KEADILAN ISLAM MELUMPUHKAN KOLONIALISME

 

KERANGKA keadilan dalam Islam tidak sedikit pun dipengaruhi oleh  ‘Timur’ mahupun ‘Barat’. Islam menekankan kesaksamaan dan bukan kesamaan mutlak seperti yang berlaku dalam falsafah sosialisme. Islam juga tidak serupa dengan kapitalis. Individu diberi kebebasan dalam Islam selagi tiada apa-apa konflik dengan kepentingan masyarakat sedang kapitalis memberi kebebasan penuh kepada individu. Keadilan dalam Islam ditakrifkan sebagai meletakkan sesuatu pada tempatnya yang hak.

Sebagai pemimpin menunaikan hak rakyat secara saksama walaupun berbeza fahaman dan agama memaknakan keadilan dalam Islam. Malah keadilan sudah bersifat universal dan menjadi keutamaan kepada setiap Muslim dan bukan Muslim, apatah lagi dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia hari ini.

Firman Allah SWT yang bermaksud “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanah kepada yang berhak menerimanya, dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum dalam kalangan manusia hendaklah kamu menetapkan dengan adil.” (Surah al-Nisa’ : 58)

Ketidakadilan yang dilakukan oleh sesetengah pemimpin Muslim kita berpunca daripada kejahilan mereka sendiri yang tunduk mengikut hawa nafsu. Akhirnya tindakan tersebut memberikan kesan yang negatif kepada golongan bukan Islam, lantas mereka mengaitkan Islam dengan fahaman ekstremis yang seolah-olah menghalalkan ketidakadilan yang berlaku.

 

Safiyyu al-Rahman al-Mubarakfuri dalam bukunya, al-Rahiq al-Makhtum (2006), menyatakan bahawa apabila Rasulullah SAW menerajui Madinah dan orang Islam menjadi majoriti penghuninya, penduduk minoriti bukan Islam tidak pernah diabaikan. Tindakan baginda yang berunsur kasih sayang adalah melebihi daripada tindakan kekerasan, malah mereka turut menerima hak yang sama rata dan layanan yang adil daripada baginda.

Penduduk Islam juga pernah menjadi minoriti di negara bukan Islam. Dalam sirah Islam, Rasulullah SAW pernah memerintahkan para sahabatnya berhijrah ke Habsyah untuk mencari perlindungan daripada fitnah dan penindasan musuh-musuh Islam di Mekah. Delegasi pertama yang terdiri daripada 16 orang sahabat dan lebih daripada 100 orang sahabat dalam kumpulan kedua diterima dengan baik oleh Asamah al-Najasyi, Raja Habsyah yang bukan beragama Islam, tetapi terkenal dengan keadilannya.

Sahabat Rasulullah SAW tetap menghormati undang-undang negara Habsyah walaupun pemerintahan negara itu berteraskan ajaran Kristian. Raja Habsyah telah memberikan perlindungan kepada Islam serta menolak tuntutan Quraisy agar para sahabat tersebut dikembalikan ke Mekah.

Memanglah untuk membentuk masyarakat majmuk mengikut acuan seperti itu agak sukar pada hari ini. Apatah lagi jika ia sebuah masyarakat majmuk yang berbilang bangsa dan agama. Perpaduan bukan boleh dibina dan direalisasikan dalam masa sehari dua. Tetapi bukan pula suatu yang mustahil untuk direalisasikan sekiranya konsep ‘meletakkan sesuatu kepada yang hak’ dapat difahami dan direalisasikan.

Hal demikian ini kerana, menurut John Sydenham Furnivall dalam bukunya, Colonial Policy and Practice (1948), mendakwa bahawa masyarakat majmuk adalah masyarakat yang secara hakikinya berkecenderungan untuk berkonflik dan melahirkan ketidakstabilan politik. Hal demikian ini kerana identiti masyarakat majmuk itu terdiri dari pelbagai ras serta mempunyai perbezaan budaya dan agama; maka untuk menstabilkan masyarakat ini satu kuasa dari luar’ perlu diserap untuk menguruskan pentadbiran negara. Kuasa luar tersebut dikenali sebagai kolonialisme. 

Dalam konteks takrifan John Sydenham ini, konsep kuasa kolonial kononnya dianggap sebagai penyelamat dan mampu meluruskan segala kepincangan yang berlaku.  Walau bagaimanapun secara logik, ia akan mewujudkan konsep dasar ‘pecah dan perintah’ (divide and rule), bukan sahaja terhadap kestabilan ekonomi, malah sekularisasi agama turut menjadi agenda bobrok mereka.

Keadilan dalam Islam bukanlah menolak langsung hak-hak ketuanan dan keistimewaan majoriti peribuminya yang diraih sekian lama. Bahkan tidak juga bermaksud menafikan hak-hak golongan minoriti yang mendiami di dalamnya. Hari ini pelbagai perubahan dan usaha-usaha ke arah mengukuhkan keadilan sedang giat dilaksanakan. Baik kerajaan Pusat, mahupun kerajaan negeri sedang merangka berbagai-bagai cadangan dan gagasan agar ketelusan dan keadilan dapat dilaksanakan.

Jangan biarkan fahaman kolonialisme ini membunuh toleransi dan memecahbelahkan perpaduan yang sedia terbina dan dipertahankan sekian lama. Kelak, yang kaya akan semakin kaya dan yang miskin akan terus miskin. Dasar-dasar negara untuk mendekatkan jurang antara kaum tidak akan mampu dicapai.

Fahaman kolonialisme sudah pasti akan menolak keadilan dan liberalisme dalam Islam. Sebagai pemimpin, jauhilah segala bentuk-bentuk diskriminasi kerana keadilan itu seperti memakai minyak wangi. Walaupun dicalit sedikit, baunya jauh semerbak malah tidak diketahui siapa si pemakainya. Rasulullah SAW pernah bersabda yang bermaksud: “ Semua makhluk ialah hamba Allah, dan orang yang paling disayangi Allah SWT ialah orang yang melayan hamba-Nya dengan baik.” Hadis riwayat al-Baihaqi.

Kolonialisme secara tidak langsung akan menafikan keadilan Islam di bumi majoriti ini, bahkan mencemarkan Islam dengan jelingan yang sumbang di mata mereka. Ia akan meminimumkan sumbangan Islam yang sepatutnya diberi tanggungjawab yang lebih besar dalam hal yang berkaitan dengan integrasi kaum.

Pada umumnya keadilan yang bijak perlu dipertahankan tanpa sebarang kompromi. Oleh itu, setiap individu perlu mempertahankan kemakmuran negara dengan memberikan sokongan penuh terhadap para pemimpin yang menegakkan kebenaran dan keadilan. Jika ini yang berlaku maka, pastilah Allah akan turunkan keberkatan dari langit seperti firman-Nya yang bermaksud “Dan sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka segala keberkatan dari langit dan bumi”. (Surah al-‘A’raf: 96

Artikel ini disiarkan di Majalah Dewan Masyarakat Mei 2008 di ruangan agama dengan tajuk Keadilan. – al-Kurauwi

 

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s