USTAZ ATAU U’START’?

 

SEORANG gadis suatu hari mengadu hilang kepercayaannya kepada seorang ustaz. Telinga saya berdesing dan wajah saya mencuka. “Kenapa jadi macam tu?” Soal saya. “Saya bujang dia juga bujang. Kami bertemu ‘cinta’ dalam kuliahnya dan berhasrat untuk memanjangkan cinta hingga ke genggaman wali!” Cerita gadis itu lagi malu-malu. “Baguslah tu, tetapi macam mana boleh hilang kepercayaan kepada ustaz?” Ujar saya menuntut jawapan. “Saya mengharapkan ilmu agamanya dapat membimbing saya tetapi akhlaknya, kata-katanya sama seperti pemuda pemudi yang dilamun cinta nafsu nafsi!” Adunya meluahkan isi hati.

Oh Tuhan, ampun. Saya yakin masyarakat selalu berfikir, akhlak seorang ustaz itu sempurna sedangkan dia hanya manusia biasa. Dia melorongkan hidayah Tuhan namun pada wajah dan kata-kata atau tulisan sendiri tidak terpamerkan keikhlasan. Dia bukanlah ustaz tetapi barangkali ‘ustart’. Dia hanya hidup pada kitab atau kepetahan kata-katanya tetapi tidak hidup pada amal dan bicaranya yang menukilkan kitab dan tidak hidup pada keindahan aksara mahupun bicara saat menulis ‘kitab’.

Dia bukanlah dai tetapi selebriti! U’start’ selebriti niatnya barangkali mahu menarik perhatian masyarakat. U’start’ selebriti mahu meraih sebanyak mungkin ‘sampul lipat’. U’start’ selebriti mahu menulis kerana meraih pendapatan. U’start’ selebriti mahu memuaskan hati orang bukan ‘hati’ Tuhan. Terkeliru menulis kerana mahu atau kerana perlu (meminjam kata shabat).

Sesungguhnya sempena tahun baharu masehi 2012, saya bermuhasabah diri. Memohon ampun kepada Tuhan jika selama berkata dan menyusun tinta meraih populariti. Tuhan golongkanlah aku sebagai hamba-Mu yang Rabbani. Tiada ada yang lebih selebriti melainkan berbicara dan menulis untuk memahamkan diri. Tiada ada yang lebih selebriti melainkan berbicara dan menulis tentang al-Quran dan Sunnah dengan kata-kata dan amal bakti. Ustaz dai, mengajak manusia kepada Ilahi, bukan syok sendiri. Firman Tuhan Surah Ali-Imran ayat: 79 boleh dirujuk sebagai bukti:

“Tidak wajar bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya kitab agama, hikmah dan kenabian, lalu tergamak dia berkata kepada pengikutnya: Hendaklah kamu menjadi orang yang menyembahku bukan menyembah Allah. Tetapi (sepatutnya hendaklah dia berkata) hendaklah kamu menjadi golongan ‘Rabbaniyyin’ (orang yang menyembah Allah semata-mata dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu selalu mengajarkan kandungan Kitab Allah dan disebabkan kamu selalu mempelajarinya.”