DIA, LELAKI YANG BARU SAYA SALAM ITU

dia-lelaki

TAPAK tangan lelaki yang baru saya salam tadi terasa membekas lembap. Dinginnya bagai melekat di telapak tangan saya. Usai solat Jumaat tadi, bukan saya sahaja yang berkerumun bersalam-salaman dengan lelaki itu, bahkan ramai juga jemaah yang menyelit-nyelit tubuh menghulurkan tangan. Lagaknya bagai seorang selebriti. Saat bersalam, saya pandang wajahnya yang masih bersisa air mata, sedang tubuhnya sedikit condong merendah diri. Saya turut terdorong merendah diri dan sebak.

Ah, biasanya, belum sempat habis zikir lagi, saya sudah gocoh-gopoh melangkah bahu jemaah. Bongkok-bongkok saya keluar buru-buru menyondol pintu belakang bak memikul sekantung pahala yang berat terbeban. Dahlah acap lewat; kadang-kadang di hujung-hujung khutbah, barulah saya datang. Sentiasa pula awal-awal mahu mendahului orang bila pulang. Pun tidaklah kerana cepat-cepat mahu masuk semula ke tempat kerja, tetapi melangkah seberang jalan dek berebut tempat duduk di gerai mamak betul-betul bawah di pohon ketapang, semata-mata mengisi perut dengan ABC atau cendol, sambil mengecek sebatang dua rokok kawan-kawan seangkatan.

Lama sudah saya memata-matai lelaki itu dari jauh sebelum tergerak hati untuk menyentuh tangannya. Saat menyandar tubuh ke dinding mencari lena, saya suka memandang tubuhnya yang kecil dengan janggutnya yang pandak itu. Jauh daripada muda berbanding usia saya. Saya meneka, barangkali usianya dalam pertengahan 30-an. Di atas mimbar itu, kadang-kadang saya lihat dia berjubah dan kadang-kadang segak memakai sepasang baju Melayu; lengkap bersamping dan bersongkok hitam. Walaupun bacaannya lancar, sebutannya jelas, telinga saya sahaja yang kadang-kadang dengar dan kadang-kadang samar, dek terangguk-angguk condong ke depan, kiri dan kanan terbabas. Yang pasti, saya dapat teka lenggok bahasanya. Kalau saya kerap terbabas, pastilah teks khutbahnya itu teks JAWI. Kalau teks buat sendiri tidaklah saya sempat bermimpi.

Dua kali sebulan saya akan mendengar lelaki itu membaca khutbah bergilir dengan regunya. Dengar bisik-bisik kawan-kawan, dia imam masjid di bangunan setinggi 6 tingkat ini. Uniknya masjid ini duduk di tingkat atas sekali. Entah mengapa bangunan ini kosong dari aras bawah hingga ke atas tiada berpenghuni. Bimbang juga terserempak jin atau pontianak yang beranak-pinak tumpang lif sekali. Oleh sebab, inilah masjid yang paling dekat dengan premis kerja, nak tak nak, suka atau tidak, saya berkunjung juga seminggu sekali. Dia barangkali tidak kenal saya. Ah, mana mungkin wajah-wajah hampir tiga ratus jemaah yang hadir boleh dikenalinya seorang demi seorang. Lebih baik lelaki tersebut tidak kenal saya dek kerap tidur sewaktu mendengar khutbah. Tambahan pula, pendingin hawanya cukup jadi sebab untuk saya tidur nyenyak.

Hari ini, entah mengapa, lelaki yang baru saya salam itu, suaranya menyentuh hati saya setelah diramu dengan doa yang mendayu-rayu. Bukan tak pernah saya dengar suara khatib itu. Tapi kali ini, hati saya rasa lain. Jemaah pun rasa lain. Saya perhatikan jemaah di kiri dan kanan turut tunduk sama mengadu-rayu. Terpaku tubuh saya menunggu. Kata lelaki itu: Dia mahu Tuhan selamatkan saudara-saudara Muslimin di Palestin daripada kerakusan tentera Yahudi. Dia mahu Tuhan pecah-belah, cerai-berai, hancur-leburkan Zionis Yahudi. Dia mahu Tuhan turunkan anjing-anjing agar membaham semua Yahudi yang zalim itu. Mujur juga doanya dalam bahasa Melayu, faham juga isi maknanya.

Kerana faham itulah saya menangis. Saya tak pernah menangis semasa berdoa, sungguh! Kali terakhir menangis pun waktu saya temani isteri tengok cerita Hindustan yang sentiasa jadi koleksinya itu. Entah mana datangnya, dalam pada berdoa, saya teringatkan anak-anak saya yang barangkali sebaya dengan anak-anak kecil yang syahid menelan muntahan mortar, peluru dan bom yang menjaring bumi Gaza yang kering itu. Tidak dapat saya bayangkan jika musibah seperti itu jatuh ke kepala saya. Hiba kembang dan mengapung di dada saya sedang insaf membuak-buak terasa menggelegak di telapak tangan saya.

Saya yang menangis tersedu-sedu itu kerana terbayangkan kepala seorang anak kecil terpamer dalam muka pertama akhbar baru-baru ni. Imejnya jatuh dalam tadahan doa saya. Tak sanggup saya melihat darah memerah di permukaan tanah sedang seluruh tubuhnya terbenam dalam bumi di celah-celah runtuhan rumah. Tersayat hati saya dek bedak debu yang comot menempek di wajahnya, manakala rambutnya kembang berlumpur tanah, tetapi comel pada matanya yang pejam lena bagai sedang nyenyak bermimpi indah. Selepas ini, anak itu akan tidur lebih lama tanpa perlu resah atau berkeluh-kesah dek bimbang dihujani musibah.

Sebelum itu, saya juga menangis menggugu-gugu semasa solat. Entah, apakah kerana suara imamnya yang mendayu-rayu sewaktu membaca ayat-ayat yang menyebut tentang kebencian kaum Yahudi dan Nasrani kepada umat Islam atau kerana Qunut Nazilah di akhir rakaat yang mendoakan bantuan dan keselamatan kepada saudara-saudara Islam kami itu di Palestin. Saya rasa, dalam banyak-banyak solat, inilah solat saya yang paling khusyuk, selain solat dua hari raya. Ya, inilah solat saya yang paling seronok dan terasa paling pendek dalam sejarah hidup saya.

Bagai dipukau, saya langsung tak kisah menurut sahaja arahan lelaki itu agar menambah pula solat hajat berjemaah. Semangat meluap-luap dan simpati berpeti-peti menyebabkan saya ikut sahaja segala perintah sedang hayat saya tak rajin pun solat hajat. Bab-bab solat sunat ni tak rajin saya buat melainkan solat Tarawih semata. Itu pun minggu pertama sahaja. Mujur juga diingatkan dahulu kaifiatnya; mohon rakaat pertama dibaca surah al-Kafirun, rakaat kedua dibaca surah al-Ikhlas tiga kali, tiga kali. Walaupun sekali, tak sempat juga surah al-Kafirun itu saya menyudahkannya dek tak terjumpa lakum dinukum itu. Saya langsung tak baca surah al-Ikhlas dek tak jumpa pangkal ayat. Yang selalu saya baca surah Qulhuwallahu Ahad, tidak rajin pula mendengar surah al-ikhlas. Tapi saya tak kisah, yang penting di akhir solat saya dapat sujud berdoa berlama-lama. Rasanya lebih lama daripada lelaki itu.

Satu lagi yang saya suka dengar ialah khutbah Jumaatnya. Kali ini, lain daripada yang lain. Sebelum ini, haram saya faham. Ah, mana mungkin saya faham, sebab tak terakam ke telinga saya dek ketiduran. Sebab suka, saya dengar khutbahnya sampai habis. Bukan saya seorang sahaja, saya lihat jemaah di kiri kanan saya, hatta depan dan belakang ramai yang tidak berkelip-kelip memandang. Mujur khutbahnya pendek tidak berjela-jela seperti selalu. Saya tak pasti, sama ada lelaki itu memang khutbahnya berjela-jela atau memang saya sebelum ini, panjang berlena-lena.

Saya tengok mukanya merah-merah dek semangat membaca khutbah langsung menenggelamkan kulitnya yang cerah. Sekali-sekali dihentaknya tongkat kayu di tangan kirinya. Urat tengkuknya tegang. Mata lelaki itu bulat sekali menunduk dan sekali memandang ke arah jemaah. Barangkali mahu menjerkah andai ada kepala yang tertunduk-tunduk bak ayam kena sembelih. Saya capahkan telinga dan jegilkan mata, bimbang juga dibalingnya tongkat itu ke muka saya, saat terpejam biji mata. Suaranya memang jelas ke telinga saya, bahkan tidak terlepas walau satu kalimah.

Pada awalnya saya sudah nak mula terpejam-pejam mencari lena apabila lelaki itu mula bercerita tanggungjawab Amar Makruf Nahi Mungkar saya kepada rejim Israel. Manalah saya mampu, songeh saya dalam hati. Nak ukur amalan pun malu. Amal dahlah sikit – mujur ada Jumaat, kalau tidak rindu-rinduanlah saya melihat mimbar masjid sebelum menunggu raya tahun depannya pula baru bersua – inikan pula nak suruh orang buat baik. Nak larang orang jangan buat mungkar pun saya tak berani, sebab saya dua kali lima sahaja. Bila difikirkan, meremang bulu tengkuk saya sebab terasa makin lama saya hidup, makin dekat dengan neraka, bukan dekat dengan syurga.

Dia kata boleh. Saya tak senang duduk. Macam mana nak perang Israel sedang Pak Arab di kelilingnya pun tak boleh buat apa-apa. PBB, OIC dan Liga Arab pun tak boleh buat apa-apa. Kalau jiran buat tak tahu, jiran yang jauh lagi tak mampu nak angkat senjata lawan Israel macam Hizbullah lawan. Dia macam faham apa yang saya kata. Jangan harap kuasa yang tidak ada di tangan. Ukur kepada kuasa dan kemampuan. Rupanya mencegah mungkar ni, tidak seperti yang saya faham. Tidak semesti lawan dengan senjata. Semua orang ada tanggungjawab bukan untuk puak-puak agama sahaja. Kalau mampu sikit, katanya buat sikit.

Saya bertambah faham, apabila lelaki itu bercerita mengenai kisah burung pipit dengan syaitan. Burung pipit nak padamkan api yang sedang marak membakar Nabi Ibrahim dengan paruhnya yang kecil. Melihat air yang sedikit yang dibawa oleh paruhnya menyebabkan syaitan gelak besar. Mana mungkin paruhnya yang kecil itu boleh memadamkan unggun api Namrud yang besar. Saya teruja dengar jawapan pipit bahawa kerja memadamkan api itu ialah kerja Tuhan. Tuhan nanti bertanya bukan kerana api itu padam atau tidak. Kerana yang lebih penting ialah ikhtiar burung pipit itu membantu Nabi Ibrahim. Esok, Tuhan tak tanya kita, siapa yang menang dan siapa yang kalah, tapi Tuhan tanya esok, apa yang kita buat, bila saudara Islam dibunuh dengan kejam di Palestin.

Saya tahu, lelaki itu mahu saya menzahirkan marah saya kepada PBB yang jadi boneka Amerika dan Yahudi. Lelaki itu marah kepada OIC yang sekadar memeluk tubuh di atas kerusi memerhati. Berapi-api telinga saya mendengar waktu lelaki itu marah kepada Liga Arab yang sedang berebut tempat mesyuarat sedang rakyat Palestin hidup merempat. Lelaki itu berteriak marah kepada orang yang berdemonstrasi mencolok langit dengan sepanduk dan membasah memorandum dengan tinta merah sambil berarak ke Kedutaan Amerika. Katanya, mengapa tidak dibawa sebaldi air seorang pakat-pakat simbah ke kedutaan Arab supaya tenggelam dek berselimut, tanpa tindakan apa-apa menyelamatkan jiran mereka yang bersaudara. Hati batu saya yang lama diam, telinga saya yang tuli kematu, mengangguk-angguk faham.

Lelaki itu mahu saya boikot barang-barang Amerika dan barang-barang Yahudi yang masih tak reti-reti bersimpati dengan Gaza. Lelaki itu mahu saya boikot barang- barang-barang Yahudi yang masih tak henti-henti menzalimi, bagai tak punya hati. Dia mahu saya tidak lagi menjilat jari dek laparkan ayam goreng KFC. Dia mahu saya tidak lagi berahi dek roti gebu McDonald yang sumbangannya masuk ke dana Yahudi. Tertelan lidah saya bila lelaki itu suruh saya berhenti menyokong produk Amerika. Dia mahu saya tidak lagi ketagih Dunhill, Benson & Hedges atau Marlboro.

Lelaki itu bukan sahaja meninggalkan bekas tangannya yang dingin dan lembap ke telapak tangan saya, malah doanya, solatnya dan cerita lelaki yang baru saya salam itu membekas di dada saya, bagai terkepung dalam kepala saya sehinggalah saya pulang meninggalkan seberkas wang dalam sebuah tabung bertulis ‘Tabung NSTP untuk Gaza’ di pintu keluar. Betul, saya tidak pernah menderma. Malah saya tidak peduli lagi keping-keping dalam beg duit saya yang sudah kosong ditelan oleh tabung itu. Bukan itu sahaja, selera saya pun mati untuk menjamah cendol atau ABC. Entah apa anginnya, saya rasa mual. Kepala saya pening. Saya rasa nak termuntah apabila tercium bau rokok yang berselisih angin dengan jemaah yang berpusu-pusu keluar dari masjid itu.

Sepetang saya jadi mabuk dek terlantun-lantun pesan lelaki yang baru saya salam itu di lohong telinga. Terlupa langsung saya kepada janji mahu meraikan hari jadi anak saya yang sulung. Mujur isteri tolong ingatkan. Itu pun setelah keningnya berkerut menanti saya selesai solat Isyak terlebih dahulu. Malamnya saya dengan selera tawar gagahkan diri juga keluar lalu memilih ke Jaya Jusco yang baharu dibina di Taman Keramat, harap-harap dapat mengelak tercium bau ayam KFC atau roti gebu dan kentang goreng McDonald. Mujur juga mereka mahu mendengar setelah berkeras bersilat menolak pujukan isteri yang mahu saya membawa anak-anak ke Carrefour Wangsa Maju atau pasar besar Tesco di Kajang.

Dalam pada saya mencari-cari kedai makan yang saya berkenan mahu juga saya mengelak-elak restoran yang sudah saya boikot itu. Malangnya, terserempak juga mereka. Akhirnya saya tewas diseret kehendak isteri dan anak-anak yang sudah tersihir lama dengan aroma ayam KFC atau roti gebu McDonald itu. Saya rasa seperti manusia yang kalah perang. Jenuh saya bersilat, berahi pula mereka menjilat. Walaupun saya tidak berselera, mereka tetap meninggalkan saya walaupun perut saya sebenarnya sedang menjerit-jerit meminta-minta. Harap-harap saya tidak terserempak dengan lelaki yang saya salam tangannya tengah hari tadi. Saya malu nak makan. Saya biarkan mereka lahap meratah ayam goreng, sedang saya termanggu di atas kerusi panjang di luar restoran segera itu.

Menyesal saya memilih bertandang ke Jaya Jusco yang serba indah dengan lampu-limpah, ruang-ruang makanan segera dan ruang jualan yang dikelompokkan pada satu sudut itu. Sebut sahaja apa yang mahu semuanya ada. Dari Barat hingga ke Timur, macam-macam ada. Saya bertambah kecewa kerana restoran segera di situ penuh dengan pelanggan yang muka-muka di dalamnya macam muka saya. Saya geleng kepala. Sejak saya bersalam dengan lelaki tengah hari itu, saya sudah pandai geleng kepala.

Sibuk melayan perasaan, saya melihat seorang lelaki yang berjarak 50 meter dari tempat duduk saya berkali-kali melambai-lambaikan tangannya. Saya membiarkan sahaja gamitan itu. Lama memerhati baru saya sedar, lelaki yang sedang duduk di luar restoran McDonald itu menggamit tangannya ke arah saya. Di tangannya ada dua bekas polistirena putih berisi makanan. Saya bingkas menapak menuju ke arah lelaki itu. Semakin dekat saya melangkah, baru saya perasan tampang tubuh lelaki itu. Ya Allah dia, lelaki yang saya baru salam itu! Hati saya tiba-tiba sebak membuak-buak.

Advertisements

11 thoughts on “DIA, LELAKI YANG BARU SAYA SALAM ITU

  1. Sdr., Ahmad al Kurauwi
    Cerpen yang menarik menyentuh tentang betapa keimanan kita teruji setelah kita berhadapan dengan dunia sebenar. Tapi dalam banyak hal tindakan memboikot bukanlah salah satu cara yang efektif. Tindakan Johorcorp dibawah Dato’ Ali Hashim lebih bijak dengan membeli KFC dan menjadikannya milik Bumiputera. Dalam satu persidangan di Johor tahun lepas Dato’ Ali menyatakan bahawa perniagaan baginya adalah jihad. Kalau perlu dia akan membeli dan menguasai KFC di Amerika sekali pun, supaya kita tidak berasa was-was untuk makan di mana-mana KFC di dunia ini. Kalau tak silap saya KFC di Kemboja ( atau Vietnam) juga telah dikuasi oleh Johorcorp.

  2. Sebuah cerpen yang unik:

    1. Jalan cerita yang bercorak naratif yang sesuai dipadankan dengan tajuk: DIA, LELAKI YANG BARU SAYA SALAM ITU.

    2. Tiada unsur dialog / monolog. Menjadikan cerpen ini bergerak pada landasan yang tersendiri.

    3. Tema yang sesuai dengan isu semasa, namun semakin dikelamkan dengan isu politik tempatan yang menjadikan isu Palestin semakin sunyi.

    4. Ramai orang “tahu” dan terperangkap dengan pengetahuan sendiri. Misalnya dalam konteks ini, dia tahu bagaimana untuk memboikot barangan Isreal. Tapi cabaran yang menjadikan dia sukar untuk mengatasinya.

    5. Cerpen ini diakhiri dengan lambaian “dia” yang memandang dari jauh. Seakan-akan memberi makna sinis kepada watak utama. Menjadikan dia malu dengan bayang-bayang sendiri.

    SYABAS dan TAHNIAH!

  3. HIMPUNAN GABUNGAN PENDIDIK & NGO – ESOK

    Tarikh : 17 Februari 2009 (Selasa)

    Masa : 9.00 pagi

    Tempat : Berkumpul di pintu masuk Parlimen

    Agenda : Penyerahan Memorandum kepada ahli Parlimen untuk membantah Pengajaran dan Pembelajaran Sains & Matematik dalam Bahasa Inggeris (PPSMI). Keterangan lanjut terdapat di blog Gerakan Mansuh PPSMI (GMP).

    Semua dijemput hadir beramai-ramai…..

    http://gerakanmansuhkanppsmi.blogspot.com/2009/02/ayuh-berhimpun-di-parlimen.html

  4. Salam. Pada mulanya membaca cerpen ini dalam akhbar Berita Minggu, saya sedikit pelik sebab ganti nama “saya” digunakan. Setelah membaca keseluruhannya barulah saya faham. Mungkin wajar difikirkan penerbitan antologi cerpen staf DBP selepas ini…

  5. Assalamualaikum,

    Membalas kunjungan saudara Ahmad al Kurauwi. Sebuah cerpen yang menarik. Ternyata saudara juga mempunyai bakat dalam bidang penulisan. Setiap penulis mempunyai gayanya yang tersendiri. Tetapi lebih menarik jika cerpen ini disulam dengan dialog. Itu cuma pandangan saya.

    Saya tertarik dengan permulaan cerpen ini.

    TAPAK tangan lelaki yang baru saya salam tadi terasa membekas lembap. Dinginnya bagai melekat di telapak tangan saya.

  6. Assalamualaikum,

    Membalas kunjungan saudara Ahmad al Kurauwi. Sebuah cerpen yang menarik. Ternyata saudara juga mempunyai bakat dalam bidang penulisan. Setiap penulis mempunyai gayanya yang tersendiri. Tetapi lebih menarik jika cerpen ini disulam dengan dialog. Itu cuma pandangan saya.

    Saya tertarik dengan permulaan cerpen ini.

    TAPAK tangan lelaki yang baru saya salam tadi terasa membekas lembap. Dinginnya bagai melekat di telapak tangan saya.

  7. Salam,
    Lama sungguh tak menjenguk di sini. Entah kenapa tiba-tiba hari ni tergerak untuk menziarahi kawan lama.
    Kisah yang ustaz paparkan ini sungguh menarik. Syabas! Itulah juga dialog yang bermain di fikiran saya minggu lepas.
    Walaupun saya ‘tidak bersalam’ dengan lelaki itu :(, tetapi, minggu lepas, pulang dari program di USM tika hampir jam 10 malam, barulah saya teringat yang susu anak dah habis. Lauk dah habis. Sayur dah habis. Mahu tak mahu, tanpa dipaksa-paksa oleh anak-anak, terpaksa juga saya melangkah ke Tesco kerana hanya itu sahaja ‘kedai’ yang masih dibuka selepas jam 10 malam dan mempunyai serba-serbi selain memikirkan bahawa tempat itulah yang selamat untuk saya… seroang ibu tunggal… membeli belah di waktu malam seorang diri…

  8. salam kanda ustaz yang dimuliakan. tahniah!
    membaca cerpen begini, kita rasa santai dan tenang.
    dalam masa sama berfikir – melantun jua kepada diri.
    ren teringat cerpen ren 2006, Bukan Stanza Cinta – cara begitu.

    salam hormat.

  9. salam tahniah, saya terikut sebak membaca cerpin saudara, mungkin ada yang terkena kot… apapun saudara berjaya menyakinkan pembaca… tahniah

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s