KEPEZI DI UTUSAN MALAYSIA

 

NOVEL sama seperti genre-genre kreatif lain, merupakan wadah yang digunakan oleh penulis bagi mengisahkan tentang pelbagai tema serta jalan cerita sama ada ia rekaan atau benar-benar berlaku dalam kehidupan seharian. Oleh itu, tema yang diketengahkan rencam sifatnya. Industri yang saling berkait rapat dengan dunia perniagaan misalnya merupakan antara subjek yang sering diutarakan menerusi novel seiring dengan perjalanan sesebuah cerita yang dikisahkan.

Meskipun sesebuah industri itu bersifat kecil ataupun sederhana tetapi ia banyak memainkan peranannya dalam mengembangkan lagi watak-watak dalam sesebuah novel tersebut.

Malah, paling menarik apabila subjek tentang dunia industri yang cukup luas cakupannya itu secara tidak langsung telah diketengahkan menerusi 14 novel terbaru terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).

Karya-karya tersebut ialah Menuju Puncak, Desir Angin Di Pergunungan, Ketika Embun Menitis, Aroma Hati, Kasih Bertaut, Meniti Batas, Menggapai Puncak, Tinta Elipsis, Mencari Teduh Di Kuala, Kirana, Di Sebalik Mentari Jingga, Air Mata Ibu, Tirani dan Lagukan Senandung Itu.

Menggapai Puncak karya Razali Endun misalnya, mengetengahkan tentang industri pengangkutan yang membabitkan bas mini dan feri di mana ia banyak membantu mengembangkan penceritaan novel itu.

Watak Ujang yang digambarkan sebagai anak kampung yang tidak mempunyai pendidikan tinggi terpaksa meninggalkan kampung halamannya untuk mencuba nasib di rantau orang.

Menurut Razali, terdapat banyak unsur imbasan semula dalam mewarnai perjalanan cerita Ujang yang menaruh hati terhadap Milah tetapi ia tidak mengaburi penghayataan pembaca.

“Apa yang cuba saya ketengahkan dalam novel ini antara lain berdasarkan pengalaman saya sewaktu terbabit dalam industri pengangkutan membabitkan bas mini suatu ketika dulu.

“Semua itu saya garap bagi menguatkan lagi jalan cerita dan watak Ujang dalam usahanya untuk menggapai cita-cita dalam hidupnya itu,” katanya ketika ditemui di DBP, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Novel Kasih Bertaut karya Zamidah Hashim bukan setakat memaparkan pertautan kasih sayang dan dilema hubungan suami isteri tetapi beliau turut menyelitkan tentang perjalanan industri makanan kesihatan jenama Orang Kampung (OK).

Jenama OK mungkin cuma sekadar suatu produk industri yang diketengahkan tetapi intipati perjalanan cerita yang melatari novel itu lebih kepada watak tuan punya jenama tersebut.

Zamidah menggunakan perjalanan pengalaman sebenar pengusaha jenama OK iaitu Manggar Hanif sebagai tonggak cerita yang menggambarkan tentang jatuh bangun usahawan itu dalam bidang perniagaan.

“Hampir 80 peratus daripada jalan cerita ini merupakan kisah benar Manggar. Saya minta kebenaran daripadanya yang merupakan orang kampung saya di Teluk Mas, Melaka. Dia memberi kebenaran kepada saya menggunakan serba sedikit tentang pengalamannya itu,” ujarnya.

Biarpun Kasih Bertaut menyerlahkan perniagaan OK yang antara lain mengeluarkan produk minuman herba Tongkat Ali tetapi konflik watak utama novel ini dengan isterinya merupakan persoalan utama yang cuba dipaparkan.

Selain industri pengangkutan dan makanan, Noor Hanisah Othman pula cuba merungkai di sebalik kepayahan watak Wafa yang mengharungi kepayahan mengusahakan pusat bimbingan kanak-kanak menerusi novel berjudul Menuju Puncak.

“Pusat bimbingan kanak-kanak yang diusahakan Wafa itu cuma sekadar subjek atau simbolik sahaja, sebaliknya falsafah tentang kesungguhan demi mengejar kejayaan yang tidak pernah berakhir merupakan tema novel itu,” katanya.

Sementara itu, Ibnu Ahmad Al Kurauwi menerusi novelnya yang berjudul Tinta Elipsis pula memaparkan tentang industri penerbitan seperti buku sekolah dan majalah.

Kesibukan watak Amir menerusi novel itu dalam tugasannya dalam bidang penerbitan telah mencetuskan sedikit masalah daripada segi pembahagian masa bersama isterinya.

Kata Ibnu Ahmad atau nama sebenarnya, Azman Ahmad, 60 peratus daripada jalan cerita Tinta Elipsis merupakan pengalamannya sendiri dalam dunia penerbitan, manakala selebihnya berdasarkan cerita imaginasinya sendiri.

“Amir digambarkan sebagai seorang yang kuat bekerja di mana sikapnya itu akhirnya menjerumuskannya dalam suatu dilema. Hinggalah pada penghujung novel ini, dia membuat satu keputusan.

“Sebab itu, saya gunakan judul novel ini sebagai elipsis yang bermaksud tiga noktah (…) di mana ia menggambar seperti suatu teka-teki,” ujarnya.

Kesemua 14 Novel itu akan dilancarkan di DBP pada 7 Jun ini di mana ia bakal disempurnakan oleh Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said.

Sumber berita oleh Abd. Aziz Itar pada hari Isnin 26 Mei 2008 dengan tajuk ‘Sektor Industri dalam Novel Terbaru DBP’ – al-Kurauwi

 

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s