DARI KALBU TURUN KE KALBU

Cerpen DKTK

PENANTIAN itu mereningkan bisul duka bersulam wajah kesedihan dalam celoreng jiwa yang pecah gelisah. Bukan sehari kalbu diseksa menunggu. Penantian itu bukan sekadar memamah hari, malah turut melapah tubuh kecilnya kering di ranjang dek sebuah harapan yang lompang. Sehari menanti bagai melayah anak busur menikam kalbu. Kalbu mama dan baba seakan papan sasar yang sudah berlubang-lubang ditusuk busur hari. Kalbu Nabila; si gadis kecil itu bak menanti tarikh degup berhenti.

Jiwa mama dan baba bergetar dalam bungkam yang mencengkam daging dan tulang-temulang. Pohon sabar bagai lalang di pantai tengkujuh sedang akarnya sudah lama terjeruk dalam laut kasih. Belum pernah kering air mata mama dek terbayang mulut lahad yang menengadah ke langit hitam. Bila-bila sahaja akan menelan sekujur jasad kering itu.

“Selagi ada hayat, kamilah kalbumu.” Nabila angguk, mengerti cinta baba yang melampaui simpati. Rasa bersalah melihat air wajah baba yang tua dengan musibah.

“Lengan mama akan sentiasa jadi bantalmu. Hangat tubuh mama akan jadi selimut legamu.” Nabila senyum tawar memujuk kocak ombak di gelas kalbu yang retak. Mama tidak pernah kalah menyiram benih sabar tatkala gerhana itu.

“Bertahanlah sayang, selagi jantung kami berdegup kencang, selaut kasih akan kami empang, segunung ikhtiar akan kami topang.” Tertumpah air mata Nabila mendengar korban cinta tanpa syarat itu.

Bagi Nabila, bicara mama dan baba bukan talkin kematian, tetapi mantera penyambung nyawa. Walau bagaimanapun, jauh di sudut hati, Tuhan tidak akan mensia-siakan doanya setiap detik selagi belum termaktub saat keizinan-Nya.

“Tuhan tidak pernah mengabaikan permintaan.” Pujuk Doktor Salina setiap kali mencium resah di mendung wajah mama dan baba. Wanita itu telah berkorban segala-galanya. Cintanya sudah menjadi sebahagian daripada kalbu kami.

“Tuhan tidak sekali-kali zalim, sayang. Tuhan yang menciptakan hidup dan mati untuk menguji siapa antara kita yang sebaik-baik amal bakti. Ujian Tuhan tanda kasih. Ujian Tuhan mengikis segala dosa, mengurnia piala syurga dan mengangkat darjat seorang hamba.” Dingin tangannya mengusap lunak bahu Nabila.

“Ah, doktor kardiologi itu sudah lama membedah jantungku dengan agama, juga jantung mama dan baba. Kalau tidak, masakan jantung mekanikal itu melekat dan bertahan dalam tubuh ini.” Kalbu Nabila berbisik sambil menggenggam lemah tangan doktor itu. Tangan yang turut membedah segala yang karut-marut, menyanggah segala pantang larang yang bersawang lama di hati mama dan baba.

“Nabila, doa kita sudah dimakbul Tuhan. Ada insan yang memberi harapan. Berbudi tetapi tidak mahu dikenali apatah lagi dipuja-puji.” Petang yang mendung itu mulut doktor itu pecah membawa pesan gembira. Mata Nabila berkaca-kaca hiba.

Setelah 667 hari memacak bendera setia, doktor itu membawa sejambak bahagia mewangi ke telinga. Namun riak bimbang bergelombang dalam mata mama. Peta resah tiba-tiba melorek ke wajah baba.

“Apakah derita Abila harus dibiarkan terus dijeruk oleh takdir. Izinkan Abila mencuba, mama. Tidak sanggup lagi Abila bergantung harap di uncang nyawa dengan jantung mekanikal ini. Andai sudah di loh Tuhan jantung Abila berhenti berdenyut, Abila rela, baba,” jerih Nabila membekam sebak memujuk ikhtiar terakhir itu di tangan Doktor Salina.

Bismillahi Syafi, Bismillahi Kafi, Bismillahi Mua’fi.
Dengan zikrullah tenanglah kalbu.
Setenang Nabi Ayub mengharungi liku.
Benarlah apa yang berlaku sudah ditentu.
Hanya kepada-Mu jua tempat kami mengadu.

Doa itu bersalut hiba merengsa mata dan hidung dek merelakan sekujur tubuh bertarung. Dalam bilik bedah itu, malu langsung tersejat dari wajah. Di mata dan di hati mereka menangis. Kristal jernih itu bukan kerana menyalahi Tuhan, jauh sekali menyesali ketentuan, tetapi sekadar menyongsong fitrah mengikut hati yang gundah.

Tubuhnya ditinggal kaku terkejang dalam dingin menanti pembedahan. Nabila sudah tidak peduli diperlakukan bagai bahan uji oleh pegawai perubatan berjubah biru itu. Getar bilik dan bunyian alat silang-menyilang menyentuh segala hening. Bau pengenyah kuman yang mengepung bilik itu begitu meloyakan.

Tiba-tiba, entah bagaimana datangnya tenaga, entah lena entah jaga, Nabila bagai ditarik oleh sejalur cahaya. Jasadnya menerobos ke sebuah bilik pembedahan. Dia melihat sekujur jasad seorang pemuda terbujur di perbaringan.

Kerut di anjung wajah lelaki itu, terakam kedut seribu yang melambangkan jumlah kesakitan yang jitu. Mantera sumpah seranah dilaung-laungkan bagai membius kesakitan. Suara itu benar-benar menyula telinganya. Kekuatan yang bersisa di rencong nazak itu tidak mampu memberikan nyawa dek segala keperitan yang terpanggang. Bahkan suara jerit lelaki itu bagai tersendat di dadanya tidak sampai ke tenggorok. Mungkin kerana itu suaranya tidak terlantun ke telinga mereka.

“Siapa penderma ini?” Suara wanita yang cukup dikenali itu menyentuh gegendang telinganya. Sebahagian wajahnya tidak kelihatan. Malah seragam hijau itu memisahkan jantina lelaki dan wanita di sekelilingnya.

“Pemuda ini berusia 19 tahun. Darah, berat badan, dan ketinggian hampir menyamai dengan Nabila. Sudah dua hari koma akibat kemalangan. Pendarahan serius di otak.” Jelas seorang doktor di kepala katil.

“Mari kita mulakan!” Arahan Doktor Salina itu mematikan bicara.
Sekonyong-konyong jantung pemuda itu merengsa. Jerit sakit melawan tajam pisau di tangan wanita itu. “Ya Allah, apakah ini malaikat maut? Apakah ini Mungkar Nakir? Tolong, jangan, tidak, tolong, aku tidak mahu mati!” Jeritnya panjang. Menyedari suaranya tidak berupaya menghalang usaha itu, pemuda itu cuba menggerakkan tangan dan kakinya. Namun, tangan dan kaki itu bagaikan melekat di gelang katil. Tenaganya sifar. Langsung tidak terangkat.

“Tolonglah, jangan dirodok jantung ini. Siapa yang memberi izin pembedahan ini? Bukankah jantung ini masih berdenyut?” Lelaki itu cuba merayu nama ibu penuh ricu. Memanggil nama ayah dengan segala payah. Menyeru nama Tuhan penuh sesalan. Sesal dek bebal mengikut suara muda, sesal dek amal yang buta haram dan halal.

Sebaik pisau kecil itu menyentuh kulit jantungnya ngilu mengancing gigi Nabila. Kecil pisau itu menghiris lembut kulit. Dari kulit menghiris daging. Dari daging menampakkan degup jantung. Darah pantas disedut keluar. Jantung lelaki itu mula lumpuh dan motor yang menggerakkan nafasnya seakan-akan kehilangan kuasa. Tersekat-sekat. Rongga dalamannya bagaikan tertusuk tulang rusuk silang-menyilang.

Sesaat itu dia kembali merasai jasad keringnya. Nafas Nabila tiba-tiba sahaja sesak. Jantungnya bagai disentuh orang. Upaya tubuhnya tidak mampu berbuat apa-apa. Dan ketika itu dia tidak lagi sedar apa-apa.

Nabila hanya sedar apabila dingin menggigit tubuhnya. Dingin bagaikan penjara. Meihat ke luar jendela kelambu hitam tunda-menunda di perabung langit. Sebaik jasadnya di bawa masuk ke dalam bilik bedah dingin itu serakah memeluk rongga jasadnya yang terdedah. Kesemutan mula menyengat di hujung kaki merebak ke seluruh jasadnya sedikit demi sedikit. Senyar pula merengsa setiap sendi tulang.

“Siapa penderma kali ini?” Suara wanita itu serak. Matanya merah di balik kaca tebal itu. Indera Nabila menangkap bimbang dan kecewa di balik suara itu. Cemas tidak mampu disembunyikan dari gerak bahasa tubuh doktor itu. Namun sebaik menatap wajah gadis Tionghoa itu, garis-garis penat yang mengelar wajahnya hilang.

“Gadis ini berusia 19 tahun. Hampir sebulan koma dipercayai akibat demam denggi. Mengikut catatan ini, baru dua bulan memeluk Islam. Namanya Kalbu!” Jeda seketika. Penjelasan Doktor lelaki itu bagai menghentikan denyut nafas.

“Mari kita mulakan. Harap jantungnya berfungsi dengan baik” Doktor Salina kembali menyarung jubah hijau. Pembantunya segera memakaikan sarung tangan, penutup mulut dan kepala.

“Sayang sekali, walaupun pembedahan pemindahan pertama berjaya, tetapi daya tahan dan sistem imun Nabila menolak jantung baru itu.” Dr. Azhari memandang wajah Nabila penuh simpati.

“Sehebat mana sains pun, kita tidak dapat memindahkan gerak nadi dan degup jantungnya. Itu kerja Tuhan. Dia yang menentukan. Tentu ada hikmah mengapa jantung itu menolak.” Doktor Salina menyejuk rasa. Yang baik hanya untuk insan yang baik-baik juga. Bisik hatinya dalam diam.

Entah mimpi entah ilusi, di mata Nabila dia melihat cahaya jernih menakung mata gadis itu. Gadis itu melorek senyum panjang tanpa hiba mahupun cela. Di telinga Nabila dia mendengar kalbunya berbicara.

“Inilah jariahku untukmu. Mohon penebus dosaku. Islamku terlalu mentah. Putik nyawa disambar guruh dan gugur sebelum nikmat iman ranum dalam jagaan Tuhan. Mungkin sudah ditetapkan dalam ketentuan Tuhan. Baik buatku belum tentu baik di sisi Tuhan. Buruk, pada sangkaku belum tentu buruk dalam ilmu Tuhan. Wahai Tuhan, andai kalbu ini baik buat siapa jua yang menerimanya, maka kurniakanlah kebaikan dan kemanfaatan. Andai sebaliknya, maka jauhkanlah kami daripadanya, dan pastilah Engkau akan gantikan segala kurnia kebaikan itu di mana jua ia berada. Ya Allah jadikanlah kami orang yang reda dengan pemberian itu.” Gadis bernama Kalbu itu mengukir senyuman setelah berbisik sebuah syahadah.

Kalbu meletakkan telunjuknya ke dada dan mengisyaratkan tegak ke kalbu Nabila. Sebaik jantungnya dipindahkan inderanya kehilangan berfungsi perlahan-lahan. Peluh bukan sahaja mereneh di dahi luasnya malah lenjum menyerap sut hospitalnya itu. Nabila melihat aura merah tubuhnya bagai disedut sesuatu. Bermula dari kaki hinggalah hilang keluar daripada umbun-umbunnya. Darah menggelegak di uncang jantung bagaikan disentap berkocak-kocak.

Sehari, dua hari, tiga hari itu kalbunya buat pertama kali dipeluk damai. Ya, sejak pemindahan itu. Sayangnya damai itu tidak menempias jagat luar yang hangat. Resah gelisah merusuh di jiwa baba dan mama. Nafas baba dan nafas mama bagai di serang selesema teruk dek melihat turun naik dada Nabila yang berterusan menghirup alat ventilator itu. Redup mata mama sayu menatap titis air dari salur tabungan yang berselirat masuk ke dalam kulit. Titis jernih kasih turut mengelar pipi mama.

“Abila, bangunlah, mama datang ni!” Tangan mama menyentuh wajah, mengusap rambut Nabila penuh kasih.

“Baba rindukan senyumanmu nak, senyumlah sayang!” Jerihnya sambil melihat erita ini bak pedang halilintar yang membelah sepasang sayap kasih.

“Abila, bangunlah, mama datang ni. Pandanglah wajah mama! Memandang wajah mama akan mengendurkan sakit Abila nanti.” Masih tidak ada tindak balas. Hanya kelopak mata Nabila berombak-ombak kecil.

Ah, Nabila tahu namanya disebut. Naluri anak pastinya tersentuh dengan panggilan suara kasih. Baba dapat rasa. Dia tahu itu. Mama senyum hiba sambil menyeka kelopak matanya yang berair. Mama dan baba tidak sanggup merompak lena Abila. Barangkali Nabila sudah lama tidak bermimpi yang indah-indah.

“Nabila bernasib baik kerana badannya memberikan tindak balas positif terhadap jantung kedua. Saya akan memantau keadaannya untuk tempoh empat hingga lima hari lagi sebelum boleh dipindahkan ke wad biasa sekiranya tiada apa-apa masalah.” Doktor Salina meredakan kegusaran. Bagai mengalih sebongkah batu di jemala.

“Doktor, apakah penolakan organ masih boleh berlaku.” Kerut bimbang di dahi mama dan baba mengukir wajah tua lewat usia.

“Setakat ini, Nabila tidak menunjukkan sebarang tanda penolakan terhadap jantung baru itu. Dia perlu bergantung kepada ubat immunosuppressants supaya badannya tidak menolak jantung baru yang dipindahkan kepadanya.” Mama dan baba cuba menelan faham walaupun pahit dirasakan.

“Nabila perlu mengambil ubat tersebut sepanjang hayat. Jika tidak, kemungkinan badan Nabila menolak organ baru itu adalah tinggi. Walaupun Nabila berasa seperti sudah sihat sepenuhnya, dia masih perlu memakan ubat tersebut.” Kepuasan jelas terpamer di wajah doktor muda itu.

Wad unit rawatan rapi itu dihingarkan oleh jerit mesin penyambung hayat dan perakam rima jantung bertali arus. Monitor elektrokardiograf hanya melukis garis hidup tinggi rendah dengan satu bunyi yang pasti akan bertemu penghujungnya. Mama dan baba tahu itu. Syukur berjela-jela basah dalam zikir, memuji kepada Tuhan Pencipta.
Di antara sela-sela ratib syukur Nabila bagai terdengar bisik gadis Tionghoa itu.

Kalau kau menjadi kalbuku
Berdeguplah dengan kalbu Mutmainnah
Jangan kauempangkan darah dengan kalbu amarah
Biar denyut nadimu membilang zikrullah
Agar degup jantungku mengepam sakinah
Wahai kalbu berdenyutlah zikir Tuhan-Mu.
Lagukanlah rinduku dari sukma bisu,
Mengalir dari Kalbu turun ke kalbu.

Akhbar Mingguan Malaysia, 10 Februari 2008

12 thoughts on “DARI KALBU TURUN KE KALBU

  1. salam…

    baru saya sedar sejak bila saya menjejek blog ni, sejak cerpen ni tersiar dan ada alamat. saya agak lembab dalam arus sastera dan baru tahu rupanya cerpen ni amat bernilai… tahniah ustaz.

    saya juga cuba menulis… terlalu merangkak, macam tak kemana. tetapi yg menariknya, jika pengajaran dari karya kita dapat dihayati.

    -nurrunnur-

  2. Teruskan perjuangan suci ustaz menerapkan nilai Islam dalam dunia sastera tanah air………………Silalah beri saya pedoman dan panduan wahai pejuang bahasa……………

  3. Nurrunnur,
    Salam Ziarah lagi. Cadangan saya, belajarlah menulis. Rajin-rajin mencari ruang untuk belajar menulis. Ilmu menulis tidak turun dari langit tetapi akan terbit dari hati.

  4. Terima kasih Ilham,
    Sering membaca karya-karya saudara di dada akhbar. Moga saudara juga berjaya. Saya lebih melihat kemenangan dari sudut meraih ramai kenalan.

  5. Salam Ustaz, Hebat sekali terlalu puitis hinggakan perlu dibaca berulang kali bagi memahami maksud tersirat.Bila masanya ustaz selalu dapat ilham menulis?

  6. Umairah,
    Salam ziarah. Umairah pernah dengar debat di TV antara pelajar sains dan pelajar sastera. Kononnya sastera ini untuk kelas bawah sedang sains kelas atas? Umairah sendiri sudah membuktikan bahawa sastera adalah kelas atas untuk yang bijak dan pandai mentaakul. Percayalah, ilham ini kurnia Allah.

  7. salam ziarah ustaz. walau ini kali pertama saya bertandang ke sini, ada suatu keistimewaan saya temui.mohon beri sedikit taujihat bagaimana mahu benar-benar melihat sastera daripada kacamata seorang yang sedang ingin perjuangkan Islam dan juga sekaligus kesedaran untuk menggabung jalin lapangan bidang lain juga dalam penulisannya? terima kasih. salam hormat.

  8. Saudara Tinta Qubnani,
    Harus memandang sastera bukan lagi untuk golongan rambut panjang atau penjiwang-penjiwang atau kelas rendah yang tidak mampu membilang nombor atau menilai lambang-lambang tertentu.

    Sastera adalah cabang dakwah. Alim ulama kita, baik tradisi mahupun kontemporari memilih sastera sebagai citra peribadi selain menguasai al-Quran dan sunnah Rasulullah.

    Seorang rakan, dalam bulan Ramadan membaca gurindam dalam tazkirahnya. Sangat menarik! Saya memilih sastera dengan harapan dibaca oleh pelbagai bangsa dan agama. Bukankah itu tugas kita? Oleh itu, pilihlah metod dakwah yang paling dekat dengan jiwa saudara.

  9. Zaidel,
    Terima kasih atas ingatan. Abang Ghafar kata, biar lambat tetapi lama yakni ingatannya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s