CAHAYA DI ANJUNG SINGGAH

SUDAH SEMINGGU rumah asuhan yang menjadi transit Insyirah saya seawal 6.30 pagi itu ditelan zulmat fajar.  Dari anjung hingga ke ruang tamu diselubung gelita. Hanya cahaya lampu bilik tidur di tingkat atas kelihatan samar-samar bercahaya. Saya meneka, masakan rumah sebesar itu tiada penghuninya. Resah mula meracun wasangka. Wasangka menggigit-gigit akal sedang jam sudah berdenyut-denyut mencecah ke angka tujuh. Insyirah saya tidaklah takut kepada gelita. Sudah dididik begitu. Dia hanya bimbangkan kucing-kucing liar yang berkeliaran menumpang manja. Dia mengerti, betapa sulitnya saya menunggu lama-lama di situ. Insyirah saya lebih lega andai ada rakan-rakan sebaya bersama.

Dahulu, berselisih juga dengan ibu-ibu yang mencempung anak-anaknya yang masih lena. Sepikul gelap yang berkerak di dada langit pantas dicurahkan dengan setimba tawakal. Anak-anak kecil mereka ditinggalkan sahaja di anjung rumah itu dek mengejar masa. Mereka tidak mahu lemas oleh arus kesesakan lalu lintas. Tingginya tawakal mereka! Rungut saya.

Sesudah serak hon motor saya menjerit, tumpul luku saya mengetuk pintu dan renggang tingkap bilik tidur mereka saya gegarkan, terpisat-pisat cikgu-cikgu muda membuka sedikit cahaya dengan kepala yang diselempangkan tuala. Busuk mulut dan tahi mata yang mencacatkan wajah mereka saya balas dengan senyum berwasangka mulia; barangkali mereka kesiangan dek menunaikan qiammola (Qiam malam tengok bola)!

Saya hanya berpesan; Lain kali, tinggalkan Insyirah saya dengan sedikit cahaya di anjung singgah itu. Langit sudah lama bercahaya, masakan malam mengandung gelita selama-lamanya. Hari ini sudah Syaaban, semalam sudah berlalu Rejab, sepantas bulan beredar, kita akan menyambut Ramadan. Bukankah Ramadan itu cahaya! Tambah saya lagi. Esok, kita mahu pulang ke pangkuan Tuhan juga dengan cahaya. Mana mungkin kita membawa pulang seguni amal gelita menebus ganjaran seindah cahaya syurga!– al-Kurauwi

4 thoughts on “CAHAYA DI ANJUNG SINGGAH

  1. Salam, tinggi kalam dan sabar ustaz, walau nampak yang tersirat, kalau saya, mahu saja bawa ‘Insyirah’ tu ke pejabat, biar gamat, dengan leteran yang menyengat, atau apply saja cuti rehat, bersama ‘Insyirah’ di rumah berehat….moga saya juga mempunyai sabar yang tinggi macam ustaz

  2. Salam Tengku,
    Terima kasih atas kunjungan. Mahu sahaja berleter, tetapi masih menyimpan ‘baik’ sangka, kemungkinan-kemungkinan yang berlaku. Moga mereka juga bersangka baik dengan nasihat kita.

  3. Assalamu’alaikum wbt

    dalam sungguh kata2 nasihat itu penuh makna yang tersirat..

    moga cikgu2 insyirah sedar akan amanah yang di beri…

  4. Salam Shazah, tanggungjawab seorang ‘walid’ masakan sama dengan tanggungjawab seorang guru.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s