MENDAHULUI JIHAD IBU

LELAKI BERKULIT hitam manis yang sedang rancak memberikan kuliah di surau saya itu saya pandang dengan takjub. Tak berkelip mata saya melihat tubuhnya yang segak berjubah hitam. Peluh yang mereneh menambah kilat di dahinya dek pantulan cahaya kalimantang betul-betul di jemala kepala yang berserban itu. Mana mungkin dahi berkilat itu saya lupa. Seingat saya, pertama sekali saya bertemu dengan anak muda ini seabad yang lalu. Telinga saya masih kuat merakam impiannya.

“Ustaz, maaf saya nak bertanya.” Hajat saya untuk segera pulang tertangguh. Saya senyum sambil mengangguk mengizinkan. Ketika itu saya lihat di dada langit malam tumbuh sekuntum bulan. Saya sebenarnya senyum melihat dahinya yang berpeluh itu melimpahkan cahaya bulan yang mengambang. “Saya sudah bertanya dengan ramai ustaz, tapi masih tak puas hati. Kali ini, saya nak tanya ustaz pula.” Tambahnya lagi. Sayapun mengangguk lagi dan lagi. Tak sabar dek  tegak mendengar soalannya di luar pagar surau yang sudah mula dihurung nyamuk.

“Saya nak pergi jihad, ustaz! Saya nak pergi ke Afghanistan!” Matanya bulat. Telinga yang menyambut terperanjat. Saya yang mulanya acuh tidak acuh, memandang wajahnya mencari kebenaran! Mana mungkin ada anak muda hari ini yang sedang gila dengan komputer dan PS2, rakus dengan rempit dan ragut, buta agama tapi celik hiburantiba-tiba mahu ke medan jihad. Hati bagai digigit-gigit dek tidak percaya. Tangan saya sibuk bersilat sambil menggaru kaki saya yang digigit nyamuk.

Belum saya menjawab, bertubi-tubi saya tanyakan latar dirinya, sekolahnya dan akhir sekali keluarganya. Sepatah-sepatah dia menjawab pertanyaan saya tanpa culas. Anak muda itu hanya tergagap-gagap memberitahu bahawa dia kini hanya punya seorang ibu di rumah.

“Pulanglah dahulu, fikirkan tentang ibu dan tanggungjawab mengisi dadamu dengan ilmu!” Pujuk saya. “Kalau masih tidak berpuas hati, esok jumpa saya di masjid!” sambung saya sedikit kuat ke telinganya. Saya meninggalkan tubuhnya dihurung nyamuk terkulat-kulat di tepi pintu surau. Mulutnya ternganga, tangannya mahu menahan, namun cepat-cepat saya tinggalkan tubuhnya tanpa apa-apa pesan. Bagi anak muda itu, impian jihadnya lebih besar daripada nyamuk yang kecil, sekadar  boleh dihalau dengan tangan.

Keesokan malamnya kami bertemu lagi di anjung masjid. Malam itu seingat saya sangat sepi, sesepi bicaranya yang diam namun berisi. “Mahukah saya tawarkan suatu jihad yang lebih besar?” Dia mengangkat wajahnya yang tertunduk lama sedikit tercengang. “Mendahulukan bakti buat ibu, jihad yang paling besar buatmu.” Matanya berkaca-kaca. Mata saya bercahaya cuba mencerahkan akalnya. “Pernah mendengar kisah Uwais al-Qarni?” sambung saya semula. Dia menggelengkan kepalanya.

Suatu hari, Uwais al-Qarni telah bermusafir dari Yaman semata-mata mahu bertemu Rasulullah supaya dibenarkan berjihad, lalu baginda bertanya: “Adakah kamu mempunyai tanggungan di Yaman?” Uwais al-Qarni menjawab: “Ya, ibu bapa aku.” Rasulullah bertanya: “Adakah mereka memberi izin kepada engkau?” Uwais al-Qarni menjawab: “Tidak.” Rasulullah bersabda: “Pulanglah kepada keluargamu dan mintalah izin daripada mereka berdua terlebih dahulu. Jika mereka mengizinkan, maka berjihadlah, tetapi jika mereka tidak mengizinkan, maka berbuat baiklah kepada mereka berdua.” Cerita saya bersambung-sambung tanpa noktah agar anak muda itu tidak mencelah. Seingat saya, malam itu, saya sudahkan nasihat saya bahawa mendahului jihad dengan ilmu itu termasuk jihad yang paling utama.

Kini, setelah seabad, saya bertemu semula lelaki berkulit hitam manis yang yang segakdengan jubah dan serban. Katanya, baru pulang dari Yaman. Dahulu, dia anak muda yang serba naif, barangkali sewaktu itu, jihadnya mendahulukan nafsu kini jihadnya menegakkan kalimah Tuhan yang satu berkat redha seorang ibu. – al-Kurauwi

2 thoughts on “MENDAHULUI JIHAD IBU

  1. Salam ziarah,
    Satu lagi karya ustaz yang mengusik jiwa. Betapa besarnya mamnilai jihad jika dapat restu seorang ibu. Teruskan menulis!

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s