LELAKI TANPA PINGGANG

LELAKI muda itu jarang sekali saya lihat solat secara duduk. Saya meneka usianya barangkali penghujung 30-an. Bukannya apa, di surau kami ini, biasanya yang sudah lanjut usia, pantas memilih solat secara duduk menggunakan kerusi yang disediakan. Pelbagai alasan diberikan; lutut kurang air, sakit urat, pening berdiri lama-lama, baru lepas kena angin ahmar dan bermacam-macam alasan lagi. Maaf, saya kurang minat mendengar alasan mereka kerana usai solat, saya lihat boleh pula mereka berdiri lama-lama berbual pelbagai cerita di serambi surau.

Anak muda ini saya lihat agak berbeza dengan jemaah sebayanya. Berawal-awal dengan tingkap dan kipas. Berlama-lama dengan zikir dan quran. Tegak di atas saf sebelum iqamat dilaungkan bilal. Zuhur itu, sesudah iqamat, baru tubuhnya terpacul di muka pintu. Jalannya lambat dek menumpang kaki kiri lebih daripada kaki kanan. Mengheret kakinya selangkah demi selangkah. Di atas saf  lelaki itu goyah berdiri dengan segala kepayahan. Rukuknya tidak sempurna bagai kehilangan pinggang. Lelaki itu hanya berdiri pada rakaat pertama. Selebihnya hanya mampu duduk tanpa qiyam seperti biasa. 

Usai solat, kami berkerumun menghadap lelaki muda yang menopang lengan lelaki tua untuk berdiri. Di hadapan imam, lelaki tua bertanyakan hal keadaannya yang masih memilih untuk qiyam. Jawab lelaki tanpa pinggang itu: 

“Saya melaksanakan definasi berdiri bagi orang yang berkuasa. Oleh sebab mampu berdiri pada rakaat pertama, maka diwajibkan atas saya berdiri, tetapi tidak pada rakaat yang berikutnya. Saya tidak mampu berdiri pada rakaat berikutnya. Kalau mampu, saya tetap usahakan berdiri.”

Lelaki muda itu memandang imam yang sedang mengangguk, membenarkan. Lelaki tua itu juga memandang kepada imam dengan kepala yang senget sebelah. Wajahnya mengerenyeh, malu. Saya menghantar pandangan melihat langkah lelaki muda yang menopang lengan imam hingga ke muka pintu. Solat sunat saya jadi tidak khusyuk saat melihat lelaki tua itu mula mengangkat takbiratulihram tanpa kerusi yang biasanya akan melekat di punggungnya.

Pohon kiranya dapat mendoakan lelaki muda yang terkehel pinggangnya itu agar cepat sembuhnya setelah diuji dengan sakit yang menggigit. – al-Kurauwi

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s