KETUMBIT DI HATI

MENGIKUT Kamus Dewan ketumbit ialah bintil atau tembel pada mata. Sudah sebulan mata kanan ni tumbuh ketumbit. Mata putih kadang-kadang kemerahan. Pedih sesekali. Mata berat lagi penat. Teringat kata ibu, mata tumbuh ketumbit sebab mengintai anak dara orang. Ada juga yang kata, sebab mengintai orang buang air besar.😦

Bukan, bukan! Mata berketumbit ini bukan sebab itu.  Tidak ada kena mengena dengan tabiat mengintai. Semalam sudah ke klinik. Kata doktor, bintil mata kanan ini bukanlah ketumbit tetapi membengkak disebabkan saluran darah tersumbat. Lega mendengar suara lembut doktor yang memujuk segala kebimbangan. Tuam dengan tuala yang suam, katanya. Sehari tiga kali, tambahnya lagi. Doktor wanita itu kemudian mencadangkan Chloramphenicol Eye Ointment untuk disapu, juga tiga kali sehari. Habis RM35. Pujuknya RM15 dan ubatnya RM20.

Aduh, kalau tumbuh ketumbit atau mata bengkak semua orang nampak. Biarpun kecil. Tetapi ketumbit di hati, siapa yang tahu? Walaupun kecil, pedih, merah, tak selesa namun segala-galanya biarlah kubawa ketumbit hati itu hingga ke mati. – al-Kurauwi

4 thoughts on “KETUMBIT DI HATI

  1. salam kanda ustaz. semoga kanda cepat sembuh. mata ren pun dua tiga hari ini rasa penat, kelat; nampak urat merah di mata kanan. yang pernah dibedah dahulu, mata kiri. kepada ustaz, harap ketumbit di hati itu seiring sembuh ketumbit di mata.

  2. Salam adinda Rendra,
    Ketumbit di mata tumbuh kerana banyak hal yang mahu diuruskan segera. Semuanya segera. Ketumbit di hati tumbuh juga kerana semuanya mahu dipaksakan dengan segera, tetapi hasilnya tidak seperti yang diharapkan😦

  3. Salam kanda ustaz,

    Janganlah dibenarkan ketumbit itu membinasakan agam silaturahmi. Takut juga dinda ketumbit yang sekecil itu, yang sepatutnya sehari dua sembuh menjadi nanah memudaratkan diri semua orang.

    Insya-Allah ada ubatnya ketumbit itu, dengan sedikit sabar dan pemahaman dan komunikasi yang jitu. Ketumbit tersebut akan perlahan-lahan surut dan akhirnya tercerna hikmah yang sangat indah.

    Dinda yakin, di sebalik sebiji ketumbit yang menyakitkan itu ada beribu malah berjuta kenikmatan daripada sang pencipta, Allahu Rabbul Jalil.

    Janganlah serik ya, kanda ustaz?😉

  4. Adinda Zahiruddin yang dikasihi,
    Salam dari kejauhan daerah sesawang ini, namun tidk pernah jauh mendekatkan silaturahmi.

    Adapun ketumbit di mata, masih tetap ia di kanan mata. Entah berapa lama lagi ia mahu beraja di situ. Tidaklah kanda tahu.

    Manakala ketumbit di hati, tidaklah lama tumbuhnya. Telah kanda tungkukan dengan seketul batu iman, telah kanda dinginkan dengan titis embun takwa di hujung rerumput. Telah kanda muluskan dengan senyuman. Benarlah bak kata adinda, sebutir ketumbit itu telah membutirkan nikmat dan semakin mendewasakan hamba-Nya.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s