ii
Apa khabar hai si tasik kalbu?
Aku masih seekor ikan yang kembali menguak
mencari diri di takungan lopak
setelah kutinggalkan
tasik sunyi yang keruh melumpur peribadi.
Semalam hujan rahmat mengapungkan keladak nafsu
menyucikan daki yang berlumut di jemala batu.
Aku masih seekor ikan, kini kembali berenang
menghela nafas hidayah panjang dan dalam
kerana kolam iman sudah menuras jernih maksiat hitam.
Apa khabar hai sepasang tangan?
Degup rima nadi, selirat urat bersalut daging
bertemu di hujung kuku membilang kematian.
Kulit rapuh memegang tulang,
kuku yang tumbuh dan patah bersilang
baktinya nanti ditanyai Tuhan.
Jangan biarkan amanah digenggam telapak kiri
sedang kanan menyembunyi khianat di celahan jari.
Basuhlah jari sepuluh dengan air iman.
Seluklah bakti luruskan bertelunjuk kualiti.
Agar tangan kanan menyumbang budi
sedang tangan kiri tidak menyedari
mata memandang tidak jatuh riak di kolam hati.
Apa khabar hai sepasang kaki?
Masih gagahkah menopang tubuh mendaki?
Kita pengembara teraba-raba merentas gelap rimba dan gunung-ganang
Ada kaki serigala berbulu rimba menghidu peluang.
Sebelum melangkah membebat matlamat
qiyam bersedakap kiblat dengan fardu dan sunat.
Sebelum lutut menjadi haus dan urat kembang berselirat
sebelum langkah kembali sumbang tergelincir di titian sirat
selagi bintang berkerlipan bulan mengambang jadikanlah kiblat.
Di hadapan jalan yang lurus tentu banyak duri dan simpang.
Sesekali sesudah melangkah pandanglah belakang.
Sejarah menunjang akar diri
Kompas di atas memeta kalbu tidak akan kehilangan paksi.
Assalamualaikum.
Tahniah Ustaz, selamat menjadi penyair.
Oh. Ranum bahasa yang bertemalikan kerendahan hati berpaksikan hikmah yang tinggi. Moga kita semua dapat berpaut di atas cahaya imani.
Salam sastera.
Salam ziarah, Muziru,
Mari kita sama-sama belajar menulis. Menulis dengan kalbu. Agar Dari Kalbu Turun ke Kalbu.
Anda sekarang semakin puitis dan puitis!
Oh sahabatku, Zul,
Sudahkah kita hari ini, lebih baik daripada semalam?
Salam ukhwah.
Terima kasih atas pelawaan saudara. Mohon tunjuk ajar saudara dalam usaha saya mempertahankan kebenaran agama di bawah bayu penulisan.
al-Akh Muziru,
Saya sangat berbangga dengan anak muda seperti adik. Dalam usia yang sangat muda, adik mernguasai bahasa, kuat membaca dan berinteraksi dalam blog dengan bahasa yang baik. Ada mendahului sebahagian besar penulis sekarang ketika usia remaja mereka. Teruskan menulis.
Terima kasih sahabatku Syaidul,
Mohon berikan sedikit tunjuk ajar.
Maaflah, komen Syaidul masuk dalam spam, tak perasan.