RINDU PAK WE, CINTA MAK WE

RINDU Pak We, Tuhan sahaja yang tahu. Di Telinga, cinta Mak We bagai berlagu merdu. Entah mengapa, Rejab ini, hati tiba-tiba menjadi sayu. Rindu kepada insan mulia itu, bagai merindui Ramadan yang semakin dekat bertamu. Teringat dulu-dulu, apabila abah berlama-lama meninggalkan keluarga dek menyahut seruan negara, Pak Welah tempat kami menumpang kasih. Mak We tidak lokek meminjamkan sayang. Hingga kini, ‘sayang’ yang kami pinjam tertinggal di jiwa, tidak pernah kami menghantar pulang!

Kami dengan Pak We tinggal berjiran. Abah menyewa rumah kepunyaan ibu Pak We. Rumah sewa itu tidaklah luas, namun sarat dengan kenangan manis yang hingga kini masih tersimpan kemas di sanubari. Rumah yang kecil itu terasa besar apabila Pak We buat kami macam anak-anaknya sendiri. Tiada tembok cemburu yang menghalang. Tiada pagar yang memaku kaki daripada bertandang melainkan pintu rumah Pak We sentiasa terbuka baik malam mahupun siang.

Apabila abah berlama-lama meninggalkan keluarga, Pak Welah yang mengajar kami mengaji bersama-sama dengan anak-anak jiran. Seingat kami, Pak We garang depan al-Quran, namun lembut mengenalkan kami akan kehidupan. Tiada rotan, tongkat pun memadai menjadi hukuman. Terutama buat yang nakal main wayang kulit di hadapan al-Quran.  Sejak kecil, Pak We tidak pernah penat mengenalkan kami akan rumah Tuhan. Dalam keluarga kami, Pak We rapat dengan along. Setiap kali tiba Ramadan, along akan dikelek supaya bertarawih dan bertadarus al-Quran.

Pak We sentiasa berawal-awal di depan laman. Di lukunya pintu rumah, bila along kelewatan. Katanya, Pak We tidak mahu tertinggal takbiratulihram pertama bersama imam. Usai tadarus, perut along dan rakan tadarusnya pasti mendapat habuan. Pak We dan jemaah masjid tidak lokek bergilir-gilir menjamu hidangan. Pak We bukan hanya mulia pada mata kami, malah baktinya jatuh ke hati jiran tetangga. Kami ingat, di penghujung sahur yang bersisa, suara Pak Welah yang mengejutkan jiran tetangga andai masih terlena.

Jika Pak We mengenalkan along akan al-Quran dan rumah Tuhan, Mak We pula akan mengelek Uda belajar marhaban di rumah jiran. Pernah sekali, Mak We tercicirkan Uda, gopoh-gapah Mak We pulang, menjemput anaknya yang ketinggalan! Ketika emak longlai tak berdaya berbadan dua dan saat abah keluar bekerja, Mak Welah yang menghulur lauk buat kami sekeluarga. Malah menjemput kami bertukar selera di teratak mereka. Maka dijamunya kami dengan lauk kegemaran. Oh Tuhan, manisnya iman yang Pak We dan Mak We suapkan.

Untung Mak We bersuamikan Pak We yang berhati mulia. Pak We tidak lokek berbelanja, bahkan ringan tulang di dapur menyediakan hidangan. Kenduri kendara jiran tetangga, Pak Welah chefnya. Buat setakat memasak, membeli lauk pauk kenduri pun dialah ketua. Along tidak pernah menolak andai Pak We bawa ke pasar ikan. Along belajar mengenal beza ikan puyu dengan sepat. Along tahu mana ikan laut dengan darat. Pak We rajin mengajar along sehingga pandai menimbang dengan penyukat.  Hingga kini, alonglah yang ke pasar berbelanja buat emak yang sudah pun menginjak usia.

Setelah dewasa, barulah kami tahu betapa luasnya sempadan cinta. Cinta yang memberi tanpa mengharap simpati. Di atas lengkung bumi, cinta bukan titik mati. Cinta bak tanda koma yang bersambung-sambung. Kami tahu, cinta Pak We dan Mak We, sesungguhnya bersambung dengan cinta Tuhan di langit tinggi nan luas itu. Tuhan, moga cinta Pak We dan Mak We atas nama saudara ini membawa mereka ke syurga!

Kini, di laman sendiri, kami cuba menebuk tembok tinggi yang memagar cinta jiran tetangga. Oh Tuhan, di kiri, kanan, depan dan belakang cinta telah dikasta, dinista dan dipandang sebelah mata. Saat ini, rindu Pak We, cinta Mak We terasa membuak-buak. Ada tekad sempena Rejab, mahu memanjang cinta saudara yang tertunda-tunda. – al-Kurauwi

9 thoughts on “RINDU PAK WE, CINTA MAK WE

  1. Ya, Fatimah,
    Artikel ini ditulis setelah menjadi pendengar yang baik daripada seseorang yang mempunyai cahaya hati yang baik. Pendengar yang baik, suara orang yang baik akan jatuh ke hati. Kenapa ya?

  2. Adik saya memberi link artikel ni kepada saya. Katanya, kisah ummi. Seperti seolah2 mendengar semula ape yang ummi saya ceritakan pada saya zaman kanak2 dia dulu. Sayu membacanye. Saya pulak diajar pak long saya. Walaupun garang dan sampai menangis saya dibuatnye setiap kali belajar mengaji bersama pak long, tapi ternyata berbaloi. sampai sekarang masih lekat ajaran pak long.

  3. Salam Adik Fatimah,
    Selamat berkunjung ke teratak kecil yang cuba menghimpun segala kebaikan untuk dikongsi segala rasa tentang manusia, dan Pencipta manusia. Terima kasih berkongsi kisah tentang Pak Long. Tentu ada sisi-sisi yang menarik, sebagai jariah mengiringi kebaikannya ke syurga nanti.

  4. salam,
    suka dengan kisah cinta ini. pada saya wajar dibukukan. anak kita hari ini banyak membaca cerita cinta yg kosong.

  5. Salam Ustaz,
    Fatimah Yusoff tu anak sulong Kak Siti. Adiknya, Mariam pun terharu baca artikel Rindu Pak We, Cinta Mak We ni. Berkat didikan Pak We along Kak Siti jadi hamba Allah yg hatinya sangat dekat pada masjid. Walaupun tegas tapi kaya dengan kasih sayang, sama macam Pak We dan abah. Berdisiplin dan mempunyai jiwa pendidik. Pada yg datang berkunjung ke rumah emak, dia akan membahasakan dirinya along atau Pak Long hatta pada yg bukan berbangsa Melayu sekali pun. Datang Ramadhan , along akan mengkhatamkan Quran dan bertarawikh di masjid yg dekat dgn rumah. Along selalu kata, “Banyak jasa Pak We mendidik along, terutama dalam mengenal dan mencintai Al Quran dan rumah Allah.” Alhamdulillah dgn izin Allah, berkat kasih sayang dan didikan emak dan abah serta Pak We dan Mak We, along jadi anak yg berbakti pada kedua orang tua kami, abang yg amat achik kasihi serta tempat menumpang kasih ayah bagi anak-anak saudaranya.

    Terima kasih sekali lagi ustaz kerana sudi menulis artikel ini.

  6. Salam Kak Zabidah,
    Akhirnya si penenun cerita menyapa juga ke teratak kecil ini. Teruskan menenun cerita. Saya hanya sebatang jarum, berhati-hati menyulam agar tidak tercucuk jari. Yang cantik buatlah pakai pelindung tubuh sehari-hari.

  7. Assalamu’alaikum ustaz,

    seronok membaca cerita tu. sebagai keturunan pakwe dan makwe (cucu), bangga jugak kerana cerita berkenaan diri mereka dapat dijadikan bahan berguna untuk generasi yg akan datang.

  8. Wa’alaikum salam Ahmad,
    Terima kasih kerana menyapa saya di blog kecil ini. Saya juga berbangga mengenali keluarga dan cucu-cucu Pak We dan Mak We. Moga menjadi cucu-cucu yang soleh dan solehah.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s