BERTEMU CHENG HO (1)

Cheng Ho

SAYA bertemu lelaki yang membahasakan dirinya Cheng Ho, sebelum kami bersetuju untuk bergerak sama ke Melaka. Saya membayangkan kulitnya putih dan tubuhnya besar kerana suhu gunung yang tentulah dingin dan nyaman. Dia merencana untuk turun ke lembah setelah lama bersemayam di pergunungan. Katanya mahu bertemu sida-sida lama sambil menikmati kepesatan bumi Melaka yang suatu ketika dahulu pernah dikunjunginya. Kami berjanji untuk bertemu setelah saya mempelawa untuk tinggal di teratak buruk saya di Keramat.

Kami bertemu di LRT Setiawangsa saat gerimis mendinginkan senja. Penat tidak menghalang lelaki bertubuh ‘sasa’ – tepat seperti yang saya sangka – menyapa sebuah pertemuan. Di bibirnya tidak henti-henti memuji-muja pergunungan yang dingin sambil merungut terhadap sistem pengangkutan awam di lembah yang lelah dan renyah. Rungutannya hilang apabila kami singgah di sebuah masjid menyempurnakan solat maghrib.

Di teratak buruk yang hangat itu, sudah saya tinggalkan pesan kepada isteri supaya tidak menyediakan makan malam, bimbang tidak kena dengan selera. Usai Isyak, kami berjalan keluar yang jaraknya hanya beberapa tapak ke sebuah gerai di tepi jalan memilih hidangan yang berselera tekak menelan. Perbualan kami tidak habis di gerai makan malah panjang hingga ke larut malam, itupun saat mengantuk sudah tidak berupaya ditahan-tahan.

Esoknya kami ke Melaka sambil bersulam bicara dengan pandangan dan gagasan tentang penulis masa hadapan sepanjang-panjang perjalanan. Langsung ke Melaka, kami singgah di Bandar Hilir sementelah perkampungan di Puteri Resort belum waktu pendaftaran. Entah apa yang mendorong lelaki yang berbahasa dirinya Cheng Ho ini dipukau pesona melihat sebuah rumah yang dikatakan oleh pemiliknya Muzium Budaya Cheng Ho.

Cheng Ho (1)

Saya melihat lelaki ini berdiri penuh takjub melihat bagaimana pintu gerbang tersebut masih kukuh berdiri, walhal sudah ribuan tahun ditelan hari. Tidak banyak yang dapat saya katakan melainkan menuntun sahaja langkahnya daripada belakang. Yang pasti, banyak yang saya belajar daripada lelaki yang berbahasa dirinya Cheng Ho ini daripada apa yang kami temui sendiri menerusi pemudah cara yang mengiringi kami dalam muzium  itu seperti wayang pendek, catatan perjalanan dan gambar-gambar tentang Cheng Ho, keluarga angkatnya, khazanah-khazanah yang ditemui sewaktu meninggalkan jejaknya di bumi Melaka ini, artifak-artifak dan juga teknologi yang dibawa. Yang paling menarik apabila lelaki ini turut mendakwa bahawa ada seorang lagi lelaki yang dinamai juga Cheng Ho. Dia berjanji untuk memperkenalkan kepada saya. Nantilah saya akan coretkan. – al-Kurauwi.

6 thoughts on “BERTEMU CHENG HO (1)

  1. salam kanda ustaz. sayangnya ren tidak dapat sama dengan kanda dan cheng ho itu. tentu kita akan mengulangi bibit pertemuan sebelum ini; di PD dan seremban.

  2. Ya Ren,
    Rugi sangatlah Ren tak bersama-sama dengan kami di majlis PPMN09. Kanda kira lebih daripada 10 kali nama Ren dan SF disebut, baik dalam ucapan mahupun pembentangan termasuklah dalam kertas kerja Kanda sendiri.

  3. Ho… Ho… Ho… Teringat perigi Cheng Ho… Tapi yang paling kasihan dengan Cheng Ho itu apabila dia sanggup di’kasi’kan… Pengalaman yang mengujakan, menyelusuri sejarah – membangkitkan semangat untuk menulis dan juga belajar agama secara tidak lansung sepanjang jalan.

  4. Ya, ada satu yang selalu kita sebut sepanjang PPMN09, ialah ke mana menghilangnya Rendra. Barangkali, boleh Ren jelaskan nanti.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s