HAJAT AYAHANDA

 

MAAFKAN kanda kerana menulis selembar diari ayahanda di teratak kecil ini. Kanda banyak menulis tentang cinta insan lain namun tidak pernah sekali mencatat tentang cinta ayahanda kepada kita semua. Izinkanlah kanda menulis, supaya kita dan sekalian cucuanda bangga kepada Tok Wannya apabila mereka membaca lembar ini apabila dijemput dewasa. Ya, 25 tahun yang lalu, pastinya adinda sekalian masih kecil. Abang Long yang sakit, Abang Ngah yang terlalu awal meninggalkan kita menyebabkan bahu kanda sebagai lelaki yang paling tua senget dengan harapan dan amanah.

Suatu hari, kanda masih ingat lagi wajah ayahanda yang pulang laksana petang yang mendung. Wajah ayahanda mendung, hati anakandanya gerhana tak tertanggung. Simpati melihat kemeja ayahanda yang berdebu. Asap kenderaan masih terlekat kuat berbau. “Maafkan ayahanda, dari Pelangai hingga ke Lipis ayahanda pergi, semua sekolah agama di Pahang ini sudah menutup pagarnya untuk anakanda!” keluh ayahanda.

Kanda sebak melihat wajah tua ayahanda yang kecewa. Berpatah arang sudah bahawa kanda akan terus terpenjara, jauh daripada dunia, dan akhirnya menjadi penghuni tetap desa Felda. Kanda hanya memandang hampa melihat beg pakaian, baldi dan pinggang mangkuk yang sudah beku lama di bawah katil. Di sekolah, hati kanda tidak lagi bertugu. Cerita tentang ‘sekolah impian’ semakin hilang, kini menjadi angan-angan. Yang tinggal hanya kisah dongengan yang sesekali menjadi gurauan rakan-rakan.

Kanda masih ingat, pagi Isnin yang zulmat. Belum subuh, ayahanda menarik selimut yang berbungkus ketat. “Cepat siap, nanti kita tertinggal bas!” Bimbangkan bas, kanda pun tidak sempat melambai ke wajah adinda sekalian. Air yang dijerang bonda belum sempat pun menggelegak, bonda sudah merelakan kanda meninggalkan rumah tanpa sarapan. Bonda hanya sekadar melambai dengan air mata.

Setelah bas bertukar bas dan matahari pagi bersalin ke baju tengah hari, di hadapan pagar sebuah sekolah agama, barulah ayahanda bersuara, “Ya Allah Kau campak aku ke dunia ini tanpa agama, izinkan aku pulang kepada-Mu melalui zuriatku ini dengan agama.” Ayahanda memandang kanda dengan azam yang bulat. Di wajahnya kanda membaca sebuah bahasa yang tidak terucap. “Ayahandamu sekali-sekali tidak akan putus muslihat!”

Setelah berbasa-basi dengan kerani di pejabat ayahanda terus ke bilik pengetua, meninggalkan kasutnya di luar pintu masuk, biarpun ayahanda tahu, dia tidak perlu berbuat begitu. Pengetua menyambut kami dengan kaget. Simpati merona wajahnya melihat dua beranak dari kampung dengan beg dan periuk belanga di sisi merayu dengan segala upaya. Biar kanda menumpang di beranda kelas atau tidur berteman nyamuk dan agas, dengan janji bahawa anaknya akan belajar tanpa culas. Kanda sendiri tak sangka dengan tindakan ayahanda yang nekad. Mana mungkin pengetua boleh menerima pelajar baru tanpa temu duga terlebih dahulu, tambahan pula sesi persekolahan sudah sebulan berlalu. Logik akal sentiasa gagal mendahului takdir Tuhan. Pengetua menerima janji kanda dengan segala sifat rendah diri ayahanda.

25 tahun yang lalu, di meja yang paling belakang, di sebuah kelas yang serba asing, kanda menelan hakikat betapa kanda sudah jauh terpisah daripada keluarga. Ayahanda meninggalkan kanda dengan segala azimat. Menjulang tinggi segala semangat. Terngiang-ngiang di telinga sebuah hajat. “Ayahanda lahir tanpa agama, izinkan ayahanda pulang kepada Tuhan dengan berkat agama seorang zuriat!” – al-Kurauwi

 

15 thoughts on “HAJAT AYAHANDA

  1. Ya, mengenang ayahanda selalu membuatkan kita sebesar hama. Namun cinta kita sebesar syurga, doa kita buat mereka mana mungkin terlupa.

  2. Menitis mutiara berharga dari kedua kelopak mata ini membaca tulisan ustaz, ya….mungkin suatu waktu dulu kita tidak menjangkakan apa yang diinginkan oleh ayah kita untuk kita, kita hanya mampu patuh sahaja ……. kala mereka tiada dan kesan tindakan mereka dulu membuatkan kita bersyukur, kita berada seperti sekarang, mengenal Tuhan seawalnya ….. semoga kita selamanya menjadi insan yang mendoakannya…..

  3. Terima kasih Kak Gie,
    Si pembaca dengan si penulis rasanya tentulah tidak sama. Apapun terima kasih atas luahan rasa Kak Gie.

  4. Membacanya membuatkan diri terasa betapa mulianya hasrat, besarnya harapan n pengorbanan seorang ayahanda dalam mengusahakan zuriatnya menjadi anak yang soleh..

  5. cerita yang tak pernah lekang dari mulut ayahanda ketika mengutip buah lerai sawit..sebagai azimat adinda-adinda kanda..hari ini dinda di sini dengan menumpang semangat ayahanda dan kanda ini..

  6. terkesan dihati tatkala membaca tulisan ustz…titis-titis jernih perlahan-lahan mengalir jatuh….Ayah..Keringat yg mengalir dari tubuh seorang ayah tak terbalas oleh seorang anak…biar jauh dipisahkan dgn gunung ganang,lautan yg luas namun darah yg mengalir dalam diri adalah ikatan yang suci dari seorang ayah.Teringat pada baju ayah yang berbaur hanyir ikan bercampur peluh yang suci,ku basuh setiap kali ayah pulang dari laut,…tak terfikir bagaimana ayah kesorangan di lautan mencari rezeki.Betapa susah seorang ayah bergelumang lautan yg berombak demi keluarga dan anak-anak tercinta,segalanya diredah tanpa sedikitpun rasa takut.Moga sedikit ruang waktu yg masih ada ini dapat menggembirakan dirimu ayah didunia dan akhirat…

  7. Abu Firas,
    Kini, bahu kita disengetkan oleh tanggungjawab sebagai seorang bapa. Muliakah kita di mata anak-anak dengan agama yang kita lorongkan?

  8. Adindaku,
    Mari kita bercerita tentang pengorbanan ayahanda dan bonda membesarkan kita anakanda-anakandanya dengan cinta. Moga terpalit bangganya buat cucuanda-cucuandanya.

  9. Sukkm,
    Kita jarang bercerita tentang ayahanda kita kepada anakanda-anakanda kita. Mereka harus didendangkan dengan kisah atuk dan nenek yang berkorban jiwa raga membesarkan anak-anaknya.

  10. Salam Ustaz: Kisah yang benar selalu menginsafkan. Tanpa ibu dan bapa, tiadalah kita di dunia. Saya suka membaca kisah ini.

    MARSLI N.O

  11. Salam Kanda Marsli,
    Kisah yang benar selalu terbit daripada hati, dan jatuhnya juga ke hati yang membaca dan yang mahu mendengarnya. Terima kasih kerana menyapa.

  12. Betapa besar pengorbanan seorang ayah pada kita. Sesungguhnya mereka tiada duanya dihati kita.

  13. Salam Kak Siti Zabidah,
    Betapa bertuahnya kita punya seorang ayah yang berkorban untuk anak-anak, takziah kepada anak-anak yang ramai di luar sana yang tidak punya ayah yang mampu berkorban kasih.

  14. Salam Ustaz,
    Alhamdulillah kerana kita punya ayah yg bertanggungjawab. Bukan setakat takziah pada anak-anak yg tidak punya ayah kerana dijemput Allah, ustaz, juga kasihan pada anak-anak yg punya ayah tetapi tidak bertanggungjawab. Pada ayah-ayah yg begini, semoga mereka sedar bahawa anak-anak adalah amanah Allah, satu tanggungjawab yg akan dipersoalkan di akhirat kelak di mahkamah Allah Rabbul Jalil.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s