GURU DI AMBANG PINTU

PAGI SYAWAL itu, saya lihat seorang guru yang cukup saya kenali hanya berteleku di ambang pintu mengulit pasrah takbir yang sedang bergema penuh rindu. Takbirnya yang terakhir tidak lagi kedengaran di hujung corong. Kata ayahanda, guru itu sudah lama meninggalkan Ramadan sebelum Ramadan datang. Saya perasan tanpa guru, termanggu-manggu kami menanti takbir raya yang terabai sesudah salam terakhir solat Isyak pada malam hari raya itu. Tiada lagi yang menegur kerana guru saya itu telah lama ghaib dibebani oleh uzur.

Guru itu mengingatkan saya kepada bonda yang suatu hari itu, tiba-tiba menangis sesudah pulang berguru. “Kenapa bonda menangis?” tanya saya yang tersangat kecil usia ketika itu. “Kerana guru menangis!” jawab bonda. “Kenapa guru menangis?” tanya saya lagi. “Guru menangis kerana bimbangkan tubuhnya dimamah api neraka.” balas bonda sambil menangis lagi. “Habis itu, kenapa bonda menangis?” Saya yang buta, tidak malu bertanya. “Kalau seorang ‘guru’ bimbangkan neraka, apatah lagi bonda yang banyak dosa!” Saya kehilangan kata-kata, sejak hari itu, bertekad mahu mengenali guru bonda itu. 

Berkat Aidilfitri pagi itu memaksa tubuh guru saya memikul kulit si uzur yang menggelembur. Namun sekadar rela hanya beriktikaf di ambang pintu masjid yang melimpah makmur. Tiada lagi pesan guru tentang kaifiyat solat raya, tiada lagi bicara sebaknya dalam khutbah raya, tiada lagi tubuh kukuh mengimamkan solat raya dan tiada lagi zikirnya memimpin tahlil usai selawat Nabi yang mabrur.

Hari itu, sebelum ke perut mihrab, saya mengucup tangan guru di ambang pintu. Pagi itu, sebelum pulang merayakan Syawal, saya mengucup lagi tangan guru yang masih di ambang pintu. Bisik saya ke telinga guru, “Terima kasih kerana memberikan saya ilmu. Mengenalkan saya Tuhan yang satu. Mentaati ayah dan ibu.” Saya lihat dadanya berombak sebak kerana mengenali saya antara muridnya yang seribu. Bisik saya lagi ke telinganya, “Jangan bimbang wahai guruku, sesungguhnya anak muridmu seribu. Di manapun mereka berada, kami pasti mendoakan kesihatanmu di dunia fana dan kesejahteraanmu di alam baqa! Dan guru menangis di bahu.”

Dedikasi doa buat Ustaz Kamarulzaman yang sedang uzur dimamah waktu – al-Kurauwi

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s