AL-KURAUWI DI DEWAN MASYARAKAT

masjidil-haram

SUDAH lama saya tidak menulis di Dewan Masyarakat. Alhamdulillah, bulan November, artikel saya keluar. Jemput membaca ‘Kasih Rasulullah’ sempena bulan Zulkaedah ini. Tajuk artikel ini asalnya ialah ‘Haji Al-Wadak, Pesan Kasih Rasulullah’ atau boleh dibaca di bawah ini – al-Kurauwi

CINTA kita kepada manusia sering diukur dan dilambangkan dengan nombor atau peratus. Maka tersipu-sipulah seorang kekasih apabila dibisikkan bahawa cintanya 100%. Seorang isteri akan membunga bahagianya apabila si suami berjanji cintanya hanya milik isteri 110%. Malah kekukuhan sebuah cinta sering dibandingkan dengan kehebatan cinta Uda dengan Dara, Romeo dengan Juliet dan lain-lain. Kita bagai terlupa cinta besar Rasulullah SAW kepada umatnya, sedang Baginda tidak pernah, bertemu dan kenal pun kita!

Kasih Nabi kepada umat, kasih agung sepanjang hayat. Walaupun nyawa baginda di hujung sakarat, cinta Baginda kepada kita didakap hingga ke akhirat. Cuba teliti apa kata Nabi dalam Khutbah Wadak; khutbah terakhir yang telah disampaikan oleh Baginda sebelum wafat. Bersaksikan lembah Uranah, di atas bukit Arafah itu Nabi luahkan pesan agar kita memperoleh kasih Baginda.

“Wahai manusia, seperti mana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, maka anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikanlah harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemilik yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapa pun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhnya kamu akan menemui Tuhan dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu…”

Lihat, mesej kasih sayang Nabi sangat kental dalam mukadimah Baginda itu. Sebelum mencintai Nabi, kasihi dahulu sesama manusia. Mana mungkin mulut memuji sedang tangan dan kaki menyakiti saudara sendiri. Bertambah malanglah kita, andai amanah yang diberi dijarah dan ditunggangi tanpa simpati. Kemudian Nabi menyambung pesan lagi.

“Allah telah mengharamkan riba, oleh itu segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang. Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara yang besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutnya dalam perkara-perkara kecil …”

Hati-hati kata Nabi, sebelum mencintai Baginda, bersihkan dahulu jasad daripada perkara yang syubhah apatah lagi yang terang-terang mazmumah. Segeralah bertaubat andai bersekongkol dengan syaitan yang dilaknat. Terasa pesan Nabi mudah, namun melaksananya susah. Sabda Nabi lagi.

“Wahai manusia, sebagaimana kamu mempunyai hak ke atas isteri kamu mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak untuk diberi makan dan pakaian dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang tidak kamu sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina …”

Nah, kali ini, Nabi terang-terang menyebut ungkapan kasih sayang. Kasih sayang itu pula harus diungkap dalam sebuah rumah tangga. Dengan lain perkataan, sebelum mencintai Nabi, jangan abaikan tanggungjawab terhadap keluarga. Keadilan untuk isteri, ketaatan yang benar dari seorang isteri serta tanggungjawab jujur suami isteri dalam mengatur rumah tangga akan memandu kita memiliki kasih Nabi. Dengar apa kata Nabi lagi.

“Dirikanlah solat lima kali sehari, berpuasalah di bulan Ramadan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah Haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali lebih takwa dan amal solehnya. Ingatlah, bahawa kamu akan bertemu Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan atas apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku …”

Persoalannya, bolehkah kita mencintai Nabi, tetapi pada masa yang sama kita menolak apa yang diperintah oleh Allah dan Rasul-Nya terutama dalam soal ibadah. Apakah kita layak membandingkan cinta Allah kepada Nabi Habibullah; kekasih Allah, yang sudah teruji kesetiaannya!

Andai benar kita mencintai Nabi, apakah kecintaan kita sudah teruji? Sedangkan al-Quran sangat sedikit dibacakan, sedang sunah Nabi kadang-kadang kita kesampingkan. Dan apakah boleh dinamakan cinta tanpa ada pengorbanan? Di sinilah kita perlu tepuk dada bertanya kepada iman! Benar kata Abu Bakar al-Siddiq ketika menenangkan amarah Umara al-Khattab sebaik mendengar kewafatan Nabi. Andai kita menyembah Muhammad, Baginda akan wafat, tetapi andai kita menyembah Allah, Dialah Tuhan yang hidup lagi tiada penamat. Seolah-olah kata Nabi, cintailah aku seperti cintanya kekasihku iaitu Allah SWT.

Advertisements

One thought on “AL-KURAUWI DI DEWAN MASYARAKAT

  1. Saya tertarik dengan foto hiasan. Sedih apabila mengenangkan akan datang nanti, Mekah hanya menguntungkan orang kaya sahaja. Orang bawahan layak tinggal jauh-jauh sahaja.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s