ditutup. Tidak ditambah atau dikurang selepas itu.

Kemudian, sesudah kita lahir ke dunia, Nabi galakan pula kita beribadah. Lihat bagaimana angka 40 dikaitkan dengan galakan bermujahadah memperoleh istiqamah dan kemanisan beribadah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh al-Tirmizi, sabda Nabi SAW: “Barang siapa yang bersolat jemaah tanpa ketinggalan takbir yang pertama dibebaskan oleh Allah dua perkara; bebas daripada api neraka dan bebas daripada sifat munafik.”      

Pun begitu, dalam hadis yang lain Nabi SAW memberi peringatan pula perihal ibadah yang tidak diterima Tuhan selama 40 hari. Nabi SAW ketika itu menjawab pertanyaan Saad bin Abi Waqas mengenai petua berdoa agar diterima Tuhan. “Wahai Saad, makanlah makanan yang baik-baik kerana ia akan memakbulkan doa. Percayalah, dan aku bersumpah, siapa yang makan sesuap daripada makanan haram, Allah tidak akan menerima ibadahnya 40 hari. Selayaknya api nerakalah yang membakar daging yang tubuh daripada makanan haram itu.         

Mungkin ada benarnya usia 40 tahun itu menjadi titik peralihan kepada tempoh kematangan manusia. Buktinya, Nabi SAW sendiri diangkat menjadi Rasul ketika berusia 40 tahun. Walau bagaimanapun harus diingat, andai usia 40 tahun masih tidak bertemu titik taubat dan tiada usaha untuk membawa sebarang perubahan dalam diri kita, maka kita sebenarnya sudah menyediakan kesudahan yang sangat buruk. Dari al-Hassan, Nabi SAW bersabda: Barang siapa yang melewati usia 40 tahun, sedang amal kebaikannya tidak mendominasi kejahatannya, maka dia telah menyediakan dirinya ke neraka.” Hadis Riwayat Abu Ubaidah.

Benarlah kata Imam al-Qurtubi, usia 40 tahun itu sepatutnya mewajarkan kita untuk bermuhasabah; mengukur nikmat Allah dan bakti ibu bapa kepada kita. Katanya lagi, berdoalah dengan meminjam firman Tuhan yang bermaksud:

“Ya Tuhanku, tunjukilah aku untuk mensyukuri nikmat Engkau yang telah Engkau berikan kepadaku dan kepada ibu bapaku dan supaya aku dapat berbuat amal yang soleh yang Engkau reda; berilah kebaikan kepadaku dengan (memberi kebaikan) kepada anak cucuku. Sesungguhnya aku bertaubat kepada Engkau dan Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri.” Surah al-Ahqaf: 15

Artikel ini tersiar di Majalah Dewan Masyarakat Januari 2008 dalam ruangan agama. – Ibnu Ahmad al-Kurauwi

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s