CERPEN DI TUNAS CIPTA

KALI terakhir cerpen saya tersiar di Tunas Cipta ialah pada Jun 2006 berjudul “Agresi di Genting Sakarat“. Cerpen ini  mengisahkan pergerakan alam bawah sedar mantan Perdana Menteri Israel, Ariel Sharon saat-saat dicabut nyawa oleh  Mungkar Nakir. Cerpen ini mendapat komen yang baik oleh  SM Zakir dalam Tunas Cipta pada bulan Julai berikutnya. Baca di sini.

Empat tahun berikutnya,  cerpen saya “Blogger Kecil Dari Syurga” menjengah semula Tunas Cipta, keluaran Jun 2010. Semacam ada kebetulan apabila kemunculan semula cerpen ini yang bukan sahaja bertembung pada bulannya, malah turut mengangkat tema cerita yang sama; iaitu mengangkat isu perjuangan rakyat Palestin membebaskan buminya daripada Israel.

Kebetulan itu ditemui lagi dari sudut bagaimana kisah ini dilakarkan. Cerpen “Agresi di Genting Sakarat” dan cerpen “Blogger Kecil Dari Syurga” ialah fiksyen Realisme Magis Islami – kalau boleh saya gunakan istilah ini – yang mengangkat kisah-kisah alam ghaib yang ‘real’ berasaskan al-Quran dan hadis Nabi seperti mempercayai adanya soal jawab Mungkar Nakir dan kisah-kisah di dalam syurga. 

Apapun istilah atau teori yang mahu diberi kepada cerpen atau novel genre seperti ini, kita serahkan kepada mereka yang pakar. Terima kasih juga kepada  editor kerana memberi kepercayaan, tahniah atas kulit yang cantik dan kreatif.  Tuan-puan dijemput membaca “Blogger Kecil Dari Syurga” di Tunas Cipta Jun 2010 ini.  Jemput juga membaca karya penulis lain Amiza Khusyri – Sejadah, Kholid Hamzah – Tanah Kampung Kami dan Seharum Kesturi – Normah Abdullah. Segala pandangan balas atau komen yang diberi, saya dahulukan dengan ucapan terima kasih. – al-Kurauwi

8 thoughts on “CERPEN DI TUNAS CIPTA

  1. Salam,

    Ust yang baik. Menamakan Realisme Magis itu Islami samalah seperti menamakan judi itu Islami. Judi Islami tidak halal, seperti juga Realisme Magis Islami. Baca sahaja tentang Realisme Magis kita tahu manusia yang meyakininya memang sesat. Benda haram kita tak boleh bagi tag Islam padanya. Maaf, kalau saya bercakap langsung. Niat saya baik supaya kekeliruan ini tidak berlarutan

    Betul kata ust, ‘apapun istilah atau teori yang mahu diberi kepada cerpen atau novel genre seperti ini, kita serahkan kepada mereka yang pakar’.

    Wassalam

  2. Tuan Faisal yang budiman,
    “Baca sahaja tentang Realisme Magis kita tahu manusia yang meyakininya memang sesat. Benda haram kita tak boleh bagi tag Islam padanya.”

    Pandangan yang menarik tentang ‘Realisme Magis’, terima kasih atas suluhan. Sedang membaca karya-karya penulis Malaysia yang didakwa karya mereka ‘Realisme Magis’

    Tuan Faisal, ust yang baik boleh sahaja menerima cakap yang langsung-langsung. Terima kasih atas kunjungan. Ziarahlah selalu.

  3. Assalamualaikum kepada Ustaz Azman dan Tuan Haji Faisal.

    Secara jujur kalian berdua adalah sosok yang saya kagumi dan hormati secara peribadi. Semoga kita dirahmati Allah sentiasa.

    Daripada perbincangan di atas, saya mendapati bahawa secara jelas, model atau teori bagi sebuah gagasan Sastera Islam masih tidak ada sehingga hari ini, jikapun ada masih ramai yang tidak mahu menerimanya.

    Sasterawan Negara Dato’ Dr Shahnon Ahmad, Dr Syafie Abu Bakar, Ali Ahmad, S. Othman Kelantan, Mohd Afandi Hassan dan beberapa nama lagi pernah mendefinisikan Sastera Islam mengikut pandangan mereka masing-masing. Namun sekali lagi kita dapati definisi Sastera Islam masih kabur kerana tiada sumber dan dasar yang tuntas.

    Sekadar cadangan dari saya yang daif ini, jika berpeluang mungkin kita boleh duduk semeja dan berbincang (lebih kepada saya ingin belajar daripada ustaz dan tuan haji sebenarnya) mengenai satu gagasan yang mampu menjadi role-model Sastera Islami, merujuk kepada al-Quran dan hadis sendiri insya-Allah.

    Manfaatnya utamanya adalah kepada para penulis dan bakal penulis yang beragama Islam, mereka sebenar-benar mahu menulis sesuatu yang ‘Islam’ namun terus lemas dalam teknik dan teori yang dicipta oleh profesor-profesor dan cendekiawan sastera dari barat.

    Ustaz Azman dan Tuan Haji Faisal adalah individu yang tepat bagi memulakannya insya-Allah.

    Salam hormat dari saya,

    Wassalam.

  4. Tuan Zahiruddin,
    Pandangan yang baik. Apa kata kita jemput Tuan Faisal ke PTS dan kita libatkan editor-editor yang menangani karya-karya Islami supaya diterangkan tentang kerangka teori sastera supaya tidaklah berlaku ‘kekeliruan yang berlarutan’

  5. Insya-Allah ustaz, akan diusahakan. Mohon ustaz juga menjadi salah seorang yang terlibat.

    Ana sedang memikirkan secara serius bagi mengumpulkan beberapa nama seperti Ustaz Zaid Akhtar, Ustaz Amiza Khyusri, Puan Nisah Haron, Dr Mawar Shafie dan beberapa nama lagi. Namun ana juga yakin diri yang pucuk ini tidak akan mampu meyakinkan nama-nama besar di luar sana.

    Dengan itu, bantuan ustaz amat diperlukan insya-Allah =).

  6. Tuan Zahiruddin,

    Yang molek kita julang,
    Yang buruk elok dibuang.

    Daripada seorang elok berdua,
    berfikir baik, tandanya cendekia.
    bermesyuarah mudahkan usaha.
    Usaha dan tawakal, niat mulia
    mohon jua kepada yang esa.
    dipermudahkan hendaknya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s