REJAB NAN TERINDAH

DI PENGHUJUNG kuliah siang tadi, sekeping catatan bertulis tangan mengalih tumpuan saya kepada bacaan anak murid yang menekuni satu persatu huruf al-Quran. Kelaziman kertas kecil seperti itu memuatkan pengumuman dan hajat para jemaah untuk segera dipanjangkan dan dipenuhi oleh sekalian telinga yang mendengar. Saya meneka, kali ini ia berisi soalan tentang permasalahan agama mahu dikongsi dan dibincangkan.

Tepat seperti yang saya duga. Kali ini, kertas kecil itu menyentuh tentang bulan Rejab yang bakal menjenguk. Bertanya jenis pengisian dan amal yang wajar diberi perhatian. Saya sedikit tersentak, bukan tentang soalan yang diutarakan, tetapi baru tersedar betapa pantasnya masa berlalu. Sedar betapa sibuknya saya yang dimamaikan oleh kerja. Alih-alih Rejab sudah tampil di muka pintu memberi salam! Tidak sempat saya bersiap dan berhias untuk menyambutnya.

Bukan jawapan terhadap pertanyaan itu yang mahu saya kongsikan di sini, sementelah sepanjang Rejab, isi ‘perut’ Rejab akan diselongkar oleh para ustaz dan ustazah sama ada yang khilaf mahupun yang bid’ah. Semua maklumatnya akan terselak baik di dada akhbar, majalah mahupun terdengar di corong-corong radio, Namun lebih daripada itu, catatan itu segera membuai ingatan saya terhadap rindu Ramadan. Betapa Ramadan nan indah itu semakin hampir. Bukan sifat bulan yang bulat itu yang dirindu; Rejab, Syaaban atau Ramadannya namun rindu Tuhan itulah dek sebelas bulan menjauh!

Rejab mengingatkan saya terhadap cinta bonda. Pulang ke desa, bonda tidak lekang bertanya. Rejab sudahkah kita? Mata bonda sudah kabur, telinga bonda sudah kendur menangkap bunyi, akal tidak lagi dapat mengira bulan apakah yang menjenguk diri. Masih sempatkah bonda melihat Rejab, berpuasa sunat pada bulan Syaaban dan akhirnya memeluk Ramadan? Rejab yang terindah, kadang-kadang membuatkan diri gundah. Gundah melihat kesihatan bonda yang menyusut dan malu membanding diri yang  sihat namun amal rendah setinggi busut. Tuhan berikanlah kekuatan untuk saya bermuhasabah di awal Rejab yang terindah! – al-Kurauwi

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s